Chery jadikan Malaysia hab ASEAN dengan kerjasama Inokom; pusat R&D RHD, turut eksport ke Australia

Chery secara rasminya telah kembali ke pasaran Malaysia minggu ini dengan memperkenalkan dua model baharunya iaitu Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 di Malaysia Autoshow 2023 yang sedang berlangsung di MAEPS, Serdang. Bukan itu sahaja, jenama dari China berkenaan turut telah memuktamadkan kerjasamanya dengan syarikat automotif tempatan, Inokom untuk memproduksi model-model Chery secara pemasangan tempatan (CKD) di sini.

SUV tujuh-tempat duduk Chery Tiggo 8 Pro dan juga SUV segmen-B Chery Omoda 5 yang didedahkan berkenaan menampilkan spesifikasi sebenar untuk pasaran Malaysia dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD), dan kedua-duanya merupakan model pertama Chery yang akan diproduksi oleh Inokom menerusi fasiliti seluas 200-ekar yang terletak di Kulim, Kedah.

?Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Inokom. Dengan pengalaman hampir tiga dekad dalam memasang kenderaan pelbagai jenama terkenal dunia, Inokom ialah rakan kongsi yang ideal untuk Chery dalam misi kami bagi bertapak di Malaysia dan menawarkan kenderaan berteknologi dan berkualiti tinggi serta rekaan yang mendahului zaman kepada pengguna Malaysia,? kata pengarah Chery Malaysia Leo Chen.

Selain Malaysia, Chery turut memasang model-modelnya di Indonesia. Namun Chen mengumumkan secara rasmi bahawa Malaysia akan menjadi hab pemasangannya di ASEAN, di mana unit-unit yang dipasang di Kulim akan dieksport ke Thailand, Singapura, Brunei, Vietnam dan juga Australia – kesemua ini merupakan versi RHD kecuali Vietnam.

Chery jadikan Malaysia hab ASEAN dengan kerjasama Inokom; pusat R&D RHD, turut eksport ke Australia

Bukan itu sahaja, Chen juga mendedahkan bahawa Chery merancang untuk mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk produk-produk RHD di Malaysia, yang merangkumi perkara seperti ujian serantau, latihan dan juga pengedaran komponen.

Model-model awalan yang akan dipasang di Malaysia merupakan kenderaan-kenderaan yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman, namun Chery turut merancang untuk memasang model-model dengan teknologi elektrifikasi termasuk plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik penuh (EV) di sini selepas ini.

?Seperti yang telah kami lakukan dengan jayanya di banyak pasaran lain, Chery berazam untuk menempatkan operasinya di Malaysia sejauh mungkin. Kami percaya ini akan membawa kami lebih dekat dengan pengguna Malaysia untuk memahami sepenuhnya keperluan dan kehendak mereka, apatah lagi menyumbang secara ekonomi kepada negara melalui pemindahan teknologi serta penciptaan peluang pekerjaan dan strategik,? kata Chen.

Chery jadikan Malaysia hab ASEAN dengan kerjasama Inokom; pusat R&D RHD, turut eksport ke Australia

?Kami juga mempercepatkan semua aspek lain dalam strategi lokalisasi kami, termasuk merekrut bakat terbaik Malaysia dalam bidang seperti produk, jualan, selepas jualan, penjenamaan dan pemasaran, dan sudah tentu melalui rangkaian pengedar kami ? kami sasarkan untuk membuka tidak kurang daripada 30 pengedar meliputi semua bandar utama di seluruh negara,? tambahnya lagi.

Jika anda masih terbayang-bayang akan model-model Chery terdahulu yang dijual di pasaran tempatan, anda mungkin terkejut dengan produk-produk terbaharu jenama berkenaan yang dibawa ke sini. Spesifikasi dan imej berkenaan Chery Tiggo 8 Pro boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan Omoda 5 pula pada PAUTAN INI.

Harga bagi kedua-duanya masih belum diumumkan, dan keduanya-duanya akan dilancarkan secara rasmi menjelang akhir Jun atau awal Julai tahun ini. Model elektrik penuh Omoda 5 pula dijangka akan tiba di sini pada akhir 2023, manakala versi PHEV dirancang untuk diperkenalkan dalam pasaran tempatan pada awal tahun hadapan.

GALERI: Chery Tiggo 8 Pro di Malaysia

GALERI: Chery Omoda 5 di Malaysia