Proton X50, X70 dan Exora catat jualan tertinggi dalam segmen bagi 2022 – Saga dan Persona juga meningkat

Proton X50, X70 dan Exora catat jualan tertinggi dalam segmen bagi 2022 – Saga dan Persona juga meningkat

Selain mengumumkan jumlah jualan untuk tahun 2022, Proton juga mendedahkan bahawa tiga model mereka berjaya menjadi pendahulu dalam segmen masing-masing pada tahun lepas, dan lima daripada enam model di dalam barisan produk mereka turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2021.

Pada bulan Disember 2022, X50 terus menjadi SUV paling laris Malaysia, dengan 3,764 berjaya diserahkan kepada pelanggan, sekaligus menyumbang kepada rekod jualan tahunan 40,681 unit. Jumlah ini bersamaan dengan peningkatan 41.4% berbanding tahun sebelumnya, dan juga membawa X50 sebagai SUV segmen B paling laris.

Sementara itu, X70 pula terus kekal sebagai SUV segmen C paling laris bagi tahun keempat berturut-turut, dengan jumlah jualan keseluruhan 18,533 unit – 1,787 daripadanya dijual pada bulan lepas. Menurut Proton, jualan X70 meningkat 13.1% berbanding tahun 2021.

Model Proton ketiga yang menjadi pendahulu dalam segmennya adalah Exora, iaitu untuk MPV segmen C. Dengan jualan 4,275 unit untuk tahun 2022, MPV yang menerima peningkatan Ogos lalu ini menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 5.9% berbanding tahun sebelumnya.

Model lain yang menyaksikan peningkatan jumlah jualan berbanding tahun sebelumnya adalah Saga, yang menaik 31.1% menjadi 55,878 unit (5,913 unit diserahkan pada bulan Disember 2022). Proton memberitahu, jumlah ini meletakkan Saga di tempat kedua dalam pasaran sedan segmen A, meskipun ia adalah model yang paling terjejas (penghantaran) akibat banjir hujung tahun 2021 – hanya 76 unit diserahkan pada Januari 2022.

Proton X50, X70 dan Exora catat jualan tertinggi dalam segmen bagi 2022 – Saga dan Persona juga meningkat

Persona juga mencatatkan peningkatan jualan, tetapi dengan peratusan cuma 1.3% berbanding tahun sebelumnya – 16,357 dijual pada tahun 2022 (2,322 unit untuk bulan Disember). Menurut Proton, masalah bekalan cip memberi kesan kepada pengeluaran model ini.

Untuk Iriz, ia terus menerima kesan daripada masalah bekalan dan membawa kepada penurunan jumlah jualan sebanyak 14.9% pada tahun 2022. Proton tidak menyatakan berapa banyak Iriz yang berjaya dijual, tetapi jumlah pada tahun 2021 adalah 6,708 unit. Dengan mengambil peratusan yang ada, sebanyak 5,708 unit diserahkan kepada pengguna tahun lepas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required