Honda CBR250RR sekali lagi diberikan peningkatan dan kini sudah dipasarkan di Indonesia. Model ini kali pertama diperkenalkan pada tahun 2016, dan pada tahun 2020 ia sudah pernah diberi naik taraf yang menyaksikan bukan sahaja penampilan, tetapi enjin juga diberi perubahan yang menyaksikan sedikit peningkatan kuasa.
Sekarang bagi model tahun 2023 ini, langkah hampir sama diambil. Enjinnya menerima perubahan pada bahagian head, menghasilkan nisbah mampatan yang lebih tinggi, serta kuasa yang meningkat menjadi 42 PS pada 13,000 rpm dan 25 Nm tork pada 11,000 rpm.
Bagi penampilan, CBR250RR baru ini bukan setakat menerima pilihan warna dan grafik yang baru, tetapi hampir kesemua panel badannya juga adalah baru, termasuk fairing (sehingga ke bawah), tangki dan juga panel tempat duduk.
Bahagian lain yang dinaik taraf adalah suspensi, di mana CBR250RR kini menggunakan fork USD SFF-Big Piston di hadapan, sementara di belakang masih menggunakan monoshock dengan sistem sambungan Pro-Link. Turut membantu menjadikan motosikal ini lebih lincah dan mudah dikawal adalah jarak roda yang lebih pendek 4.0 mm berbanding sebelum ini.
Dalam pasaran, CBR250RR ditawarkan sebagai motosikal sports berspesifikasi tinggi dengan kelengkapan lainnya termasuk sistem pendikit ride-by-wire, tiga mod tunggangan, lengan ayun aluminium, brek cakera depan dan belakang, sistem brek ABS, semua lampu jenis LED, panel meter digital penuh, sistem ekzos sport, transmisi enam kelajuan dengan klac assist/slipper serta quickshifter.
Berat keseluruhan model baru ini masih adalah 168 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api 14.5 liter. Di Malaysia, CBR250RR dilancarkan pada tahun 2020 dan dijual pada harga RM25,999.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.