Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • India uji ‘bonggol maya’ untuk kurangkan kematian

    India-virtual-speed-bump_BM

    India sedang menguji bonggol “maya” baharu dengan objektif untuk mengurangkan kematian yang disebabkan oleh bonggol sebenar dan lubang pada jalan raya, lapor CarAdvice. Berdasarkan laporan kemalangan di India pada tahun 2014, sebahagian daripada 11,000 kematian direkodkan akibat daripada bonggol dan lubang di atas jalan raya.

    Statistik menunjukkan jumlah kenderaan di India meningkat dengan mendadak tiga tahun kebelakangan ini, dari lima juta kepada lebih dari 75 juta, dan infrastruktur di negara tersebut tidak meningkat dengan cepat seiring dengan jumlah pertambahan kenderaan tersebut. Kedua-dua faktor tersebut dikatakan menjadi sebab utama pembinaan bonggol unik ini.

    Dengan ini, pihak berkuasa India telah mengarahkan agar bonggol di atas jalan raya dan di persimpangan dibuang.Ia akan digantikan dengan lukisan 3D yang menghasilkan imej bonggol. Tujuan utama lukisan 3D tersebut adalah untuk memperlahankan pemandu untuk memastikan keselamatan pejalan kaki. Walau bagaimana pun, faedah lain daripada pembinaan bonggol “maya” tersebut adalah ia lebih murah dari bonggol sebenar.

    “Kami akan mencuba lukisan 3D ini digunakan sebagai bonggol maya untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti pada bonggol sebenar,” jelas Nitin Gadkari, Menteri Pengangkutan India di laman twitter beliau. Menteri tersebut juga menambah, ia juga akan diuji di beberapa lebuhraya. “Jika ia tidak mendatangkan apa-apa masalah berhubung keselamatan jalan raya, kami akan mengujinya ke tahap seterusnya,” ujar beliau.

    Program sebegini telah wujud di negara-negara lain. Ia telah diuji di Amerika Syarikat pada 2008, di mana bonggol pada sebahagian 100 simpang digantikan dengan lukisan 3D. Di negara-negara Scandinavia dan Kanada juga pernah menguji program yang sama.

     
     
  • Penggunaan pengangkutan awam di KL disasarkan meningkat 60% menjelang 2020 – Loga Bala

    Rapid-KL-Double-Decker-Bus-02

    Kementerian Wilayah Persekutuan telah mensasarkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam di ibu kota Kuala Lumpur sehingga 60% menjelang tahun 2020. Ia adalah sebagai salah satu langkah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

    Menurut Timbalan Menterinya Datuk Dr J Loga Bala Mohan, sebanyak 40% penggunaan pengangkutan awam pula disasarkan di kawasan luar pusat bandar, laporan Bernama.

    Katanya, ketika ini kadar penggunaan pengangkutan awam di Kuala Lumpur adalah sangat rendah iaitu sekitar 20% berbading di kebanyakan bandaraya utama di dunia seperti Tokyo dan Singapura yang melebihi 75%.

    Kenyataan ini diberikan dalam persidangan Dewan Negara yang berlangsung semalam sebagai menjawab pertanyaan Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang mahu kementerian menyatakan apakah usaha yang akan dilakukan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.

    “Langkah utama untuk menyelesaikan masalah ini adalah menerusi perancangan yang selari dengan ‘Perhubungan Berorientasikan Transit’ dan ‘Pengurusan Permintaan Perjalanan’. Justeru, meningkatkan penggunaan pengangkutan awam adalah langkah paling efektif untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya,” katanya.

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Kuala Lumpur khususnya, pelbagai inisitif berbentuk kemudahan serta infrastruktur fizikal telah dibuat. Antaranya penyediaan hentian akhir di bandar, ‘park and ride’, rangkaian siar pejalan kaki yang selesa dan selamat, hubungan bangunan ke bangunan, panel informasi perkhidmatan bas, laluan pejalan kaki berbumbung dan sebagainya.

    Selain itu katanya, usaha-usaha secara faktor daya tolak kepada penggunaan kenderaan persendirian sedang dalam perancangan seperti meningkatkan kadar bayaran letak kereta, caj kesesakan dan penetapan zon bebas kenderaan.

    Selain itu, menerusi inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengangkutan Awam Bandar dan juga Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur sedang memperluaskan perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang khususnya sistem rel.

    “Antaranya, mempeluaskan perkhidmatan sistem rel melalui projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang yang dijangka siap 2017 mampu menampung sekitar 400,000 penumpang sehari dan kerja-kerja MRT 2 laluan Sungai Buloh-Putrajaya telah pun dimulakan. Apabila siap, dijangka peratusan pengguna pengangkutan awam akan meningkat dan secara tidak langsung kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur akan berkurangan,” katanya.

     
     
  • Nissan Kicks 2016 didedahkan, bakal bersaing dengan Honda HR-V dalam pasaran crossover segmen-B

    Nissan Kicks

    Nissan Kicks secara rasminya telah membuat kemunculan pertamanya di Brazil. Menurut Nissan, crossover segmen-B ini dibina untuk “penduduk bandar yang sangat sibuk”, dan akan dijual di Brazil bermula Ogos ini dan kemudian akan menembusi pasaran Amerika Latin. Ia juga turut akan dilancarkan di lebih 80 negara yang lain.

    Model pesaing Honda HR-V dari Nissan ini berukuran 4,295 mm panjang, 1,760 mm lebar dan 1,590 tinggi dengan jarak roda keseluruhan 2,610 mm. Bahagian luaran kereta ini menampilkan gril hadapan V-motion, lampu hadapan dan belakang boomerang dan juga bumbung yang kelihatan seperti terapung dengan kemasan hitam pada tiang-A dan tiang-C.

    “Aliran dinamik dan bentuk badan yang besar adalah kontras dengan sudut-sudut tajam dan ini turut memperincikannya. Kami menggelarnya geometri emosional,” kata Pengarah Rekabentuk Esekutif Nissan, Mamoru Aoki.

    Menurut Nissan lagi, kebanyakkan perhatian ditumpukan pada aerodinamik keseluruhan kereta ini. Selain untuk prestasinya, objektif sebenar adalah untuk meningkatkan keselesaan kereta ini dengan mengurangkan bunyi angin. Nissan juga menyatakan “bahagian penumpang belakang kereta ini menjanjikan yang terbaik dalam kelasnya, walaupun mempunyai rekaan bumbung belakang seperti sebuah coupe.” Ia juga didakwa mempunyai ruang kargo yang paling luas berbanding pesaing sekelasnya.

    Pada bahagian hadapan, penumpang disajikan dengan rekaan papan pemuka baharu Nissan yang menampilkan unsur Gliding Wing. Ia turut dilengkapi dengan skrin sesentuh tujuh-inci untuk sistem infotaimen pada konsol tengah. Roda stereng kereta ini juga menampilkan rekaan rata pada bahagian bawah untuk menonjolkan imej yang lebih premium.

    Kicks dilengkapi dengan monitor pandangan sekeliling dan pengesan objek bergerak. Sistem tersebut terdiri dari empat buah kamera yang diletakkan disetiap sudut crossover ini, bagi mengesan halangan dan bahaya serta akan memberi amaran kepada pemandu. Sebagai segmen pertama seumpamanya dalam rantau itu, tawaran ini adalah sebahagian dari visi Nissan Intelligent Mobility.

    Untuk memenuhi permintaan permulaan di Brazil, Kicks akan diproduksi di Kilang Nissan Aguascalientes, Mexico. Produksi berskala penuh pula akan dimulakan kemudian di Kilang Nissan Resende, Rio de Janeiro, di mana Nissan telah melaburkan sejumlah USD$192 juta (RM754 juta) untuk fasiliti berkenaan.

    Walau bagaimana pun, Nissan masih belum mengumumkan spesifikasi dan perincian serta unit janakuasa SUV ini, dan hanya akan diumumkan tidak lama sebelum pelancaran sebenarnya. Tetapi boleh dijangkakan ia akan dikuasakan dengan enjin petrol 1.6 liter empat-silinder tanpa induksi paksaan berkuasa 110 hp dan dipadankan sama ada dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau CVT automatik.

     
     
  • Ferrari lantik Sergio Marchionne sebagai CEO baharu

    Sergio-Marchionne

    Ferrari telah mengumumkan perlantikan Sergia Marchionne sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi syarikat ini, mengambil alih tugas Amedeo Felisa, yang telah berada di posisi tersebut selama 26 tahun. Walau bagaimana pun, Felisa akan meneruskan khidmatnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Ferrari dan juga bertindak sebagai penasihat teknikal jenama itu.

    Dalam kenyataan rasminya, Marchionne berkata, “saya telah lama mengenali Amedeo lebih dari sedekad dan saya banyak peluang bekerja secara rapat dengannya dalam tempoh dua tahun sebelum ini. Tanpa rasa ragu, beliau boleh dikatakan sebagai jurutera automotif terbaik di dunia. Sepanjang tempoh 26 tahun ini, beliau berusaha gigih bagi pembangunan teknikal Ferrrai, menghasilkan banyak model yang menepati standard prestasi dan gaya.”

    CaliforniaT_Ext_05

    Dengan langkah ini, Marchionne yang sebelum ni juga CEO bagi Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dan kini sebagai pengerusi Ferrari, akan terus berusaha untuk menaikkan lagi jenama ini. Malah beliau turut menaikkan sasaran pengeluaran tahunan Ferrari ke 9,000 unit menjelang tahun 2019. Perancangan pengembangan strategik ini juga termasuk dengan membawa Ferrari ke pasaran barangan mewah.

    Bukan setakat perencanaan untuk menaikkan lagi penjenamaan syarikat ini, ia juga bagi terus mengekalkan kedudukan Ferrari di persada antarabangsa. Malah Marchionne juga mahukan syarikat ini tersenarai dalam New York Stock Exchange (NYSE) dan Italian Stock Exchange (Borsa Italiana).

     
     
  • Volvo Car Malaysia lancar Adventure Pack untuk V40 dan Volvo Life Paint untuk pasaran tempatan

    Volvo-V40-Adventure-Pack-01_BM

    Hujung minggu yang lalu, Volvo Car Malaysia (VCM) dengan kerjasama salah sebuah pengedar mereka, Clear Marque telah melancarkan dua produk terbaharu mereka iaitu Adventure Pack untuk Volvo V40 dan juga Volvo Life Paint bersempena acara berbasikal RHB-Shimano Highway Ride yang dianjurkan oleh pGo Sportz.

    Adventure Package yang baharu sahaja tersenarai dalam pakej aksesori pilihan untuk model Volvo V40, menampilkan barisan aksesori untuk mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif. Pakej yang terdiri daripada load carrier untuk bumbung dan juga pemegang badan basikal ditawarkan dengan harga promosi istimewa iaitu RM2,536 termasuk GST dan upah pemasangan.

    Aksesori lain yang turut boleh dipilih dalam pakej Adventure ini termasuk pelapik kotoran untuk bampar belakang (RM352), pelapik ruang kargo, (RM776) dan poket jaring untuk ruang parcel (RM245). Harga promosi untuk Adventure Package ini hanya sah sehingga September 2016.

    LIFEPAINT_BM

    VCM juga telah melancarkan Volvo Life Paint, iaitu cat semburan reflektif berasaskan air yang dibina bersama Albedo100 khas untuk penunggang basikal. Cat istimewa ini tidak akan kelihatan di bawah sinaran cahaya matahari, tetapi ia akan bersinar jika disuluhkan cahaya. Cat ini juga akan bersinar di waktu malam, apabila disuluh dengan lampu kereta. Jadi, penunggang basikal masih lagi boleh dilihat oleh pemandu kereta walaupun dalam keadaan malam yang pekat.

    Volvo Life Paint dijual pada harga RM110 termasuk GST dan boleh ditempah di semua pengedar sah Volvo seluruh negara bermula pertengahan Mei ini.

     
     
  • Kenderaan yang rosak atau tersadai perlu segera dialihkan bagi mengelakkan kemalangan – Liow

    breakdown-stranded

    Kenderaan yang rosak, terlibat dengan kemalangan atau pun tersadai begitu sahaja harus segera dialihkan dari tepi jalan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, termasuk kemalangan, ujar Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Beliau berkata, syarikat konsesi lebuhraya dan agensi kerajaan yang terlibat harus memastikan kenderaan yang dalam keadaan begini dan sebarang halangan atau objek berbahaya di atas jalan raya harus segera dialihkan, laporan The Star.

    Liow berkata sebanyak 489,600 kemalangan jalan raya dan 6,706 kematian berlaku pada tahun lalu, Malaysia merupakan antara 20 negara di dunia yang mencatatkan kadar kemalangan trafik tertinggi. Dengan peningkatan kadar kemalangan ini, kerajaan telah mengumumkan empat perkara penting sebagai menangani isu ini.

    Empat perkara tersebut adalah implementasi AES dan Sistem Mata Demerit Kejara (AWAS), pematuhan berat bagi kenderaan komersial, penilaian keselamatan jalan raya dan siasatan kemalangan bagi ECE 2 serta cadangan untuk meningkatkan dan melaksanakan Program Penilaian Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa (IRAP) di Malaysia.

     
     
  • Nasim membelanja RM5 juta untuk tingkatkan khidmat selepas jualan Peugeot demi kepuasan pelanggan

    Photo 1

    Sebagai memenuhi kepuasan para pelanggan, Nasim Sdn Bhd, pengedar rasmi bagi Peugeot di Malaysia, sanggup mengeluarkan kos pelaburan sejumlah RM5 juta untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualan. Dengan kos pelaburan sebanyak itu, pusat teknikal dan pusat mengecat dan membaiki badan kenderaan baharu telah dibangunkan, di samping menawarkan Bantuan Tepi Jalan percuma selama tiga tahun untuk pelanggannya.

    “Pelaburan sebanyak RM5 juta ini adalah untuk memperhalusi penyelesaian masalah-masalah dengan lebih tepat dan berkesan termasuk dalam membaikpulih kenderaan dan sebagainya. Malah ia juga adalah bukti komitmen kami terhadap para pelanggan iaitu dengan meningkatkan lagi perkhidmatan selepas jualan,” ujar Dato’ Samson Anand George, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Naza Automotive Group, Naza Corporation Holdings.

    Pusat teknikal yang terletak di Glenmarie menawarkan perkhidmatan untuk memeriksa dan diagnosis kenderaan daripada sudut teknikal. Dengan keluasan 19,000 kaki persegi dan pelaburan sebanyak RM2.5 juta, ia mempunyai 10 petak penyelenggaran dengan 17 juruteknik terlatih. Pusat teknikal ini turut memiliki perkakasan dan perisian yang canggih serta terkini untuk perkhidmatan yang diperlukan.

    Manakala dengan pelaburan sebanyak RM2 juta, Peugeot Puchong Body and Paint yang berkeluasan 20,000 kaki persegi ini mempunyai 16 ruang untuk membaiki dan mengecat kenderaan dan mampu menampung 80 unit kereta sehari.

    Bukan itu sahaja, bagi bantuan bergerak, Peugeot Malaysia turut menawarkan Bantuan Tepi Jalan percuma selama tiga tahun. Servis 24 jam ini meliputi bantuan kecemasan sekiranya kenderaan mengalami kerosakan di tepi jalan, bantuan menunda dari rumah atau lokasi kerosakan, bantuan menunda untuk Singapura dan Thailand, perkhidmatan teksi dan lain-lain. Ia boleh digunakan di mana-mana sahaja, dan bila-bila masa termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand (kecuali semua pulau selain Pulau Pinang dan Langkawi).

    Kesemua model Peugeot turut didatangkan dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan bersama bantuan Tepi Jalan 24 Jam Nasim, akses ke Peugeot Lounge di Subang Skypark dan keahlian Peugeot Privilege.

     
     
  • 400 pemandu Uber di Pulau Pinang mogok

    uber-x-car_BM

    Gara-gara tidak berpuas hati dengan bayaran yang diterima, sekumpulan 400 orang pemandu Uber telah melancarkan mogok di Pulau Pinang sejak Jumaat lalu. Menurut laporan Berita Harian, ia dikatakan berlaku apabila Uber menawarkan potongan harga kepada pelanggannya sempena sambutan setahun perkhidmatannya di negeri berkenaan.

    Di mana sepanjang tempoh promosi tersebut, Uber hanya mengenakan caj antara 40 sen hingga 60 sen bagi setiap kilometer sahaja kepada penumpangnya buat masa ini. Namun kadar itu dijangka kembali normal selepas sambutan ulang tahun pertamanya berakhir minggu ini.

    Namun bagi para pemandu Uber, tawaran ‘istimewa’ tersebut tidak mendatangkan sebarang untung buat mereka. Malah mereka juga terpaksa menerima bayaran yang terlalu rendah hingga ada yang dipotong lebih 25%.

    Laporan tersebut menyebut, lebih 40 pemandu Uber Pulau Pinang turut ditamatkan perkhidmatan selepas pihak pengurusan syarikat mengesan cubaan mereka mengadakan bantahan secara beramai-ramai. Walau bagaimana pun, buat setakat ini tiada wakil Uber yang tampil memberikan sebarang penjelasan.

     
     
  • Para bumbung punca utama penggunaan lebih 378 juta liter bahan api tambahan di Amerika Syarikat

    Thule_Box_Proton_Persona_Large_BM

    Mana-mana tips berkaitan penjimatan penggunaan bahan api, pasti poin berkenaan mengurangkan beban yang tidak perlu diketengahkan. Adakah sangat penting untuk kita mengurangkan beban pada kereta untuk mendapatkan pengunaan bahan api yang lebih ekonomi? Satu kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat yang menunjukkan pengguna di negara berkenaan menggunakan lebih 378 juta liter (100 juta gelen) bahan api tahun lalu atas sebab membawa bebanan yang lebih.

    Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Lawrence Berkeley National Laboratory (Berkely Lab) tersebut, punca utama yang menyebabkan penambahan beban untuk kenderaan-kenderaan di Amerika Syarikat adalah kerana pemasangan para bumbung (roof-rack). Kajian yang dijalankan oleh penyelidik Alan Meier, dengan kerjasama Yuche Chen dari National Renewable Energy Laboratory mendedahkan, penggunaan aksesori yang semakin mendapat sambutan tersebut adalah penyebab utama jumlah penggunaan bahan api berlebihan yang dianggarkan itu.

    Hasil kajian menunjukkan pada 2015, penggunaan para bumbung menyebabkan penggunaan lebih 0.8% atau 100 juta gelen bahan api pada kenderaan ringan dalam Amerika Syarikat, atau hampir satu peratus dari penggunaan keseluruhan bahan api nasional negara tersebut. Menurut kajian tersebut juga, angka berkenaan dianggarkan akan meningkat. Penggunaan para bumbung di Amerika Syarikat dijangka akan meningkat 200% menjelang 2040.

    Penggunaan para bumbung memerlukan kenderaan menggunakan lebih tenaga untuk bergerak bukan sahaja dari segi berat, malah ia juga turut terkesan akibat seretan aerodinamik yang berlaku. Bergantung kepada konfigurasi, aksesori ini boleh menyebabkan penggunaan bahan api berlebihan sehingga mencecah 25% pada kereta penumpang biasa. Penggunaan bahan api berlebihan disebabkan pemasangan para bumbung ini adalah enam kali lebih besar dari penjimatan bahan api yang dianggarkan untuk kenderaan fuel cell dan 40% dari penjimatan bahan api dari kenderaan EV pada 2040 nanti.

    Kajian tersebut turut menyatakan cara untuk mengatasi kesan tersebut. Contohnya, rekaan para bumbung yang lebih aerodinamik dan juga polisi yang memerlukan pengeluar melabelkan tahap penggunaan tenaga lebihan pada setiap unit para bumbung tersebut. Penjimatan tenaga yang lebih bagus juga dapat dilakukan dengan rekaan para bumbung yang mudah ditanggalkan, membolehkan pengguna membukanya dengan mudah apabila tidak digunakan.

     
     
  • VIDEO: Honda Civic 2016 makin rancak di Indonsia

    Sementara melayan debaran menantikan Honda Civic 2016 dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi, mari tonton klip video dari negara seberang ini. Kini Indonesia sedang rancak mempromosikan model generasi ke-sepuluh sedan segmen-C ini.

    Civic baharu telah pun mula dijual di Indonedia dengan varian tunggal spesifikasi Turbo, dijanakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo suntikan-terus empat-silinder. Ia mampu menghasilkan 173 hp dan 220 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT sebagai standard.

    Video ini memaparkan beberapa ciri utama yang ditampilkan, termasuklah lampu utama LED sepenuhnya, rim aloi dua-tona 17-inci, lampu belakang kombinasi LED dan kekemasan ekzos berkembar yang menampakkan model ini lebih unik. Di dalamnya, perincian kulit dan kekemasan jahitan turut ditampilkan, selain tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-cara dan sistem Kawalan Penghidup Enjin.

    Malah model di Indonesia juga tidak menerima beberapa elemen yang ada pada pasaran Thai termasuk kluster instrumen LCD TFT atau sistem hiburan Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci. Ia telah digantikan dengan unit selepas pasaran berasaskan-Android dengan sambungan telefon pintar MirrorLink.

    Kit keselamatan termasuk enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki dan cagak ISOFIX di tempat duduk belakang. Tidak seperti model Turbo RS di Thai, versi Indonesia ini juga tidak menerima paparan titik buta Honda LaneWatch. Ia boleh didapati dengan lima pilihan warna dan warna serba hitam untuk dalam kabinnya. Honda Civic Turbo baharu ini dijual pada harga Rp. 475 million (RM141,419) di Indonesia.

    Tidak sabar menantikan Honda Civic 2016 di Malaysia? Daftar Ride The Dream untuk menunjukkan minat anda terhadap model ini.

    GALERI: Honda Civic Turbo 2016 pasaran-Indonesia

     
     
  • BMW dedah barisan enjin diesel baharu mereka – 400 hp/ 760 Nm, disuap dengan empat unit pengecas turbo

    Screen-Shot-2016-04-30-at-01.25.22-e1462240791675_BM

    Jika sebelum ini BMW menggempar dunia automotif dengan memproduksi enjin diesel dengan tiga pengecas turbo menjana BMW M550xd F10, BMW X5 M50d and BMW X6 M50d empat tahun lalu, tahun ini di Vienna Motor Symposium 2016 jenama automotif dari Jerman tersebut memperkenalkan pula enjin diesel generasi baharu 3.0 liter empat silinder sebaris dengan empat pengecas turbo yang lebih berkuasa, lapor Bimmerpost.

    Suapan udara positif dari empat turbin berkenaan berupaya untuk mengekstrak sejumlah 400 hp pada sekitar 4,000 hingga 4,400 rpm dan letusan tork maksima 760 Nm bermula 2,000 hingga 3,000 rpm dari enjin diesel enam silinder tersebut. Ini menjadikan enjin baharu berkenaan 19 hp lebih berkuasa dan 20 Nm lebih tork berbanding enjin N57S dengan tiga pengecas turbo sedia ada.

    Screen-Shot-2016-04-30-at-00.27.30_BM

    Enjin baharu ini menyaksikan konfigurasi pengecas turbo tekanan tinggi tunggal yang menyediakan boost pada peringkat rpm tinggi kini digantikan dengan pengecas turbo berkembar dengan berat yang sama, memberikan respon enjin yang lebih bagus, kelajuan rpm yang lebih tinggi dan juga lebih menjimatkan kos.

    Enjin dengan revolusi teknolgi terkini ini dilaporkan akan digunakan pada model 7 Series baharu (G11/G12) 750d, menggantikan penggunaan enjin diesel tiga pengecas turbo yang lain. Padanan enjin berkenaan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan XF 8HP membolehkan kerangka gergasi 7 Series tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat dan kelajuan maksima dihadkan pada 249 km/j, menjadikan sedan diesel ini sebagai pesaing hebat kepada sedan V8 berkuasa petrol dalam pasaran. Enjin baharu ini juga dikatakan menggunakan bahan api lima peratus lebih ekonomi berbanding enjin terdahulu.

     
     
  • E-Hailing bakal selesaikan kemelut pemandu teksi dan aplikasi perkongsian kenderaan hujung tahun ini

    uber-x-car

    Cadangan “e-hailing” yang dihantar oleh Suruhajaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ke kabinet bulan lalu yang telah disokong oleh Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) mungkin akan membolehkan servis perkongsian kenderaan atas talian seperti Uber dan Grab beroperasi secara sah, lapor The Sun Daily.

    Cadangan yang turut memperincikan pemulihan dan transformasi industri teksi negara itu akan dibentangkan di kabinet hujung bulan ini.

    Menurut laporan portal tersebut, cadangan pada “e-hailing” ini adalah mirip kepada model perniagaan yang digunakan oleh Jakarta Blue Bird Taxi Company , Dubai Taxi Corporation dan lain-lain syarikat di serata dunia, menerapkan konsep perkongsian keuntungan atau jaminan peratusan pendapatan harian untuk pemandu teksi. Konsep ini dianggap pertama seumpanya di dunia dan akan mewujudkan lapangan persaingan antara pemandu Uber dan Grab dengan pemandu teksi konvensional untuk pengangkutan awam yang lebih cekap dan menawarkan harga yang lebih berpatutan.

    Sumber dalaman dari pihak kerajaan di laporkan berkata, “Individu yang menawarkan kenderaan hariannya sebagai teksi perlu untuk mendapatkan lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan berdaftar dengan SPAD untuk tujuan pemantauan. Kereta-kereta persendirian yang digunakan sebagai teksi juga perlu untuk menjalani pemeriksaan tahunan dengan Puspakom bersama insuran yang sama seperti teksi biasa.”

    Sumber tersebut turut menambah, kereta persendirian dengan penarafan Asean NCAP akan diberi keutamaan sebagai tambahan kepada spesifikasi keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Dianggarkan seramai 130,000 pemandu Uber dan Grab baharu (sepenuh dan separuh masa) akan beroperasi bersama dan bersaing dalam pasaran perkhidmatan teksi dengan inisiatif “e-hailing” ini. Sejumlah 67,000 pemandu teksi yang aktif di seluruh negara dengan 36,000 daripadanya berada di sekitar Lembah Klang.

    Difahamkan (syarikat) Uber akan dikenakan cukai oleh kerajaan setelah “e-hailing” ini berjalan kelak. Sumber dalaman tadi turut mengesahkan transaksi kad kredit dari penumpang Uber buat masa sekarang menyaksikan aliran ringgit yang banyak ke luar negara.

    Lanskap industri teksi negara juga difahamakan secara tidak langsung akan menyebabkan pemandu teksi menggunakan aplikasi tempahan pihak-ketiga memandangkan kadar penggunaan teksi diseluruh negara buat masa ini hanya berjumlah 14% berbanding permintaan pengguna terhadap aplikasi perkongsian kenderaan adalah lebih daripada 50%.

    Syed-Hamid-Albar

    The Sun Daily turut mendapat pengesahan pembentangan pada selasa lalu mendapat maklum balas positif dari JKE menerusi Ketua Pengarah Esekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah dan menyatakan kertas kerja cadangan berkenaan sedang diperhalusi sebelum dibentangkan ke kabinet beberapa minggu lagi.

    Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar juga dilaporkan berkata kabinet akan memberikan lampu hijau dan beberapa undang-undang seperti Akta Pengangkutan Awam 2010, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dirombak semula.

    “Proses perundangan mungkin akan dijalankan di parlimen pada bulan Oktober. Sekarang ini, kami sedang berkerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Jika Semua berjalan lancar, era baharu dalam industri teksi mungkin akan bermula akhir tahun ini,” jelas beliau.

    Kemelut antara pemandu teksi dan aplikasi perkongsian kenderaan yang berlarutan ini telah menyaksikan beberapa kumpulan yang mewakili pemandu teksi yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa, termasuk SPAD, kerana gagal untuk mengambil tindakan terhadap pengendali servis perkongsian kenderaan tersebut di Malaysia mengambil beberapa tindakan agar suara mereka kedengaran. Ini termasuk tindakan drastik mereka membuat beberapa protes jalanan sehingga menyebabkan beberapa laluan di Bandaraya Kuala Lumpur ditutup.

     
     
  • Toyota Mirai c – perancangan membangunkan FCV yang lebih kecil, murah untuk tahun 2019

    2016-Toyota-Mirai-FCV-04

    Toyota sedang merancang untuk memperkenalkan kenderaan bahan api sel hidrogen (FCV) Mirai yang lebih kecil dan murah sebelum Olimpik 2020, menurut Asahi Shimbun. Beliau turut berkata, Mirai baharu mungkin akan diperkenalkan seawal tahun 2019 dan akan ditawarkan sama seperti Prius C.

    Syarikat terbabit turut berkata harga bagi FCV bakal ditawarkan dari 5.5 juta hingga enam juta yen (RM200k-RM219k) akan dilancarkan pada tahun tersebut. Sebagai perbandingan, kos bagi Mirai sedia ada lebih kurang 7.23 juta yen (RM264k). Apabila dilancarkan, Toyota mensasarkan jualan tahunan globalnya akan mencecah lebih 30,000 unit, dan terdapat perkhabaran mengatakan ia mungkin akan digelar Mirai C.

    Sementara itu, komponen khas bagi Mirai sedia ada seperti tangki hidrogen dan penjana kuasa elektrik merupakan faktor utama mengapa harganya cukup tinggi. Malah Toyota dikatakan sedang mengkaji untuk menurunkan harganya dengan menyemak semula senarai komponen dan juga prosedur manual bagi produksi FCV.

    Dengan keupayaan produksi Mirai, syarikat ini juga mahu menghasilkan lebih banyak pengeluaran dengan pengurangan kos. Malah Toyota merancang untuk meningkatkan produksi bagi FCV sebanyak 30,000 unit menjelang 2020, berbanding 2,000 unit yang direncanakan pada tahun 2016.

    Dengan peraturan alam sekitar yang lebih ketat terutamanya di pasaran utama termasuk USA dan China, Toyota dikatakan mula memperhebatkan pengeluaran kenderaan sel bahan api hidrogen supaya dapat memposisikannya dalam barisan kenderaan mesra-alam.

    Memandangkan Prius c begitu popular, adakah Mirai c ini akan mengikuti jejak langkahnya? Dan adakah anda akan memilihnya? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen ini.

    GALERI: Toyota Mirai FCV

     
     
  • Honda Civic 1.5 Turbo mula dipromosikan oleh Honda Malaysia – dedah spesifikasi sedan segmen-C ini

    Screen Shot 2016-05-01 at 10.49.01 AM

    Honda Malaysia telah melancarkan laman web promosi bagi Honda Civic 1.5 Turbo baharu, memberikan bayangan kepada kita apakah spesifikasi yang akan ditawarkan pada sedan segmen-C tersebut.

    Klip pertama menayangkan lampu utama LED dan lampu nyalaan siang Civic 1.5 Turbo ini. Lampu utama ini hanya untuk varian turbo, manakala lampu utama projektor halogen pula akan dipadankan untuk varian bukan-turbo untuk pasaran Malaysia.

    Screen Shot 2016-05-01 at 10.49.17 AM

    Manakala klip kedua pula menayangkan enjinnya iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder yang dipadankan dengan kotak gear CVT, ia mampu menghasilkan 173 hp dan tork 220 Nm. Kebanyakan model segmen-C telah dikecilkan kapasiti enjin pengecas turbonya, tetapi ia adalah kereta buatan Eropah (Jetta, 408, Focus). Ini merupakan sedan segmen-C pertama buatan Jepun yang didatangkan dengan penjana kuasa sebegini.

    Baru-baru ini kami telah memaparkan video dari pasaran Thai yang membandingkan varian 1.5 Turbo dengan Civic dari enjin 1.8 liter N/A dengan kuasa 141 hp dan tork 174 Nm – tontonnya di sini.

    Screen Shot 2016-05-01 at 10.49.46 AM

    Selainnya, ia turut menampilkan spesifikasi termasuk tempat duduk larasan kuasa lapan-cara, enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik VSA, brek parkir elektronik, penahan brek auto dan Walk Away Auto Lock yang menampilkan ciri pengunci automatik apabila anda menjauhi kereta tersebut.

    Akhir sekali perkara yang tidak kurang pentingnya, ia turut menampilkan kawalan penghidup enjin yang sangat berguna apabila anda ingin menghidupkan enjin dan penghawa dingin akan menyejukkan sedikit suhu di dalam kereta sebelum anda memasuki kabin.

    Pendaftaran untuk yang berminat telah dibuka, sila layari Ride The Dream dan klik butang merah “I Share The Same Dream” untuk mendaftar.

    GALERI: Honda Civic Turbo RS 2016 di Thailand

    GALERI: Honda Civic 1.8 EL 2016 di Thailand

    GALERI: Honda Civic 1.8 E 2016 di Thailand

    GALERI: Honda Civic 2016 dengan aksesori Modulo di Thailand

    GALERI: Honda Civic spesifikasi Australia

     
     
  • Harga bahan api Mei 2016: tiada perubahan; RON 95 RM1.70, RON 97 RM2.05 dan diesel RM1.55

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 023

    Tiada perubahan harga bagi bahan api untuk bulan Mei 2016 ini. Di mana harganya kekal seperti bulan April 2016 iaitu RM1.70 seliter untuk RON 95, RM2.05 seliter bagi RON 97, diesel pula RM1.55 seliter dan RM1.65 seliter untuk diesel Euro 5. Manakala RON 100 Petron Blaze masih RM2.60 seliter seperti bulan-bulan sebelum ini.

    Pada bulan April lalu, harga bagi bahan api untuk RON 95, RON 97 dan diesel menyaksikan kenaikan berbanding Mac 2016. Ia melibatkan kenaikan sebanyak 10 sen bagi RON 95 dan RON 97. Diesel dan diesel Euro 5 juga mengalami kenaikan harga sebanyak 20 sen seliter.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025