Toyota Hilux GR Sport II – selepas Australia kini Eropah juga dapat Hilux lebih lebar, tapi kurang kuasa

Toyota Hilux GR Sport II – selepas Australia kini Eropah juga dapat Hilux lebih lebar, tapi kurang kuasa

Selepas Australia, kini giliran pasaran Eropah pula mendedahkan trak pikap Toyota Hilux dengan badan dan juga trek roda lebih lebar – Ini dia, Toyota Hilux GR Sport 11 2024 yang bakal dijual di benua berkenaan bermula separa kedua tahun hadapan.

Pada bahagian luaran, model pasaran Eropah ini kelihatan hampir sama dengan Toyota Hilux GR Sport 2023 pasaran Australia yang sudah mula dijual bulan lalu. Pada bahagian muka ia diberikan gril dengan skrip ‘Toyota’ pada kedudukan lebih tinggi dan kemasan sebelah bawah berbeza dengan ruang liang udara lebih banyak. Bampar hadapan juga kelihatan jauh berbeza dari model biasa dengan perumah lampu kabus tidak bersegi.

Bagi menjadikan Hilux GR Sport ini lebih lebar untuk rupa yang jauh lebih agresif, ia diberikan overfender yang jauh lebih lebar berbanding Hilux biasa dalam kemasan Satin Black. Ia bukan hanya untuk kosmetik semata-mata kerana suspensi Hilux GR Sport ini juga telah di ubah bagi memberikan jarak trek roda yang lebih lebar. Logo eksklusif GR pula ditampal pada gril hadapan dan juga pintu tailgate belakang.

Namun ada beberapa perincian yang berbeza antara model pasaran Hilux GR Sport II Eropah ini dengan Hilux GR Sport Australia. Model di Eropah ini diberikan bar sport aero berwarna hitam pada bed belakang, namun ia tidak diberikan pelindung bawah hadapan dan juga dua cangkuk tunda berwarna merah seperti yang dilengkapkan pada model pasaran Australia.

Toyota Hilux GR Sport II – selepas Australia kini Eropah juga dapat Hilux lebih lebar, tapi kurang kuasa

Menurut Toyota Eropah, rekaan luaran baharu pada Hilux GR Sport II ini memberikan kesan aerodinamik yang lebih baik menerusi struktur tirai udara yang terbentuk dari bampar hadapan bersama perumah lampu kabus, memberikan keberkesanan seretan udara yang lebih baik serta mengurangkan golakan udara dalam ruang roda. Aero Sports Bar dan penutup dek yang dipasang turut membantu aspek ini.

Rupa trak pikap ini dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi berdiameter 17-inci yang lebih ringan dan direka lebih aerodinamik dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar All Terrain Bridgestone Dueler bersaiz 265/65R17. Angkup brek hadapan diwarnakan merah dengan cakera bersaiz 17-inci berbanding 16-inci pada Hliux biasa, manakala brek dram dibelakang digantikan dengan brek cakera dengan rotor berdiameter 15-inci.

Seperti juga model pasaran Australia, Toyota Hilux GR Sport II ini turut menerima perubahan ketara pada suspensi. Ia bukan hanya menerima penyerap hentak tiub berkembar dengan omboh lebih besar dan spring gegelung berwarna merah yang berlainan dari Hilux standard, malah suspensi tersebut turut menjadikan Hilux GR Sport II ini 20 mm lebih tinggi, serta trek roda 140 mm lebih lebar di hadapan dan 155 mm lebih lebar di belakang.

Ini membolehkan sudut approach model ini mencapai 30 darjah berbanding 29 darjah sebelum ini, serta jarak kelegaan tanah lebih tinggi bagi memudahkan lagi pemanduan pada laluan off-road lebih lasak.

Toyota Hilux GR Sport II – selepas Australia kini Eropah juga dapat Hilux lebih lebar, tapi kurang kuasa

Toyota turut menyatakan bahawa tetapan suspensi baharu ini menjadikan ia sebagai Hilux terbaik dari segi pemanduan tidak kira atas jalan atau off-road, serta menampilkan kestabilan lebih baik dengan daya olengan badan yang dikurangkan dan juga respon stereng yang lebih jitu, membolehkan prestasi pemanduan sporty diberikan tanpa mengorbankan keselesaan untuk kegunaan setiap hari.

Walau bagaimanapun tiada talaan kuasa lebih besar diberikan pada Hilux GR Sport II, dan ia masih dijana oleh enjin turbodiesel 2.8 liter empat silinder sebaris yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm seperti sebelum ini. Sebagai perbandingan, Hilux GR Sport pasaran Australia dan juga pasaran Malaysia menerima enjin 1G-FTV yang kini menerima talaan kuasa 224 PS dan tork maksima 550 Nm.

Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan mod manual yang boleh dioperasikan menerusi pedal penukar gear. Toyota tidak mengumumkan sebarang angka prestasi, namun model ini disahkan mempunyai kebolehan menunda sehingga 3,500 kg dan mampu menampung beban sehingga 1,000 kg. Model lebih sporty ini juga didakwa menghasilkan bunyi getaran lebih kecil bagi memberikan lebih keselesaan dalam kabin.

Untuk bahagian dalaman pula, kabin Hilux GR Sport II ini menerima tema hitam monokromatik dengan tempat duduk sport bersama upholsteri gabungan kulit bersama kemasan-kemasan sued, serlahan perak, jahitan benang kelabu dan juga sulaman logo GR pada perehat kepala hadapan.

Ia juga diberikan perincian seperti logo GR pada pedal penukar gear, set pedal aloi yang disesuaikan dengan ornamen hidrografik pada papan pemuka dan panel pintu dan tali pinggang keledar berwarna merah. Pemandu pula menerima paparan instrumen dengan grafik GR serta roda stereng balutan kulit GR dengan rekaan sedikit berbeza berbading model pasaran Australia kerana tiada penanda pukul 12 berwarna merah.

Model pasaran Eropah ini juga tidak diberikan sistem bunyi JBL seperti Hilux GR Sport di Australia. Untuk sistem infotainmen, ia dibekalkan dengan skrin yang menampilkan hubungan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto yang masih memerlkan wayar.

Ia turut diberikan pakej multimedia dengan sistem navigasi berasaskan cloud, yang sentiasa memberikan maklumat trafik masa sebenar bagi membolehkan pemandu membuat rancangan perjalanan yang tepat dan efisien.

Perisian-perisian pada trak pikap ini seperti perisian untuk sistem telematik Toyota T-Mate dan sistem bantuan pemanduan Toyots Safety Sense juga boleh dikemaskini menerusi sistem over-the-air tanpa memerlukan pemilik membawanya ke pusat servis.

GALERI: Toyota Hilux GR Sport 2023 pasaran Australia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required