MINI Countryman EV kini sediakan jarak gerak WLTP sehingga 500 km, inverter silikon karbida baru

MINI Countryman EV diberikan kemas kini yang membolehkannya bergerak lebih jauh dengan satu cas penuh. Penambahbaikan ini dicapai menerusi penggunaan inverter silikon karbida baru, meningkatkan kapasiti bersih baterinya kepada 65.2 kWh berbanding 64.6 kWh sebelum ini, serta pengurangan geseran pada bearing roda hadapan.

Hasilnya, varian asas Countryman E kini menawarkan jarak pemanduan sehingga 501 km mengikut piawaian WLTP, manakala varian SE All4 pula mencapai 467 km. Angka ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding jarak sebelum ini, iaitu 462 km untuk Countryman E dan 433 km bagi SE All4.

Menariknya, MINI menyatakan kapasiti ruang but kini adalah sehingga 1,450 liter, sedangkan sebelum ini ia disenaraikan pada 1,530 liter. Sama ada bateri fizikalnya benar-benar lebih besar atau tidak masih tidak jelas, memandangkan pengeluar hanya mengesahkan peningkatan kapasiti bersih bateri.

Masa pengecasan pantas DC dari 10 hingga 80 peratus kekal sekitar 30 minit, dengan kadar pengecasan maksimum masih dijangka pada 130 kW untuk DC dan 22 kW bagi AC.

Di Malaysia, SE All4 merupakan satu-satunya varian MINI Countryman tanpa pelepasan emisi yang ditawarkan. Model ini dilengkapi dua motor elektrik yang menghasilkan 313 PS kuasa dan 494 Nm tork, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.6 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 180 km/j.