GIIAS 2023: Toyota Rangga Concept – versi produksi trak pikap pelbagai guna akan muncul tahun ini

GIIAS 2023: Toyota Rangga Concept – versi produksi trak pikap pelbagai guna akan muncul tahun ini

Disember lalu pengerusi Toyota, Akio Toyoda telah pun mendedahkan model konsep IMV 0 di Thailand, iaitu trak pikap modular yang lebih versatil dari Hilux yang boleh diubahsuai lebih bebas untuk pelbagai kegunaan. Dan ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 minggu lalu, model konsep berkenaan telah dipertingkat dan kini digelar sebagai Toyota Rangga Concept.

Nama “Rangga” bukanlah diambil sempena watak filem popular Indonesia Ada Apa Dengan Cinta, tetapi ia berasal dari salah satu varian trak pikap Toyota Kijang yang dijual di negara berkenaan pada era 90’an. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Toyota, nama Rangga ini juga diinspirasikan dari perkataan bahasa Jawa iaitu ‘ronggo’ yang bermaksud perwira dan melambangkan sifat kuat serta tahan lasak.

Di GIIAS, model konsep Rangga ini tampil dalam beberapa varian termasuk kafe bergerak, ambulans, stesen servis bergerak untuk EV dan juga Pace Car.

Malah untuk memberikan peluang orang ramai menghasilkan varian Rangga mereka sendiri, Toyota Astra Motor (TAM) telah mengadakan satu pertandingan rekaan digital yang boleh diserta oleh semua orang. Satu template asal Rangga diberikan, dan peserta boleh menghasilkan rekaan masing-masing dalam tiga kategori berbeza iaitu perniagaan, gaya hidup dan perkhidmatan awam.

Rekaan-rekaan tersebut sudah disiarkan di laman sesawang pertandingan itu, dan anda boleh lihat pelbagai idea diterjemahkan termasuk trak ais krim, kenderaan menyelamat untuk pasaukan Bomba, kenderaan camper dan pelbagai lagi.

Rangga bukan sekadar konsep, ia sebenarnya sudahpun hampir masuk ke fasa produksi dan bakal dijual pada lewat tahun ini atau awal tahun depan. Dan sembilan pemenang pertandingan ini akan menyaksikan rekaan mereka akan muncul dalam bentuk nyata bagi dijadikan mock-up ketika pelancaran model produksi sebenar Rangga ini kelak.

Walau bagaimanapun, Rangga dijangka akan dilancarkan di Thailand terlebih dahulu, diikuti Indonesia dan pasaran lain. Menurut pengarah pemasaran TAM, Anton Jimmi Suwandy dalam laporan akhbar Kompas, Rangga adalah lebih kecil dan akan dijual lebih murah dari Hilux iaitu bermula 200 juta hingga 300 juta Rupiah (sekitar RM60,461 to RM90,691).

Manakala dalam laporan Top Gear Filipina, model produksi Rangga ini turut akan dijual di negara berkenaan, meneruskan legasi Toyota Kijang yang dijual di sana juga pada era 90’an dengan nama Toyota Tamaraw – nama yang diberikan sempena nama kerbau kerdil yang berasal dari pulau Mindoro, Filipina.

Menurut Top Gear PH lagi, buat permulaan Rangga akan ditawarkan dengan pilihan enjin turbodiesel dan petrol, kemudian bakal disusuli pilihan hibrid dan elektrik penuh (EV) selepas itu. Tiada perincian teknikal rasmi dari Toyota lagi diumumkan setakat ini, namun dilaporkan Rangga akan hadir dengan pilihan model cab dan casis.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required