Seperti dijanjikan oleh teaser yang disiarkan oleh Proton tempoh hari, Proton hari ini sempena acara Proton Tech Showcase di CoE Subang Jaya, buat pertama kalinya mendedahkan SUV eMas 7 yang datang dengan enjin pembakaran dalaman – ini dia Proton eMas 7 PHEV!
Seperti biasa, unit yang didedahkan secara rasmi buat pertama kali ini masih dibalut dengan pelekat penyamaran. Namun ia nampak seperti sudah siap sedia untuk diproduksi kerana telah siap dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD), serta cermin belakang dengan cop jenama Proton. Jadi boleh diagak, pelancarannya mungkin akan dibuat seawal tahun hadapan. Walau bagaimanapun pada cermin hadapan, ia masih sama dengan eMas 7 EV di mana ia masih diberikan cop jenama Geely bersama grafik Bandar Hangzhou.
Proton eMas 7 PHEV ini sebenarnya diasaskan dari Geely Starship 7 di China atau Geely Starray EM-i pada pasaran eksport, yang merupakan versi PHEV bagi Geely Galaxy E5/EX5 dan Proton eMas 7. Pada sebelah luar, Starship 7 tampil dengan beberapa perincian berbeza berbanding EX5 termasuk lampu dan juga bampar hadapan. Ia juga menampilkan pembuka pintu konvensional (tenggelam pada EX5/eMas 7) dan juga perumah nombor pendaftaran belakang yang dialih dari bampar ke pintu tailgate.
Dan untuk Proton eMas 7 PHEV ini, ia menerapkan semua rekaan dari Geely Starship 7, kecuali logo dan skrip Geely ditukar kepada Proton. Bagi unit rangkaian kuasa, ia akan digerakkan oleh unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) EM-i (E-Motive Intelligence). Jadi ia bukan hanya digerakkan oleh enjin petrol, tetapi ia turut disokong oleh motor elektrik dengan bateri yang boleh dicas semula seperti sebuah EV sebenar.
Enjin petrol yang digunakan bagi unit rangkaian kuasa ini adalah sama seperti enjin yang disumbat pada Proton Saga MC3, iaitu enjin BHE15PFI 1.5 liter empat-silinder tanpa turbo dan hanya diberikan sistem suntikan bahan api pada port kemasukan.
Sesuai dengan tugasnya sebagai enjin sokongan pada sistem plug-in hybrid, enjin BHE15PFI pada eMas 7 PHEV ini menerima injap EGR, serta hanya diberikan sistem injap bervariasi (VVT) tunggal dan ia berfungsi dengan kitaran Atkinson sepenuh masa, berbanding enjin pada Saga MC3 yang menerima sistem Dual VVT dan kitaran Atkinson hanya berfungsi ketika beban rendah. Oleh itu kuasa yang dihasilkan hanyalah 99 PS dan tork maksima 125 Nm, berbanding Saga yang ditala bagi menghasilkan kuasa 120 PS/150 Nm.
Unit rangkaian kuasa berkenaan turut dipamerkan di acara Proton Tech Showcase ini. Diberi kod P145, dapat dilihat enjin berkenaan turut tidak menggunakan tali sawat kerana pemampat sistem pendingin hawa beroperasi dengan kuasa elektrik dan ia tidak mempunyai alternator kerana bateri 12V menerima pengecasan semula dari penukar DC-DC. Ini secara langsung mengurangkan kehilangan kuasa parasit seterusnya meningkatkan kadar efisien enjin.
Wakil Geely yang turut datang ke acara Proton Tech Showcase ini mendakwa bahawa enjin tersebut mencapai keberkesanan haba terbaik di dunia pada kadar 47.26%. Ia dicapai menerusi pembakaran yang sangat efisien di mana campuran udara dan bahan api terbakar 20% lebih pantas di dalam kebuk, nisbah balikan (tumble ratio) meningkat sebanyak 21% dan tenaga kinetic adalah 44% lebih baik.
Enjin ini dipadankan dengan kotak gear khas hibrid (DHT) kelajuan tunggal yang turut mempakejkan motor elektrik 12-dalam-1 berkuasa 218 PS dan tork maksima 262 Nm. Dalam kebanyakkan masa motor ini akan menggerakkan sepenuhnya roda hadapan, sementara enjin yang begitu efisien yang dibekalkan berfungsi hanya untuk mengecas bateri litium logam fosfat (LFP) bilah pendek keluaran Aegis berkapasiti 18.4 kWj (19.09 kWj untuk pasaran China).
Namun pada situasi tertentu, enjin petrol tersebut turut akan membantu untuk memacu roda bagi meningkatkan keberkesanan penggunaan bahan api. Padanan ini secara keseluruhan membolehkan badan SUV yang dibawa untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8 saat, serta jarak gerak dengan satu tangki petrol dan satu cas bateri dapat dicapai sejauh 1,065 km, dakwa Proton dalam pembentangan yang dibuat hari ini.
Semakan yang kami buat, Geely Starray EM-i pasaran Australia mendakwa ia boleh bergerak sejauh 83 km dengan kuasa elektrik sepenuhnya dan jarak gerak keseluruhan 943 km yang diuji dalam kitaran WLTP.
Ketika acara ini berlangsung, Proton turut menjalankan tinjauan terhadap pemilik-pemilik X50 terpilih berkenaan eMas 7 PHEV ini. Dalam borang soal selidik tinjauan yang dibuat tersebut turut terdapat pertanyaan terhadap pemilik-pemilik berkenaan adakah mereka akan mempertimbangkan eMas 7 PHEV ini sekiranya ia dijual pada harga sekitar RM20k hingga RM30k lebih mahal berbanding X50.
Proton X50 facelift baru sahaja dilancarkan pada Julai lalu, dijual pada harga bermula RM85,800 hingga RM109,300 untuk varian tertinggi Flagship. Jadi ada kemungkinan eMas 7 PHEV akan dijual pada harga bermula sekitar RM130k hingga RM140k.
Harga tersebut dilihat lebih tinggi dari versi EV eMas 7 yang dijual pada harga RM110k hingga RM124k. Ini kerana kerajaan memberikan insentif pengecualian cukai untuk model-model EV, dan disebabkan ia dipasang secara tempatan (CKD) di Tanjong Malim, eMas 7 akan terus menerima manfaat tersebut sehingga tahun hadapan.
Jadi persoalan untuk anda pula – adakah anda sanggup membayar lebih untuk model PHEV tanpa kegusaran jarak ini, atau memilih model EV penuh eMas 7 yang lebih murah?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.


































































