GAC GS3 2023 sah ke Malaysia tahun depan – CKD, 1.5T 177 hp/270 Nm, 7DCT, saingan X50 dan HR-V

GAC GS3 2023 sah ke Malaysia tahun depan – CKD, 1.5T 177 hp/270 Nm, 7DCT, saingan X50 dan HR-V

Hari ini secara rasminya Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) memulakan inisiatif pemasangan tempatan (CKD) untuk jenama GAC Motor di Malaysia, selepas kedua-dua pihak memeterai perjanjian kerjasama 18 bulan lalu.

Dalam majlis yang berlangsung pagi tadi, WTCA mengesahkan model pertama yang akan diproduksi di sini bukanlah GAC GS3 generasi sedia ada yang sudahpun dilancarkan di Malaysia dalam versi CBU pada penghujung 2021, sebaliknya adalah model generasi terkini GAC GS3 2023 yang baru sahaja dilancarkan di China Februari lalu.

WTCA masih belum mengumumkan spesifikasi rasmi GAC GS3 generasi baharu ini untuk pasaran Malaysia kelak, namun perincian dari model pasaran China mungkin dapat membayangkan apa yang akan ditawarkan di sini nanti.

Di China, SUV segmen-B ini dikenali sebagai Trumpchi GS3, dan model 2023 ini bukan sahaja menampilkan rupa yang jauh berbeza dari model sebelumnya, malah ia hadir dengan kerangka dan juga unit rangkaian kuasa serba baharu.

Model ini diasaskan dari platform baharu yang dikenali sebagai GPMA, menampilkan dimensi panjang 4,410 mm, lebar 1,850 mm bersama jarak roda sejauh 2,650 mm. Jadi berbanding GS3 CBU yang masih dijual di Malaysia, model generasi baharu ini adalah 52 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar serta jarak roda 90 mm lebih jauh. Ia juga sedikit lebih rendah dan memberikan bentuk badan yang lebih sporty.

Jika ia mula masuk ke pasaran Malaysia nanti, sudah tentu GS3 2023 ini akan berhadapan terus dengan Proton X50 dan juga Honda HR-V. Jadi jika dibandingkan dengan X50, GS3 baharu ini adalah 80 mm lebih panjang, 50 mm lebih lebar bumbung 9 mm lebih rendah serta jarak roda 50 mm lebih jauh.

Selain dari X50 dan HR-V, kami jangkakan saingan turut akan datang dari satu lagi SUV segmen-B dari China iaitu Chery Omoda 5 yang bakal dilancarkan di sini secara rasmi pada penghujung Jun atau awal Julai ini.

Berbanding model generasi sedia ada yang menampilkan rekaan ‘bulat’, model generasi baharu ini lebih bersegi dengan garis-garis badan tajam serta lebih futuristik. Di China, GS3 ini turut tampil dalam varian ‘R’ dengan perincian lebih sporty menampilkan warna badan matte, serlahan-serlahan oren serta diffuser belakang yang besar bersama dua tip ekzos diletak di tengah.

Enjin yang dibekalkan pada GS3 ini juga nampaknya akan menjadi yang paling berkuasa dalam kelasnya. Berbanding model sedia ada yang dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder NA berkuasa 114 PS/150 Nm, model generasi baharu nanti akan menerima enjin 1.5 liter empat silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) generasi ketiga GAC Motor, menjana kuasa 177 hp dan tork maksima 270 Nm bermula 1,400 hingga 4,500 rpm.

Sebagai perbandingan enjin 1.5 liter TGDI Proton X50 hanya dibekalkan dengan 255 Nm, enjin VTEC Turbo pada HR-V menghasilkan 240 Nm, manakala Chery Omoda 5 hanya datang dengan 230 Nm. Kotak gear Aisin enam kelajuan automatik konvensional pada model lama CBU juga tidak lagi akan digunakan, dan ia akan diganti dengan transmisi klac berkembar jenis basah (WDCT) automatik tujuh-kelajuan.

WTAC turut mengesahkan bahawa GS3 CKD generasi baharu pasaran Malaysia ini juga disahkan akan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.

GAC GS3 2023 sah ke Malaysia tahun depan – CKD, 1.5T 177 hp/270 Nm, 7DCT, saingan X50 dan HR-V

Untuk pengetahuan anda, model GS3 CBU sedia ada merupakan model pertama dari GAC yang dijelmakan dalam versi pemanduan sebelah kanan, khas untuk di bawa ke Malaysia. Bagi GS3 generasi baharu akan datang yang akan dipasang di sini pula merupakan operasi produksi GAC pertama di luar China.

Menurut WTAC, projek ini melibatkan pelaburan bernilai RM60 juta meliputi kos naik taraf kilang Tan Chong di Segambut bagi memenuhi keperluan standard pemasangan model-model CKD dari GAC. Produksi GAC GS5 ini akan bermula di kilang berkenaan pada April tahun hadapan, dan ia dijangka dilancarkan di Malaysia pada pertengahan 2024.

Pelaburan tersebut turut akan memperuntukkan pembinaan jaringan pengedar dengan sasaran 70 bilik pameran akan disediakan di seluruh negara. WTAC turut mensasarkan pengeluaran dan jualan jenama ini akan mencapai 50,000 unit dalam masa tiga hingga lima tahun.

Harga bagi GAC GS3 CKD generasi baharu ini masih belum diumumkan. Namun kami percaya ia tidak akan lari jauh dari Omoda 5 yang turut akan ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan di sini.

GALERI : GAC GS3 1.5L Premium CBU

GALERI : GAC GS3 1.5L Standard CBU

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required