Versi produksi Mitsubishi XFC Concept dilihat diuji di Indonesia – ini ASX generasi baru untuk ASEAN?

Oktober tahun lalu Mitsubishi telah mendedahkan model konsep SUV kompak yang digelar sebagai XFC Concept ketika berlangsungnya Vietnam Motor Show (VMS) 2022. Ia bukan sekadar model konsep kerana XFC bakal dijelmakan sebagai model produksi seperti Mitsubishi XM Concept yang hadir dalam pasaran sebagai Misubishi Xpander.

Versi produksi untuk XFC berkenaan sebelum ini telah pun diumumkan bakal masuk kepasaran ASEAN pada tahun ini dan bakal di bawa ke VMS 2023. Dan ini dia, prototaip untuk model produksi tersebut telah pun dilihat diuji di lebuhraya awam di Indonesia!

Kelibat unit prototaip berkenaan dirakam dan dimuatnaik oleh pemilik saluran Youtube Sigimedianet Pictures. Dapat dilihat sepanjang ujian itu dibuat di atas lebuhraya, prototaip berkenaan sentiasa diapit oleh dua buah Mitsubishi Xpander berwarna hitam yang masing-masing berada di hadapan dan belakang.

Seperti juga XM Concept dan Xpander, kebanyakkan perincian dari XFC Concept ini nampaknya diterapkan pada model produksi sebenar. Anda boleh lihat pada bahagian muka, ia masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid dengan elemen sarang lebah, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L. Jalur LED sebelah bawah DRL pada XFC mungkin akan dijadikan lampu utama pada versi produksi ini seperti pada Xpander.

Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, cuma ia bersaiz lebih kecil dan tiada jalur LED disekeliing sepasang liang berbentuk segi enam berkenaan.

Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

Walaupun ditutup dengan pelekat penyamaran, bahagian skid plate pada bahagian bawah bampar belakang ini nampak kelihatan hampir sama antara XFC Concept dan unit prototaip produksi ini. Cuma rekaan sepasang lubang berbentuk heksagon tidak lagi kelihatan, dan ia diberikan sepasang reflektor berwarna merah mendatar pada sebelah bawah.

Sebelum ini Mitsubishi ada menyatakan bahawa XFC Concept ini diberikan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud, di mana mod Wet adalah pertama kali diperkenalkan untuk Mitsubishi yang dihasilkan khas untuk pemanduan di rantau ASEAN – di mana hujan lebat boleh turun pada bila-bila masa.

Mitsubishi masih belum memberikan sebarang bayangan spesifikasi teknikalnya. Namun ada khabar yang bertiup, model ini merupakan Xpander dalam versi yang dipendekkan, menggunakan banyak komponen mekanikal yang juga diambil dari Xpander – Jadi ada kemungkinan ia akan berkongsi enjin 1.5L MIVEC dan hanya memacu roda hadapan.

Versi produksi XFC Concept ini bakal berhadapan terus dengan SUV segmen-B seperti Honda HR-V, Mazda CX-3, Subaru XV dan sebagainya. Jadi ada kemungkinan model konsep yang akan didedahkan ini adalah model pengganti ASX yang sudah pun berada lebih 12-tahun dalam pasaran.

September tahun lalu Mitsubishi baru sahaja mendedahkan SUV segmen-B ASX generasi baharu di Eropah. Walau bagaimanapun model yang sebenarnya Renault Captur tetapi diberikan logo Mitsubishi berkenaan hanya akan dijual untuk pasaran Eropah. Manakala pasaran lain termasuk Australia masih akan menerima ASX facelift generasi sebelumnya.

Versi produksi XFC Concept yang bakal menggantikan ASX di ASEAN ini sudah tentu berbeza dengan ASX generasi baharu pasaran Eropah. Ini kerana Mitsubishi mengesahkan bahawa ia direka bagi disesuaikan untuk pemanduan di Asia Tenggara sama seperti Triton, Pajero Sport dan Xpander.

GALERI: Mitsubishi XFC Concept 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required