Honda HR-V 2022 – Indonesia dapat versi 1.5 VTEC Turbo, Malaysia juga bakal terima enjin yang sama?

Honda HR-V 2022 – Indonesia dapat versi 1.5 VTEC Turbo, Malaysia juga bakal terima enjin yang sama?

Selepas dilancarkan di Thailand November tahun lalu, nampaknya selepas ini Honda HR-V 2022 bakal mendarat pula di pasaran Indonesia – Youtuber dari negara berkenaan, Indra Fathan telahpun memuat naik video di akaun Instagram miliknya, memaparkan HR-V generasi baharu tersebut dalam varian biasa dan RS sedang menjalani penggambaran iklan.

Apa yang menarik, model HR-V RS 2022 pasaran Indonesia berkenaan menampilkan dua tip ekzos yang masing-masing diserlahkan pada setiap sisi bampar belakang. Ia berbeza dengan HR-V RS pasaran Thailand yang hanya menampilkan tip ekzos tunggal yang disembunyikan di sebalik bampar, kerana ia dijana oleh rangkaian kuasa hibrid e:HEV Honda.

Dua tip ekzos pada varian RS tersebut petanda yang jelas bahawa HR-V generasi baharu pasaran Indonesia ini dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Ini kerana sama seperti model-model Honda yang menerima enjin turbo tersebut termasuk Accord, Civic dan CR-V terkini turut mempunyai tip ekzos yang serupa.

Ini juga bermaksud Indonesia akan menjadi pasaran pertama di dunia yang akan menerima Honda HR-V generasi ketiga yang dijana oleh enjin 1.5L VTEC Turbo. Di Jepun, HR-V 2022 ini ditawarkan dengan pililhan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC dan juga versi Hybrid e:HEV i-MMD. Manakala di Eropah dan Thailand, HR-V generasi baharu ini hanya ditawarkan dalam versi hibrid.

Walau bagaimanapun, ini bukan kali pertama Honda menawarkan HR-V dengan enjin 1.5L VTEC Turbo. Enjin berkenaan sebelum ini pernah ditawarkan pada HR-V generasi kedua menerusi varian Sport untuk pasaran Eropah dan juga Vezel (nama HR-V di Jepun) dalam varian Touring bagi model JDM.

Bagi model turbo generasi ketiga ini, enjin yang ditawarkan dijangka merupakan versi yang sama seperti pada Civic. Enjin yang telah menerima beberapa peningkatan tersebut kini menghasilkan 182 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm. Ia juga dijangka akan terus digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

Selain dari Indra Fathan, akaun Instagram LugNutz Auto Junkie juga ada menyiarkan gambar Honda HR-V 2022 pasaran Indonesia yang tertiris. Walaupun tiada imej untuk varian RS, gambar untuk varian biasa dengan warna Sand Khaki Pearl dilihat lebih jelas pada akaun ini.

Varian lebih rendah ini tidak menampilkan sebarang tip ekzos yang diserlahkan pada bampar belakang, dan ia juga tidak dilekatkan dengan lencana e:HEV – jadi berkemungkinan besar varian asas untuk HR-V pasaran Indonesia ini hanya menerima enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC, dan boleh dijangka ia adalah unit yang sama berada dalam perut Honda City generasi terkini, menghasilkan 121 PS/145 Nm.

Honda HR-V RS e:HEV pasaran Thailand

Seperti kebiasaan, selepas Thailand dan Indonesia, HR-V 2022 berkemungkinan besar akan dilancarkan pula di Malaysia. Jadi bagaimana pula spesifikasi HR-V generasi ketiga ini di sini kelak? Kalau anda perhatikan dalam barisan model yang ditawarkan oleh Honda Malaysia buat masa sekarang, hanya tinggal HR-V sedia ada yang ditawarkan dengan enjin R18 1.8 liter i-VTEC.

Jadi apa yang kami jangkakan, selepas produksi model generasi kedua HR-V dihentikan, Honda Malaysia akan menawarkan HR-V generasi ketiga ini hanya dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo, sama seperti Civic yang kini tidak lagi hadir dengan pilihan enjin 1.8 liter.

Ketika Civic generasi ke-11 dilancarkan tempoh hari, Honda Malaysia menyatakan bahawa mereka kini tidak lagi menawarkan varian dengan enjin 1.8L i-VTEC berkenaan kerana ia sudah tidak selari dengan pematuhan emisi terkini buat masa sekarang. Jadi tidak mustahil enjin berkenaan turut tidak akan ditawarkan lagi pada HR-V 2022.

Namun sama seperti Civic, HR-V 2022 juga mungkin akan dijual dengan harga bagi model asas yang lebih tinggi dari model sedia ada. Bagi Civic, dengan model asas juga dijana dengan enjin 1.5L VTEC Turbo, ia kini dijual pada harga bermula RM125,635, atau sekitar RM16,000 lebih mahal dari model asas yang dijana enjin 1.8L NA sebelum itu.

Honda HR-V 2022 – Indonesia dapat versi 1.5 VTEC Turbo, Malaysia juga bakal terima enjin yang sama?

HR-V sedia ada dijual pada harga bermula RM104,000, jadi mungkin model generasi ketiga nanti ia akan dijual pada harga RM120,000 untuk model paling bawah? Honda Malaysia berkemungkinan besar tidak akan menawarkan enjin 1.5 liter DOHC NA kerana enjin berkenaan tentunya dilihat ‘kurang berkuasa’ oleh konsumer dalam pasaran tempatan.

Kita di Malaysia juga mungkin akan menerima HR-V 2022 yang dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV, kerana sebelum ini Honda Malaysia telah menyatakan komitmen mereka untuk melebarkan lagi penawaran varian lebih mesra alam tersebut selain dari City RS sedan e:HEV dan juga City RS Hatchback e:HEV.

Bagi pasaran Thailand, HR-V e:HEV menerima motor elektrik 131 PS/253 Nm untuk memacu roda hadapan. Sistem tersebut berfungsi sama seperti sistem hibrid pada City RS e:HEV, dimana enjin petrol 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 105 PS/127 Nm kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri lithium-ion, dan hanya memacu roda hadapan pada kelajuan tertentu. Honda mendakwa HR-V e:HEV ini mampu untuk mencapai penggunaan bahan api serendah 25.6 km/l.

Ini jangkaan kami, anda pula bagaimana? Adakah HR-V akan menguasai semula pasaran crossover segmen-B penuh yang telah ‘dicantas’ oleh Proton X50 akhir-akhir ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required