Volvo C40 Recharge bakal dilancar untuk pasaran Malaysia – 408 PS, 660 Nm, jarak gerak elektrik 420 km

Volvo C40 Recharge bakal dilancar untuk pasaran Malaysia – 408 PS, 660 Nm, jarak gerak elektrik 420 km

Volvo Car Malaysia (VCM) telah membuat pengumuman bahawa pelancaran Volvo C40 Recharge semakin hampir, dengan membuka laman khas untuk pendaftaran minat orang ramai serta pendedahan beberapa perincian awal. Apabila tiba nanti, C40 Recharge akan menjadi model elektrik kedua syarikat itu, selepas XC40 Recharge Pure Electric.

Antara yang didedahkan adalah jarak gerak elektrik 530 km dan masa pecutan 0-100 km/j 4.7 saat. Bagi jarak gerak itu, ia melebihi jarak gerak WLTP 420 km yang dinyatakan untuk C40 sewaktu ia diperkenalkan buat kali pertama secara global Mac lalu, tetapi ia mengikut standard NEDC . Sebagai perbandingan, mengikut penilaian WLTP, XC40 Recharge Pure Electric mampu mencatat jarak gerak 418 km.

Apa pun, masa pecutan itu jelas memberi petunjuk kepada unit penggerak elektrik motor berkembar P8 AWD yang digunakan pada XC40 Recharge Pure Electric, tetapi ia lebih lambar 0.2 saat. Jumlah kuasa keseluruhan adalah 408 PS (402 kW atau 300 kW) dan tork 660 Nm, dengan sumbernya datang daripada bateri lithium ion berkapasiti 78 kWh. Kedua-dua pengecas AC Type 2 dan DC CCS2 boleh digunakan, dengan masa hanya 40 minit untuk penuh dari kosong ke 80% (DC).

Selain daripada pecutan yang lebih pantas, C40 juga menawarkan penampilan yang lebih sporty, dengan garis bumbung yang lebih sporty dan landai ke belakang, bagi menyesuaikannya dengan imej Coupe yang dibawa. Perbezaan tersebut menjadikan C40 ini 70 mm lebih rendah (1,582 mm) berbanding XC40.

Rupa garis bumbung yang berbeza juga memerlukan bahagian dari tingkap sisi belakang C40 ini direka semula. Dengan pintu hatch yang lebih landai, C40 diberikan dua spoiler – satu pada bumbung dan satu lagi pada hujung bahagian but. Lampu belakang juga sudah tentu perlu dirombak bagi disesuaikan dengan bentuk baharu ini.

Ketibaan C40 Recharge ke pasaran Malaysia sebenarnya sudah diketahui sejak awal tahun lagi, iaitu sewaktu pelancaran XC40 Recharge Pure Electric, dan ia dijangka dipasang di dalam negara (CKD). Harga masih tidak diketahui, tetapi melihat kepada Thailand, C40 Recharge dijual lebih mahal berbanding XC40 Recharge Pure Electric. Di Malaysia, XC40 Recharge Pure Electric dijual pada harga RM262,460 tidak termasuk insurans.

GALERI: Volvo C40 Recharge

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required