Selain GSX-8R, Suzuki juga telah memperkenalkan sebuah lagi model baru yang dipanggil sebagai “crossover tourer“, iaitu GSX-1000GX. Ia akan memberi saingan kepada model seperti BMW S100XR, Kawasaki Versys 1000 atau Tracer 9 GT dalam pasaran.
Asas yang digunakan adalah daripada model sport tourer GSX-1000GT, bermakna ia menggunakan enjin sama, iaitu unit empat silinder 999 cc DOHC yang mampu menghasilkan kuasa 152 PS pada 11,000 rpm dan 106 Nm tork pada 9,250 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan quickshifter secara standard.
Untuk menjadikan GSX-1000GX ini lebih tinggi, Suzuki bukan setakat menggunakan fork yang lebih panjang, tetapi juga menggunakan unit dengan sistem kawalan elektronik semi aktif yang dipanggil sebagai Suzuki Advanced Electronic Suspension (SAES).
Suspensi yang datang daripada Showa ini boleh melaras secara automatik mengikut keadaan jalan untuk menjadikan tunggangan lebih lancar dan stabil. Selain daripada itu, tetapan suspensi ini juga akan berubah bergantung kepada mod tunggangan.
Ciri elektronik lain yang disediakan adalah termasuk Cruise Control, Traction Control, Wheelie Control, Roll Torque Control, Cornering ABS serta skrin TFT 6.5 inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk pelbagai fungsi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.