Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Perodua Myvi 2016 kini dengan warna badan dua ton, varian SE dan Advance RM3,800 lebih murah

    Setelah gambar brosur yang telah bocor semalam tersebar, Perodua hari ini secara rasminya mengumumkan untuk model 2016, varian tertinggi Myvi Advance kini hadir dengan warna badan dua ton. Selain itu, harga varian SE dan Advance kini lebih murah.

    Tiada pengumuman rasmi dikeluarkan oleh Perodua setakat ini, tetapi kami diberitahu oleh pengedar varian SE kini RM3,800 lebih murah, dijual pada harga RM46,168 untuk model manual dan RM49,168 untuk model automatik. Setiap pembelian varian Advance pula kini diberikan rebat sebanyak RM3,650, dijual pada harga RM54,318. Varian Advance dengan warna khas dua ton pula dijual pada harga RM800 lebih mahal iaitu RM55,118. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran.

    Seperti yang tertera pada brosur yang bocor sebelum ini, Myvi Advance hadir dengan gabungan warna baharu Electric Blue dan Ebony Black, dengan semua tiang, bumbung, cermin sisi, spoiler belakang dan kemasan pintu belakang dicatkan dengan warna hitam. Visor pintu juga yang mungkin ditawarkan sebagai pilihan turut menerima kemasan berwarna hitam. Penampilan lain adalah kekal sama.

    2016-Perodua-Myvi-prices_BM

    Ada yang berpendapat, penampilan baharu Myvi ini adalah diinspirasikan daripada Toyota Passo Moda 2016 yang turut menerima skim warna yang sama. Namun, sejurus sahaja melihat gambar Myvi ini mengingatkan saya kepada model Perodua Kelisa ‘Special Edition’ yang pernah diproduksi satu ketika dahulu.

    Tiada lagi pengumuman untuk perubahan pada bahagian lain, jadi boleh dijangkakan Advance masih lagi dilengkapi dengan ciri-ciri yang sama, termasuk balutan kulit pada bahagian dalaman, roda stereng dan tuil gear, alas kaki gegelung PVC, sistem navigasi dengan skrin sesentuh, kamera undur, dua beg udara serta sistem brek ABS dengan EBD dan Bantuan Brek. Enjin 1.5 liter 3SZ-VE DVVT empat-silinder berkuasa 102 hp/136 Nm masih lagi menjana Myvi varian SE dan Advance.

    Perodua juga turut mendedahkan model 1.3 Premium X dan Premium XS akan diberhentikan pengeluarannya dalam langkah merasionalisasikan barisan model mereka berdasarkan permintaan pasaran. Untuk mereka yang mahukan Myvi yang lebih mampu milik, anda boleh memilih varian asas 1.3 Standard (tanpa brek ABS), dijual pada harga RM40,862 untuk model manual dan RM43,862 untuk model automatik.

     
     
  • Proton lantik Datuk Seri Syed Faisal Albar sebagai pengerusi bukan eksekutif efektif 5 Mei 2016

    Syed-Faisal-Albar

    Proton telah mengumumkan pelantikan Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu Syarikat berkuatkuasa 5 Mei 2016.

    Ia adalah berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Mac 2016. Dalam masa yang sama Syed Faisal turut akan memegang jawatan sebagai Pengerusi Group Lotus plc.

    Syed Faisal merupakan seorang yang berpengalaman dalam bidang korporat dari pelbagai industri. Beliau memulakan kerjaya di PricewaterhouseCoopers dan pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad dari 2003 hingga 2008.

    Antara jawatan-jawatan penting lain yang disandang Syed Faisal sebelum ini termasuk, Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Pengarah Eksekutif Konsortium Logistik Berhad (“KLB”), Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia Berhad.

    Pengalaman beliau serta rekod prestasi yang terbukti dalam meningkatkan hasil dan keuntungan merupakan satu kelebihan untuk Pproton yang kini dalam proses memulihkan perniagaannya.

     
     
  • Caltex lancar petrol Techron RON 95 dan 97 baharu dengan teknologi ‘Clean and Glide’, 3% lebih ekonomi

    Caltex-Techron-with-Clean-and-Glide-1_BM

    Chevron Malaysia Limited telah melancarkan siri petrol Caltex dengan Techron baharu yang telah dipertingkat dengan formula yang disertakan bersama teknologi Clean and Glide Caltex. Petrol tersebut datang dalam dua gred iaitu RON 95 dan RON 97 dan akan dijual mengikut harga pasaran terkini.

    Dengan teknologi Clean and Glide, geseran yang berlaku pada komponen utama dapat dikurangkan, melambatkan proses kehausan dan kelusuhan. Chevron mendakwa teknologi ini akan memberikan perlindungan yang lebih baik untuk enjin, meningkatkan lagi tahap ekonomi penggunaan petrol dan memaksimakan pengeluaran kuasa dengan penggunaan berterusan.

    Kebolehan teknologi baharu ini telah disahkan dalam ujian makmal Rig Salingan Berfrekuensi Tinggi (HFRR), yang digunakan untuk menguji kebolehan pelinciran bahan api. Ujian pelinciran diesel standard telah diubahsuai dengan selamat untuk menguji kebolehan pelinciran pada petrol.

    Berbanding dengan petrol terdahulu, formulasi baharu Caltex ini adalah 38% lebih baik dalam mengurangkan calar kehausan dan 41% lebih baik dalam mengurangkan geseran di dalam enjin, menggunakan petrol dari sekitar Asia PAsifik dan Afrika Selatan. Kecekapan penggunaan bahan api juga dilihat meningkat sebanyak 3% berbanding formulasi sebelum ini yang tidak mengandungi teknologi Clean and Glide.

    Selain dari memperkenalkan petrol baharu, Chevron turut mengumumkan peraduan “Caltex Fun Truck” (yang juga dikenali sebagai “Techron Lab on Wheels Truck”), yang akan berjalan bermula hari ini hingga 29 Mei 2016.

    Untuk menyertai, orang ramai hanya perlu mengambil gambar selfie dengan trak berkenaan dan memuat naik gambar tersebut pada dinding Facebook Caltex Malaysia atau pada akaun Instagram mereka sendiri dengan hashtag #CaltexMYNewTechron dan #SpotCaltexFunTruck.

    Dalam masa empat minggu, lima pemenang mingguan akan dihadiahkan dengan kad StarCash yang bernilai RM200 (sejumlah 20 kad disediakan) dan akan ditampilkan pada bahan promosi Caltex.

    Trak tersebut akan diletakkan di beberapa pameran bergerak “Techron Lab on Wheels Truck” bertempat di stesen Caltex terpilih, di mana orang ramai akan dipertontonkan dengan demonstrasi kelebihan bahan api Techron. Jadual pameran bergerak tersebut boleh di rujuk di bawah.

    Caltex-Techron-Lab-on-Wheels-Truck-roadshow-1_BM

     
     
  • Brosur Perodua Myvi facelift 2016 bocor, rupa kekal sama tetapi hadir dengan warna dua ton?

    2016-Perodua-Myvi-1.5-facelift-leak_BM

    Hari ini kami menerima brosur Perodua Myvi yang dikatakan versi facelift 2016. Brosur yang kini telah disiarkan di beberapa platform media sosial ini memaparkan Myvi 1.5 Advance dengan warna dua-ton. Dijadualkan akan diperkenalkan pada Sabtu, 7 Mei ini, perubahan yang dilakukan dilihat amatlah sedikit. Ia tidak mengejutkan kerana Myvi baharu sahaja menerima sentuhan rekaan semula versi facelift tahun lalu.

    Dalam gambar tersebut juga, Myvi dilihat hadir dengan gabungan warna baharu Electric Blue dan Ebony Black, dengan semua tiang, bumbung, cermin sisi, spoiler belakang dan kemasan pintu belakang dicatkan dengan warna hitam. Visor pintu juga yang mungkin ditawarkan sebagai pilihan turut menerima kemasan berwarna hitam. Penampilan lain adalah kekal sama.

    Setakat hari ini, Perodua Myvi 1.5 dijual pada harga RM49,968.50 (MT) dan RM52,968.50 (AT) untuk varian SE, manakala varian tertinggi Advance Edition pula dijual pada harga atas jalan termasuk insuran RM57,968.51. Perodua belum lagi menyiarkan apa-apa maklumat rasmi dari berkenaan harga versi terbaharu ini. Jadi, apa pendapat anda berkenaan versi terbaharu hatchback ikonik Malaysia ini?

     
     
  • GrabHitch dilancarkan di Malaysia – servis perkongsian kenderaan terbaharu dari Grab

    GrabHitch-launch-01-2_BM

    Servis perkongsian kenderaan terbaharu telah dilancarkan oleh Grab. Service yang digelar GrabHitch (masih lagi dalam peringkat percubaan) ini dilabelkan sebagai servis dari pintu-ke-pintu. Secara ringkasnya, ia adalah servis yang memadankan pemandu dan penumpang yang menuju ke destinasi yang sama.

    “Servis terbaharu ini memenuhi persamaan antara pemandu dan penumpang. Pemandu yang mempunyai ruang lebih dalam kenderaan mereka mempunyai pilihan untuk mengambil penumpang yang menuju ke destinasi yang sama untuk mengurangkan kos perjalanan mereka, manakala penumpang pula hanya perlu membayar sebahagian daripada kos pengangkutan awam yang lain,” kata ketua serantau GrabHitch, Ngiam Xin Wei.

    Aplikasi ini hanya memerlukan akaun Facebook untuk memulakannya. Pemandu akan berkongsi jadual dan laluan perjalanan biasa mereka kepada penumpang. Aplikasi ini akan memadankan pemandu dan penumpang yang menuju ke destinasi yang sama, dalam tempoh masa yang lebih kurang sama. Walaubagaimana pun, penumpang perlu membuat dahulu pra-tempahan tujuh hari lebih awal atau sehingga dua jam sebelum diambil.

    Apabila penumpang sudah ditemui, pemandu boleh memilih untuk menerima penumpang tersebut dan kemudian menetapkan semula masa terbaik untuk kedua-dua belah pihak. Sementara itu, aplikasi ini akan melancarkan sistem navigasi GPS untuk pemandu, bagi menunjukkan di mana untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Dalam masa yang sama, penumpang boleh juga mengajak orang lain untuk menyertai sekali perjalanan tersebut.

    Grabhitch-02_BM

    Servis baharu ini disasarkan terus untuk mereka yang merancang perjalan jarak jauh (15 km keatas). Ia direka untuk membiayai kos-kos pemandu seperti bahan api, tol dan juga susut nilai kenderaan. Kadar tambang GrabHitch dikira berdasarkan jarak perjalanan dan akan ditunjukkan terlebih dahulu supaya penumpang boleh membuat keputusan sama ada mahu menumpang atau pun tidak.

    Grab menjelaskan untuk perjalanan 19 km dari SS2 hingga KLCC, cas sebanyak RM30 akan dikenakan jika menggunakan teksi konvensional. Dengan GrabHitch, kos tersebut dianggarkan hanya sekitar RM15, iaitu pengurangan kos sebanyak 50%. Dari Shah Alam ke KLCC (30 km), teksi biasa akan mengenakan tambang sebanyak RM45, manakala kos jika menumpang hanyalah sekitar RM21 (kurang 53%).

    Lebih jauh perjalanan, lebih penjimatan akan dinikmati oleh penumpang. Turut dinyatakan perjalanan berjarak 360 km dari Georgetown ke KLCC akan dikenakan kos sebanyak RM465 oleh teksi biasa. Dengan GrabHitch, penumpang hanya dikenakan bayaran sebanyak RM71 atau dalam peratusan, penumpang dapat berjimat sebanyak 85% berbanding tambang teksi biasa. Penumpang juga diberikan pilihan sama ada untuk membayar dengan tunai, kad kredit atau kad debit.

    Untuk keselamatan penumpang, Grab menyatakan kesemua latar belakang pemandu akan disemak terlebih dahulu sebelum didaftarkan. Secara terperinci, mereka perlulah berumur 18 tahun keatas dan sudah memegang lesen memandu sekurang-kurangnya satu tahun. Lesen memandu mereka juga perlu disahkan dan perlu untuk melalui pemeriksaan latar belakang untuk dipastikan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

    GrabHitch-Launch-03-2_BM

    Sementara itu, pemandu dan penumpang boleh memeriksa sendiri latar belakang antara satu sama lain melalui akaun Facebook dengan melihat sendiri rakan bersama dan gambar masing-masing. Selain itu, sebelum memulakan servis, penumpang boleh memilih untuk berkongsi kenderaan dengan individu lain yang sama jantina, manakala pemandu pula bebas untuk memilih siapa sahaja yang mereka mahu untuk berkongsi kenderaan.

    Servis perkongsian kenderaan ini juga turut manampilkan perkhidmatan pelanggan 24/7 Grab, insuran Grab untuk pemandu dan penumpang, serta rekod urusniaga dalam sistem Grab.

    GrabHitch kini telahpun membuka pendaftaran untuk pemandu menerusi aplikasi Grab. Untuk mendaftar, mereka hanya perlu klik pada ikon GrabHitch, pilih ‘Drive’ dan ikut arahan seterusnya di skrin. Penumpang hanya boleh mula membuat jadual perjalanan mereka bermula 15 Mei.

    Sebagai permulaan servis ini, Acara “Grab Freedom Day” akan diadakan pada 16 Mei. Pada hari berkenaan, pemandu pioneer GrabHitch yang terdiri daripada staff Grab Malaysia sendiri bersama kumpulan pertama pemandu GrabHitch, akan menawarkan servis percuma untuk penumpang pada hari pertama tersebut.

     
     
  • Toyota Fortuner 2016 dilancarkan di Malaysia – dua varian, 2.4L diesel dan 2.7L petrol, RM187-200k

    Toyota_Hilux_Fortuner_Launch-3_BM

    Pada hari pelancaran Toyota Hilux generasi kelapan, UMW Toyota turut melancarkan sekali Toyota Fortuner 2016 serba baharu. SUV yang dibina dengan asas yang sama dengan trak pikap Hilux ini hadir dengan dua varian berbeza iaitu varian asas VRZ 2.4L diesel dan varian tertinggi SRZ 2.7L petrol.

    Walaupun dibina diatas kerangka ladder frame FIRM (Frame with Intergrated Rigidity Mechanism) yang sama seperti Hilux, Fortuner menampilkan dimensi yang sedikit berbeza. Lebar keseluruhan SUV ini adalah sama dengan Hilux iaitu 1,855 mm. Tetapi panjang keseluruhannya adalah 535 mm lebih pendek dan jarak rodanya pula adalah 340 mm lebih pendek berbanding Hilux. Oleh itu dimensi SUV ini diukur dengan panjang 4,795 mm, tinggi 1,835 mm dan jarak roda 2,745 mm.

    Satu lagi perbezaan antara Fortuner dan Hilux adalah pada bahagian suspensi belakangnya. Berbanding dengan Hilux yang menggunakan spring dedaun, Fortuner menggunakan konfigurasi spring gegelung 4-Link dengan rod kawalan lateral dan penstabil. Suspensi ini juga di tala dengan lebih selesa berbanding Fortuner generasi terdahulu dengan mengurangkan pergerakan bumping badan kereta ini seminimum yang mungkin.

    Pada bahagian luaran, varian VRZ 2.4 liter dibekalkan lampu hadapan halogen projektor automatik dan lampu nyalaan siang biasa. Manakala varian 2.7 liter SRZ pula dilengkapi dengan lampu hadapan projector Bi-LED dan lampu nyalaan siang LED. Sistem lampu kedua-dua varian dilengkapi dengan fungsi Follow Me Home.Kedua-dua varian juga dilengkapi dengan cermin sisi berkuasa elektrik berserta lampu isyarat membelok LED tetapi hanya varian SRZ dilengkapi dengan lampu puddle. Lampu belakang LED juga dibekalkan secara standard untuk semua varian.

    Untuk memberikan impak sebuah SUV mewah, pintu tailgate belakang Fortuner dilengkapkan dengan sistem bukaan berkuasa, membolehkan ianya dibuka/ditutup secara automatik sama ada dengan menekan suis pada pintu tersebut ataupun menggunakan butang pada alat kawalan jauh.

    Profil sisi SUV ini menyaksikan VRZ dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 17-inci dibaluti tayar All-Terrain bersaiz 265/65R17. Manakala untuk varian SRZ pula ia dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 18-inci dibaluti tayar Highway Terrain bersaiz 265/60R18.

    Bahagian dalaman Fortuner tampil dengan rekaan yang lebih premium. Untuk VRZ, ia hanya dilengkapi dengan unit pemain CD dan MP3 2-DIN dengan sambungan AUX, USB dan Bluetooth. Varian SRZ pula, ia dilengkapi dengan ciri-ciri lebih premium meliputi Optitron dengan skrin TFT MID bersaiz 4.2 inci, unit infotaimen pemain DVD dengan skrin sesentuh 8 inci dan sambungan telefon pintar, WiFi, pelayar internet, sistem navigasi, AUX, USB, SD card, Bluetooth dan HDMI. Kedua-dua varian dilengkapi dengan enam pembesar suara dan sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin. Roda stereng empat jejari pelbagai fungsi turut didatang standard untuk semua varian namun hanya SRZ dibalut dengan kulit.

    Upholstery SRZ juga menerima balutan kulit berwarna perang gelap pada kesemua tempat duduk tuil gear, penutup kotak konsol tengah dan panel pintu. Ciri-ciri tambahan lain SRZ untuk bahagian dalam juga termasuk penghawa dingin automatik, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, kemasan silver dan krom pada pemegang pintu, tuil gear, tuil brek tangan dan suis kawalan penghawa dingin.

    Enjin petrol tanpa induksi paksaan 2TR-FE 2.7 liter berupaya menjana 166 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 245 Nm pada takat 4,000 rpm. Manakala untuk enjin turbo diesel 2GD-FTE 2.4 liter pula, ia berupaya menjana 150 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,000 rpm.

    Penyampaian kuasa dari kedua-dua pilihan enjin ke gandar disampaikan melalui transmisi baharu enam-kelajuan automatik. Sama sperti Hilux, kotak gear automatik ‘pintar’ Super ECT baharu tersebut menawarkan penukaran gear yang lebih lancar. Mod manual pada transmisi automatik ini juga menawarkan ciri ‘throttle blip’ ala kotak gear kereta sport ketika menurunkan gear secara manual, untuk memastikan tiada ‘renjatan’ penurunan gear dirasakan. Hanya varian SRZ dilengkapi dengan penukar gear di roda stereng. Walaubagaimana pun, mod pemanduan Normal, ECO dan Power adalah standard untuk kedua-dua varian.

    Sistem 4WD pada Fortuner baharu ini turut disalin terus dari Hilux. Peralihan dari pacuan dua roda kepada pacuan semua roda kini boleh dilakukan dengan hanya memutarkan suis pemilih tanpa menghentikan kenderaan dibawah kelajuan 100 km/j. Hanya varian SRZ dilengkapi dengan sistem Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) yang mampu memindahkan tork kepada roda yang memerlukan dengan lebih bijak.

    Untuk sistem keselamatan pula, semua varian dilengkapi dengan sistem brek ABS dengan EBD. Juga, hanya varian tertinggi 2.7L dilengkapi dengan Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Kawalan Libasan Trailer (TSC). Varian VRZ dilengkapi dengan tiga-unit beg udara manakala model SRZ menerima tujuh-unit beg udara. Cagak isofix pula adalah standard untuk semua varian.

    Varian VRZ dijual pada harga bermula RM186,900. Manakala untuk varian tertinggi SRZ pula dijual pada harga RM199,900. Kesemua harga yang disebutkan adalah harga atas jalan termasuk GST tanpa cukai jalan. Setiap pembelian Fortuner disertakan dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

    GALERI: Gambar rasmi pelancaran 2016 Toyota Fortuner

     
     
  • Toyota Hilux 2016 dilancar untuk pasaran M’sia

    Toyota_Hilux_Fortuner_Launch-10_BM

    Setelah sekian lama menunggu, akhirnya UMW Toyota melancarkan Toyota Hilux 2016 serba baharu hari ini. Generasi terbaharu trak pikap ikonik ini hadir dengan dua pilihan enjin, dua pilihan sistem transmisi, dua pilihan bentuk badan dan dua pilihan pacuan yang dipakejkan dalam enam pilihan varian.

    Model single cab hanya hadir dengan varian 2.4 manual 4X4. Manakala untuk model double cab pembeli boleh memilih lima varian yang terdiri daripada 2.4 Standard manual 4×4, 2.4 manual 2×4, 2.4G manual 4×4, 2.4G automatik 4×4 dan 2.8G automatik 4×4.

    Badan model double cab generasi baharu ini diukur 70 mm lebih panjang dan 20 mm lebih lebar berbanding model terdahulu menjadikan dimensinya diukur dengan 5,330 mm panjang, 1,855 mm lebar, 1,815 mm tinggi dan jarak roda keseluruhan 3,085 mm. Untuk model single cab, ketinggian keseluruhannya diukur rendah sedikit berbanding model double cab iaitu 1,795mm.

    Dimensi bahagian kargo untuk model double cab ini pula diukur dengan 1,525mm dan 1,540mm lebar. Manakala untuk model single cab pula bahagian kargonya diukur lebih panjang 790 mm daripada model double cab iaitu 2,315mm.

    Hilux generasi kelapan ini dibina di atas platform FIRM (Frame with Intergrated Rigidity Mechanism) serba baharu yang jauh lebih kukuh. Binaan kerangka ladder frame tersebut terdiri dari logam high-tensile yang lebih kuat dan dikimpal dengan lebih banyak spot weld. Kekuatan asas yang dipertingkat ini dikatakan dapat mengurangkan bunyi, getaran dan gangguan (NVH) keseluruhan trak pikap ini.

    Pada bahagian luaran, kesemua varian 2.4 liter dibekalkan lampu hadapan halogen pelbagai-reflektor automatik dengan fungsi Follow Me Home dan lampu nyalaan siang biasa. Lampu kabus, gril krom, bampar belakang krom, cermin sisi krom berkuasa elektrik berserta lampu isyarat membelok dan pemegang pintu krom hanya dilengkapi pada model 2.4G (manual dan auto). Varian tertinggi 2.8G pula ditambah dengan lampu hadapan projektor LED dan juga lampu nyalaan siang LED.

    Profil sisi trak pikap ini menyaksikan varian single cab dilengkapi dengan roda besi berdiameter 16-inci, varian double cab 2.4 2×4 dan 4×4 standard dilengkapi dengan roda besi berdiameter 17-inci dan varian G pula dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 17-inci. Kesemua roda berdiameter 17-inci dibaluti tayar All-Terrain bersaiz 265/65R17. Manakala untuk varian 2.8G pula ia dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 18-inci dibaluti tayar Highway Terrain bersaiz 265/60R18.

    Beralih ke bahagian dalaman, Hilux tampil dengan rekaan yang lebih segar. Untuk tiga varian terbawah, ia hanya dilengkapi dengan unit pemain CD dan MP3 2-DIN. Varian 2×4 pula dilengkapi dengan sistem kunci pintar tetapi tanpa butang penghidup enjin, tingkap kuasa untuk semua tingkat (fungsi auto untuk bahagian pemandu).

    Untuk varian G dan keatas, ia dilengkapi dengan ciri-ciri lebih premium meliputi paparan pelbagai informasi (MID), unit infotaimen dengan skrin sesentuh 6.1 inci dengan sambungan AUX, USB, SD card dan Bluetooth dihubungkan kepada enam unit pembesar suara, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tingkap kuasa dengan fungsi auto untuk semua tingkap, tuil gear balutan kulit.

    Varian tertinggi 2.4G automatik pula dibekalkan dengan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan hala dan balutan kulit untuk semua tempat duduk. Manakala untuk varian 2.8G automatik, ia dilengkapi dengan paparan instrumen Optitron dengan skrin TFT MID bersaiz 4.2 inci mirip Toyota Camry.

    Trak pikap ini dijana dengan dua pilihan enjin turbo diesel baharu iaitu enjin 2GD-FTV 2.4 liter dan 1GD-FTV 2.8 liter, menggantikan enjin turbo diesel 2.5 liter 2KD-FTV dan juga enjin 3.0 liter 1KD-FTV. Walaupun berkapasiti lebih kecil, enjin siri GD baharu ini dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api terus common-rail dan sistem turbo VNT bertekanan lebih tinggi, membolehkan ia mengekstrak lebih kuasa disamping menggunakan bahan api dengan lebih cekap.

    Enjin turbo diesel 2.8 liter berupaya menjana 177 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 hingga 2,400 rpm. Manakala untuk enjin turbo diesel 2.4 liter pula, ia berupaya menjana 150 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,000 rpm.

    Penyampaian kuasa dari enjin ke gandar ini diselia oleh dua pilihan transmisi baharu sama ada enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik. Kotak gear automatik ‘pintar’ Super ECT baharu tersebut turut menawarkan penukaran gear yang lebih lancar. Mod manual pada transmisi automatik ini juga menawarkan ciri ‘throttle blip’ ala kotak gear kereta sport ketika menurunkan gear secara manual, untuk memastikan tiada ‘renjatan’ penurunan gear dirasakan. Kesemua varian G juga dilengkapi dengan tiga mod pemanduan berbeza iaitu Normal, ECO dan Power.

    Sistem 4WD Hilux generasi baharu ini juga tampil lebih bijak. Peralihan dari pacuan dua roda kepada pacuan semua roda kini boleh dilakukan dengan hanya memutarkan suis pemilih tanpa menghentikan kenderaan dibawah kelajuan 100 km/j. Untuk varian 2.4G auto dan 2.8G auto, sistem 4WD trak pikap tersebut datang dengan sistem Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) yang mampu memindahkan tork kepada roda yang memerlukan dengan lebih bijak.

    Untuk sistem keselamatan pula, semua varian dilengkapi dengan sistem brek ABS dengan EBD. Hanya varian 2.4G auto dan 2.8G auto dilengkapi dengan Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Kawalan Libasan Trailer (TSC). Penderia dan kamera undur pula hanya dilengkapi pada kesemua varian G. Kesemua model 2.4 dilengkapi dengan tiga-unit beg udara manakala model 2.8G menerima tujuh-unit beg udara. Cagak isofix juga adalah standard untuk semua badan double cab.

    Bagi satu-satunya varian single cab iaitu 2.4 4×4 manual, ia ditawarkan pada harga RM89,900. Manakala bagi varian double cab iaitu bermula 2.4 4×2 manual, berharga RN91,900, diikuti dengan 2.4 Standard 4×4 manual pada RM99,900.
    Untuk varian 2.4G 4×4 manual pula berharga RM109,900, manakala 2.4G 4×4 automatik pula RM121,900. Bagi varian spesifikasi tertinggi iaitu 2.8G 4×4 automatik pula ditawarkan pada harga RM133,900. Semua harga yang diumumkan yang diumumkan adalah harga atas jalan dengan insurans.

    Setiap pembelian Hilux disertakan dengan waranti lima tahun atau 150,000 km yang mana sampai dahulu.

    GALERI:Gambar rasmi pelancaran Toyota Hilux 2016 pasaran Malaysia

     
     
  • Toyota Fortuner 2016 dedah harga, spesifikasi – RM187k-200k, varian 2.7 SRZ dan 2.4 VRZ

    Screen-Shot-2016-05-04-at-7.35.04-PM-e1462363589177

    Toyota Fortuner 2016 telah pun muncul di laman web rasmi Toyota Malaysia, dilengkapi dengan spesifikasi penuh dan harga bagi SUV tujuh-tempat duduk serba baharu ini. Ia bakal ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.7 SRZ (AT) 4×4 petrol dan 2.4 VRZ (AT) 4×4 turbodiesel. Manakala enjin diesel 2.8 liter tidak berada dalam senarai.

    Harganya bermuka RM186,900 untuk 2.4 VRZ, menjadikannya RM7,726 lebih mahal berbanding model 2.5G sedia ada. Manakala RM199,900 pula untuk 2.7 SRZ iaitu RM12,817 lebih mahal berbanding 2.7G generasi terdahulu. Kedua-dua harga atas jalan adalah termasuk insurans dan waranti lima tahun bersama perbatuan tanpa had.

    Bagi versi petrol, ia dipadankan dengan motor 2TR-FE 2.7 liter yang dipertingkatkan, bersama teknologi Dual VVT-i. Ia mampu memberikan kuasa 166 PS dan tork 245 Nm, iaitu lebih 6 PS dan 4 Nm berbanding sebelum ini. Manakala 2.4 liter VNT diesel pula adalah enjin 2GD-FTV serba baharu, dengan 150 PS dan tork 400 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan (varian petrol menerima pedal penukar gear), yang menyalurkan kuasanya untuk keempat-empat roda.

    Untuk luaran, varian 2.7 SRZ, ia dipadankan dengan lampu utama projektor bi-LED, lampu nyalaan siang LED, pemegang pintu krom dan roda 18-inci. Manakala 2.4 VRZ pula menerima lampu utama projektor halogen (dengan fungsi auto) dan rim yang lebih kecil 17-inci (dibaluti tayar AT berbanding getah HT untuk varian petrol).

    Klik untuk besarkan imej

    Memandangkan varian petrol merupakan model spesifikasi tinggi, maka bahagian dalamannya juga lebih menarik. Ini termasuk dengan padanan panel meter Optitron, paparan pelbagai-informasi berwarna, unit utama skrin sesentuh DVD-AVN (pilihan untuk diesel), roda stereng dan tombol gear balutan kulit, kawalan suhu automatik (hadapan dan belakang) dan tempat duduk pemandu larasan berkuasa. Ia juga dipadankan dengan kulit kombinasi upholstery coklat gelap, sementara varian diesel hanya tempat duduk fabrik coklat.

    Elemen standard pula termasuk kemasukan tanpa kunci, sambungan Bluetooth, mod pilihan pemanduan (Normal, Eco dan Power), Kawalan Penukaran 4WD elektronik dan lapisan filem cermin keselamatan dan solar Toyota. Tempat duduk barisan ketiga (dengan ISOFIX) pula boleh dibaringkan dengan 60:40, sementara barisan ketiga pula 50:50 dengan fungsi “One-touch Easy Space Up”.

    Bagi keselamatan pula, Fortuner 2.7 SRZ dilengkapi dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), ABS, BA, VSC, Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Kawalan Kuasa Treler (TSC). Manakala varian diesel 2.4 VRZ pula hanya tiga beg udara (hadapan dan bahagian lutut pemandu) dan ABS.

    GALERI: Toyota Fortuner 2016 pasaran Thailand

     
     
  • Kawasaki Z125 Pro dilancarkan untuk pasaran M’sia

    2016 Kawasaki Z125 Pro EFI (3)

    Kawasaki Motors Malaysia telah melancarkan Kawasaki Z125 Pro 2016 untuk pasaran tempatan. Mini-moto tersebut sebelum ini telah dilancarkan di Indonesia Februari lalu dan juga di Thailand pada tahun lalu

    Ia dijana oleh enjin 125 cc silinder tunggal SOHC empat injap dengan sistem penyejukkan udara berkuasa 9.8 PS pada takat 8,000 rpm dan tork maksima 9.6 Nm pada takat 6,000 rpm. Enjin tersebut juga menerima sistem pancitan bahan api elektronik.

    Mini-moto ini dipadankan dengan roda berdiameter 12-inci dengan jarak roda keseluruhan yang pendek memberikan karekteristik pengendalian yang laju dan lincah.

    Motosikal ini ditawarkan dengan warna Candy Burnt Orange dan penjualannya disasarkan kepada penunggang muda yang mahukan motosikal kecil yang laju dengan rekaan yang terkini. Ia dijual pada harga RM10,435 termasuk GST dan kini boleh didapati di pengedar-pengedar sah Kawasaki.

     
     
  • Inflator beg udara Takata SDI disahkan pecah dalam dua kemalangan pada April dan Mei – Honda Malaysia

    honda-city-2003

    Honda sahkan inflator beg udara Takata Single Stage (SDI) bahagian pemandu yang pecah dalam dua kemalangan pada April dan Mei berlaku di Malaysia. Kedua-dua kemalangan tersebut menyebabkan kematian tragik kepada pemandu. Tiada lagi sebab kematian rasmi dikeluarkan berhubung kedua-dua kes tersebut. Honda Malaysia menzahirkan rasa simpati mereka kepada pihak keluarga yang terlibat yang sedang mengharungi masa-masa yang sukar ini.

    Kemalangan pertama dilaporkan pada 16 April berlaku di Sabah. Honda telah mengesahkan pemeriksaan yang dilakukan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menemui inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu telah pecah dalam kemalangan yang melibatkan Honda City 2006. Kereta tersebut adalah tersenarai dalam panggilan semula oleh pihak Honda Malaysia yang diumumkan pada 21 Mei 2015, yang memerlukan unit inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu tersebut ditukar.

    Kemalangan kedua pula berlaku pada 1 Mei 2016 di Kedah.Honda telah mengesahkan pemeriksaan yang dilakukan bersama PDRM menemui inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu telah pecah dalam kemalangan yang melibatkan Honda City 2003. Kereta tersebut adalah tersenarai dalam panggilan semula oleh pihak Honda Malaysia yang diumumkan pada 8 Disember 2014, yang memerlukan unit inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu tersebut ditukar.

    Honda Malaysia kini sedang berhubung dengan wakil dari keluarga pemandu yang terlibat dalam usaha untuk menyelesaikan perkara-perkara yang sepatutnya. Honda Malaysia juga tidak akan menyiarakan apa-apa maklumat peribadi mereka yang terlibat sebagai menghormati keluarga mangsa.

    Panggilan semula terhadap unit inflator beg udara Takata ini berlaku di peringkat global. Inflator tersebut dilaporkan pecah dahulu sebelum ia meletupkan beg udara atas beberapa faktor.

    Bagi mereka yang mempunyai kenderaan Honda terutamanya yang telah lama tidak berhubung dengan Honda Malaysia, anda digalakkan untuk menyemak kenderaan anda sama ada terlibat atau tidak dengan panggilan semula yang diumumkan di laman web Honda Malaysia atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020. Anda juga boleh kunjungi mana-mana pusat servis bertauliah Honda untuk menyemak status tersebut.

    Screen Shot 2016-05-04 at 9.50.41 PM

     
     
  • Enjin V6 3.5 liter EcoBoost dan kotak gear automatik 10-kelajuan baharu bakal memacu trak Ford F-150 2017

    Ford, America’s truck leader, continues its relentless pace of innovation, delivering more torque and better acceleration to 2017 F-150 customers with the all-new 3.5-liter EcoBoost® engine and 10-speed transmission.

    Ford, America’s truck leader, continues its relentless pace of innovation, delivering more torque and better acceleration to 2017 F-150 customers with the all-new 3.5-liter EcoBoost® engine and 10-speed transmission.

    Setelah memperkenal trak F-150 2017 versi Raptor, Ford bakal memperkenalkan pula F-150 2017 untuk versi standard. Varian ini turut dibekalkan dengan enjin petrol V6 3.5 liter EcoBoost generasi kedua, dan dipadankan bersama kotak gear automatik 10-kelajuan baharu.

    Kuasa enjin generasi terbaharu ini kekal tidak berubah pada 365 hp. Tetapi ia menghasilkan 40 Nm lebih tork menjadikan jumlah keseluruhan tork trak ini adalah 610 Nm. Menurut Ford, enjin ini memberikan tork terbaik dalam kelas V6 berbanding pesaingnya sama ada disuapkan dengan petrol atau diesel.

    Enjin baharu ini menampilkan penggunaan sistem pemancit bahan api berkembar. Sistem ini memerlukan dua unit pemancit bahan api untuk setiap silinder enjin di mana sebuah diletakkan pada liang kemasukan udara dan sebuah lagi diletakkan terus di kebuk pembakaran sebagai pemancit sistem bahan api terus.

    Unit pengecas turbo berkembar enjin ini juga mendapat tingkat taraf dengan roda turbinnya kini dibina menggunakan aloi super Mar-M-247 yang memberikan lebih tekanan boost di mana boost tersebut kini dikawal dengan wastegate elektronik. Padanan pengecas turbo baharu dan sistem pancitan bahan api yang ditingkat taraf ini menghasilkan enjin yang lebih responsif.

    Enjin ini juga dilengkapi dengan aci sesondol jenis hollow (mempunyai ruang kosong pada bahagian tengah aci sesondol tersebut) yang bukan sahaja lebih ringan 1.8 kg, malah mempunyai binaan yang lebih kuat. Ia turut dilengkapi dengan injap kemasukan, injap ekzos dan pelaras kelegaan injap yang lebih tahan lama. Sistem auto start-stop dipadankan sebagai ciri standard untuk enjin ini bagi membolehkan penggunaan bahan api yang lebih cekap.

    Kesemu kuasa dari enjin akan dialirkan ke roda menerusi kotak gear 10-kelajuan automatik buatan Ford baharu, menggantikan kotak gear enam kelajuan pada model sebelum ini. Transmisi yang mempunyai tiga gear overdrive ini menawarkan nisbah penukaran gear yang lebih luas seterusnya memberikan pecutan dan pretasi yang lebih baik. Ia juga turut membantu dari segi kecekapan penggunaan bahan api, yang juga didakwa Ford sebagai terbaik dalam kelasnya.

    Kotak gear ini turut menampilkan bahan binaan yang ringan. Ford mendakwa, ia merupakan kotak gear pertama seumpamanya di dunia yang tidak mempunyai sebarang komponen diperbuat dari besi tuang, sebaliknya hanya menggunakan bahan terkini dan bahan aloi. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan torque converter/klac turbin yang dibina secara bersepadu, menjadikan ia hampir sekilogram lebih ringan.

    Pemetaan pada kotak gear 10-kelajuan automatik ini dibuat berdasarkan shift logic yang lebih bijak, jadi pemilik F-150 dapat menggunakan mod tow/haul dengan lebih yakin. Sebuah pam elektrik bersepadu disertakan pada sistem auto start-stop bagi membolehkan enjin dihidupkan semula melalui sistem tersebut dengan lebih lancar dan memperbaiki kadar efisien pemanduan.

    Setakat ini, Ford hanya menyiarkan imej F-150 Raptor manakala imej trak F-150 versi standard masih belum disiarkan. Ia dijangka hadir dengan pelbagai bentuk badan, tetapi dengan imej yang kurang agresif berbanding versi Raptor.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia melantik Yuna sebagai duta jenama untuk kempen Mitsubishi ASX

    yuna-mitsubishi-asx-1_BM

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan kerjasama mereka dengan Yuna dengan melantik penyanyi dan penulis lagu bertaraf antarabangsa yang berasal dari Malaysia itu sebagai duta jenama untuk kempen SUV kompak Mitsubishi ASX.

    Yuna yang jelas gembira bekerja dengan MMM menerusi kempen tersebut menyatakan “Saya merupakan pemilik ASX sejak 2012 dan untuk bekerja dengan kereta dan jenama yang saya yakini adalah pengalaman yang sangat berharga. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Mitsubishi Motors Malaysia kerana memberikan peluang untuk bekerjasama dengan Mitsubishi ASX. ASX sangat sepadan dengan saya. Saiznya sangat sesuai dengan saya, melindungi saya dengan ciri-ciri keselamatan, dan saya sangat suka dengan bumbung kaca panaromanya.”

    yuna-mitsubishi-asx-2_BM

    Buat masa sekarang, Yuna menetap di Los Angeles dan baru-baru ini beliau telah melancarkan single terbaharu bertajuk Crush, menampilkan bintang R&B Amerika Syarikat iaitu Usher. Beliau juga merupakan salah seorang penyanyi untuk lagu promosi sukan Olimpik 2016 bertajuk Fire dan bekerjasama dengan Lenny Kravitz, Diogo Nogeira dari Brazil, Nneka dari Nigeria dan Corrine Bailey Rae dari UK.

    Barisan model Mitsubshi ASX telah diberi nafas baharu dari segi penampilan pada September tahun lalu, dengan sedikit peningkatan dilakukan dan varian asas ASX 2WD GL turut diperkenalkan dengan harga bermula serendah RM105k. Varian tersebut juga terdiri daripada model ASX 2WD dan 4WD.

     
     
  • Perodua akan perkenal Myvi 1.5L facelift 2016 baharu 7 Mei ini di bilik pameran Naza Mekar TTDI

    Menurut posting terbaharu dari akaun Instagram Naza World yang baharu sahaja disiarkan, Perodua akan memperkenalkan Perodua Myvi versi facelift 2016 bersempena acara “Riuh Bersama Perodua” yang bakal dilangsungkan pada 7 Mei akan datang bertempat di bilik pameran Perodua Naza Mekar TTDI.

    Posting instagram tersebut memaparkan sebuah Myvi yang digelapkan bersama Axia dan Alza dengan pengumuman “memperkenalkan Myvi 1.5 facelift baharu”. Berita ini agak mengejutkan kerana Myvi baharu sahaja menerima facelift pada tahun lalu dan tiada ura-ura dari Perodua yang ia bakal disegarkan sekali lagi untuk tahun 2016. Dijangkakan facelift ini hanya akan melibatkan aspek estika, jadi varian 1.5 ini semestinya masih lagi dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder DOHC 3SZ-VE dan dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada empat-kelajuan automatik atau lima-kelajuan manual.

    Seperti yang disebutkan tadi, tiada apa-apa info dari Perodua berkenaan versi facelift ini, jadi agak sukar untuk menjangkakan apa perubahan yang dilakukan oleh jenama pengeluar automotif nasional kedua ini untuk versi terbaharu tersebut. Ada juga spekulasi mengatakan rekaan baharu berkenaan diinspirasikan dari Toyota Passo dan Daihatsu Boon terbaharu yang dilancarkan di Jepun dua minggu lalu.

    Kami juga seperti anda, masih lagi tertanya-tanya apa ciri-ciri baharu yang akan dilengkapkan pada Myvi ini. Jadi sama-samalah kita nantikan pada 7 Mei atau Sabtu ini, apa perubahan yang bakal ditampilkan pada hatchback ikonik buatan Malaysia tersebut.

     
     
  • Hyundai patenkan stereng dengan kawalan sentuh

    Hyundai-touch-sensitive-steering-wheel-patent-01

    Menurut dokumentasi Penerbitan Permohonan Paten Amerika Syarikat, Hyundai telah memfailkan paten bagi roda stereng dengan kawalan sensitif-sentuh. Di mana roda stereng ini akan menampilkan input dua butang sentuh dan ia boleh dikendalikan dengan sarung tangan.

    Input pertama, seperti mana yang dipatenkan, merupakan kawalan sentuh yang “menerima sentuhan” dan termasuk dengan pengesan sentuhan bagi isyarat elektrikal untuk menyesuaikan perubahan jika terdapat hubungan dengan permukaan. Kawalan sentuhan ini akan mengesan satu titik tengah sentuhan dan menentukannya keseluruhan sistem.

    Malah peranti sentuhan ini juga termasuk “antara pemuka pengguna grafik”, sementara kawalannya juga boleh menukar saiz dengan pengesan kawasan sentuhan untuk memilih objek grafik yang dipaparkan untuk menentukan penyesuaian dengan satu lokasi titik sentuhan yang akan ditetapkan. Selain itu, ia juga terdapat penapis pengurangan bunyi.

    Manakala bagi unit kedua sesentuh, ia mungkin “penyusunan pada roda stereng”. Di mana, terdapat mod pembetulan sentuhan dan pengesan tekanan, dan tahap kesensitiviti sentuhan turut boleh diubah.

    Peranti sentuhan ini juga boleh “diaplikasikan” pada televisyen, telefon pintar, komputer riba, peranti navigasi, tablet dan sistem operasi kenderaan.

     
     
  • Program MyLesen 2016 sasar 170,000 belia miliki lesen B2 – rancang anjurkannya tiga kali setahun

    malaysian-driving-license-001_PTBM

    Program MyLesen bagi tahun ini mensasarkan lebih 170,000 belia khususnya pelajar sekolah di seluruh negara untuk memiliki lesen motosikal kelas B2 (kapasiti enjin di bawah 250 cc).

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad, sejak dilancarkan pada 14 September tahun lalu, sehingga kini, lebih 65,000 belia berjaya memiliki lesen berkenaan, laporan Bernama.

    Katanya, “Kami menjangkakan permohonan untuk mendapatkan lesen menerusi program ini akan meningkat kerana bayaran yang dikenakan lebih murah berbanding kadar biasa.

    “Malah dengan adanya program ini, ia dapat membantu mengurangkan jumlah penunggan motosikal tanpa lesen di negara ini, sekali gus mampu menurunkan kadar kemalangan kerana lebih peka mengenai undang-undang dan peraturan jalan raya.”

    Memandangkan program ini mendapat sambutan yang menggalakkan, JPJ bercadang untuk melaksanakannya sebanyak tiga kali setahun mulai tahun hadapan.

    “Kami akan menambah baik program ini dalam setiap fasa bagi memastikan ia terus relevan seterusnya menjadi platform pilihan masyarakat untuk mendapatkan lesen motosikal,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Ismail turut berkata program MyLesen akan diteruskan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pemanduan berhemah serta risiko menunggang motosikal tanpa lesen dan perlindungan insurans yang sah.

    Program MyLesen dilaksanakan bersama-sama institusi serta akademi memandu yang mengambil bahagian, merupakan lanjutan komitmen kerajaan melalui JPJ berdasarkan konsep merakyatkan perkhidmatan awam.

    Program dengan slogan ‘1 Rakyat 1 Lesen’ itu menyasarkan golongan belia yang belum memiliki lesen memandu sah dan terdiri daripada mereka berumur 16 tahun ke atas di bandar dan luar bandar.

    Bayaran bagi mendapatkan lesen di bawah program berkenaan hanya RM299 berbanding kadar biasa iaitu dalam lingkungan RM350 dan ke atas.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025