Setelah mula terdedah awal September lalu, Bermaz kini melancarkan secara rasmi model Mazda CX-3 2022 untuk pasaran tempatan. Kali ini ia lebih penting kerana melibatkan pertambahan dua varian terbaru, iaitu 1.5G 2WD Core dan 2.0G 2WD Core. Kedua-dua varian ini berada di kedudukan lebih bawah berbanding varian 2.0G 2WD High sedia ada.

SUV segmen B ini pertama kalu dilancarkan di negara kita pada Disember 2015, dan sejak itu ia hanya dijual dalam satu varian sahaja, termasuklah versi yang kemudiannya diberi peningkatan pada tahun 2017, facelift 2018, serta dua lagi kemaskini yang dilakukan pada tahun 2021 dan Mac lalu, yang kini diperkenalkan secara rasmi.

Bermula bagi model tahun 2022 ini, satu lagi perkara penting yang perlu dinyatakan adalah CX-3 sekarang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, yang dipasang oleh AutoAlliance Thailand (AAT) di kilang Mazda di Rayong, dan bukan lagi merupakan model CBU yang dibawa masuk dari Jepun.

Bagi CX-3 1.5G 2WD Core, varian asas ini dijual pada harga RM107,870, tidak termasuk insurans dan dipacu oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter Skyactiv-G yang digunakan sebelum ini untuk Mazda 2, menghasilkan sebanyak 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,000 rpm.

Varian pertengahan 2.0G 2WD Core (RM118,159) pula mengguna enjin yang sama seperti 2.0G 2WD High (RM131,359), iaitu unit Skyactiv-G 2.0 liter, yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 154 hp pada 6,000 rpm dan tork 206 Nm pada 2,800 rpm. Semua enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik Skyactiv-Drive enam-kelajuan dan menghantar kuasa ke roda hadapan.

Dua varian Core terbaru ini mempunyai senarai kelengkapan yang hampir sama, dengan satu-satunya perkara yang membuatkan harganya berbeza RM10,289 adalah kapasiti enjin yang ditawarkan itu. Apapun, kedua-duanya masih lebih murah berbanding varian High, dengan senarai kelengkapan yang berbeza.

Sebagai contoh, varian Core cuma menggunakan rim 16 inci dengan tayar 215/60, berbanding saiz 18 inci dengan tayar 215/50 bagi varian High. Dua varian terbaru ini juga hanya menggunakan lampu jenis halogen, dan bukannya LED, dan tidak mempunyai fungsi pengaktifan dan pelarasan automatik.

Begitu juga dengan lampu DRL serta lampu belakang, yang mana bagi varian Core menggunakan mentol biasa, bukannya LED, dan tidak mempunyai lampu kabus LED. Bahagian lain yang kekurangan adalah pengelap cermin automatik, cermin sisi boleh lipat sendiri serta pengesan jarak.

Dalam kabin, varian Core tidak disertakan dengan ciri head-up display, pedal penukar gear di seterng, pengecas Qi tanpa wayar dan tempat duduk larasan kuasa seperti varian High. Pendingin hawa juga merupakan unit manual dan bukannya automatik satu zon seperti varian High, sementara tempat duduk pula hanya dibalut dengan fabrik.

Bagaimanapun, masih ada beberapa kelengkapan yang sama antara varian Core dan High. Ini termasuk cermin sisi larasan kuasa, sistem masuk dan mula tanpa kunci, brek parkir elektronik, roda stereng pelbagai fungsi, kawalan melayar, panel instrumen TFT LCD 4.6 inci, mod Sport, sistem start/stop serta G-Vectoring Control (GVC).

Sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin sesentuh lapan inci juga masih diberi, bersama dengan sistem bunyi enam pembesar suara serta sistem sokongan untuk sambungan Android Auto dan Apple CarPlay – tetapi perlu menggunakan wayar dan bukannya tanpa wayar seperti varian High. Kamera undur datang secara standard tetapi tiada pemandangan 360 darjah.

Semasa naik taraf yang diberikan pada tahun 2021, varian High mendapat beberapa sistem bantuan pemandu termasuk Smart City Brake Support hadapan dan belakang (Autonomous Emergency Braking), Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Monitoring, High Beam Control serta Driver Attention Alert.

Semua sistem ini tidak disediakan untuk varian Core, namun sistem keselamatan pasif masih sama iaitu dengan adanya ABS, EBD, Dynamic Stability Control, Traction Control, Hill Launch Assist, Brake Auto Hold serta cagak ISOFIX. Jumlah beg udara dikurangkan daripada enam kepada hanya dua untuk varian Core.

Setiap pembelian model ini datang dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km, serta pakej penyelenggaraan percuma. Pilihan tambahan filem penapis cahaya Activ-e pada harga RM1,900 juga disediakan untuk semua varian.

GALERI: Mazda CX-3 1.5G 2WD Core 2022

GALERI: Mazda CX-3 2.0G 2WD Core 2022

GALERI: Mazda CX-3 2.0G 2WD High 2022