Volvo C40 Recharge P8 AWD sah akan dilancarkan di M’sia tahun ini; CKD di Shah Alam, eksport ke ASEAN

Volvo C40 Recharge P8 AWD sah akan dilancarkan di M’sia tahun ini; CKD di Shah Alam, eksport ke ASEAN

Ketika pelancaran SUV elektrik penuh Volvo XC40 Recharge Pure Electric untuk pasaran Malaysia hari ini, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump turut mengumumkan bahawa versi Coupe untuk SUV tersebut iaitu Volvo C40 Recharge turut akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun ini.

Apa yang menarik, Frump turut menyatakan bahawa model dengan rupa lebih sporty tersebut turut akan dipasang secara tempatan (CKD) di fasiliti mereka di Shah Alam sama seperti XC40 Recharge EV, dan ia akan turut akan dieksport ke pasaran ASEAN.

Model berkenaan baru sahaja dilancarkan di Thailand awal bulan ini, dan negara berkenaan menerima unit C40 Recharge yang diimport sepenuhnya dari China, dijual pada harga harga 2.75 juta baht (RM353,260). Selepas produksi model ini mula berjalan di Shah Alam kelak, Volvo Thailand turut akan menerima C40 mereka dari Malaysia, dijangka dapat dijual dengan harga lebih rendah.

Volvo C40 Recharge P8 AWD sah akan dilancarkan di M’sia tahun ini; CKD di Shah Alam, eksport ke ASEAN

C40 ini turut menggunakan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya P8 AWD sama seperti XC40 Recharge. Ia menampilkan dua motor elektrik untuk setiap gandar bagi memacu roda hadapan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan juga tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan crossover tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima model ini turut dihadkan hanya pada 180 km/j.

Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa yang disimpan dalam bateri lithium-ion 78-kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420 km (kitaran ujian WLTP) dengan satu cas penuh. Bateri tersebut boleh dicas semula menerusi penghubung AC Type 2, yang memerlukan masa sekitar tujuh hingga lapan jam untuk dipenuhkan menggunakan palam tiga-fasa 11 kW.

Ia juga boleh dicas semula menggunakan sistem pengecas pantas DC yang menggunakan penghubung CCS. Sistem tersebut mampu menampung sehingga 150 kW, membolehkan ia dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya sekitar 32 hingga 37 minit.

Selepas XC40 menerima versi facelift yang baru sahaja didedahkan di Eropah bulan lalu, model tersebut kini berkongsi muka hadapan yang sama dengan C40. Apa yang berbeza, C40 menampilkan garis bumbung yang lebih sporty dan landai kebelakang, bagi disesuaikan dengan imej Coupe yang dibawa. Perbezaan tersebut menjadikan C40 ini 70 mm lebih rendah (1,582 mm) berbanding XC40.

Rupa garis bumbung yang berbeza juga memerlukan bahagian dari tingkap sisi belakang C40 ini direka semula. Dengan pintu hatch yang lebih landai, C40 diberikan dua spoiler – satu pada bumbung dan satu lagi pada hujung bahagian but. Lampu belakang juga sudah tentu perlu dirombak bagi disesuaikan dengan bentuk baharu ini.

Perincian lain yang diberikan pada C40 ini dilihat sama seperti XC40 Recharge. Ia termasuk bumbng panaromik, paparan instrumen digital 12.3-inci, upholsteri tekstil, sistem pendingin hawa dua zon, sistem bunyi Harman Kardon dengan 13-pembesar suara, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang dikuasakan oleh OS Android Automotive. Aspek keselamatan termasuk sistem bantuan pemanduan termaju antara kedua-dua model ini turut dilihat seiras.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required