BYD EA1 Dolphin disasar untuk dilancar pada 2023 di M’sia – mungkin bawah RM100k, EV paling murah?

BYD EA1 Dolphin disasar untuk dilancar pada 2023 di M’sia – mungkin bawah RM100k, EV paling murah?

Walaupun kerajaan telah memberikan insentif pengecualian cukai dan duti bagi kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU), sehingga kini masih lagi tiada kereta elektrik yang boleh dijual pada harga mampu milik di Malaysia bukan? Namun dengan inisiatif Sime Darby Motors membawa jenama EV China iaitu BYD (dikenali sebagai BYD SDM), kita mungkin akan menerima EV yang mampu milik tidak lama lagi.

Kami telahpun menerima pengesahan sebelum ini bahawa BYD SDM bakal melancarkan EV Atto 3 dan e6 pada awal Disember nanti, dengan penghantaran pertama kepada pelanggan dijadualkan pada suku pertama tahun hadapan. Dan menerusi jawapan terbaharu yang kami terima dari staf BYD SDM, syarikat tersebut mendedahkan bahawa ia merancang untuk melancarkan dua lagi model EV tahun depan iaitu BYD Dolphin dan BYD Seal.

Kedua-dua model berkenaan dijangka bakal dilancarkan di Malaysia pada suku ke-4 2023, dan pada artikel kali ini kami akan mengupas berkenaan BYD Dolphin, iaitu sebuah hatchback lima-pintu, dengan saiz hampir sama dengan hatchback segmen-B biasa. Dolphin turut dikenali dengan nama EA1, dan ia dihasilkan sedikit lebih kecil berbanding crossover Atto 3 yang bakal dilancarkan bulan hadapan. Di China, Atto 3 dijual pada harga 150k yuan, manakala Dolphin dijual pada harga 94k yuan.

BYD EA1 Dolphin disasar untuk dilancar pada 2023 di M’sia – mungkin bawah RM100k, EV paling murah?

Sebelum ini BYD SDM sudahpun membuat jangkaan bahawa Atto 3 bakal dijual pada harga RM150k, dan oleh sebab itu ada harapan Dolphin mungkin boleh dijual pada harga bawah RM100k – menjadikan ia sebagai model EV paling mampu milik di Malaysia selepas ini.

Dari segi saiz, Dolphin diukur dengan 4,125 mm panjang dan 1,770 mm lebar. Oleh itu ia adalah 220 mm lebih pendek dan 22 mm lebih lebar berbanding Honda City Hatchback, manakala jarak rodanya pula mencecah 2,700 mm – sudah berada dalam julat jarak roda model-model segmen-C.

Jadi, BYD Dolphin ini boleh dikatakan berada dalam saiz yang sama seperti model-model segmen-B dengan enjin petrol biasa, dia ia bukan EV mikro seakan kereta mainan seperti Wuling Air EV yang dijual pada harga bermula RM74k di Indonesia – kini merupakan EV paling mampu milik di republik berkenaan buat masa sekarang.

BYD EA1 Dolphin disasar untuk dilancar pada 2023 di M’sia – mungkin bawah RM100k, EV paling murah?

Rupa BYD Dolphin ini juga masih nampak normal seperti hatchback biasa. Ia menampilkan juntaian hadapan dan belakang yang pendek, dan diberikan garis sisi badan berbentuk-Z, bersama tiang-C yang digelapkan bagi memberikan kesan seakan bumbungnya terapung. Di belakang, model ini menampilkan lampu yang merentangi sepenuhnya pintu hatch dengan grafik LED yang menarik, bersama emblem ‘Build Your Dreams’ – maksud sebenar BYD.

Dolphin digerakkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 174 hp dan tork 290 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.0 saat. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium fosfat logam (LFP) Blade yang dibangunkan sendiri oleh BYD berkapasiti 44.9 kWj. Jangan tak tahu, BYD turut membekalkan bateri LFP Blade ini kepada Toyota untuk model bZ3 yang baru sahaja didedahkan di China tempoh hari.

Dengan satu cas penuh bateri tersebut, Dolphin boleh bergerak sejauh 401 km dalam kitaran NEDC – tolak 20% dari jarak tersebut adalah anggaran untuk jarak dalam dunia sebenar. Untuk mengecas, pengecas AC 7 kW memerlukan 6 jam 25 minit untuk memenuhkan bateri tersebut, manakala dengan pengecas pantas DC 60 kW membolekan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa hanya 30 minit.

BYD EA1 Dolphin disasar untuk dilancar pada 2023 di M’sia – mungkin bawah RM100k, EV paling murah?

Dolphin turut ditawarkan dalam versi motor berkuasa lebih rendah iaitu 94 hp/180 Nm, tetapi masih menerima bateri berkapasiti 44.9 kWj. Bagi model ini ia mengambil masa 0.9 saat lebih perlahan dalam pecutan 0-50 km/j. Namun jarak geraknya hanya sedikit lebih baik iaitu 405 km dalam kitaran NEDC.

Di China, Dolphin juga hadir dalam varian paling asas yang menerima motor 94 hp/180 Nm yang digandingkan dengan bateri berkapasiti hanya 30.7 kWj. Bagi model ini jarak geraknya hanya 301 km dalam kitaran NEDC. Pengecas pantas DC turut boleh memenuhkan bateri dari 30-80% SOC dalam masa 30 minit, tetapi kadar maksimumnya hanya 40 kW.

Buat masa sekarang, antara EV yang paling mampu milik yang boleh anda beli adalah Hyundai Kona Electric yang dijual pada harga bermula RM150k. Dan bulan ini juga satu model EV China iaitu Ora Good Cat turut akan dilancarkan di Malaysia, yang mungkin sedikit murah dari Kona Electric. Sekiranya BYD Dolphin ini tiba di Malaysia kelak dengan harga di bawah RM100k, adakah anda bersedia untuk beralih menggunakan EV?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required