Mitsubishi Xpander – dari XM Concept ke produksi

Mitsubishi Xpander – dari XM Concept ke produksi

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bakal melancarkan SUV MPV segmen-B, Mitsubishi Xpander ke pasaran tempatan tahun ini. Sama ada anda ingat atau tidak, Xpander menampilkan rupa yang begitu futuristik dan agak berbeza dengan saingannya yang lain adalah kerana ia sebenarnya versi produksi model konsep yang digelar XM Concept, muncul di Indonesia pada tahun 2016.

XM Concept membuat kemunculan sulungnya pada acara Gaikindo Indonesian International Auto Show (GIIAS) tahun tersebut. Nama XM tersebut juga sebenarnya adalah akronim daripada crossover (X) dan juga MPV (M). Ketika itu hanya Honda BR-V ditawarkan dalam pasaran sebagai MPV tujuh-tempat duduk yang kelihatan seperti SUV, dan model tiga baris tempat duduk dengan rupa rugged seakan crossover tersebut dilihat semakin mendapat tempat pada pasaran ASEAN.

Model konsep muncul di GIIAS berkenaan diberikan warna badan kuning yang begitu menyerlah. XM Concept tersebut hadir dengan muka garang signatur Dynamic Shield Mitsubishi – menampilkan lampu nyalaan siang LED yang nipis sebaris dengan gril bahagian atas, manakala lampu utama ditempatkan pada bampar, bersama elemen ‘X’ dengan kemasan-kemasan krom dan perak.

Mitsubishi XM Concept (kiri) dan Mitsubishi Xpander (kanan)

Pada profil sisi, XM masih nampak seperti MPV tetapi diberikan penggayaan yang tidak tipikal sebuah kenderaan dengan tujuh-tempat duduk. Ia diberikan ‘otot-otot’ pada setiap ruang roda seperti trak pikap Triton, bersama rel bumbung bagi memberikan rupa seakan SUV sebenar. Ia juga tampil dengan tiang-D yang dihitamkan bagi memberi ilusi seakan bumbungnya terapung.

Elemen ‘X’ juga diberikan pada bahagian belakang model konsep tersebut, disepadukan dengan lampu belakang berbentuk-L. Pada bahagian dalaman XM Concept ini pula, ia menerima rekaan moden yang minimalis bersama rekaan papan pemuka dengan elemen melintang dan diberikan skrin infotainmen diletakkan pada posisi yang tinggi.

Ketika model ini didedahkan, kami diberitahu oleh Mitsubishi bahawa rekaan XM Concept ini akan mewakili 80% rekaan pada model produksinya nanti (ketika itu nama Xpander masih belum diumumkan). Namun disebabkan rupanya yang begitu agresif, agak sukar untuk mempercayai kenyataan tersebut pada ketika itu.

Papan pemuka Mitsubishi XM Concept (kiri) dan Mitsubishi Xpander (kanan)

Namun, Mitsubishi membuat kejutan dengan menepati janji mereka setahun selepas itu – Mitsubishi Xpander membuat kemunculan sulungnya di GIIAS 2017 dengan elemen rekaan utamanya sama seperti XM Concept. Setiap perincian asas dari muka hadapan, profil sisi dan juga bahagian belakang Xpander adalah diinspirasikan terus dari XM.

Walau bagaimanapun, perincian-perincian tidak logik untuk produksi seperti kamera pandangan sisi, warna badan kuning dan juga bahagian dalaman yang berwarna putih tidak ditampilkan pada Xpander. Kali terakhir Mitsubishi menghasilkan model produksi yang hampir seiras dengan versi konsep adalah pada model Concept-X pada 2005, dijelmakan sebagai Lancer Evolution X dua tahun kemudian.

Rekaan pada Xpander ini juga dilihat agak bijak kerana walaupun dengan nilai estetik yang tidak konvensional, ia tidak mengorbankan sebarang praktikaliti pada SUV-MPV ini dengan menyediakan ruang yang begitu besar pada bahagian dalaman.

Walaupun kita agak lambat untuk menerima Xpander ini dalam pasaran tempatan, sehingga kini masih lagi tiada model dari pengeluar lain yang berani untuk hadir dengan rekaan seperti model dari Mitsubishi ini di mana Honda BR-V dan juga Perodua Aruz/Toyota Rush masih nampak seperti SUV tradisional.

Kita juga bakal menerima Xpander terus dalam versi facelift dengan rekaan gril dan juga lampu LED yang telah disegarkan. Xpander untuk pasaran Malaysia ini juga hadir dalam versi yang lebih ‘matang’ di mana isu-isu reliabiti yang timbul pada versi awal telah pun diselesaikan, serta ia tampil dengan lebih banyak aksesori yang telah dibangunkan.

Kita juga dijangka akan menerima Xpander yang dijana oleh enjin petrol 4A91 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Di Indonesia, Xpander hadir dengan pilihan transmisi lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik dan memacu roda hadapan. Di Malaysia, kita mungkin hanya menerima kotak gear automatik, dan ia dijangka akan dijual pada harga sekitar RM80,000 hingga RM90,000.

Jadi siapa kata kita tak boleh beli kereta yang kelihatan seperti model konsep? Mitsubishi telah berberapa kali membuktikan ia boleh dibuat.

GALERI: Mitsubishi Xpander facelift 2020 pasaran Indonesia

GALERI: Mitsubishi XM Concept

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required