Maserati x Barbie Grecale Trofeo SUV

Maserati telahpun memperkenalkan super SUV edisi terhad terbaharunya, Grecale Trofeo Barbie Editon yang dihasilkan bersama pembuat patung permainan kanak-kanak Barbie iaitu Mattel. Model ini dibuat hanya dua unit untuk pasaran seluruh dunia, dan ia adalah untuk membantu Barbie Dream Gap Project bagi mengutip dana.

Unit pertama SUV ini dijual oleh gedung mewah Neiman Marcus di Amerika Syarikat dengan harga US$330,000 (RM1.56 juta) dan 10% dari harga jualan berkenaan akan disumbang terus kepada Barbie Dream Gap Project, iaitu inisiatif global jenama Barbie yang bekerjasama dengan pelbagai badan amal bagi membantu menyediakan peluang sama rata dan menghapuskan halangan untuk kanak-kanak perempuan.

Maserati x Barbie Grecale Trofeo SUV

Maserati Grecale Trofeo Barbie Editon ini diasaskan dari Grecale dalam varian Trofeo, dihasilkan menerusi program Fuoriserie Maserati. Oleh itu, ia masih dibekalkan dengan enjin V6 Nettuno 3.0 liter bersama dua pengecas turbo yang diambil dari supercar Maserati MC20.

Walaubagaimanapun, enjin yang menggunakan teknologi Maserati Twin Combustion (MTC) dari F1 tersebut ditala dengan kuasa sedikit rendah untuk SUV, menghasilkan 530 PS (523 hp) pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 620 Nm bermula 3,000 hingga 5,500 rpm (630 PS/730 Nm pada MC20). Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF bersama sistem pacuan semua roda. Bagi model standard Trofeo, gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksima 285 km/j.

Untuk rupa luaran, model edisi terhad ini diberikan warna badan merah jambu ikonik Barbie, bersama serlahan-serlahan Acid-Yellow seperti kereta-kereta lumba Maserati. Ia turut diberikan logo Barbie pada fender hadapan, logo ‘B’ pada tiang-C, dan keseluruhan cat badan menerima lapisan atas yang akan memberikan kesan warna pelangi sekiranya menerima pancaran cahaya matahari.

Manakala pada sebelah dalam, ia menerima kabin yang diasaskan dengan warna hitam, disulami dengan jahitan benang merah jambu pada papan pemuka, tempat duduk balutan kulit, karpet kaki dan pintu. Panel-panel pada pintu dan konsol tengah turut diberikan kemasan merah jambu, manakala perehat kepala menerima sulaman logo ‘B’.