Great Wall Motor kembali ke M’sia tahun 2022 – Haval H6, Jolion, Ora Good Cat EV dijangka diperkenalkan

Great Wall Motor kembali ke M’sia tahun 2022 – Haval H6, Jolion, Ora Good Cat EV dijangka diperkenalkan

Great Wall Motor (GWM) telah mengumumkan rancangan untuk mengembangkan perniagaannya di Asia Tenggara dengan memasukkan Malaysia dan tiga lagi negara lain ke dalam operasi serantaunya tahun ini. Perkara ini didedahkan oleh Elliot Zhang, presiden Great Wall Motor ASEAN dan Thailand, ketika taklimat rancangan 2022 untuk pasaran Thai, laporan Nikkei Asia.

“Untuk tahun 2022, kami akan terus mengembangkan perniagaan kami di ASEAN, dengan Thailand sebagai lokasi untuk ibu pejabat serantau. Bagi usaha untuk mengembangkan lagi perniagaan di antara rantau ASEAN, kami merancang untuk melancarkan GWM ke empat lagi buah negara, iaitu Malaysia, Vietnam, Filipina dan Singapura,” ujarnya. Buat masa ini, jenama tersebut berada di pasaran Thailand, Laos, Kemboja dan Brunei.

Pengeluar kereta itu memasuki pasaran Thailand pada tahun lalu apabila memperoleh kilang pemasangan General Motors, dan kemudian mengulangi hasrat untuk menjadikan kemudahan tersebut sebagai hab pembuatan untuk Asia Tenggara. “Kami sudah mempunyai kilang kami di Rayong, dan kami akan terus melabur dalam kilang itu untuk menjadi hab bagi mengeluarkan produk kami untuk pasaran ASEAN,” kata Zhang.

Jenama itu juga menggariskan strategi pertumbuhannya untuk Thailand, mengatakan bahawa ia bersedia untuk melancarkan lima model baharu di negara tersebut dan menjadikan jualan di pasaran itu kepada 20,000 unit tahun ini, meningkat dengan ketara daripada 3,702 unit yang diperoleh pada 2021.

Syarikat ini menambah pihaknya akan terus mengembangkan bidang elektrifikasi di Thailand, dan dijangka ia dilihat menerusi perkembangan ketara dalam segmen itu pada tahun ini. Menurut Pengarah Urusan GWM Thailand Narong Sritalayon, jumlah jualan kereta tahunan Thailand dijangka mencecah 850,000 unit pada 2022, meningkat 12% daripada tahun sebelumnya, dan daripada jumlah itu, 11.4% (atau kira-kira 94,000 unit) adalah menjadi model elektrik.

Ini adalah lebih daripada dua kali ganda daripada 40,000 kenderaan elektrik yang dijual di negara tersebut pada tahun lepas, katanya. Untuk mengembangkan lagi pasaran, Narong berkata syarikat itu akan melabur dalam infrastruktur EV, terutamanya dalam stesen pengecasan, dan pihaknya berharap untuk menambag kepada 55 stesen di seluruh negara tahun ini.

Dengan kembalinya jenama tersebut ke pasaran Malaysia bakal menyaksikan beberapa model yang dijangkakan diperkenalkan di sini. Ini termasuklah Haval Jolion, yang pernah dilihat sedang diuji di sini pada tahun lepas dan sekali lagi pada Januari lalu. Di Thailand, SUV segmen-B itu turut ditawarkan dalam varian hibrid, dikuasakan oleh enjin 1,.5 liter pengecas turbo empat-silinder elektrifikasi yang menghasilkan kuasa kombinasi sehingga 190 PS dan tork 375 Nm, dengan transmisi DCT menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

Selain itu, Haval H6 di pasaran Thailand juga ditawarkan dengan varian plug-in hybrid. Ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo dan motor elektrik, dengan kuasa 243 PS dan 530 Nm. Model ketiga pula adalah Ora Good Cat, yang pernah dipertontonkan di sini pada Disember tahun lalu. Ia dijangka akan diperkenalkan oleh Go Auto pada tahun ini.

GALERI: Haval Jolion Hybrid, pasaran Thailand

GALERI: GWM Ora Good Cat, LHD dipertontonkan di Malaysia

GALERI: Haval H6 Plug-in Hybrid

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required