Honda Accord generasi ke-10 pasaran Malaysia

Pasaran Malaysia baru sahaja menerima Accord generasi ke-10 pada Februari 2020, namun baru-baru ini Honda sudahpun menyiarkan imej teaser Accord generasi ke-11 di Amerika Syarikat. Kebiasaannya, satu-satu model dari Jepun akan berada dalam pasaran paling kurang pun dalam masa enam-tahun, jadi memandangkan Accord generasi ke-10 baru sahaja berada di Malaysia hanya lebih kurang dua tahun, adakah ianya akan diganti dengan model generasi ke-11 sekitar 1-2 tahun dari sekarang?

Menurut laporan portal automotif Australia Car Expert, walaupun Honda Accord generasi ke-11 bakal dilancarkan di AS tidak lama lagi, Honda akan terus menjual Accord generasi ke-10 di pasaran negara itu termasuk pasaran Asia lain seperti Jepun. Malah pasaran Asia Tenggara yang sudah tentu termasuk Malaysia juga akan terus menerima Accord generasi sedia ada ini.

Ini kerana Accord untuk pasaran Asia dan juga AS kini dijual dalam “kitaran hayat model berbeza”. Berbeza dengan Civic generasi ke-11 yang tiba di Malaysia tidak sampai setahun selepas ia didedahkan untuk peringkat global di AS, Accord generasi ke-10 yang ada sekarang ini dilancarkan ke pasaran tempatan hanya selepas tiga tahun ia dilancarkan di AS.

Imej teaser untuk Honda Accord generasi ke-11 pasaran Amerika Syarikat

Jadi boleh dijangkakan Jepun, Australia dan rantau ASEAN termasuk Malaysia mungkin akan menerima Accord generasi ke-11 ini dalam garis masa yang hampir sama.

“Accord masih lagi nama yang penting di peringkat global untuk Honda, dengan pelanggan yang sangat setia dan berharga berpusat di Australia, tetapi masih terlalu awal untuk kami mengesahkan apa-apa perincian untuk model generasi seterusnya. Model sedia ada akan terus dijual di Australia untuk sekian waktu lagi dan ia terus menunjukkan prestasi yang kuat untuk menyokong barisan model lain,” kata jurucakap Honda Australia kepada Car Expert.

Jadi untuk mereka yang merancang untuk menunggu Accord generasi ke-11 untuk tiba di Malaysia, anda mungkin boleh jangkakan ia bakal tiba di sini sekitar tahun 2025 nanti.

GALERI: Honda Accord generasi ke-10 pasaran Malaysia

GALERI: Gambar paten dan imej teaser Honda Accord generasi ke-11