Hyundai Sonata generasi kelapan boleh dikatakan sebagai Sonata paling cantik berbanding generasi-generasi sebelumnya. Namun lain pula yang ditunjukkan dari segi prestasi jualan – model generasi terkini berkenaan kini jatuh ke tangga keenam sebagai model paling laris di Korea Selatan, berbanding tempat pertama bagi model generasi sebelum itu.
Menurut portal berita Chosun, jualan Sonata jatuh kerana rekaan sedan berkenaan yang dilihat sebagai ‘terlalu radikal’ oleh pelanggan-pelanggan di pasaran Korea Selatan. Oleh sebab itu, sumber dalaman dari Hyundai memberitahu Chosun bahawa produksi Sonata bakal dihentikan tidak lama lagi, dan barisan produksi tersebut akan digunakan untuk memasang lebih banyak kenderaan elektrik penuh (EV).
Hyundai kini sedang membangunkan sedan elektrik bersaiz sederhana dikhabarkan akan digelar Ioniq 6. Sedan EV tersebut akan diasaskan dari platform E-GMP yang sama dengan hatchback EV Ioniq 5. Model berkenaan akan didedahkan tahun ini, dan Hyundai tidak mempunyai rancangan untuk menghasilkan Sonata dalam versi EV.
Sumber dalaman tersebut turut menyatakan bahawa masih ada kemungkinan Hyundai memproduksi Sonata elektrik, tetapi projek tersebut bukan keutamaan mereka. “Kami tak boleh sisihkan terus Sonata elektrik, tetapi kami mengutamakan pembangunan kereta elektrik kompak berbanding kenderaan bersaiz sederhana yang kurang popular,” katanya.
Sonata generasi terbaharu ini sudah pun dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2020. Ia diimport terus dari Korea Selatan dan ditawarkan dalam hanya satu varian iaitu 2.5 Premium, dijual pada harga RM189,888. Model tersebut dijana oleh enjin 2.5 liter Smartstream empat silinder MPI menghasilkan 180 PS/232 Nm, digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bersama pedal penukar gear.
Design pelik. Kereta beralun tiba2 belakang bersegi.