Honda Civic Si 2022 hasilkan lebih kuasa dari yang didakwa selepas diuji atas dyno; 222 hp/316 Nm!

Honda Civic Si 2022 hasilkan lebih kuasa dari yang didakwa selepas diuji atas dyno; 222 hp/316 Nm!

Digital Visual Media

Model generasi baharu varian prestasi untuk Honda Civic, khas untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu Civic Si sudahpun dilancarkan di negara tersebut pada Oktober lalu. Ia masih menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo yang sama dengan Civic Si generasi sebelum ini, tetapi apa yang menghairankan, Si untuk Civic generasi ke-11 tersebut hanya menghasilkan kuasa 200 hp dan tork maksima 260 Nm, berbanding 205 hp pada versi Si bagi Civic generasi ke-10.

Pengeluar sistem pengurusan enjin prestasi aftermarket khas untuk jenama Honda, iaitu Hondata seperti biasa akan melakukan ujian dyno asas terhadap mana-mana model baharu Honda yang berpotensi untuk diubahsuai, bagi mengetahui kemampuan asasnya sebelum membangunkan produk yang lebih berprestasi tinggi. Jadi Civic Si 2022 ini tidak terkecuali.

Apa yang mengejutkan, ujian dyno asas yang dibuat tersebut menunjukkan bahawa Honda Civic Si 2022 berkenaan mampu untuk menghasilkan 222.31 hp dan tork maksima 316.43 Nm tanpa sebarang pengubahsuaian! Hondata turut menjalankan semula ujian dyno terhadap Civic Si generasi sebelumnya, dan ia mencatatkan 201.33 hp – sedikit kurang dari yang didakwa atas kertas, mungkin disebabkan ia telah sedikit berusia.

Graf dyno tersebut turut membuktikan (malah lebih baik!) apa yang didakwa Honda sebelum ini – tork puncak yang dicapai adalah 500 rpm lebih awal berbanding model sebelum itu. Honda sebelum ini menyatakan bahawa talaan pada enjin 1.5L VTEC Turbo tersebut kini menampilkan lengkuk kuasa lebih luas bagi membolehkan kuasa optimum digunakan pada kebanyakkan tahap rpm – walaupun tork yang dihasilkan masih sama, tetapi dapat dicapai 300 rpm lebih awal, bermula 1,500 rpm hingga 5,000 rpm, dan ia boleh dikerah ke tahap redline yang ditetapkan pada 6,500 rpm.

Enjin pada model generasi baharu ini dipadankan dengan roda tenaga (flywheel) single mass yang 26% lebih ringan dari unit dual-mass yang digunakan pada Civic Si terdahulu. Dengan daya inersia berkurangan 30% menggunakan roda tenaga baharu ini membolehkan enjin memberikan respon yang lebih cepat, dalam masa yang sama menambah baik kualiti pemanduan.

Civis Si generasi terkini ini turut diberikan sistem ekzos dengan penyenyap dua-gegelung baharu bagi meningkat aliran ekzos 27% lebih tinggi berbanding varian Touring Civic biasa. Ia juga menerima sistem Active Sound Control yang dipertingkat bagi memberikan bunyi ekzos semula jadi berkualiti tinggi pada tahap rpm enjin lebih luas yang dialirkan ke dalam kabin.

Enjin berkenaan digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam kelajuan bersama short shifter, lengkap dengan LSD jenis helical membolehkan kedua-dua roda hadapan ‘mengigit’ permukaan jalan dengan lebih kuat ketika mengambil selekoh.

Selain dari unit rangkaian kuasa, Civic Si ini juga diberikan talaan yang lebih ekstensif pada casis, suspensi dan stereng serta diberikan penggayaan lebih garang seperti gril hadapan sarang lebih, lebih kemasan-kemasan hitam, diberikan tempat duduk lebih sporty dan pelbagai lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required