Bangkok 2023: Ford Ranger Stormtrak diletakkan antara Wildtrak dan Raptor, rim 20 inci, skrin 12.4 inci

Bangkok 2023: Ford Ranger Stormtrak diletakkan antara Wildtrak dan Raptor, rim 20 inci, skrin 12.4 inci

Di Thailand, ada satu varian Ranger baru yang dipanggil sebagai Stormtrak. Ia diletakkan di tengah-tengah antara Wildtrak dan Raptor, tetapi tidak mempunyai sebarang peningkatan prestasi seperti Wildtrak. Cumanya, ia datang dengan pelbagai kelengkapan tambahan, dan kebanyakan daripadanya sangat menarik perhatian.

Ranger Stormtrak digerakkan oleh enjin diesel turbo 2.0 liter EcoBlue versi bi-turbo, mampu menghasilkan 210 PS pada 3,750 rpm dan tork 500 Nm antara 1,750 hingga 2,000 rpm. Kotak gear adalah unit automatik torque converter 10 kelajuan, yang menghantar kuasa sama ada kepada dua roda belakang sahaja (2WD) atau kesemua tayar melalui sistem 4×4 part-time.

Dari jauh Stormtrak nampak seperti Wildtrak dan senarai kelengkapannya memang mengikut varian itu, tetapi apabila datang lebih dekat anda akan menyaksikan terdapat tambahan lampu LED tiga bintik (dua unit) pada grilnya. Gril tersebut, bersama kemasan di sekelilingnya yang ditarik sehingga ke bahagian bawah bampar diwarnakan hitam berkilat sementara tulisan Ranger diletakkan di atas bonet.

Dari bahagian tepi anda akan dapat melihat rim 20 inci warna hitam dengan sedikit penanda merah. Lengkuk roda dan penutup cermin sisi juga diwarnakan hitam berkilat, dan terdapat lencana Stormtrak pada bahagian bawah pintu serta tailgate. Rim itu sendiri adalah lebih besar berbanding unit 18 inci yang digunakan pada Wildtrak, dan ia dibalut tayar 255/55.

Jika melihat bahagian belakangnya, anda pasti boleh melihat Ranger Stormtrak ini seperti mempunyai ‘spoiler besar’. Ia sebenarnya adalah sports bar jenis fleksibel, yang boleh dilungsurkan ke hadapan dan belakang. Pemilik juga diberikan dengan rak bumbung boleh laras, dan mereka boleh menambah penutup tailgate elektrik. Warna model yang anda lihat dalam gambar ini adalah Sedona Orange dan merupakan warna istimewa yang memerlukan bayaran tambahan 10,000 baht (RM1,284). Warna lain yang disediakan adalah Arctic White, Meteor Grey dan Absolute Black.

Pada bahagian dalam, Stormtrak mendapat skrin digital 12.4 inci, yang jauh lebih besar berbanding unit 8.0 inci pada Wildtrak. Tombol gear biasa juga diganti dengan e-shifter, dan terdapat sistem park assist automatik penuh. Kemasan berwarna oren menaikkan seri dalam trak ini dan anda boleh melihat logo Stormtrak pada tempat duduk hadapan serta kemasan papan pemuka.

Ford Ranger Stormtrak dijual di Thailand pada harga bermula 1,264,000 baht (RM162,374) untuk versi 4×2 dan 1,399,000 baht (RM179,736) untuk versi 4×4. Apa pendapat anda dengan trak yang mendapat kelengkapan sebegini? Adakah ia boleh dijual di Malaysia?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required