Volvo XC90 2023 di Malaysia ditawarkan dalam dua varian Ultimate – B5 pada RM417k, T8 PHEV RM433k

Volvo XC90 2023 di Malaysia ditawarkan dalam dua varian Ultimate – B5 pada RM417k, T8 PHEV RM433k

Sama seperti V60 dan XC40, Volvo XC90 pasaran Malaysia juga diperbaharui, dengan model tahun 2023 kini cuma ditawarkan dalam versi Ultimate. Ada dua varian yang disediakan, iaitu B5 Ultimate pada harga RM416,888, dan Recharge T8 Ultimate pada RM432,888 – peningkatan RM4,000 berbanding XC90 B5 Inscription Plus dan Recharge T8 Inscription Plus sebelum ini.

Bagi XC90 Recharge T8 Ultimate, penggerak plug-in hybrid (PHEV) pada model ini yang terdiri daripada gabungan enjin petrol empat silinder 2.0L turbo berkuasa 317 PS/400 Nm dan motor elektrik 145 PS/309 Nm kini mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 462 PS dan 709 Nm.

Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan, manakala roda belakang mendapat kuasa daripada motor elektrik, menjadikannya tetapan pacuan semua roda. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 5.3 saat sementara penggunaan bahan api pula boleh menjadi serendah 1.8 l/100 km.

Dengan kuasa elektrik sahaja, bateri 18.8 kWh pada XC90 Recharge T8 Ultimate boleh memberikan jarak gerak 77 km, dan ini menunjukkan peningkatan berbanding 50 km (bateri 11.6 kWh) yang dicatat model sebelumnya. Masa lima jam diperlukan untuk mengecas penuh baterinya menggunakan pengecas AC 3.7 kW (Type 2), sementara apabila menggunakan soket domestik ia mengambil masa 13 jam.

Varian asas B5 Ultimate pula digerakkan oleh enjin petrol empat silinder 2.0L turbo yang menyampaikan kuasa kepada semua roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan. Turut membantu adalah sistem hibrid ringkas dengan integrated starter generator (ISG) 14PS/40 Nm yang terletak di antara transmisi dan enjin.

Secara keseluruhannya, varian ini boleh menghasilkan kuasa 263 PS pada 6,000 rpm dan 390 Nm dari 1,800 hingga 4,800 rpm, sekaligus melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan memberikan catatan penggunaan bahan api 8.2 l/100 km. Laju maksimum kedua-dua varian baru XC90 ini dihadkan pada 180 km/j.

Volvo XC90 2023 di Malaysia ditawarkan dalam dua varian Ultimate – B5 pada RM417k, T8 PHEV RM433k

Melihat kepada perubahan kelengkapan XC90 2023 ini, dua varian yang ditawarkan dapat dibezakan dengan lebih mudah kerana rekaan rim 20 inci lima cabang padanya adalah berlainan. Varian sebelum ini menggunakan rim 20 inci 10 cabang yang sama.

Kemudiannya bagi kemasan dalam, terdapat tiga kombinasi iaitu kulit Nappa Charcoal/Grey Ash (RC00), kulit Maroon Brown Moritz/Linear Lime (RA30) dan kulit Nappa Maroon Brown/Black Ash (RC30). Kedua-dua kemasan RC00 dan RC30 diawarkan untuk warna badan Denim Blue, Crystal White dan Bright Dusk, sementara RA30 pula cuma disediakan untuk warna badan Onyx Black (juga boleh didapati dengan RC00).

XC90 2023 pasaran Malaysia juga menerima sistem infotainmen berasaskan Android Automotive OS, yang disambungkan kepada sistem bunyi Bowers & Wilkins 19 pembesar suara, serta skrin sesentuh sembilan inci menegak di tengah papan pemuka. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sistem infotainmen baru ini boleh digunakan dengan servis dalaman Google dan memerlukan langganan berupa Digital Service Package (DSP), yang dimasukkan sekali dalam harga kereta untuk tempoh selama empat tahun, sebelum memerlukan pembaharuan.

Selain daripada perubahan yang dinyatakan, senarai kelengkapan varian pengganti baru ini masih sama seperti Inscription Plus sebelum ini, termasuk pendingin hawa empat zon, bumbung panoramik, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, head-up display serta Active Chassis dengan suspensi udara.

Bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ia dilengkapi City Safety (Autonomous Emergency Braking dengan sokongan stereng), Lane Keeping Aid, Run-off Road Mitigation dengan pengesan pinggir jalan, Oncoming Lane Mitigation, Blind Spot Monitoring dengan Steer Assist, Cross Traffic Alert dengan brek automatik, Run-off Road Protection, Pilot Assist dan Adaptive Cruise Control – semuanya didatangkan standard.

XC90 2023 disediakan dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan, sementara bagi varian Recharge T8 Ultimate ia datang dengan jaminan bateri PHEV selama lapan tahun, 160,000 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required