Bersama dengan EPU Concept, Toyota juga telah mempamerkan satu lagi model konsep, iaitu Land Cruiser Se Concept di tapak pameran Japan Mobility Show 2023. Ya, ini adalah sebuah Land Cruiser EV yang mungkin akan memasuki fasa pengeluaran tidak lama lagi.
Walaupun menggunakan nama Land Cruiser, model konsep ini tidak lagi menggunakan platform ladder frame, dan diganti dengan jenis monocoque. Menurut Toyota, LC Se ini dapat menawarkan pengendalian yang sangat responsif, yakin untuk berhadapan permukaan mencabar dan menyediakan prestasi pemanduan dengan tork tinggi, seperti yang boleh dijangka dari sebuah EV.
Model konsep ini dinyatakan sebagai sebuah SUV besar dengan tiga baris tempat duduk, tetapi bahagian dalamnya masih belum ditunjuk. Toyota sekadar memanggilnya sebagai sebuah SUV dengan ruang kabin selesa, yang dapat memenuhi keperluan pengguna sedunia yang pelbagai.
Berkenaan gaya dan bentuk, ia mempunyai rekaan tersendiri tanpa mengikuti banyak tanda daripada Land Cruiser sebelumnya. Antara yang jelas adalah kemasan hitam menegak di bawah lampu hadapan, seperti Land Cruiser 300, serta garis tingkap menaik seperti Prado 250 Series.
Untuk saiz, Land Cruiser Se mencatat ukuran panjang 5,150 mm, lebar 1,990 mm, tinggi 1,705 mm dan jarak roda 3,050 mm. Sebagai perbandigan, ia hampir dengan Land Cruiser Prado yang mencatat panjang 4,925 mm, lebar 1,980 mm, tingi 1,870 mm dan jarak roda 2,850 mm.
Perincian lain masih belum didedah, dan kita perlu menunggu maklumat selanjutnya daripada Toyota pada masa hadapan. Setakat ini, apa pendapat anda dengan Land Cruiser elektrik ini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.