Nissan Fairlady Z 2023 mula dijual di Jepun, dari RM178k, 3.0L V6 turbo berkembar, 405 PS/475 Nm

Nissan Fairlady Z 2023 mula dijual di Jepun, dari RM178k,  3.0L V6 turbo berkembar, 405 PS/475 Nm

Selepas didedahkan di peringkat global di Amerika Syarikat Ogos lalu, nampaknya Jepun masih menjadi negara pertama yang menerima kereta sport Nissan Z generasi baharu kerana ia secara rasmi telah mula dijual di sana. Seperti model-model generasi sebelum ini, Jepun masih kekal memanggil kereta sport berkenaan sebagai Fairlady Z, berbanding hanya ‘Z’ untuk pasaran lain.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, Z generasi baharu ini hadir dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual dan juga sembilan-kelajuan automatik. Di Jepun, Nissan Fairlady Z 2023 ini dijual pada harga bermula 5,241,500 yen (RM178k) sehingga 6,966,300 yen (RM236k).

Menurut dokumen media yang disiarkan, model dengan kotak gear automatik dijual pada harga lebih murah berbanding versi yang datang dengan kotak gear manual. Sejumlah sembilan pilihan warna badan disediakan, di mana enam daripadanya adalah pilihan warna dua tona menampilkan bumbung dengan warna Super Black, termasuk pilihan warna Seiran Blue dan Ikazuchi Yellow.

Nissan Fairlady Z 2023 mula dijual di Jepun, dari RM178k,  3.0L V6 turbo berkembar, 405 PS/475 Nm

Harga jualan untuk Nissan Fairlady Z 2023 ini juga dilihat lebih mahal dari Toyota GR Supra di Jepun. Sebagai perbandingan, model asas Supra A90 tersebut dijual pada harga bermula 4.9 juta yen (RM166k) – perlu diingat, model paling asas Supra di Jepun hanya dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo. Manakala varian paling mahal Supra dengan enjin enam-silinder turbo berkembar adalah 6.9 juta yen (RM234k).

Untuk Fairlady Z pula, tak kira varian mana yang dipilih, ia tetap hadir dengan enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 turbo berkembar, menghasilkan kuasa 405 PS dan tork maksima 475 Nm. Kuasa hanya dihantar ke roda belakang menerusi gandar yang hadir dengan pilihan LSD mekanikal.

Model dengan transmisi manual diberikan sekali sistem Launch Control, Downshift Rev Matching (heel and toe automatik) serta aci pacu dari kotak gear ke gandar belakang yang diperbuat dari komposit gentian karbon. Versi automatik juga hadir dengan sistem Launch Control bersama pedal penukar gear.

Nissan Fairlady Z 2023 mula dijual di Jepun, dari RM178k,  3.0L V6 turbo berkembar, 405 PS/475 Nm

Antara perincian standard yang diberikan pada Z pasaran Jepun ini termasuk lampu hadapan LED penuh dengan dua jalur LED lampu nyalaan siang, rim 19-inci (dengan lebar berbeza antara hadapan dan belakang bagi varian lebih tinggi), paparan instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen, meter ‘tiga-beradik’ di tengah papan pemuka (bacaan boost turbo, putaran turbo dan voltan), serta sistem bunyi Bose dengan lapan pembesar suara.

Penghantaran pertama kepada pelanggan akan dibuat pada hujung Jun nanti. Nissan Fairlady Z 2023 pasaran Jepun ini juga ditawarkan dalam versi Proto Spec, iaitu model dengan rupa hampir sama dengan model prototaip ‘Z Proto‘ yang didedahkan pada 2020 – namun ia hanya dihasilkan terhad sebanyak 240 unit, sebagai memperingati model generasi pertama Fairlady 240Z yang muncul pada 1969.

“Bagi kami di Nissan, Z adalah sebahagian daripada siapa kami sebenarnya, dan mewakili komitmen yang lama kami terhadap pelanggan. Menerusi Z, kami bawakan rekaan, prestasi dan keterujaan terkini untuk kereta sport kepada seramai mungkin orang yang kami mampu,” kata CEO dan CPO Nissan, Ashwani Gupta.

“Untuk lebih dari 50 tahun, Z telah menjadi kereta sport impian yang mampu dimiliki. Penampilannya yang tidak ditelan zaman adalah hasil dari semangat dan dedikasi sedia ada dari kakitangan yang tidak terkira, berkerja untuk memberikan keterujaan Z dan generasi sebelum dan masa hadapan,” tambahnya lagi.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required