Sebelum ini Mitsubishi sudahpun mengesahkan bahawa SUV kompak baharu syarikat berkenaan, iaitu versi produksi dari model konsep XFC bakal didedahkan sepenuhnya pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 yang akan berlangsung bermula 10 Ogos ini.
Manakala dalam laporan Autonetmagz baru-baru ini menyebut bahawa pra-tempahan untuk SUV tersebut sebenarnya sudahpun bermula di Indonesia beberapa minggu lalu. Ini bermaksud pendedahan di GIIAS nanti bukan sekadar kemunculan global sulung bagi SUV ini, malah ia juga akan terus rasmi dijual di pasaran Indonesia.
Ketika mengumumkan tarikh kemunculannya rasminya, Mitsubishi turut telah mendedahkan beberapa imej teaser untuk model baharu ini, dan ia disahkan akan dilengkapi sistem bunyi yang dihasilkan oleh Yamaha. Ini merupakan kerjasama pertama antara Mitsubishi dan juga pengeluar alat muzik serta kelengkapan audio dari Jepun tersebut.
Setakat ini Mitsubishi belum mengumumkan sebarang spesifikasi teknikal berkenaan SUV serba baharu ini. Namun sebelum ini jenama tersebut ada menyatakan bahawa model ini akan diperkenalkan dalam versi petrol sepenuhnya terlebih dahulu, dan kemudian akan diikuti versi hibrid elektrik selepas itu.
Unit prototaip versi produksi XFC Concept ini juga sebelum ini sudah dijumpai sedang diuji di atas jalan raya awam di Indonesia. Ia dilihat menerapkan banyak perincian dari XFC Concept, seperti yang dibuat pada model XM Concept dan versi produksi Xpander sebelum ini.
Pada bahagian muka, versi produksi XFC ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid dengan elemen sarang lebah, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L. Jalur LED sebelah bawah DRL pada XFC mungkin akan dijadikan lampu utama pada versi produksi ini seperti pada Xpander.
Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, cuma ia bersaiz lebih kecil dan tiada jalur LED disekeliing sepasang liang berbentuk segi enam berkenaan.
Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.
Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.
Walaupun ditutup dengan pelekat penyamaran, bahagian skid plate pada bahagian bawah bampar belakang ini nampak kelihatan hampir sama antara XFC Concept dan unit prototaip produksi ini. Cuma rekaan sepasang lubang berbentuk heksagon tidak lagi kelihatan, dan ia diberikan sepasang reflektor berwarna merah mendatar pada sebelah bawah.
Ada khabar yang bertiup, model ini merupakan Xpander dalam versi yang dipendekkan, menggunakan banyak komponen mekanikal yang juga diambil dari Xpander – Jadi ada kemungkinan ia akan berkongsi enjin 1.5L MIVEC dan hanya memacu roda hadapan.
Oleh itu, SUV baharu dari Mitsubishi ini mungkin akan dihasilkan dengan badan yang berada dalam kelas segmen-B. Dan dengan enjin 1.5L tanpa turbo yang ditawarkan, ia mungkin akan berhadapan dengan model seperti Honda WR-V, Hyundai Creta dan juga kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa.
Mitsubishi juga masih belum mengumumkan nama sebenar untuk versi produksi XFC ini nanti. Namun tidak mustahil ia akan menggunakan kembali nama SUV segmen-B yang popularnya sebelum ini iaitu Mitsubishi ASX. Sebelum ini nama berkenaan telah digunakan semula untuk SUV baharu yang direbadge dari Renault Clio, tetapi ia hanya dijual untuk pasaran Eropah.
Memandangkan ini merupakan model yang dihasilkan khas untuk pasaran Asia Tenggara seperti Xpander, mungkin ia juga akan di bawa masuk ke pasaran tempatan oleh Mitsubishi Motors Malaysia?
GALERI: Mitsubishi XFC Concept 2022
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.