Honda HR-V 2022 dijumpai di M’sia – model generasi ketiga bakal tiba dengan enjin VTEC Turbo dan hibrid?

Honda HR-V 2022 dijumpai di M’sia – model generasi ketiga bakal tiba dengan enjin VTEC Turbo dan hibrid?

Baru-baru ini Honda Malaysia telah membuat pengumuman bahawa mereka akan memperkenalkan dua model serba baru tahun ini, yang kami jangkakan adalah BR-V dan HR-V terkini. Syarikat itu tidak memberitahu secara terang apakah model yang akan mereka bawa, tetapi satu hantaran di laman Facebook Proton X50 Community Malaysia seakan mengesahkan ketibaan salah satu daripadanya, iaitu HR-V.

Dalam hantaran yang dimuat naik oleh Mohd Asrul B Saari – berserta video – kami boleh nampak dengan jelas lekuk-lekuk badan HR-V generasi ketiga, meskipun ia dibalut penuh dengan pelekat camouflage. Turut kelihatan adalah sedikit bahagian lampunya.

Penggerak HR-V yang ditemui ini masih belum diketahui, tetapi ia berkemungkinan adalah unit hibrid e:HEV dengan teknologi i-MMD (intelligent Multi-Mode Drive) seperti yang diperkenalkan di pasaran Thailand. Ia menggunakan padanan enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson 105 hp dan 127 Nm tork, bersama transmisi automatik e-CVT, bateri lithium-ion dan dua motor elektrik. Digabungkan semuanya, janaan maksimum adalah 131 hp dan 253 Nm tork dari 0 hingga 3,500 rpm.

Selain versi e:HEV, HR-V baru ini juga ditawarkan dengan enjin biasa. Untuk pasaran Jepun dan Singapura, mereka mendapat unit yang dipacu oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter 118 PS dan 142 Nm bersama transmisi CVT, sementara di Indonesia pula, mereka dikhabarkan bakal menerima unit yang digerakkan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo – kuasa mungkin sama seperti Civic baru.

Memandangkan Honda Malaysia telah menyatakan hasrat untuk membawa model yang datang dengan teknologi canggih generasi seterusnya, seperti VTEC Turbo, Honda Sensing dan Honda CONNECT, kita boleh menjangkakan ketibaan HR-V baru ini dengan enjin VTEC Turbo dan hibrid. Harga serta spesifikasi sebenarnya cuma akan diketahui apabila dilancarkan kelak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required