Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

Ini mungkin berita yang ditunggu oleh mereka yang sudah pun ‘meleleh air liur’ melihat Honda HR-V generasi ketiga yang sudahpun dilancarkan di Thailand, Indonesia dan Singapura sebelum ini – Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk HR-V 2022 kini sudah pun dibuka!

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Honda Malaysia, HR-V pasaran Malaysia sah akan ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu petrol sepenuhnya dan hibrid e:HEV – sama seperti City dan City Hatchback, versi hibrid elektrik tersebut menampilkan teknologi intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD) dan tampil dengan penggayaan paling sporty iaitu RS.

Honda Malaysia mengesahkan bahawa angka kuasa yang dihasilkan oleh HR-V RS e:HEV pasaran Malaysia ini adalah 131 PS dan tork maksima 253 Nm – sama seperti model pasaran Thailand yang dilancarkan pada November tahun lalu, jadi seharusya ia menerima unit rangkaian kuasa i-MMD yang sama.

Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

Bagi model pasaran Thailand, unit rangkaian kuasa berkenaan menampilkan gandingan enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson berkuasa 105 hp dan tork maksima 127 Nm serta dua buah motor elektrik dan juga bateri lithium-ion. Honda mendakwa HR-V e:HEV ini mampu untuk mencapai penggunaan bahan api serendah 25.6 km/l.

Sistem tersebut berfungsi sama seperti sistem hibrid pada City RS e:HEV, di mana dalam kebanyakkan masa ia akan bergerak hanya dengan dipacu motor elektrik, sementara enjin petrol 1.5 liter berkenaan kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri lithium-ion, dan hanya memacu roda hadapan pada kelajuan tertentu.

Tiada sebarang perincian berkenaan spesifikasi varian yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya diumumkan hari ini. Namun untuk peringkat global, Honda HR-V generasi ketiga ini hanya ditawarkan dengan dua jenis enjin petrol penuh iaitu 1.5 liter empat-silinder i-VTEC NA dan juga 1.5 liter empat silinder VTEC Turbo – kedua-dua pilihan unit penggerak ini sudahpun ditawarkan pada pasaran Indonesia.

Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

Berdasarkan hantaran-hantaran pengedar Honda di media-media sosial, berkemungkinan besar kedua-dua pilihan enjin 1.5L NA dan turbo ini akan ditawarkan di Malaysia, dan pilihan enjin 1.8 liter i-VTEC NA pada model sebelumnya tidak akan ditawarkan lagi.

Untuk pengetahuan anda, Indonesia merupakan pasaran pertama di dunia yang menerima HR-V generasi ketiga dengan enjin turbo berkenaan. Di sana enjin tersebut menghasilkan kuasa 177 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm pada takat 1,700 hingga 4,500 rpm, digandingkan dengan transmisi CVT. Manakala untuk enjin 1.5 NA, ia menampilkan angka kuasa yang sama seperti pada City iaitu 121 PS dan tork maksima 145 Nm – juga dipadankan dengan kotak gear CVT.

Hantaran-hantaran dari pengedar itu juga mendedahkan bahawa model dengan enjin petrol penuh HR-V pasaran Malaysia ini akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu model asas HR-V S (1.5 NA), diikuti dua varian 1.5 turbo iaitu HR-V E dan HR-V V.

Jadi nampaknya kita mungkin pasaran pertama di dunia yang menerima kesemua pilihan rangkaian kuasa iaitu 1.5 NA, 1.5 Turbo dan hibrid e:HEV. Untuk pengetahuan anda, HR-V pasaran Jepun hanya diberikan pilihan 1.5 NA dan e;HEV, Eropah hanya e:HEV, Singapura hanya 1.5 NA dan e:HEV, Indonesia hanya 1.5 NA dan 1.5 Turbo dan Thailand hanya e:HEV.

Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

Model generasi baharu ini menampilkan dimensi panjang 4,385 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,590 mm serta jarak roda 2,610 mm. Jadi berbanding model generasi sebelumnya, SUV ini masih menampilkan lebar dan jarak roda yang sama tetapi ia 39 mm lebih panjang serta 15 mm lebih rendah.

Antara perincian-perincian yang disahkan untuk HR-V pasaran Malaysia hari ini termasuk teknologi LED untuk lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu kabus, lampu isyarat membelok jenis LED Sequential serta set rim aloi bersaiz 18-inci.

Untuk model tertinggi HR-V RS e:HEV, video yang disiarkan mendedahkan bahawa ia menerima pakej penggayaan yang sama seperti model pasaran Thailand, menampilkan gril hadapan dengan elemen pin krom bersama kit-kit aero lain dan juga lebih banyak kemasan dalam warna hitam berkilat.

Honda HR-V 2022 – tempahan untuk pasaran Malaysia sudah dibuka; RS e:HEV dan petrol, lancar Q3 2022

Varian paling tinggi dan paling sporty ini juga disahkan akan menerima kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch, serta pakej sistem bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing dengan perincian seperti Collision Mitigation Braking System (CMBS atau AEB), Lane Keeping Assist System (LKAS), Adaptive Cruise Control dengan Low Speed Follow (ACC with LSF), lampu tinggi automatik dan Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning (RDM dengan LDW).

Selain itu, Honda HR-V RS e:HEV 2022 pasaran Malaysia ini juga sah menerima fungsi seperti Remote Engine Start, Walk Away Auto Lock serta fungsi pintu tailgate belakang bukaan tanpa sentuhan serta Walk Away Close. Ini bermaksud bukan kunci sahaja yang akan secara automatik terkunci sendiri sekiranya anda bergerak menjauhi kereta, pintu tailgate belakang juga turut akan tertutup sendiri tanpa perlu anda menekan mana-mana butang.

Tiada sebarang tarikh pelancaran sebenar untuk Honda HR-V 2022 pasaran Malaysia ini, namun ia disahkan akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini. Juga tiada sebarang petunjuk rasmi berkenaan harga dinyatakan dalam pengumuman yang dibuat hari ini.

Dalam artikel berkenaan “apa yang kami tahu” berkenaan Honda HR-V 2022 ini, kami jangkakan bahawa ia akan dijual pada pasaran Malaysia bermula sekitar RM120,000 untuk varian asas, sehingga sekitar RM138,000 untuk model teringgi RS e:HEV. Namum kita masih perlu menunggu pengumuman dari Honda sendiri bagi mengetahui berapa harga sebenar untuk HR-V generasi baharu ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required