Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Shell Helix lancar program waranti pertama untuk enjin di Malaysia – tuntutan sehingga RM15,000

    2016-Shell-Helix-SHEW-launch-2

    Shell Helix telah melancarkan program jaminan enjin yang pertama seumpamanya di Malaysia, dikenali sebagai Shell Helix Engine Warranty (S.H.E.W).

    Pemandu yang melakukan servis kenderaan mereka dengan menggunakan Shell Helix Ultra dengan PurePlus Technology, minyak pelincir terkini dan termaju yang dihasilkan Shell, akan menerima jaminan terhadap kegagalan enjin yang disebabkan oleh minyak pelincir sehingga 12 tahun atau 200,000 kilometer dari tarikh kenderaan dikeluarkan (yang mana dahulu). Jaminan yang sama turut sah bagi pembelian Shell Helix HX 7.

    S.H.E.W melindungi dan akan menanggung kos baik pulih atau gantian bagi 15 komponen enjin yang berkecenderungan untuk rosak sekiranya Shell Helix yang digunakan gagal untuk memberikan perlindungan yang sewajarnya kepada enjin.

    Pemilik kenderaan yang layak dan berdaftar di bawah program S.H.E.W boleh menebus semula sehingga RM15,000 (bagi pengguna Shell Helix Ultra dengan PurePlus Technology) dan RM8,000 (bagi pengguna Shell Helix HX7) bagi kos baik pulih.

    Ia ditawarkan untuk kenderaan penumpang peribadi yang didaftarkan untuk beroperasi di Malaysia dan berusia lapan tahun ke bawah atau jarak perbatuannya tidak melebihi 100,000 kilometer. Pendaftaran S.H.E.W adalah mudah dan ringkas.

    2016-Shell-Helix-SHEW-launch-1

    Menurut Pengarah Eksekutif Shell Lubricants Asia Tenggara, Troy Chapman, “S.H.E.W merupakan program nilai tambahan yang memberi manfaat kepada pemandu yang memilih Shell Helix. Ia melindungi apa yang penting iaitu enjin dan kenderaan anda, untuk jangka waktu yang panjang dan lebih utama, secara percuma.”

    Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Datuk Azman Ismail pula berkata, “Kami yakin dengan kemampuan Shell Helix memberikan perlindungan dan prestasi dalam jangka masa panjang, dan untuk itu kami berani menawarkan jaminan percuma enjin sehingga 12 tahun menerusi program ini.”

    Bagi menyertai S.H.E.W ini, pemilik kenderaan perlu melakukan penyalinan atau penukaran minyak enjin di mana-mana bengkel sah di bawah program S.H.E.W. Selain itu, pelanggan yang menukar minyak kenderaan mereka sendiri juga boleh membeli minyak pelincir Shell Helix Ultra atau Shell Helix HX 7 dari stesen petrol Shell dan menghubungi talian pelanggan S.H.E.W untuk tujuan itu atau mendaftar secara atas talian.

    Selepas mendaftar di bawah program ini, pelanggan akan menerima mesej peringatan agar mereka tidak akan terlepas tempoh menyalin minyak pelincir kenderaan. Mereka juga tidak perlu was-was dengan keaslian dan ketulenan produk Shell Helix yang dibeli dari bengkel-bengkel sah di bawah program S.H.E.W atau di semua stesen petrol Shell.

    S.H.E.W akan kekal sah selagi kenderaan yang terlibat kekal menggunakan minyak pelincir Shell Helix Ultra atau Shell Helix HX 7 setiap enam bulan atau bergantung kepada jadual penukaran minyak enjin seperti yang dicadangkan oleh pengeluar kenderaan masing-masing, yang mana tiba terlebih dahulu.

    Jaminan ini juga boleh dipindahkan kepada pemilik baharu kenderaan berkenaan untuk melindungi nilai jualan semulanya, dengan syarat pemilik baru kenderaan itu memiliki salinan resit terakhir sebagai bukti mereka kekal menggunakan Shell Helix Ultra atau Shell Helix HX 7.

     
     
  • Ford Ranger 2.2L XLT dan 3.2L XLT 2016 terima waranti selama 5 tahun sehingga 30 Jun

    Photo 4

    Berita gembira untuk sesiapa yang berniat untuk membeli Ford Ranger 2.2L XLT dan 3.2L XLT. Sime Darby Auto Connexion (SDAC) kini menawarkan jaminan selama lima tahun untuk kedua-dua varian berkenaan di seluruh negara. Namun tawaran istimewa ini hanya sah mulai sekarang sehingga 30 Jun 2016.

    Pelanggan yang membeli dan mendaftar model Ranger 2.2L XLT atau 3.2L XLT sebelum 30 Jun ini akan menikmati jaminan pengeluar selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km bersama tambahan jaminan selama dua tahun atau 100,000 km menerusi Program Jaminan Lanjutan SDAC tanpa sebarang kos ekstra.

    Selain itu, 2.2L XLT dan 3.2L XLT juga kini hadir dengan kamera pandang belakang sebagai satu ciri standard. Ia pasti dapat memberikan pemandu pandangan bahagian belakang kenderaan yang lebih jelas, terutama ketika parkir.

    Imej kamera pandang belakang itu dipaparkan pada skrin SYNC Ranger bersaiz 4.2 inci. Ia berfungsi bersama bantuan parkir belakang dan alat pengesan parkir yang membantu pemandu untuk memarkir kenderaan dengan lebih yakin.

    Menurut Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, “Kami berusaha keras demi untuk memastikan semua pelanggan mempunyai pengalaman pemilikan yang terbaik. Untuk memberi ketenangan minda kepada pelanggan, kami berbesar hati untuk menawarkan program jaminan lanjutan SDAC tanpa kos tambahan kepada mereka yang membeli dan mendaftar sebuah Ranger XLT sehingga 30 Jun depan.”

     
     
  • Ford Ranger baharu naik harga kecuali varian 2.2 XL

    Ford Ranger test drive Tadom hills-07

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC) selaku pengedar rasmi Ford di Malaysia telah membuat keputusan untuk menaikkan harga jualan bagi model Ranger baharu yang dilancarkan pada Oktober 2015. Walau pun tiada perubahan daripada segi spesifikasi, namun harga baharu ini mengalami peningkatan antara RM800 hingga RM5,300.

    Peningkatan harga yang paling tinggi ialah melibatkan model 3.2L Wildtrak iaitu sebanyak RM5,300 di mana harga terdahulu ialah RM132,188, kini menjadi RM137,488.

    Manakala varian 2.2 XLT MT pula kini berharga RM102,268 (berbanding harga terdahulu RM101,388) dan 2.2 XLT AT pula daripada RM108,788 telah dinaikkan sebanyak RM900 iaitu RM109,688.

    Bagi varian 3.2 XLT MT pula, peningkatan sebanyak RM920 menjadikan harga baharunya RM111,808 (berbanding harga terdahulu RM110,888) dan 3.2 XLT AT pula kini RM119,238 berbanding RM118,388 iaitu naik sebanyak RM850.

    Namun hanya satu varian sahaja yang masih dikekalkan harga jualannya iaitu 2.2L XL iaitu RM91,588.

    Ford Ranger 3.2L Wildtrak

    Bagi varian yang dijanakan oleh enjin 3.2 liter Duratorq lima-silinder TDCi, ia telah diberi penambahbaikan iaitu menggunakan sistem kitaran semula gas ekzos. Ia membantu meningkatkan penjimatan bahan api sehingga 12 peratus, pada masa yang sama mampu menjana kuasa mencecah 200PS dan tork setinggi 470Nm.

    Manakala varian 2.2L XLT MT dan 2.2L XLT AT pula dijanakan oleh enjin diesel 2.2 liter Duratorq empat-silinder TDCi generasi terkini.Ia mampu menghasilkan kuasa 160PS tork 385Nm iaitu lebih peningkatan dari segi kuasa dan tork berbanding enjin 2.2 liter pada model terdahulu.

    Ranger baharu ini juga dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan. Kesemua empat enjin yang ada menawarkan pelanggan Ranger kombinasi terbaik dari segi kuasa dan kecekapan dalam apa jua keadaan.

    Dilengkapi dengan rangkaian teknologi pintar, ciri-ciri Ranger yang intuitif membuatkan apa jua tugas menjadi semakin mudah. Varian berprestasi tinggi WildTrak menampilkan sistem ketersambungan di dalam kereta generasi terkini Ford, SYNC 2 yang terdiri daripada satu skrin sentuh berwarna bersaiz lapan-inci untuk mengawal telefon, hiburan dan suhu dengan menggunakan sistem arahan suara yang mudah.

    Dengan teknologi bebas tangan termaju Ford, para pemandu boleh mematuhi peraturan jalan raya dan kekal berhubung. Varian XLT yang popular juga dilengkapi ciri SYNC bersama paparan bersaiz 4.2-inci.

    Satu lagi ciri yang pertama dalam segmennya dan dipasang pada Ranger baharu ialah sistem MyKey Ford yang eksklusif. Sistem ini membolehkan pelbagai ciri diprogramkan. Misalnya menetapkan had kelajuan maksimum, amaran memakai tali pinggang keledar dan volum maksimum untuk sistem audio.

    Ia turut menampilkan ciri Front & Rear Park Assist serta kamera mengundur yang memberikan pandangan lebih jelas. Ia pastinya sangat berguna terutama ketika hendak masuk ke ruang parkir dan menarik trailer.

    Kerangka Ranger yang telah diperkukuhkan disokong dengan perlindungan daripada beg udara hadapan untuk pemandu dan penumpang pada semua varian. Sementara varian WildTrak pula dipasang dengan enam beg udara termasuklah beg udara sisi dan tirai. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem Lane Keeping Aid, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Kawalan Bebanan Adaptif dan Bantuan Brek Kecemasan.

     
     
  • Toyota Beyond Excitement menuju ke M’sia Timur

    Untuk mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak, anda akan berpeluang untuk mengalami kebolehan off-road Toyota Hilux dan Toyota Fortuner serba baharu pada acara Beyond Excitement yang kini dalam perjalanan ke Malaysia Timur setelah berakhirnya acara tersebut minggu lalu di Bukit Raja, Klang.

    Di Sabah, acara ini akan diadakan di Kota Kinabalu, bertempat di tanah lapang berhadapan Kadazan and Dusun Cultural Association (KDCA) bermula 28 hingga 31 Mei. Selepas itu, acara ini akan diadakan pula buat kali terakhir di Kuching bertempat dihadapan Puspakom di Jalan Kwong Lee Bank bermula dari 10 hingga 12 Jun.

    Selain dari menaiki Hilux dan Fortuner mengelilingi litar off-road meredah pelbagai halangan untuk mendemonstrasikan kebolehan sistem Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) dan kelegaan tanah yang ditingkatkan, anda juga berpeluang mendapatkan pelbagai hadiah dan gambar Polaroid yang dicetak serta pelbagai lagi tarikan lain seperti sudut kanak-kanak dan trak makanan. Masuk adalah percuma, tetapi peluang untuk menaiki Hilux dan Fortuner adalah terhad. Jadi, jika anda benar-benar berminat untuk aktiviti tersebut, adalah disarankan untuk mendaftar Gold Pass terlebih dahulu.

    Toyota Hilux generasi baharu hadir dengan bentuk badan single cab dan double cab dalam enam varian berbeza, dijual pada harga bermula RM89,900 hingga RM133,900 dijana dengan enjin 2.4 liter 150 PS/400 Nm dan 2.8 liter 177 PS/450 Nm GD turbodiesel serba baharu dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada enam-kelajuan manual atau enam kelajuan automatik.

    Manakala Fortuner pula hadir dengan dua varian dijual pada harga bermula RM186,900 hingga 199,900. Varian asas dikuasakan dengan enjin 2.4 liter GD turbodiesel manakala varian tertinggi pula dikuasakan dengan enjin petrol 2.7 liter Dual VVT-i 166 PS/245 Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan hanya pilihan kotak gear enam kelajuan automatik. Trak pikap dan SUV generasi baharu ini menampilkan pelbagai ciri baharu seperti lampu hadapan LED, roda aloi baharu berdiameter 18-inci, tempat duduk pemandu larasan berkuasa, tujuh unit beg udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan pelbagai lagi.

    Anda boleh mendaftar untuk menyertai acara Hilux Beyond Excitement ini di sini. Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk menyertai acara ini, anda bolehlah membaca ulasan kami berkenaan Hilux dan Fortuner serba baharu ini di sini.

    GALLERY: 2016 Toyota Hilux 2.4G 4×4 A/T


    GALLERY: 2016 Toyota Hilux 2.8G 4×4
    GALLERY: 2016 Toyota Fortuner 2.4 VRZ
    GALLERY: 2016 Toyota Fortuner 2.7 SRZ

     
     
  • Honda patenkan teknologi anjakan silinder bervariasi

    Teknologi anjakan silinder bervariasi sebelum ini sudahpun digunakan oleh beberapa pengeluar seperti Mitsubishi dengan teknologi Mivec-MD dan Volkswagen dengan teknologi ACT. Teknologi ini membolehkan, misalnya enjin empat silinder berkapasiti 2.0 liter (2.0 liter dibahagikan kepada empat silinder bermaksud setiap silinder mempunyai kapasiti 0.5 liter atau 500 cc) berubah menjadi enjin berkapasiti 1.0 liter dengan cara tidak menghidupkan dua silinder pada waktu-waktu tertentu untuk mencapai penggunaan bahan api yang lebih ekonomi.

    Menurut laporan AutoGuide, Honda kini sedang membangunkan enjin dengan anjakan silinder bervariasi sebenar yang boleh mengubah strok setiap omboh untuk menghasilkan kapasiti enjin yang berbeza-beza.

    Rekaan yang ditemui pada pangkalan data pejabat paten Jepun yang difailkan oleh Honda ini menunjukkan kapasiti setiap silinder boleh berubah-ubah. Tidak seperti teknologi sedia ada, enjin empat silinder sebaris Honda ini mampu berubah sehingga 15 kapasiti berbeza dengan perbezaan yang sangat sedikit untuk setiap kapasiti tersebut. Ia dilakukan dengan mengubah strok perjalanan setiap omboh dalam silinder sama ada menjadi lebih panjang (kapasiti menjadi lebih besar) atau lebih pendek (kapasiti menjadi lebih kecil). Paten yang difailkan tersebut juga mengandungi rekaan enjin bentangan dua silinder dan tiga silinder sebaris serta enjin V6 diterapkan dengan konsep yang sama.

    Teknologi ini bukan sahaja mampu menjimatkan bahan api, ia juga mampu meningkatkan kecekapan sesebuah enjin itu. Untuk rekod, Honda sudah pun memperkenalkan enjin konsep Extended Expansion Linkage (EXLink) pada tahun 2001 dan versi produksi enjin tersebut telah digunakan untuk memproduksi unit generator untuk kegunaan rumah pada tahun 2011. Enjin pada unit generator tersebut menggunkan konsep yang sama pada paten terbaharu Honda ini, yang boleh memanjangkan strok kemasukan, membolehkan ia menjana lebih kuasa tetapi dengan penggunaan bahan api yang kurang.

     
     
  • Pusat 3S Volkswagen Alor Setar dilancarkan

    Volkswagen Alor Setar 3S Centre

    Baru-baru ini, Volkswagen Malaysia telah berbesar hati melancarkan Pusat 3S Volkwagen Alor Setar. Dikendalikan oleh Lee Motors Autohaus Sdn Bhd, ia merupakan satu-satunya pusat 3S dan pengedar sah Volkswagen yang pertama di Alor Setar.

    Dibina dengan pelaburan awal sebanyak RM18 juta, pusat 3S ini berperanan memenuhi serta menyokong pertumbuhan dan perkhidmatan selepas jualan di wilayah utara. Ia memberi perkhidmatan kepada pelanggan dari Alor Setar, Jitra, Changloon, Arau, Kangar dan Sungai Petani.

    Dengan keluasan keseluruhan mencecah 35,352 kaki persegi, bilik pameran ini mampu mempamerkan 11 buah kenderaan dan mempunyai sebuah lounge untuk pelanggan. Sementara pusat servis pula dilengkapi lapan ruang penyelenggaraan yang dikendalikan oleh 15 orang kakitangan selepas jualan yang berpengalaman dan terlatih.

    Pusat 3S ini terletak di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah kawasan bersejarah dan perniagaan Alor Setar. Lokasi tersebut berfungsi sebagai hab utama untuk aktiviti-aktiviti perniagaan di negeri ini, selain dapat menyediakan poin penyerahan kenderaan untuk tujuan penyelenggaraan yang mudah buat para pelanggan.

    Cawangan ini turut dilengkapi lif kargo dan peralatan diagnostik yang diluluskan oleh Volkswagen Jerman. Satu sistem CCTV khas pula membolehkan pelanggan melihat kenderaan mereka diservis dari dalam lounge yang selesa.

    Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller berkata, “Ini ialah bilik pameran kelima yang kami lancarkan pada tahun ini dan ia khusus untuk para pelanggan di wilayah utara. Pengembangan operasi Lee Motors di wilayah Utara akan membuatkan jenama Volkswagen lebih mudah diakses, sekali gus dapat meningkatkan pengalaman pemilikan pelanggan kami di wilayah ini.”

    Photo 3

    “Lee Motors Autohaus hanya memulakan kerjasama dengan Volkswagen pada tahun 2014 di Jitra Kedah dan sejak itu, kami terus berkembang. Dengan pelancaran pusat 3S ini, kami akan berusaha untuk meningkatkan lagi pengalaman pemilikan pelanggan secara keseluruhannya di wilayah utara,” ujar Ketua Pengarah dan Pengedar Lee Motors Autohaus, Eugene Lee

    Bilik pameran Pusat 3S Volkswagen Alor Setar beroperasi dari Isnin hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 6 petang. Manakala perkhidmatan selepas jualan pula ditawarkan dari Ahad hingga Jumat bermula jam 9 pagi hingga 6 petang. Ia ditutup pada cuti umum.

     
     
  • Audi Malaysia perkenal Audi Care – program servis selepas jualan dengan bantuan kecemasan 24/7

    audi-care-704x214-1_BM

    Dalam usaha untuk mempertingkatkan mutu khidmat selepas jualan, Audi Malaysia kini menawarkan pakej Audi Care baharu untuk pemilik Audi yang kenderaan mereka masih lagi dalam tempoh dilindungi waranti. Selain dari menawarkan perkhidmatan kecemasan bantuan tepi jalan dan talian khas perkhidmatan pelanggan, Audi Care turut merangkumi pelbagai lagi faedah lain untuk membantu pemilik Audi semasa berhadapan perkara yang tidak diingini.

    Bantuan Kecemasan Tepi Jalan Audi 24/7 yang termasuk dalam pakej Audi Care, boleh dihubungi dengan mendail nombor 1800-22-AUDI (2834). Jika berlakunya kerosakan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh dipandu, Audi akan menyediakan khidmat tunda percuma sehingga 600 km ke pusat servis Audi yang bertauliah terdekat. Begitu juga jika berlaku kemalangan, khidmat trak tunda juga sentiasa bersedia 24-jam untuk pemilik Audi.

    Faedah lain yang ditawarkan melalui Bantuan Kecemasan Audi ini termasuklah pembaikan ringkas tepi jalan seperti khidmat ‘jump start‘ enjin, penukaran tayar yang bocor, khidmat bahan api kecemasan dan khidmat membuka kunci. Faedah tambahan yang dilindungi dalam program ini termasuk membiayai perjalanan yang terganggu jika kereta Audi anda tidak boleh dipandu kerana masalah mekanikal yang berlaku 100 km dari tempat kediaman anda.

    Pembiayaan tersebut termasuk bayaran balik untuk tempat penginapan dan juga pengangkutan alternatif. Untuk bayaran balik tempat penginapan, pelanggan boleh menuntut bayaran sehingga RM300 untuk setiap orang/malam untuk tempoh waktu maksimum dua hari. Ia boleh dituntut maksima untuk tiga orang dalam kenderaan, tiga kali setahun. Untuk bayaran balik pengangkutan alternatif pula, pelanggan boleh menyewa kereta dengan kadar sehingga RM300 sehari untuk tempoh maksimum dua hari. Ia juga boleh dituntut sehingga tiga kali setahun. Bayaran balik tambang teksi sehingga RM60 untuk setiap perjalanan juga turut disediakan.

    2016-audi-tts-driven-malaysia- 090

    Pelanggan yang mengunjungi negara jiran iaitu Singapura dan Thailand juga turut dilindungi di bawah pakej Audi Care jika perkara yang tidak diingini berlaku. Contohnya, jika pemandu yang berdaftar dengan pakej ini tidak boleh memandu Audi mereka atas alasan tidak sihat atau mengalami kecederaan, pemandu khas akan ditugaskan untuk memandu kenderaan tersebut dari Singapura atau Thailand ke alamat kediaman mereka di Malaysia.

    Pelanggan juga boleh menuntut bayaran balik sehingga RM100 untuk kos penyimpanan (parkir dan sebagainya) jika kenderaan yang rosak terkandas untuk dibawa balik ke Malaysia kerana penutupan pintu sempadan antara negara. Setelah kerja-kerja pembaikan yang sepatutnya dibuat siap, kenderaan akan dihantar semula kepada pelanggan jika kerosakan berlaku di tempat berjarak lebih dari 100 km dari alamat kediaman di Malaysia, dan kerja-kerja tersebut mengambil masa lebih dari 48 jam.

    Kenderaan Audi yang tidak lagi dilindungi dibawah waranti pengeluar Audi masih lagi boleh melanggan Program Bantuan Kecemasan dengan kadar yuran RM120 (termasuk 6% GST) setahun. Kereta Audi yang tamat tempoh waranti juga masih layak untuk memohon khidmat trak tunda.

     
     
  • PANDU UJI: Honda CR-V – kredibilitinya masih diyakini

    20160324_0176

    Setelah sedikit proses ‘penyegaran’ dilakukan pada Honda CR-V 2.0 2WD awal tahun ini, Honda Malaysia telah menjemput pihak media menyertai sesi uji pandu SUV tersebut dari Kuala Lumpur ke Ipoh. Malah turut bersama ialah Honda CR-V 2.4L 4WD yang telah dipertingkatkan dan dilancarkan semula setahun yang lalu.

    Melihat pada bahagian luaran, kedua-dua varian CRV masih lagi menampilkan gril hadapan ‘Solid Wing‘ Honda. Rekaan pada bampar hadapan dan belakang turut tidak berubah.

    Kesemua varian menerima lampu hadapan projektor HID bersama lampu nyalaan siang LED, begitu juga dengan lampu isyarat membelok pada cermin sisi. Namun hanya varian 2.4L 4WD menerima sistem lampu dan penggilap cermin automatik serta penutup cermin sisi bersalut krom.

    DSC_0051

    Tiada perubahan pada bahagian roda di mana varian 2.0L 2WD masih menggunakan roda aloi 17-inci dibaluti tayar 225/65R17. Manakala model 2.4L 4WD masih dilengkapi dengan roda aloi dengan kemasan hitam dan aloi berkilat bersaiz 18-inci dibaluti tayar bersaiz 225/60R18.

    Perubahan yang ketara disaksikan pada bahagian dalaman di mana varian 2.0L 2WD kini menerima tempat duduk balutan kulit sepenuhnya, tetapi untuk varian 2.4L kekal tanpa apa-apa perubahan.

    Satu lagi ciri yang dilengkapi pada varian 2.4L 4WD yang tiada pada varian lain yang lebih rendah ialah sistem Honda Lane Watch. Setakat ini, hanya CR-V 2.4L dan Accord 2.4L dilengkapi dengan sistem ini dalam barisan model Honda pasaran Malaysia.

    Sistem ini membantu pemandu untuk memberikan gambaran yang lebih jelas di bahagian kiri kenderaan setelah isyarat membelok ke kiri dinyalakan melalui unit skrin sistem infotaimen yang dihubungkan dengan kamera yang dipasang di bawah cermin sisi sebelah kiri.

    Varian 2.4L 4WD turut menerima skrin sesentuh infotaimen bersaiz tujuh-inci (model 2.0L 2WD hanya dilengkapi unit audio standard), sambungan HDMI, sistem navigasi (tiada pada varian 2.0L 4WD), audio Bluetooth, butang kawalan pada roda stereng, tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-cara, penghawa dingin dua-zon automatik serta liang penghawa dingin bahagian belakang.

    Paparan TFT LCD bersaiz 5-inci i-MID signatur Honda yang memberikan informasi jarak perjalanan, penggunaan bahan api, informasi sistem audio dan pelbagai maklumat lain masih lagi kekal diletakkan di posisi bahagian atas unit skrin sesentuh sistem infotainmen.

    Untuk keselamatan, varian 2.0L 2WD dan 4WD kekal dengan empat beg udara dan 2.4L 4WD kekal dibekalkan dengan enam beg udara. Sistem brek ABS dengan VSA, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan cagak Isofix adalah standard untuk semua varian.

    Selain dari ciri-ciri tambahan yang dilengkapi, keistimewaan utama varian CR-V 2.4L tentulah pada enjin K24Z 2.4 liter DOHC i-VTEC yang menjana SUV ini. Enjin tersebut berupaya menghasilkan kuasa 190 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 222 Nm pada takat 4,400 rpm. Kuasa tersebut dialirkan ke keempat-empat roda menerusi kotak gear lima-kelajuan automatik yang disertakan sekali dengan penukar gear pada stereng.

    Butang mod ECON disertakan pada kesemua varian CR-V. Butang tersebut akan mengubah talaan enjin, kotak gear, dan penghawa dingin bagi membolehkan kecekapan bahan api menjadi lebih efisien ketika kuasa sepenuhnya dari enjin tidak diperlukan contohnya memandu dalam keadaan meredah kesekakan lalu lintas di tengah bandar.

    Berbanding model 2.0 liter berkuasa hanya 155 PS/190 Nm, model 2.4 liter ini tidak mengalami kesukaran ketika memecut dari 80 km/j sehingga 140 km/j seperti model 2.0L. Prestasi enjin ini boleh dikatakan agak linear ketika memecut dan membawa beban badan lebih dari 1.5 tan.

    Namun untuk pemanduan dalam konvoi ini yang memerlukan pecutan segera tanpa diduga bagi mengekalkan jarak dengan kereta yang mengetuai kumpulan, saya lebih suka menggunakan mod manual kerana penurunan gear boleh dilakukan lebih cepat, berbanding mod automatik yang mengambil masa mungkin dalam satu ke dua saat untuk kotak gear tersebut ‘berfikir’ sebelum menurunkan gear setelah pedal pendikit ditekan secara agresif.

    Kami perlu merentasi sedikit laluan off-road yang ringan kerana semasa menuju Ulu River Lodge, Gopeng di mana lokasi tersebut terletak di kawasan yang sedikit pedalaman. Laluan tersebut membuktikan CR-V bukan omongan kosong. Malah dalam corak perjalanan sebegini, CR-V masih lagi memberikan keselesaan yang optimum.

    Saya juga sempat menguji tahap praktikaliti ruang kargo Honda CR-V. Berbanding pesaingnya yang lain, pintu ‘tailgate’ dan lantai ruang kargo SUV ini direka lebih rendah. Ini membuatkan ruang tersebut mempunyai kapasiti sebesar 589 liter, jauh lebih besar dari pesaingnya memandangkan ia lebih tinggi dan boleh memuatkan barang yang lebih besar.

    Untuk rujukan, Nissan X-Trail mempunyai ruang kargo berkapasiti 550 liter, manakala Mazda CX-5 pula mempunyai kapasiti 404 liter. Bukan itu sahaja, kedudukan bukaan pintu tailgate yang rendah itu juga membolehkan proses memasukkan barang yang berat ke dalam SUV dilakukan dengan lebih mudah.

    Satu lagi rekaan bijak yang melibatkan praktikaliti pada CR-V ialah tempat duduk belakangnya yang boleh dilipat dengan satu langkah sahaja. Tanpa bantuan individu lain, anda hanya perlu menarik satu tuil di bahagian belakang dan kemudian tempat duduk barisan kedua tersebut akan terlipat rapi dengan nisbah 60:40. Kini anda mempunyai ruang kargo berkapasiti 1,156 liter, cukup untuk memuatkan sebuah peti sejuk satu pintu dan beberapa barangan lain kedalam SUV segmen-C ini.

    Sebagai sebuah kenderaan keluarga, tentunya bahagian tempat duduk belakang antara yang diambil berat. Tempat duduk belakang CR-V mampu untuk menempatkan tiga orang dewasa bersaiz sederhana dengan selesa. Ia menawarkan ruang kelegaan kepala dan kaki yang cukup luas dan tidak terasa ‘lemas’ ketika perjalan jarak jauh. Dan tentunya liang penghawa dingin untuk bahagian kabin belakang merupakan satu bonus yang menggembirakan penumpang terutamanya dalam suasana gelombang haba melanda negara sekarang.

    Prestasi keselesaan untuk pemandu dan penumpang CR-V memang tidak dinafikan ketika melalui jalan luar bandar dan lebuh raya. Sepanjang laluan dari Tanjung Tualang ke Tanjung Malim, saya berkesempatan untuk menguji pengendalian CR-V 2.4L ini.

    20160323_0283

    Dalam kelas SUV segmen-C, CR-V antara yang memberikan pengendalian agak baik. Dibina berasaskan platform Honda Civic FB generasi ke-sembilan dengan sistem suspensi topang McPherson dibahagian hadapan dan sistem multi-link dibahagian belakang, dinamik CR-V adalah hampir kepada sebuah sedan kecuali dengan ketinggiannya membuatkan kadar olengannya sedikit terasa.

    Stereng CR-V ini juga memberikan respon yang agak baik. Sistem stereng dengan bantuan kuasa elektrik tersebut terasa tidak terlalu ringan ketika melayan selekoh dan berupaya memberikan kestabilan ketika memandu pada kelajuan tinggi serta kebolehan membuat pusingan-U dengan radius pusingan 5.54 m.

    Setelah tiga tahun berada dalam pasaran, Honda CR-V generasi keempat ini masih lagi relevan. Untuk model 2.4L 4WD, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM 167,620.08, manakala untuk varian 2.0 4WD pula ia dijual pada harga RM 148,879.23. Varian 2.0L 2WD yang kini didatangkan dengan tempat duduk balutan kulit secara standard pula kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM138,754.83.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Heartbeat Concept dihasilkan oleh 12 orang pelatih untuk Wörthersee 2016

    VW-Golf-GTI-Heartbeat-05_BM

    Dua belas pelatih dari Volkswagen dan Sitech Sitztechnik telah menghasilkan sebuah model konsep Volkswagen Golf GTI Heartbeat yang berkuasa 400 PS untuk perhimpunan tahunan Golf GTI Wörthersee. Selain untuk perhimpunan tersebut, kereta ini juga dihasilkan bersempena ulangtahun ke-40 Golf GTI dalam pasaran.

    Golf GTI Heartbeat Concept dibina berasaskan Golf GTI Performance standard. Dengan mengambil inspirasi “emotion of the GTI”, kereta ini dihasilkan dalam masa kurang dari sembilan bulan oleh pelatih-pelatih berumur antara 20 hingga 26 tahun yang dilatih dalam lima bidang berbeza iaitu pembina bahagian dalaman, juruteknik cat, juruteknik mekatronik, pereka produk teknikal dan juga juruteknik proses dengan pengkhususan dalam kejuruteraan plastik dan getah.

    Badan tiga pintu hatchback ini telah diwarnakan dengan warna reflex silver metallic manakala bahagian bumbung dan hadapan dibalut dengan warna kelabu gelap yang kontras. Badan kereta ini juga menerima hiasan corak sarang lebah seperti motif rekaan gril hadapan GTI pada bonet hadapan, bumbung dan bahagian sisi. Ia juga turut menerima kit badan yang diwarnakan dengan warna hitam kilat serta roda aloi BBS berdiameter 20 inci.

    Bahagian dalaman GTI Heartbeat ini menampilkan tempat duduk ‘bucket‘ yang diambil dari VW Golf GTI Clubsport S dan disulam dengan corak bermotif sarang lebah serta emblem “40” pada bahagian perehat kepala. Motif tersebut turut mendominasi bahagian panel pintu, manakala simbol Heartbeat mendominasi jalur kemasan dalaman. Tempat duduk belakang dikeluarkan dan ruang tersebut menempatkan sistem audio berkuasa 1,360 watt yang terdiri dari tujuh pembesar suara, lampu-lampu LED dan juga penutup kaca.

    Pelatih-pelatih ini bekerja di bawah projek Latihan Vokasional Volkswagen dan mereka terus membina kemahiran bersama dengan pengurus projek Holger Schülke.

     
     
  • Pemeriksaan mandatori bagi pemandu berusia 50 tahun dan ke atas, ujian air kencing untuk pemegang lesen golongan muda diusulkan oleh MKJR Melaka

    JAGUAR_JM_04_F-PACE_126375-e1455157574557

    Dalam laporan yang disiarkan oleh The Sun Daily, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka mengusulkan pemegang lesen berusia 50 tahun dan ke atas perlu diwajibkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka benar-benar selamat untuk memandu, seperti mana yang dipraktikkan oleh negara membangun.

    Menurut Setiausaha negeri MKJR Melaka Ghafar Misdar, usul tersebut dibentangkan dalam mesyuarat am tahunan (AGM) Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, yang mana turut mendapat sokongan dari Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

    Walau bagaimana pun, Aziz berpendapat, program keselamatan bagi pemandu warga emas ini perlu melibatkan golongan berusia 65 tahun dan ke atas, berbanding 50 tahun. Beliau menambah, ujian penglihatan juga sangat diperlukan bagi pemandu berkenaan.

    “Usia 50 tahun masih muda. Usul untuk pemandu warga emas ini perlu dikaji secara lebih mendalam. Di peringkat kementerian, ia perlu dipertimbangkan tetapi kita perlu mendapatkan maklumbalas daripada pihak lain sebelum membuat keputusan,” katanya lagi.

    Motorcyclist

    Aziz turut menyentuh mengenai polisi Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) baru-baru ini, di mana perlindungan insurans tidak akan melindungi pemandu kenderaan komersial yang berusia 65 tahun ke atas. “Langkah yang diambil oleh MMIP ini bagai memberikan petanda kepada pihak berkuasa untuk memastikan polisi bagi pemandu warga emas ini,” ujarnya.

    Usul ini dibentangkan memandangkan peningkatan pemandu warga emas sejak kebelakangan ini, yang mungkin akan terus meningkat pada masa akan datang, ujar Ghafar.

    “Ini bukan tanda tidak menghormati pemandu-pemandu yang lebih berusia dan berpengalaman tetapi ia merupakan satu cadangan bagi kepentingan bersama kerana mereka mungkin berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk terbabit dengan kemalangan kerana mungkin mengalami masalah kesihatan atau penglihatan,” katanya. Justeru, pemeriksaan kesihatan dilihat sebagai satu perkara yang diperlukan untuk menentukan keupayaan pemandu-pemandu warga emas ini.

    malaysian-driving-license-001_PTBM

    Selain pemeriksaan mandatori buat pemandu warga emas, MKJR Melaka turut mengusulkan agar ujian air kencing turut dilakukan terhadap pemegang lesen golongan muda.

    “Terdapat dua kumpulan berisiko tinggi di jalan raya iaitu pemandu muda terutamanya penunggang motosikal kerana mereka memiliki sikap menunggang secara berbahaya dan pemandu warga emas kerana kelemahan fizikal dan mereka lebih terdedah dengan kecederaan jika terlibat dengan kemalangan,” jelas Ghafar lagi.

    Walau bagaimana pun, usul bagi pemeriksaan kesihatan mandatori untuk pemandu warga emas telah ditolak dalam AGM tersebut, dan ia perlu dikaji semula sebelum dibincang dalam AGM yang akan datang. Manakala usul mengenai ujian air kencing itu diterima, dan akan dibentangkan ke Kementerian Pengangkutan untuk pertimbangan sewajarnya.

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • AWAS akan dilengkapi dengan teknologi lebih canggih

    AES_Camera

    Ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Saripuddin Kasim menjelaskan kelainan yang akan ditampilkan pada sistem demerit Kejara yang baharu berbanding sistem terdahulu adalah sistem teknologi yang digunakan, termasuk penggunaan kamera yang lebih bagus, menurut laporan The Star.

    Menurut beliau, sistem manual yang digunakan sebelum ini membolehkan pesalah mempertikaikan kesalahan mereka. Situasi tersebut bakal berubah apabila Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) mula beroperasi kelak. Beliau menjelaskan gabungan teknologi baharu dengan sistem demerit akan menangani kes sedemikian.

    “Kami menggunakan sepenuhnya teknologi ini dan ia akan membuatkan implementasi sistem demerit akan menjadi lebih efisien,” kata beliau. Kementerian Pengangkutan akan membentangkan sistem demerit baharu tersebut pada sesi perbahasan di Parlimen bulan ini. Implementasi sistem tersebut pula dijadualkan akan berjalan sebelum berakhirnya tahun ini, jelas Saripuddin.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan pada Februari lalu, pemandu yang membayar saman atau pun tidak, markah mereka masih akan dipotong jika didapati telah membuat satu kesalahan lalu lintas. Beliau turut mendedahkan setiap pemandu akan bermula dengan 20 markah pada rekod mereka, dan jika ia makin berkurangan, kemungkinan besar lesen memandu mereka boleh dibatalkan.

    Saripuddin juga mengatakan sistem yang diperbaharui ini hadir hasil usahasama dengan semua pihak yang berkepentingan dari organisasi bukan kerajaan dan jabatan kerajaan sendiri. Sistem tersebut juga dikatakan hasil daripada pengalaman yang dipelajari dari negara lain.

    “Tujuan kami bukanlah untuk menghukum, tetapi untuk memupuk budaya keselamatan jalan raya yang baik dan mematuhi undang-undang trafik,” ujar Sarupudiin berhubung sistem baharu tersebut. Disamping itu, menurut Liow pula sistem tersebut turut dapat menyelesaikan masalah rasuah kerana saman akan dikeluarkan oleh komputer dan kurangnya pembabitan individu.

     
     
  • Citroen C4 Picasso, Grand C4 Picasso 2016 dipertingkatkan – penjana kuasa, imej luaran dan kabin

    Updated-Citroen-C4-range-2-e1462790179673

    Citroen telah mempertingkatkan C4 Picasso dan Grand C4 Picasso bagi model 2016 dengan rupa baharu, termasuk senarai kit yang menerima perubahan.

    Bermula dengan imejnya, kedua-dua model menerima bampar baharu dengan rekaan yang sama bersama lampu kabus berbentuk-C, serta gril yang lebih lebar. Malah lampu belakang dengan “efek ala 3D” yang pertama kali diadaptasikan dengan chevron baharu juga pada bahagian belakang, dengan kekemasan hitam berkilat.

    Bagi C4 Picasso lima-tempat duduk, bumbung dengan dua-tona turut ditawarkan, bersama rim aloi ‘Mamba’ baharu 17-inci. Sementara, Grand C4 Picasso tujuh-tempat duduk pula menerima bar bumbung pilihan berwarna perak dan tiga pilihan warna bagi badan, termasuk kekemasan baharu bagi roda.

    Pada bahagian dalamnya, Picasso kini hadir dengan pakej yang berlainan. Antaranya pek ambien ‘Wild Blue’, tempat duduk hadapan yang boleh dibaringkan sepenuhnya dan mempunyai fungsi mengurut, material upholstery Levanzo Blue, corong udara krom pada papan pemuka dan ambang pintu krom.

    Manakala ambien ‘Dune Beige’ turut didatangkan dalam pek Relax, yang merangkumi perehat kepala sokongan tambahan bagi tempat duduk hadapan, bersama perehat kaki kuasa elektrik untuk tempat duduk hadapan. Manakala pek ambien ‘Hype Grey’ pula mempromosi ‘cita rasa ala perniagaan’ dengan tirai matahari di belakang dan lampu membaca LED.

    Selain itu, elemen lain termasuklah sistem hiburan terkini Citroen, Connect Radio – unit skrin sesentuh tujuh-inci dengan enam-pembesar suara, Apple CarPlay, MirrorLink dan pilihan input lain. Malah sistem Connect Nav juga telah dipertingkatkan.

    Bagi keselamatan, ia menampilkan pertambahan elemen termasuk amaran kepekaan pemanduan, pengesan had kelajuan, amaran penukaran lorong aktif, paparan titik buta, brek keselamatan aktif dan amaran risiko pelanggaran.

    Bagi penjana kuasa yang juga dipertingkatkan, ia ditampilkan dengan enjin petrol 1.2 liter PureTech 110 S&S dengan transmisi manual enam-kelajuan bagi C4 Picasso. Manakala kombinasi enjin 1.2 liter PureTech 130 S&S dan transmisi automatik enam-kelajuan turut ditawarkan bagi kedua-dua model

     
     
  • Ford patenkan teknologi bunyi enjin palsu untuk tujuan penggunaan bahan api yang lebih efisien

    1.0-EcoBoost

    Ford telah mempatenkan teknologi baharu untuk menghasilkan ‘bunyi enjin buatan’ yang akan kedengaran seperti lebih banyak silinder berfungsi dari enjin tersebut. Teknologi ini bukanlah digunakan untuk memberikan perasaan lebih laju, sebaliknya memberikan penggunaan bahan api yang lebih cekap.

    Sebagai contoh, enjin tiga-silinder sebaris akan menghasilkan bunyi seperti enjin enam-silinder sebaris. Menurut Ford, tujuannya adalah untuk menggalakkan pemandu menukar gear dalam rpm enjin yang lebih rendah seterusnya memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien. Ini merupakan salah satu langkah meningkatkan lagi kecekapan bahan api untuk enjin yang dibina dengan kapasiti lebih kecil, di mana ia sudahpun menjadi trend di kalangan pengeluar automotif sekarang.

    Secara teori, Ford mendakwa pemandu menukar gear berpandukan telinga. Dalam kes enjin 1.0 liter EcoBoost misalnya, kelajuan rpm enjin yang lebih tinggi diperlukan untuk menjana lebih kuasa dari kapasiti enjin yang kecil. Malangnya, cara tersebut meningkatkan penggunaan bahan api. Oleh itu, langkah penyelesaian berdasarkan bunyi perlu diambil.

    Dengan merekod semula bunyi yang dihasilkan oleh enjin dan memainkannya semula pada tahap optimum dalam kitaran pembakaran, akan menghasilkan bunyi seperti lebih banyak silinder yang sedang berfungsi. Hasilnya, Ford percaya pemandu akan menukar gear tinggi dengan lebih cepat, seterusnya meningkatkan ekonomi penggunaan bahan api.

    Disamping itu, aplikasi teknologi ini turut akan membantu penjagaan alam sekitar. Walaubagimana pun, tiada lagi pengesahan teknologi yang dipatenkan ini akan digunakan dalam mana-mana model keluaran Ford.

    Sebelum ini, Ford sudahpun hadir dengan teknologi bunyi buatan pada Ford Mustang 2.3 liter EcoBoost dan juga Ford Focus RS. Walaubagaimana pun, teknologi yang ada pada kedua-dua buah model berprestasi tinggi tersebut adalah sebahagian ciri yang ditambah untuk memberikan lebih keseronokan dalam pemanduan.

     
     
  • Suzuki GSX-R 1000 L7 2017 bakal mendarat di M’sia

    Suzuki Assemblers Malaysia (SAM) telah menayangkan video Suzuki GSX-R 1000 L7 2017 di laman facebook mereka. Menurut sumber dari SAM sendiri, ‘Raja Lebuhraya’ tersebut bakal mendarat di Malaysia lewat tahun ini.

    Walaubagaimana pun tiada lagi tarikh rasmi diberikan berkenaan hari pelancarannnya. Buat masa ini SAM sedang menaikkan profil pasaran mereka selepas beberapa tahun menyepi. Dengan itu SAM kini sedang bekerjasama dengan pasukan perlumbaan pengedar Suzuki iaitu Suzuki Hiap Aik Racing untuk tujuan tersebut.

    GSX-R 1000 L7 dijana oleh enjin 999 cc empat silinder sebaris, penyejukkan cecair dan dilengkapi dengan sistem aci sesondol bervariasi (VVT) Suzuki. Sistem VVT tersebut dakwa Suzuki akan menghasilkan kuasa maksima pada rpm tinggi tanpa mengorbankan lengkuk kuasa pada rpm enjin lebih rendah.

    Sistem suspensi GSX-R 1000 L7 juga baharu dengan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya dan sepit udang hadapan perlumbaan Balance Free bersama penyerap hentak boleh laras sepenuhnya Kusyen Belakang Balance Free (BFRC), kesemuanya dari Showa.

    Motosikal sport ini juga hadir dengan pakej untuk pelumba dan penunggang yang serius dengan track day yang terdiri dari Kawalan Cengkaman ,ABS, pendikit elektronik, launch control, dan quick shifter. GSX-R 1000 L7 dijangka akan menerima tentangan sengit dari Kawasaki ZX-10R, yang turut dikhabarkan akan menembusi pasaran Malaysia tidak lama lagi.

     
     
  • Projek Terowong Dasar Laut Penang masih dikaji, kos keseluruhan RM6.341 bilion – kerajaan negeri

    second-penang-bridge_PT_BM

    Satu lagi projek negeri Pulau Pinang yang menjadi kontroversi ialah Projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang kerana dikatakan menelan kos pembinaan yang tidak masuk akal. Sehingga kini, laporan kajian kebolehlaksanaan terowong bawah tanah yang menghubungkan Persiaran Drive di bahagian pulau dan Bagan Ajam di tanah besar, masih dikaji dan dijangka siap Julai ini, laporan Bernama.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri Lim Hock Seng,buat masa ini, semua kajian termasuk kajian hidrolik dan geologikal oleh kontraktor projek telah 83% siap.

    “Selepas siap dengan laporan kajian kebolehlaksanaan, pihak Consortium Zenith-BUCG Sdn Bhd akan mula dengan reka bentuk terperinci projek terowong yang akan dibina sekurang-kurang 20 meter di bawah dasar laut,” katanya.

    Beliau berkata semua kerja-kerja projek itu termasuk tiga jalan utama berjalan mengikut jadual.

    Di mana terowong sepanjang 7.2 kilometer yang mempunyai empat lorong itu dijangka siap mengikut jadual iaitu pada tahun 2025.

    Lim turut menjelaskan tentang projek terowong termasuk tiga jalan utama yang bernilai RM6.341 bilion itu. Di mana nilai RM305 juta adalah bagi kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk terperinci dan kajian impak alam sekitar.

    “Kos untuk kajian kebolehlaksanaan bagi tiga projek jalan-jalan utama adalah RM31.269 juta manakala kos kajian kebolehlaksanaan bagi projek terowong ialah RM20 juta, menjadikan jumlah kajian kebolehlaksanaan RM51.269 juta iaitu 0.93% daripada kos pembinaan,” katanya.

    Katanya lagi, jumlah RM135 juta yang dibayar kepada sebuah syarikat swasta merupakan bayaran kemajuan kajian dan reka bentuk terperinci yang dijalankan.

    Penerangan Lim ini adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga merupakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Abdul Rahman ingin mengetahui mengapa jumlah kos bagi laporan kajian kebolehlaksanaan Projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang mencapai hingga RM305 juta.

    Projek terowong dasar laut ialah satu daripada pelan jangka panjang empat fasa bagi mengatasi kesesakan trafik yang agak kronik di Pulau Pinang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025