PLUS aktifkan laluan Smartlane di Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai hingga 1 Mei 2023

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pengaktifan Smartlane di laluan antara Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai (Arah Utara) KM19.0 hingga KM27.0. Pengaktifan Smartlane ini telah pun bermula hari ini dan berlangsung sehingga 1 Mei 2023, melibatkan jarak sepanjang 8 km dan waktu operasinya adalah dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

Ini merupakan inisiatif PLUS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menambah kapasiti lorong sedia ada, serta membantu melancar dan menyuraikan trafik ketika musim perayaan Aidilfitri 2023, kata PLUS.

Tambahnya lagi, pengaktifan Smartlane juga akan dilaksanakan di beberapa lokasi strategik di Lebuhraya PLUS bergantung kepada keadaan trafik semasa. Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan ini turut menasihati pengguna lebuhrayanya agar patuhi papan tanda trafik dan arahan petugas PLUS ketika melalui lokasi tersebut.

PLUS aktifkan laluan Smartlane di Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai hingga 1 Mei 2023

Sebelum ini, PLUS juga pernah mengaktifkan laluan Smartlane di lokasi yang sama sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Januari lalu.

Pada Oktober 2019, PLUS telah melaksanakan Inisiatif Ujian SmartLane secara manual di Lebuhraya NKVE iaitu dari laluan Setia Alam menuju ke laluan keluar di Plaza Tol Shah Alam bagi mengatasi aliran kesesakan trafik. Ujian yang sama turut dilaksanakan pada Januari 2022, juga melibatkan laluan yang sama.

Melihat akan keberkesanan SmartLane ini, PLUS turut mengaktifkan laluan yang sama sewaktu musim perayaan Deepavali pada Oktober tahun lalu. Ia melibatkan dua laluan di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu di antara persimpangan Senai Utara hingga persimpangan Kulai, arah utara dari KM19.0 hingga KM27.0. Ia turut diaktifkan di laluan dari Port Dickson ke Seremban, arah utara dari KM260 hingga KM263.1.