Pusingan pertama 5 Nation British Rallycross (BRX) Championship telah pun berlangsung pada hujung minggu lalu di Lydden Hill Race Circuit, menyaksikan kemunculan sulung dalam perlumbaan Proton Iriz RX pasukan Team RX Racing yang dibina bersama oleh Tony Bardy Motorsport (TBM) dan juga Mellors Elliot Motorsport.
Pasukan itu tidak mengharapkan keputusan yang besar untuk pusingan pertama ini kerana Iriz RX berkenaan baru sahaja siap, dan masih banyak potensi kereta tersebut perlu diteroka. Namun pemandu jentera berkenaan dan juga prinsipal pasukan Team RX sendiri, Ollie O’Donovan mampu mara sehingga ke peringkat akhir pada pusingan pertama 5 Nation BRX musim 2022 ini.
Ollie yang juga juara 2007 dan naib juara tahun lalu menghabiskan perlumbaan kelayakan pertama di tempat keempat, dan tempat kelima dalam perlumbaan kelayakan kedua, membolehkan dia mara ke pusingan separa akhir dengan mengumpul 79 mata bagi berada di tempat keempat keseluruhan. O’Donovan kemudiannya turut berjaya menamatkan perlumbaan peringkat separa akhir berkenaan di tempat keempat bagi melayakkan diri untuk berlumba di peringkat akhir.
Pusingan pertama siri perlumbaan rallycross nasional British ini menyaksikan pemandu pasukan Xite Energy Racing, Oliver Bennett merangkul tempat pertama, dengan memandu BMW Mini yang sebelum ini dipandu dalam kejohanan World Rallycross dan Nitro Rallycross juga dalam kategori Supercar.
Apa yang menarik, anak kepada Ollie iaitu Patrick O’Donovan yang baru sahaja berumur 18-tahun berjaya menamatkan perlumbaan akhir pusingan pertama ini di tempat kedua dengan memandu Ford Fiesta Supercar Team RX Racing. Manakala Juara 5 Nation BRX tahun lalu, Derek Tohill berada di tempat ketiga dengan memandu Ford Fiesta pasukan PFCRX.
Juara enam kali Julian Godfrey (Ford Fiesta) menghabiskan perlumbaan di tempat keempat, manakala Tristan Ovenden (Citroen DS3) berada di belakang Iriz RX O’Donovan ketika melintasi garisan penamat. Roger Thomas (Ford Fiesta) dan Steve Hill (Mitsubishi Lancer Evo X) adalah dua lagi pelumba yang melengkapkan senarai pelumba untuk peringkat akhir pusingan pertama ini dalam kategori Supercar.