Ford Ranger Raptor 2023 didedah – EcoBoost 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag, 10-kelajuan!

Ford Ranger Raptor 2023 didedah – EcoBoost 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag, 10-kelajuan!

Seperti yang dijanjikan lebih seminggu yang lalu, ini dia, Ford Ranger Raptor 2023 secara rasmi didedahkan untuk peringkat global hari ini. Model generasi baharu untuk trak pikap berprestasi tinggi ini bukan sahaja masih mengekalkan suspensi perlumbaan off-road, malah ia kini menerima enjin yang betul-betul berkuasa!

Ia tidak lagi menggunakan enjin diesel 2.0 liter empat-silinder dengan dua pengecas turbo berkuasa 213 PS/500 Nm dari model sebelumnya, sebaliknya Ranger Raptor generasi kedua ini menerima enjin EcoBoost V6 3.0 liter dengan dua pengecas turbo, iaitu enjin yang sama dengan Bronco Raptor yang hanya dijual di pasaran Amerika Syarikat.

Enjin berkenaan berupaya menghasilkan kuasa 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm! Enjin V6 baharu ini menampilkan blok silinder yang diperbuat dari material grafit-logam yang dipadatkan, yang menurut Ford ia adalah 75% lebih kuat dan 75% lebih tegar berbanding blok silinder besi tuang biasa.

Manakala pengecas turbo untuk enjin ini pula menampilkan sistem anti-lag yang diambil dari teknologi kereta lumba, bagi memastikan penghantaran boost yang cepat setiap kali ia diperlukan. Menurut Ford, dalam mod Baja, turbin pada pengecas turbo berkenaan akan terus berputar selama tiga saat selepas pemandu melepaskan sepenuhnya pedal pendikit, membolehkan ia membekalkan respon pendikit dengan kadar sepenuhnya apabila pedal pendikit tersebut dikerah semula selepas itu tanpa sebarang lag.

Ford Ranger Raptor 2023 didedah – EcoBoost 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag, 10-kelajuan!

Ia juga menerima sistem ekzos dengan paip berkembar 2.5-inci bersama injap aktif seperti Bronco Raptor. Sistem ini diberikan empat profil bunyi yang boleh dipilih menerusi butang “R” pada roda stereng iaitu Quiet, Normal, Sport dan Baja. Menurut Ford, untuk mod Baja, ia akan memberikan bunyi seakan sistem paip terus, tetapi ia hanya untuk kegunaan off-road.

Enjin berkenaan masih digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan dengan tukaran gear adaptif. Namun ia kini telah ditala semula bagi memberikan profil boost tersendiri untuk setiap gear. Ia juga diberikan mod pemanduan Normal, Sport dan Slippery untuk jalan raya. Manakala untuk pemanduan prestasi off-road, Ranger Raptor diberikan mod Rock Crawl (cengkaman dan momentum maksima pada permukaan licin),Sand, Mud dan Ruts, serta mod “perlumbaan rali padang pasir” iaitu Baja.

Menurut ketua jurutera Ford Performance untuk Ranger Raptor, Dave Burn, model generasi baharu berkenaan kini jauh lebih pantas berbanding model terdahulu, dengan menggandingkan kuasa asli bersama kejituan mekanikal dan teknikal bagi melahirkan Ranger termaju pernah dihasilkan.

Dalam litar ujian 10 km, Ranger Raptor generasi baharu ini mencatatkan masa seminit lebih pantas berbanding Ranger Raptor lama. “Enjin 3.0L V6 memberikan dinamik yang berlainan kepada Ranger Raptor yang akan memuaskan hati peminat prestasi paling hardcore,” kata Burn dan menyifatkan trak pikap ini “pantas seperti hot-hatch, di atas permukaan off-road“.

Walau bagaimanapun, Ford masih akan menawarkan enjin diesel 2.0 liter turbo berkembar untuk Ranger Raptor pada pasaran tertentu. Enjin berkenaan buat masa sekarang masih digunakan untuk beberapa varian biasa Ranger generasi baharu, namun untuk Raptor kelak ia akan menerima karekter penghantaran kuasa yang tersendiri. Juga masih belum jelas adakah enjin berkenaan turut akan ditala bagi menghasilkan lebih kuasa atau tidak.

Seperti juga model sebelum ini, struktur casis untuk Ranger Raptor 2023 ini turut diperkukuhkan lagi serta menampilkan cagak-cagak lebih lebih tersendiri berbanding Ranger standard. Ford menghasilkan cagak atas untuk penyerap hentak hadapan dan juga braket penyerap hentak yang lebih kuat untuk Ranger Raptor baharu ini.

Suspensi trak pikap ini direka semula sepenuhnya, kini dengan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox. Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran sehingga 50% berbanding model sebelum ini.

Karekter lantunan semula, kadar spring, ketinggian kenderaan dan tetapan injap kini ditala bagi memberikan keseimbangan terbaik antara prestasi atas jalan raya serta off-road. Dengan sistem Bottom-Out Control yang progresif dari Fox, Ranger Raptor kini lebih stabil pada permukaan jalan tar. Sistem berkenaan akan memberikan daya menyerap hentak maksimum pada bahagian pergerakan 25% terakhir suspensi berkenaan, dan dapat mengelakkan bahagian belakang menjadi mendap ketika melakukan pecutan mendadak.

Untuk sistem pacuan semua roda, buat pertama kali Ranger Raptor menerima sistem kekal termaju, dilengkapi transfer case dua-kelajuan yang dikawal secara elektronik. Gandar hadapan dan belakang kini dipadankan dengan locking differential bagi memberikan cengkaman lebih kuat.

Ford Ranger Raptor ini juga kini menerima sistem Trail Control iaitu sistem cruise control untuk jalan off-road, yang boleh digunakan oleh pemandu sekiranya mereka mahu menumpukan terhadap kawalan stereng ketika melalui laluan yang dengan permukaan mencabar. Sistem ini boleh beroperasi sehingga kelajuan maksima 32 km/j.

Ranger Raptor generasi kedua ini masih mengekalkan rupa asas sebuah Ranger standard, bersama pelbagai kelengkapan yang menyerlahkan imej lebih agresif. Ia masih diberikan lampu hadapan dengan teknologi LED Matrix jalur LED berbentuk-C, serta Dynamic Bending yang membolehkan ia menyuluh mengikut haluan kereta.

Ford Ranger Raptor 2023 didedah – EcoBoost 3.0L V6 Twin Turbo, 397 PS/583 Nm, ada anti-lag, 10-kelajuan!

Tulisan “FORD” pada gril hadapan juga kini lebih garang, dan seperti biasa ia menerima fender flare yang lebih lebar untuk setiap ruang roda. Rim 17-inci yang diberikan pada Ranger Raptor ini adalah lebih lebar, dibaluti tayar all-terrain BF Goodrich KO2. Khas untuk pasaran Australia dan New Zealand, Ranger Raptor diberikan rim dengan beadlock seperti pada unit yang didedahkan ini.

Perincian istimewa lain yang turut dipadankan pada Ranger Raptor ini termasuk lampu belakang LED, pemijak sisi aluminium dengan logo Raptor serta plat pelindung bawah badan yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi setebal 2.3 mm. Plat pelindung berkenaan berfungsi untuk memberi perlindungan kepada komponen penting seperti radiator, sistem stereng, cross member hadapan, takung minyak pelincir enjin dan juga differential hadapan ketika ia meredah laluan lasak.

Pada bahagian kabin pula, pemandu Ranger Raptor ini menerima paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.4-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan penanda pukul 12 kemasan oren dan logo Raptor di bawah, pedal penukar gear magnesium dan tombol gear elektronik. Ford turut menyatakan bahawa tempat duduk hadapan Ranger Raptor ini dihasilkan dengan inspirasi dari jet pejuang F22.

Manakala untuk sistem infotainmen, Ranger Raptor diberikan skrin sesentuh 12-inci yang diposisikan secara menegak, dengan hubungan SYNC 4A (Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar diberikan standard), bersama sistem bunyi dari Bang & Olufsen. Kabin trak pikap ini juga dilengkapi dengan lampu suasana.

Perincian bagi sistem keselamatan masih belum didedahkan secara terperinci. Namun Ford ada menyatakan bahawa trak pikap ini memang dihasilkan bagi disesuaikan dengan sistem bantuan pemanduan dengan standard tinggi, jadi ia mungkin menampilkan sistem paling kurang pun dengan Pemanduan Autonomi Tahap 2.

Seperti model sebelumnya, produksi untuk Ford Ranger Raptor 2023 ini turut akan berjalan di Thailand, dan penghantaran kepada pelanggan terawal dijangka pada lewat tahun ini. Anda rasa macam mana? Adakah pasaran Malaysia akan menerima Ranger Raptor dengan enjin V6, atau kita antara pasaran yang kekal dapat enjin diesel 2.0 liter bi-turbo?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required