Honda HR-V 2022 dilancarkan di Indonesia – bermula RM105k, 1.5L VTEC Turbo dan 1.5L NA, empat varian

Honda HR-V 2022 dilancarkan di Indonesia – bermula RM105k, 1.5L VTEC Turbo dan 1.5L NA, empat varian

Setelah pelbagai teka-teki menerusi imej dan maklumat yang bocor sebelum ini, akhirnya Honda HR-V 2022 secara rasmi dilancarkan di Indonesia. Empat varian HR-V baharu ini ditawarkan disana; tiga varian dijana enjin 1.5 liter NA, dan seperti dijangka negara berkenaan merupakan pasaran pertama menerima HR-V generasi ketiga dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo untuk varian paling tinggi.

Bagi model-model yang diberikan enjin NA, HR-V 2022 ini dibekalkan dengan enjin 1.5 liter i-VTEC dengan angka kuasa yang sama dengan enjin pada Honda City – 121 PS dan tork maksima 145 Nm. Manakala bagi model 1.5 liter VTEC Turbo pula, ia menjana 177 PS dan tork maksima 240 Nm. Kedua-dua enjin ini hanya diberikan satu pilihan kotak gear iaitu CVT automatik untuk memacu roda hadapan.

Ini juga bermakna, sah Indonesia tidak menerima sebarang HR-V dalam varian e:HEV yang dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD. Di Thailand, varian paling tinggi dan paling sporty HR-V RS ini diberikan lencana e:HEV berkenaan, dengan sistem menggandingkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson i-VTEC berkuasa 105 PS/127 Nm yang dalam kebanyakkan masa hanya mengecas bateri lithium-ion, bersama motor elektrik berkuasa 131 PS/253 Nm.

Barisan model untuk HR-V 2022 bagi pasaran Indonesia ini dimulakan dengan varian HR-V S, dijual pada harga 355.9 juta rupiah (RM104,738). Model ini dilengkapi sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, perincian luaran termasuk lampu hadapan LED penuh dan rim aloi 17-inci, serta kelengkapan dalaman seperti paparan pelbagai info 4.2-inci pada panel meter, serta sistem infotaimen Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci serta bersama empat pembesar suara.

Honda HR-V 2022 dilancarkan di Indonesia – bermula RM105k, 1.5L VTEC Turbo dan 1.5L NA, empat varian

Model paling asas ini juga diberikan pelbagai fungsi keselesaan seperti kunci automatik walk away dan pengingat pemakaian tali pinggang belakang, manakala sistem keselamatan lain yang dibekalkan pula termasuk bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, bantuan kestabilan kenderaan, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, brek parkir elektrik bersama fungsi brake hold.

Varian kedua ada HR-V E, dijual pada harga 379.9 juta rupiah (RM111,798). Model ini menerima penambahan kit seperti penghidup enjin kawalan jauh, kemasan bampar hadapan dan perumah lampu kabus yang diwarnakan, pedal penukar gear dan cermin sisi auto-lipat bersama lampu isyarat membelok.

HR-V E ini juga diberikan upholsteri gabungan kulit dan fabrik, tempat duduk Combi, sebahagian balutan kulit pada roda stereng dan tombol gear balutan kulit. Manakala untuk penumpang belakang, model ini diberikan liang penghembus penghawa dingin, perehat tangan tengah dengan pemegang cawan serta port kuasa khas.

Varian tertinggi untuk enjin 1.5L NA ini pula adalah HR-V E SE, dijual pada harga 399.9 juta rupiah (RM117,701). Model ini masih diberikan kelengkapan-kelengkapan sama dari versi E biasa, tetapi menerima perincian tingkat taraf seperti lampu isyarat membelok jenis sequential, bumbung panaromik, lampu kabus LED serta rim aloi 18-inci.

Honda HR-V 2022 dilancarkan di Indonesia – bermula RM105k, 1.5L VTEC Turbo dan 1.5L NA, empat varian

Pada bahagian dalaman pula, HR-V E SE diberikan perumah suis tingkap piano black, lampu bacaan LED, manakala untuk sistem infotainmen ia diberikan skrin sesentuh kapasitif lapan-inci. Model ini juga diberikan sistem kamera titik buta Honda LaneWatch serta kamera undur pandangan pelbagai sudut.

Varian paling tinggi untuk pasaran Indonesia ini adalah HR-V Turbo RS, dijual pada harga 499.9 juta rupiah (RM147,070). Dengan lencana RS, sudah tentu model ini diberikan penampilan paling garang dengan pemadanan kit badan dan kemasan-kemasan hitam. Ia juga diberikan dua tip ekzos yang diserlahkan pada bampar belakang – identiti khusus untuk model-model Honda yang dijana enjin 1.5L VTEC Turbo.

Untuk kabin, HR-V RS Turbo ini datang dengan upholsteri kulit hitam dengan serlahan jahitan benang merah, panel-panel sentuhan lembut pada pintu dan juga roda stereng yang dibalut sepenuhnya dengan kulit. Pemandu pula diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci, serta mod pemanduan Sport, Normal dan Econ.

Sistem infotainmen untuk HR-V RS ini pula ditambah dengan dua unit tweeter. Perincian tingkat taraf lain yang turut diberikan termasuk pintu tailgate belakang dengan fungsi bukaan tanpa sentuh serta boleh ditutup secara automatik secara walk away. Manakala untuk keselamatan pula, model ini menerima beg udara paling banyak iaitu enam-unit.

Enam warna badan ditawarkan untuk HR-V 2022 pasaran Indonesia ini termasuk Crystal Black Pearl, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Meteoroid Grey Metallic, Sand Khaki Pearl 2-Tone dan Ignite Red Metallic 2-Tone.

Thailand dah dapat, Indonesia pun dah dapat, bila pula giliran HR-V generasi baharu ini dilancarkan di pasaran Malaysia? Mungkin tak lama lagi – unit prototaip SUV segmen-B tersebut sudahpun kelihatan di uji di Malaysia baru-baru ini.

Petunjuk yang diberikan oleh Honda Malaysia juga membayangkan bahawa model ini adalah salah sebuah model baharu yang akan dilancarkan tahun ini selain BR-V generasi kedua. Ia juga dibayangkan mungkin akan menerima enjin 1.5L VTEC Turbo dan juga versi hibrid e:HEV, berdasarkan komitmen yang telah diumumkan oleh Honda Malaysia baru-baru ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required