Volvo Car Malaysia (VCM) telahpun menghantar kumpulan pertama berjumlah 65 unit SUV elektrik penuh Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 kepada pelanggan pada 23 April lalu. Model ini dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Shah Alam, dilancarkan pada 15 Mac lalu.

Menurut VCM, sehingga kini sebanyak 300 tempahan telah diterima untuk XC40 EV berkenaan, dan dijangka sejumlah 100 unit SUV tersebut akan dihantar kepada pelanggan pada hujung bulan ini. XC40 EV ini dijual pada harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan RM262,460, dan merupakan model pertama elektrik penuh dipasang di sini.

Volvo XC40 EV ini digerakkan oleh dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar menjadikan ia SUV pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 408 PS dan tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat, menjadikan ia SUV paling pantas yang boleh anda beli dalam pasaran buat masa sekarang.

Kuasa dibekalkan dari bateri 78 kWj yang mampu memberikan jarak gerak 418 km untuk satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. XC40 EV ini menyokong pengecas AC 11 kW menggunakan penyambung Type 2, membolehkan bateri dicas penuh dalam masa 7.5 jam. Ia juga diberikan sistem cas pantas DC dengan kemampuan maksimum 150 kW (antaramuka CCS2) yang boleh mengecas bateri dari 0% hingga 80% penuh dalam masa hanya 33 minit.

Walaupun XC40 EV ini sekitar RM20k lebih mahal berbanding XC40 plug-in hybrid, ia adalah pilihan yang lebih berkuasa malah lebih murah berbanding Mercedes-Benz EQA 250 AMG Line dan juga varian tertinggi Hyundai Ioniq 5 Max. Ia turut ditawarkan dengan waranti dan servis percuma selama lima tahun dengan bantuan tepi jalan. Bateri EV pula diberikan waranti berasingan selama lapan-tahun.

GALERI: Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 2022