Honda M’sia tak rancang bawa model elektrik penuh, tumpu model hibrid, bincang polisi dengan kerajaan

Honda M’sia tak rancang bawa model elektrik penuh, tumpu model hibrid, bincang polisi dengan kerajaan

Untuk peringkat global, Honda kini dilihat turut sedang mula menumpukan perhatian kepada teknologi kenderaan elektrik penuh (EV) – jenama Jepun tersebut telah pun melancarkan kereta elektrik kompak Honda e di Eropah dan Jepun, serta telah pun mendedahkan model-model konsep EV baharu yang melambangkan halatuju mereka selepas ini.

Dengan pengumuman kerajaan untuk mengecualikan cukai dan duti bagi kereta elektrik yang diimport sepenuhnya (CBU) bermula tahun hadapan menerusi Bajet 2022 yang dibentangkan Oktober lalu, adakah Honda Malaysia berminat untuk mengambil kesempatan atas insentif tersebut dengan membawa EV ke pasaran tempatan?

Perkara ini dibangkitkan kepada barisan hadapan pengurusan Honda Malaysia ketika pelancaran Honda City Hatchback semalam, dan dengan jelas syarikat tersebut menyatakan bahawa buat masa sekarang mereka masih hanya menumpukan kepada teknologi hibrid dalam strategi elektrifikasi jenama tersebut di sini.

“Buat masa sekarang kami rasa bahawa hibrid adalah halatuju elektrifikasi dan kami sedang menumpukan model-model hibrid dalam masa terdekat,” kata koordinator eksekutif Honda Malaysia, Yujiro Sugino.

Honda M’sia tak rancang bawa model elektrik penuh, tumpu model hibrid, bincang polisi dengan kerajaan

Presiden dan COO Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum mengukuhkan jawapan Sugino berkenaan dengan mengatakan bahawa pengumuman yang dibuat secara tiba-tiba oleh kerajaan bagi menghapuskan semua cukai dan duti terhadap EV tersebut menyebabkan syarikatnya tiada masa yang cukup bagi memformulasikan strategi kenderaan elektrik pada pasaran tempatan.

“Polisi kerajaan baru sahaja diumumkan dan ia masih di peringkat awal,” kata Sarly. “Bukannya kami tak mahu ambil risiko, tetapi kami melihat [semuanya] dengan teliti, termasuk perincian-perincian rasmi. Sekarang, kami sedang membuat perbincangan dengan kerajaan untuk melihat sama ada terdapat sebarang peluang yang boleh kami ambil tindakan untuk bergerak ke hadapan,” tambahnya lagi.

Honda antara syarikat automotif yang sangat serius dalam halatuju elektrifikasi di Malaysia. Mereka telah membawa pelbagai model menarik ke pasaran tempatan termasuk Civic Hybrid, Insight dan model sport hibrid CR-Z dengan harga yang sangat menarik selepas kerajaan mengumumkan insentif pengecualian cukai untuk kereta hibird CBU pada Bajet 2011 (berakhir pada 2014).

Syarikat berkenaan juga merupakan jenama pertama di Malaysia yang menghasilkan model hibird secara pemasangan tempatan di kilang mereka yang terletak di Melaka, menerusi Jazz Hybrid pada tahun 2012 selepas kerajaan mengumumkan insentif yang sama terhadap model-model hibrid CKD.

Buat masa sekarang Honda Malaysia masih menawarkan model hibrid tanpa sebarang insentif istimewa berbanding model petrol biasa, iaitu Honda City RS e:HEV (juga dihasilkan secara CKD) dijual pada harga RM105,950.45 termasuk pengecualian cukai SST hingga 30 Jun 2022. Ia bakal diikuti oleh Honda City Hatchback RS e:HEV yang bakal dijual bermula awal tahun hadapan.

Teknologi i-MMD (intelligent Multi-Mode Drive) pada model-model e:HEV ini merupakan antara sistem yang paling hampir dengan teknologi elektrik sepenuhnya, dan ia dilihat sangat sesuai digunakan di Malaysia memandangkan fasiliti mengecas EV dalam negara masih lagi sangat sedikit.

Unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD tersebut terdiri dari enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran-Atkinson berkuasa 98 PS dan tork maksima 127Nm. Ia digandingkan dengan dua motor elektrik iaitu unit motor generator (MGU) yang bertindak sebagai motor penghidup dan pengecas semula bateri hibrid, bersama satu lagi motor utama yang digelar sebagai Traction Motor.

Tiada kotak gear konvensional diberikan pada sistem i-MMD ini kerana kebanyakkan masa termasuk semasa mula bergerak, tayar hadapan dipacu oleh Traction Motor berkenaan yang menyediakan 109 PS dan tork maksima 253 Nm bermula dari 0 rpm, manakala enjin petrol hanya bertugas untuk mengecas bateri lithium-ion.

Honda M’sia tak rancang bawa model elektrik penuh, tumpu model hibrid, bincang polisi dengan kerajaan

Namun ia masih diberikan transmisi kelajuan tunggal yang membolehkan enjin petrol memacu roda hadapan ketika cruising. Macam mana sebenarnya sistem i-MMD ini berfungsi? Anda boleh ketahuinya dalam artikel pandu uji kami terhadap City RS e:HEV versi sedan pada PAUTAN INI.

Manakala di Jepun dan Eropah, Honda e yang telahpun mula dijual bermula tahun lalu merupakan hatchback lima-pintu kompak yang hanya menawarkan jarak gerak 222 km (berdasarkan kitaran WLTP). Ia dikuasakan dengan bateri lithium-ion 35.5 kWj, dan pembeli ditawarkan dengan dua jenis motor elektrik tunggal bagi memacu roda belakang – sama ada berkuasa 100 kW (136 PS) atau 113 kW (154 PS) – tetapi kedua-duanya dibekalkan dengan tork 315 Nm.

Honda e juga kini sudah ada yang dijual di Malaysia, namun ia adalah unit recond yang di bawa oleh Weststar Motors dan bukan secara rasmi oleh Honda Malaysia. Ia dijual pada harga RM210,000 untuk unit yang dibawa sebelum ini, dan selepas tempoh pengecualian cukai serta duti selepas ini pun ia dijangka masih dijual pada harga yang agak tinggi iaitu sekitar RM170k.

Oktober lalu, Honda sudah pun mendedahkan dua lagi model EV mereka di China iaitu e:NS1 dan e:NP1. Kedua-dua model EV tersebut dihasilkan dalam bentuk SUV segmen-B, menggunakan asas Honda HR-V generasi ketiga dan didakwa mampu bergerak sejauh 500 km dengan satu cas penuh. Namun, model ini mungkin hanya ditawarkan untuk pasaran China dan tidak akan di bawa ke pasaran lain di dunia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required