Ford Ranger Raptor 2023 mula dijual di Thailand – RM234k, enjin petrol turbo 3.0L V6, 397 PS/583 Nm

Ford Ranger Raptor 2023 mula dijual di Thailand – RM234k, enjin petrol turbo 3.0L V6, 397 PS/583 Nm

Ford Ranger Raptor 2023 telah pun didedahkan untuk peringkat global bulan lalu, dan kini ia sudah mula dijual secara rasmi di Thailand. Walaupun Ford ada menyatakan bahawa beberapa pasaran masih menerima Ranger Raptor dengan enjin diesel 2.0 liter bi-turbo seperti generasi terdahulu, nampaknya Thailand adalah antara pasaran yang bertuah menerima versi paling berkuasa dengan enjin petrol 3.0 liter V6 EcoBoost dengan dua pengecas turbo.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, enjin berkenaan berupaya menghasilkan kuasa 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm pada takat 3,500 rpm. Untuk itu, Ford Ranger Raptor 2023 pasaran Thailand ini dijual pada harga 1,869,000 baht (RM233,804).

Enjin tersebut sebenarnya merupakan enjin yang sama dengan Bronco Raptor yang hanya dijual di pasaran Amerika Syarikat. Enjin V6 baharu ini menampilkan blok silinder yang diperbuat dari material grafit-logam yang dipadatkan, yang menurut Ford ia adalah 75% lebih kuat dan 75% lebih tegar berbanding blok silinder besi tuang biasa.

Ford Ranger Raptor 2023 mula dijual di Thailand – RM234k, enjin petrol turbo 3.0L V6, 397 PS/583 Nm

Manakala pengecas turbo untuk enjin ini pula menampilkan sistem anti-lag yang diambil dari teknologi kereta lumba, bagi memastikan penghantaran boost yang cepat setiap kali ia diperlukan. Menurut Ford, dalam mod Baja, turbin pada pengecas turbo berkenaan akan terus berputar selama tiga saat selepas pemandu melepaskan sepenuhnya pedal pendikit, membolehkan ia membekalkan respon pendikit dengan kadar sepenuhnya apabila pedal pendikit tersebut dikerah semula selepas itu tanpa sebarang lag.

Kuasa dari enjin berkenaan disalurkan kepada kotak gear automatik 10-kelajuan, sebelum memacu semua roda menerusi sistem pacuan-empat roda sepenuh masa, yang dibekalkan bersama transfer case dua-kelajuan, serta locking differential diberikan pada gandar belakang dan hadapan.

Seperti sebelum ini, Ranger Raptor turut dibekalkan dengan mod pemanduan berbeza untuk permukaan tar dan juga off-road. Untuk jalan raya biasa, tiga mod pemanduan diberikan iaitu Normal, Sport dan Slippery. Manakala untuk pemanduan off-road pula ia menampilkan mod Rock Crawl (cengkaman dan momentum maksima pada permukaan licin),Sand, Mud dan Ruts, serta mod “perlumbaan rali padang pasir” iaitu Baja.

Ford Ranger Raptor 2023 mula dijual di Thailand – RM234k, enjin petrol turbo 3.0L V6, 397 PS/583 Nm

Ford Ranger Raptor ini juga kini menerima sistem Trail Control iaitu sistem cruise control untuk jalan off-road, yang boleh digunakan oleh pemandu sekiranya mereka mahu menumpukan terhadap kawalan stereng ketika melalui laluan yang dengan permukaan mencabar. Sistem ini boleh beroperasi sehingga kelajuan maksima 32 km/j.

Dengan kuasa yang semakin besar, sudah tentu sistem suspensi yang berbeza dari Ranger biasa masih ditampilkan pada Ranger Raptor 2023 ini. Suspensi trak pikap ini direka semula sepenuhnya, kini dengan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox.

Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran sehingga 50% berbanding model sebelum ini. Karekter lantunan semula, kadar spring, ketinggian kenderaan dan tetapan injap kini ditala bagi memberikan keseimbangan terbaik antara prestasi atas jalan raya serta off-road.

Dengan sistem Bottom-Out Control yang progresif dari Fox, Ranger Raptor kini lebih stabil pada permukaan jalan tar. Sistem berkenaan akan memberikan daya menyerap hentak maksimum pada bahagian pergerakan 25% terakhir suspensi berkenaan, dan dapat mengelakkan bahagian belakang menjadi mendap ketika melakukan pecutan mendadak.

Untuk rupa luaran, Ranger Raptor diberikan lampu hadapan dengan teknologi LED Matrix jalur LED berbentuk-C, serta Dynamic Bending yang membolehkan ia menyuluh mengikut haluan kereta. Tulisan “FORD” pada gril hadapan juga kini lebih garang, dan seperti biasa ia menerima fender flare yang lebih lebar untuk setiap ruang roda. Rim 17-inci yang diberikan pada Ranger Raptor ini adalah lebih lebar, dibaluti tayar all-terrain BF Goodrich KO2.

Perincian istimewa lain yang turut dipadankan pada Ranger Raptor ini termasuk lampu belakang LED, pemijak sisi aluminium dengan logo Raptor serta plat pelindung bawah badan yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi setebal 2.3 mm. Plat pelindung berkenaan berfungsi untuk memberi perlindungan kepada komponen penting seperti radiator, sistem stereng, cross member hadapan, takung minyak pelincir enjin dan juga differential hadapan ketika ia meredah laluan lasak.

Ford Ranger Raptor 2023 mula dijual di Thailand – RM234k, enjin petrol turbo 3.0L V6, 397 PS/583 Nm

Pada bahagian kabin pula, pemandu Ranger Raptor ini menerima paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.4-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan penanda pukul 12 kemasan oren dan logo Raptor di bawah, pedal penukar gear magnesium dan tombol gear elektronik. Ford turut menyatakan bahawa tempat duduk hadapan Ranger Raptor ini dihasilkan dengan inspirasi dari jet pejuang F22.

Manakala untuk sistem infotainmen, Ranger Raptor diberikan skrin sesentuh 12-inci yang diposisikan secara menegak, dengan hubungan SYNC 4A (Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar diberikan standard), bersama sistem bunyi dari Bang & Olufsen. Kabin trak pikap ini juga dilengkapi dengan lampu suasana.

Bagi sistem keselamatan pula, Ranger Raptor 2023 pasaran Thailand ini diberikan tujuh-beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur, sistem brek ABS dengan EBD dan kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau tekanan angin tayar dan kamera pemantau 360-darjah

Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan seperti cruise control adaptif, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, amaran titik buta dengan amaran dan bantuan brek lintasan trafik belakang, bantuan brek mengundur, bantuan stereng untuk mengelak dan bantuan parkir aktif.

Empat warna ditawarkan untuk Ford Ranger 2023 pasaran Thailand ini iaitu Absolute Black, Arctic White, Code Orange dan Conquer Grey.

Dengan spesifikasi dan harga yang didedahkan untuk pasaran Thailand ini, nampaknya macam ada peluang Malaysia juga akan menerima Ranger Raptor generasi baharu ini dengan enjin petrol V6 turbo berkembar yang sama, tetapi sudah tentu ia lebih mahal dari model terdahulu. Buat masa sekarang, Ford Ranger Raptor generasi sedia ada dijual di Malaysia pada harga RM208,888. Agak-agak berapa harga model generasi baharu ini di Malaysia nanti ye?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required