Tahun lalu ketika berlangsungnya acara Auto Shanghai 2025, Chery telahpun melancarkan jenama trak pikap baharu yang disasarkan untuk pasaran global yang dikenali sebagai Himla. Namun di China, jenama itu sebenarnya dikenali sebagai Rely, dan ketika berlangsungnya persidangan pernigaan Chery pada 16 Januari lalu, sebanyak lima model Rely telah pun didedahkan.
Barisan model Rely yang dikenali sebagai R08 ini menampilkan rupa yang sama dengan model-model Himla yang didedahkan pada tahun lalu, dan ia hanya dibezakan menerusi pelbagai unit rangkaian kuasa yang ditawarkan termasuk dalam versi enjin pembakaran dalaman sepenuhnya, hibrid dan juga elektrik penuh (EV).
Model yang anda lihat ini adalah Rely R08 EV iaitu model yang digerakkan sepenuhnya dengan bateri dan motor elektrik. Ia turut ditawarkan dalam versi yang lebih lasak dikenali sebagai R08 Pro. Lain-lain model Rely yang diperkenalkan pada waktu yang sama adalah termasuk P2X dan P3X.
Rely 08 EV ini juga sebenarnya sudah mula dijual di China pada 27 Januari lalu, ditawarkan pada harga bermula 127,800 yuan hingga 158,800 yuan (sekitar RM72k hingga RM90k). Sebanyak enam varian boleh dipilih, masih menggunakan kerangka badan jenis ladder frame, ia hadir dalam versi satu- dan dua-motor elektrik.
Bagi varian motor tunggal, ia hanya memacu roda belakang dengan kuasa 204 PS dan tork 350 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 8 saat. Manakala untuk versi dua motor, salah satu motor turut memacu roda hadapan bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda, dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 408 PS dan tork 540 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 5 saat.
Rely 08 EV ini juga datang dalam dua pilihan bateri iaitu 66.54-kWj dan 88-kWj, memberikan jarak gerak 405, 510 dan 505 km berdasarkan konfigurasi unit rangkaian kuasa.
Dari segi rupa, tak banyak perincian yang membezaka Rely 08 EV ini dengan versi enjin pembakaran dalaman. Perbezaan paling ketara untuk mengenali versi EV ini adalah dengan kewujudan port pengecaj dengan penutup besar terletak pada gril hadapan, iaitu di bawah skrip ‘RELY’.
Menurut laporan Yiche, Chery Rely 08 EV ini datang dalam versi bed belakang standard dan panjang. Bagi versi standard, dimensi trak pikap ini adalah 5,330 mm panjang, 1,890 mm tinggi dan bed sepanjang 1,530 mm. Manakala versi bed panjang pula, panjang keselruhannya juga meningkat kepada 5,610 mm dengan bed yang dipanjangkan kepada 1,810 mm. Lebar dan tinggi bed untuk kedua-dua versi masih sama iaitu masing-masing 1,620 mm dan 515 mm.
Pada bahagian kabin, trak pikap ini datang sama ada dengan kemasan dalaman perang cerah dan hitam serta kemasan-kemasan krom, bersama skrin infotaimen 15.6-inci atau 12.3-inci. Model varian-varian tinggi menerima fungsi ADAS seperti cruise control adaptif, bantuan kekal lorong serta brek kecemasan automatik.
Bagi Rely 08 yang bukan EV, ia dijual pada harga antara 128,800 dan 185,800 yuan (RM73k dan RM105k). Ada sembilan varian model tanpa bantuan elektrik ini, di mana kesemuanya menerima enjin turbodiesel 2.3 liter berkuasa 163 PS dan tork maksima 420 Nm, digandingkan bersama kotak gear sama ada enam kelajuan manual dan lapan kelajuan automatik, dengan pilihan hanya pacuan roda belakang dan pacuan semua roda.
Adakah trak pikap Himla atau Rely ini akan ke pasaran Malaysia? Masih lagi tak dapat dipastikan, namun Chery kini sedang sibuk membuka sub-sub jenamanya di pasaran tempatan, seperti Jaecoo, Omoda, ICaur dan yang terkini adalah Lepas.








