Mitsubishi akan dedah model produksi XFC Concept di Indonesia Ogos ini – pencabar Ativa, WR-V dan Creta?

Mitsubishi akan dedah model produksi XFC Concept di Indonesia Ogos ini – pencabar Ativa, WR-V dan Creta?

Mitsubishi telah mengumumkan bahawa ia akan mendedahkan SUV kompak serba baharu di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 yang akan berlangsung pada Ogos ini. Berdasarkan imej teaser yang disiarkan sekali dengan pengumuman tersebut, SUV berkenaan adalah model produksi bagi model konsep Mitsubishi XFC yang muncul di Vietnam Motor Show (VMS) pada Oktober tahun lalu.

Menurut Mitsubishi, model yang akan didedahkan ini merupakan SUV baharu pertama yang akan masuk ke pasaran ASEAN terlebih dahulu.

“Dihasilkan dari kepakaran pembangunan kenderaan yang diwarisi jenama, model serba baharu ini menampilkan rekaan asli SUV yang bergaya dan lasak, serta praktikal seperti pengendalian yang mudah serta ruang simpanan yang versatil, dan keselesaan termasuk ruang kabin yang luas,” kata Mitsubishi dalam kenyataan yang dikeluarkan.

“Selain itu, melalui ujian berulang dan penalaan dalam persekitaran jalan raya di rantau ASEAN, SUV kompak serba baharu ini memberikan ketenangan fikiran walaupun ketika dikendali pada permukaan lasak atau jalan yang dibanjiri air hujan lebat,” tambah kenyataan itu.

Teaser baharu ini juga menunjukkan bahawa SUV kompak baharu ini akan dilengkapi sistem bunyi yang dihasilkan oleh Yamaha. Ini merupakan kerjasama pertama antara Mitsubishi dan juga pengeluar alat muzik serta kelengkapan audio dari Jepun tersebut.

Mitsubishi belum mengumumkan sebarang spesifikasi teknikal berkenaan SUV serba baharu ini dalam kenyataan yang dikeluarkan kali ini. Namun sebelum ini jenama tersebut ada menyatakan bahawa model ini akan diperkenalkan dalam versi petrol sepenuhnya terlebih dahulu, dan kemudian akan diikuti versi hibrid elektrik selepas itu.

Unit prototaip versi produksi XFC Concept ini juga sebelum ini sudah dijumpai sedang diuji di atas jalan raya awam di Indonesia. Ia dilihat menerapkan banyak perincian dari XFC Concept, seperti yang dibuat pada model XM Concept dan versi produksi Xpander sebelum ini.

Pada bahagian muka, versi produksi XFC ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid dengan elemen sarang lebah, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L. Jalur LED sebelah bawah DRL pada XFC mungkin akan dijadikan lampu utama pada versi produksi ini seperti pada Xpander.

Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, cuma ia bersaiz lebih kecil dan tiada jalur LED disekeliing sepasang liang berbentuk segi enam berkenaan.

Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

Walaupun ditutup dengan pelekat penyamaran, bahagian skid plate pada bahagian bawah bampar belakang ini nampak kelihatan hampir sama antara XFC Concept dan unit prototaip produksi ini. Cuma rekaan sepasang lubang berbentuk heksagon tidak lagi kelihatan, dan ia diberikan sepasang reflektor berwarna merah mendatar pada sebelah bawah.

Ada khabar yang bertiup, model ini merupakan Xpander dalam versi yang dipendekkan, menggunakan banyak komponen mekanikal yang juga diambil dari Xpander – Jadi ada kemungkinan ia akan berkongsi enjin 1.5L MIVEC dan hanya memacu roda hadapan.

Oleh itu, SUV baharu dari Mitsubishi ini mungkin akan dihasilkan dengan badan yang berada dalam kelas segmen-B. Dan dengan enjin 1.5L tanpa turbo yang ditawarkan, ia mungkin akan berhadapan dengan model seperti Honda WR-V, Hyundai Creta dan juga kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa.

Mitsubishi juga masih belum mengumumkan nama sebenar untuk versi produksi XFC ini nanti. Namun tidak mustahil ia akan menggunakan kembali nama SUV segmen-B yang popularnya sebelum ini iaitu Mitsubishi ASX. Sebelum ini nama berkenaan telah digunakan semula untuk SUV baharu yang direbadge dari Renault Clio, tetapi ia hanya dijual untuk pasaran Eropah.

GALERI: Mitsubishi XFC Concept 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required