Proton Satria Neo Clubsport 2008 dalam skala 1/64 dari Pipol Scale Model – produk ‘fan made’, hanya 250 unit!

Proton Satria Neo Clubsport 2008 dalam skala 1/64 dari Pipol Scale Model – produk ‘fan made’, hanya 250 unit!

Seperti juga artis dan selebriti, jenama-jenama automotif turut mempunyai peminat-peminat dan fanatik mereka yang tersendiri. Ini kerana setiap jenama automotif tersebut biasanya mempunyai warisan sejarah mereka yang membentuk dan memberi arah tuju terhadap model-model terbaharu, terutamanya bagi jenama-jenama yang terlibat dalam sukan permotoran.

Bagi peminat-peminat dan fanatik sebegini, mereka tidak semestinya mempunyai kereta-kereta sebenar keluaran jenama berkenaan – mungkin kerana mereka belum mampu membelinya, atau sudah menjual atas sebab-sebab tertentu. Tetapi apa yang penting, pasti ada sahaja barangan atau cenderamata seperti t-shirt, topi, cawan dan sebagainya yang di simpan menampilkan logo jenama yang disukai tersebut.

Salah satu barangan-barangan rasmi yang mendapat perhatian dari satu-satu jenama itu sudah tentulah model skala kecil berdasarkan model sebenar yang dijual dalam pasaran atau jentera lumba yang bertanding. Namun malangnya untuk peminat Proton, barangan rasmi yang dikeluarkan dalam bentuk model skala kecil adalah sangat terhad.

Proton Satria Neo Clubsport 2008 dalam skala 1/64 dari Pipol Scale Model – produk ‘fan made’, hanya 250 unit!

Seiingat penulis, Proton hanya menghasilkan beberapa barangan berdasarkan model produksi sebenar mereka antaranya tabung duit berbentuk Proton Wira yang diedarkan sebagai cenderahati rasmi dari Public Bank pada era 90’an, dan juga model skala 1/32 Proton Waja dan Proton Inspira (juga terdapat dalam versi kereta peronda Polis) yang diedarkan oleh The 9 Production satu ketika dulu.

Model-model skala kecil untuk kereta lumba atau prestasi yang pernah dihasilkan oleh Eon Motorsport atau Proton R3? Langsung tidak pernah dijual oleh Proton sendiri. Pada penulis, ini merupakan satu peluang besar yang tidak direbut oleh Proton sendiri, kerana mereka mempunyai begitu banyak kereta lumba dengan warisan sejarah hebat dan juga model-model talaan penuh R3 yang sangat berinspirasi jika dijelmakan dalam skala lebih kecil, dan boleh di letak di atas meja atau almari kaca peminat-peminatnya untuk dibelek setiap hari.

Betapa terdesaknya peminat-peminat ini mahukan model skala kecil dari Proton ini sampai ada yang menggunakan asas Subaru WRX STi hatchback untuk dibentuk semula menjadi seakan Proton Satria Neo. Penulis sendiri ada menghasilkan replika jentera lumba Proton PERT Evo V yang pernah dipandu oleh Karamjit Singh berasaskan model kit Mitsubishi Lancer Evo V WRC.

Proton Satria Neo Clubsport 2008 dalam skala 1/64 dari Pipol Scale Model – produk ‘fan made’, hanya 250 unit!

Model skala kecil Proton Satria Neo Clubsport skala 1/64 yang anda lihat ini adalah keluaran syarikat tempatan, Pipol Enterprise (Pipol Scale Model). Pipol bukanlah syarikat yang mempunyai fasiliti sebenar seperti jenama-jenama Inno64, Mini GT, Kaido House dan sebagainya, tetapi secara teknikalnya ia hanya beroperasi di rumah!

Model-model skala yang dihasilkan oleh Pipol ini secara asasnya menggunakan kaedah pencetak 3D. Semua rekaan yang dicetak adalah berdasarkan model-model sebenar, dengan keseluruhan ukuran-ukuran adalah hampir tepat dalam skala 1 nisbah 64.

Jadi, ia bukanlah model yang diperbuat dari besi tuang, sebaliknya model skala dari bahan plastik. Namun semua kerja-kerja kemasan akhir seperti mempelas, mengecat menggunakan air brush, menampal pelekat (water slide decal), menggilap, memasang dan sebagainya semua dibuat secara eksklusif dengan tangan.

Proton Satria Neo Clubsport 2008 dalam skala 1/64 dari Pipol Scale Model – produk ‘fan made’, hanya 250 unit!

Anda boleh lihat Satria Neo dalam skala lebih kecil ini mempunyai semua perincian yang sama seperti Neo Clubsport saiz sebenar termasuk pelekat ‘R3 Clubsport’ berhampiran fender tayar belakang, splitter udara R3 pada bahagian bawah bampar hadapan, spoiler bumbung R3 dan juga set rim 15-inci R3. Jika anda perhati dengan teliti, juga boleh dilihat cakera brek serta angkup di sebalik setiap rim pada model berkenaan.

Kabin model mini ini juga menerima set tempat duduk Recaro TS-G dan roda stereng Momo Tuner sama seperti Neo Clubsport sebenar. Walau bagaimanapun roll cage ‘halal’ Neo Clubsport yang mendapat kelulusan VTA dari JPJ tidak kelihatan di dalam model skala kecil ini. Ye ke Proton Satria Neo ini memang diberikan roll cage secara standard? Kalau Nak tahu panjang lebar berkenaan model istimewa edisi terhad yang dibangunkan oleh R3 ini, anda boleh baca artikel lengkap pada PAUTAN INI.

Satu perkara menarik yang tampil pada model skala kecil dari Pipol Enterprise ini adalah rekaan pakej luarannya. Ia lengkap perumah akrilik bersama tapak berwarna hitam serta plat nama model serta nombor siri unik untuk setiap satu model yang anda beli. Bagi mengekalkan tahap eksklusif, Satria Neo Clubsport PIP64 ini dihasilkan hanya 250 unit.

Tidak cukup dengan itu, ia juga diberikan satu lagi lapisan kotak yang menampilkan pelbagai grafik dan maklumat berkenaan model ini, yang sekali tengok seakan rekaan dari Inno64. Perlu diingat, produk ini bukan produk rasmi dengan lesen dari Proton, tetapi boleh diklasifkasikan sebagai produk ‘fan made’ jadi tiada sebarang logo atau skrip Proton tertera di atasnya.

Selain dari Neo Clubsport ini, Pipol sebenarnya menghasilkan beberapa lagi varian lain untuk Satria Neo ini. Antaranya model Satria Neo SGX 2000, Satria Neo 1.6 CPS 2009, serta Satria Neo pasaran Jepun (JDM) dalam versi produksi jalan raya serta jentera lumba Cusco Junior Rally Team.

Untuk harga pula, model-model biasa dijual pada harga RM179 manakala model-model edisi terhad dijual pada harga RM199 – lagi sekali diingatkan, Pipol adalah syarikat kecil yang hanya bertapak di rumah, dan harga yang ditawarkan sudah tentu sukar untuk dibandingkan dengan jenama-jenama besar lain.

Mana nak dapat? Anda boleh hubungi sendiri Pipol Scale Model di laman Facebook rasmi mereka pada PAUTAN INI. Dalam pertemuan ringkas bersama pengasas Pipol sendiri, dia menyatakan bahawa selepas ini mereka akan menghasilkan pula Proton Persona CM dalam versi standard, jentera perlumbaan BTCC serta versi ubahsuai dengan kit badan seakan LBWK.

GALERI: Satria Neo Clubsport 2008 PIP64

GALERI: Satria Neo SGX 2000 PIP64

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required