Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Skoda Kodiaq SUV bakal diperkenalkan tidak lama lagi dan di pasaran awal 2017, diambil dari nama beruang

    Skoda-Kodiaq-Logo

    Skoda bakal memperkenalkan model SUV baharu yang bersaiz agak besar pada pertengahan tahun ini dan dijangka mula memasarkannya pada awal 2017. Namanya kedengaran agar pelik iaitu Kodiaq. Menurut Skoda, nama ini diambil sempena dengan beruang Kodiaq yang tinggal di Kepulauan Kodiaq yang terletak di selatan Alaska.

    Memiliki ketinggian hampir tiga meter dan berat sekitar 400 kg, Kodiaq jantan merupakan spesies beruang yang paling besar dan terkuat. Seperti mana dengan habitat beruang yang lain, Kodiaq juga tinggal berkumpulan dan hidup bersama haiwan lain. Malah turut berkongsi lokasi menangkap ikan salmon yang sama, menurut Skoda.

    Besar, kuat tetapi bersikap mesra, itulah nilai yang ingin dikongsikan dengan model ini. Model SUV baharu Skoda ini sepanjang 4.70 meter, memiliki tujuh kapasiti tempat duduk dan mampu menawarkan prestasi yang cemerlang. Malah Skoda turut mengakui, “kuasa yang tersembunyi sama seperti apa yang dilihat pada rekaannya, termasuk menampilkan garisan maskular yang memberikan gambaran dinamik, tegap dan mantap”.

    Di Geneva Motorshow tahun ini, Skoda telah memperkenalkan model konsep VisionS yang memiliki kepanjangan 4.7m. Ia juga selebar 1.91m, model konsep ini ternyata lebih besar berbanding BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC. Ia menggunakan platform Modular Transverse Matrix (MQB) ciptaan Volkswagen dan memiliki enam tempat duduk dalam tiga barisan (barisan tengah boleh ditukar menjadi tiga tempat duduk). Manakala kapasiti ruang kargo pula ialah 460 liter.

    GALERI: Skoda VisionS

     
     
  • VIDEO: Nissan Kicks 2016 – sebuah lagi pencabar Honda HR-V dalam pasaran SUV segmen-B

    Nissan telah menyiarkan video Nissan Kicks, sebuah lagi SUV segmen-B yang bakal menyertai Honda HR-V dan Mazda CX-3. Video yang bertajuk “Ride to Intensity” menampilkan Kicks yang sedang beraksi. SUV kompak keluaran Nissan ini akan dijual di lebih 80 negara, bermula dengan pasaran Brazil.

    Selain dari memulakan pasarannya di Brazil, Kicks juga dipilih sebagai kenderaan rasmi untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Rio 2016. Tambahan lagi, Kicks juga akan mula diproduksi di kilang Nissan Resende, Rio de Janeiro lewat tahun ini.

    Seperti yang ditunjukkan pada imej rasmi Nissan, Kicks menampilkan rupa luaran dengan gril hadapan V-motion, lampu hadapan dan belakang boomerang, dan juga bumbung yang kelihatan seolah-olah terapung.“Aliran dinamik dan bentuk badan yang besar adalah kontras dengan sudut-sudut tajam dan ini turut memperincikannya. Kami menggelarnya geometri emosional,” kata Pengarah Rekabentuk Esekutif Nissan, Mamoru Aoki sebelum ini.

    Pada bahagian hadapan, penumpang disajikan dengan rekaan papan pemuka baharu Nissan yang menampilkan unsur Gliding Wing. Ia turut dilengkapi dengan skrin sesentuh tujuh-inci untuk sistem infotaimen pada konsol tengah. Roda stereng kereta ini juga menampilkan rekaan rata pada bahagian bawah untuk menonjolkan imej yang lebih premium. Nissan juga menyatakan “bahagian penumpang belakang kereta ini menjanjikan yang terbaik dalam kelasnya, walaupun mempunyai rekaan bumbung belakang seperti sebuah coupe.” Ia juga didakwa mempunyai ruang kargo yang paling luas berbanding pesaing sekelasnya.

    Kicks dilengkapi dengan monitor pandangan sekeliling dan pengesan objek bergerak. Sistem tersebut terdiri dari empat buah kamera yang diletakkan disetiap sudut crossover ini, bagi mengesan halangan dan bahaya serta akan memberi amaran kepada pemandu. Sebagai segmen pertama seumpamanya dalam rantau itu, tawaran ini adalah sebahagian dari visi Nissan Intelligent Mobility.

    Nissan masih belum mengumumkan spesifikasi dan perincian serta unit janakuasa SUV ini, dan hanya akan diumumkan tidak lama sebelum pelancaran sebenarnya. Tetapi boleh dijangkakan ia akan dikuasakan dengan enjin petrol 1.6 liter empat-silinder tanpa induksi paksaan berkuasa 110 hp dan dipadankan sama ada dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau CVT automatik.

     
     
  • Volkswagen Vento baharu mula dibuka tempahan – harga jangkaan bermula RM80k-RM90k

    gallery-beauty2

    Sebelum dilancarkan secara rasminya minggu hadapan, Volkswagen Malaysia telah mengumumkan tempahan bagi model Vento baharu sudah pun mula dibuka. Ia ditawarkan dengan harga jangkaan bermula RM80,000 hingga RM90,000. Terdahulu, Vento lebih dikenali sebagai Volkswagen Polo Sedan.

    Vento baharu ditawarkan dalam tiga varian iaitu Highline, Comfortline dan Trendline. Ia dikatakan sebagai sedan yang memiliki prestasi terbaik dan ciri keselamatan termaju. Malah ia merupakan satu-satunya sedan yang dikuasakan oleh enjin turbo dalam kelasnya.

    Vento dijana oleh enjin 1.2 pancitan terus dan pengecas turbo TSI yang berupaya menghasilkan kuasa sehingga 105 PS. Ia dipadankan dengan kotak gear berkembar DSG tujuh-kelajuan baharu dan menawarkan tork maksimum 175Nm pada putaran enjin 1,500rpm hingga 4,100rpm.

    Gaya penuh elegan Vento diserlahkan oleh gril krom hadapan dan garis kontur badan yang baharu. Sekali gus memberikan Vento penampilan yang lebih bergaya dan elegan.

    Biarpun impresif dari segi prestasi, Volskwagen tidak berkompromi mengenai aspek keselamatan. Varian Vento Highline baharu telah menerima penarafan lima-bintang oleh ASEAN NCAP. Ia dilengkapi ciri Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), empat beg udara (hadapan dan sisi), sistem brek anti kunci (ABS), Crash Response System (ICRS) serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    Sedan ini didatangkan dalam lima warna iaitu Candy White, Flash Red, Reflex Silver, Carbon Steel Grey dan Deep Black.

    Gambar-gambar yang terpapar di sini adalah Vento bagi pasaran India di mana ia telah pun dilancarkan di negara berkenaan. Namun tidak dapat dipastikan adakah spesifikasi yang bakal kita terima adalah sama dengan pasaran negara-negara lain atau pun ada kelainannya. Perincian lanjut mengenai sedan ini akan didedahkan pada pelancarannya.

    Volkswagen Malaysia turut menawarkan peluang memandu uji Vento baharu ini dan bagi anda yang berminat bolehlah mendaftarnya menerusi http://vw.volkswagen.com.my/coming-soon/the-vento/.

    Volkswagen Vento 2016 pasaran India

     
     
  • Toyota C-HR bakal mendarat di Australia pada 2017

    Toyot Australia telah memuat naik video di laman Youtube mereka, menampilkan Toyota C-HR. SUV yang dikelaskan dalam pasaran segmen-B tersebut bakal menyaingi Honda HR-V dan Mazda CX-3 dengan rupa bentuk yang jauh lebih luar biasa bakal menembusi pasaran Australia pada tahun 2017, menurut video berdurasi 26 saat tersebut.

    Muncul buat pertama kali pada Geneva Motor Show 2016 yang diadakan Mac lalu, produksi C-HR dijangka akan bermula di kilang Toyota Sarkaya, Turki dan juga di kilang Toyota Miyagi, Jepun lewat tahun ini. Thailand yang merupakan antara hub terbesar Toyota turut tersenarai untuk memproduksi SUV ini.

    Australia merupakan pasaran yang menggunakan pemanduan sebelah kanan dalam rantau Asia Pasifik. Seperti juga pasaran Malaysia, Australia turut menerima kereta-kereta jenama Jepun yang dibuat di Thailand. Oleh itu, adakah C-HR bakal mendarat di negara-negara ASEAN tahun hadapan? Sudah tentu UMW Toyota mahu mengambil kesempatan atas kerancakkan pasaran SUV segmen-B yang sedang dimonopoli oleh Honda HR-V di Malaysia buat masa sekarang.

    Toyota C-HR ini dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) terbaharu, model kedua dikeluarkan berasaskan platform tersebut selepas Prius serba baharu. Dinamik pemanduan dikatakan adalah sama seperti ketepatan dan kawalan yang ada pada hatchback segmen-C moden kerana platform yang dibina dengan pusat graviti yang rendah, membolehkan C-HR meredah selekoh dengan kelajuan tinggi dan kawalan badan yang cemerlang.

    2016-GMS_Toyota-C-HR_08-e1456830743761

    Pasaran Jepun akan menerima C-HR yang dikuasakan dengan enjin petrol 2.0 liter empat silinder tanpa induksi paksaan berupaya menjana 150 PS dan tork maksima 193 Nm pada takat 3,800 rpm, dan digandingkan dengan kotak gear CVT automatik memacu roda hadapan. Jika spesifikasi yang sama diterapkan pada model pasaran Malaysia, C-HR mempunyai kuasa 8 PS/21 Nm lebih dari Honda HR-V 1.8, tetapi 6 PS/11 Nm kurang berbanding Mazda CX-3 2.0. Pasaran Jepun juga bakal menerima varian 1.2 liter petrol dengan pengecas turbo berkuasa 116 PS/185 Nm (digandingkan dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan CVT memacu semua roda) dan juga varian hibrid.

    Crossover ini berukuran 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm (1,5,65 mm pada model petrol) tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Oleh itu dimensi C-HR adalah 56 mm lebih panjang, 23 mm lebih lebar, 55 mm lebih rendah dan jarak roda 30 mm lebih panjang berbanding Honda HR-V. Berbanding Mazda CX-3 pula, C-HR adalah 75 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan dengan jarak roda yang 70 mm lebih panjang. Walaubagaimana pun, tiada lagi imej atau informasi bahagian dalaman C-HR disiarkan.

    GALERI: Toyota C-HR di Geneva Motor Show 2016

     
     
  • Hyundai Elantra, Kia Picanto terima penarafan lima-bintang dari ANCAP bagi penilaian aspek keselamatan

    Australasian New Car Assessment Programme (ANCAP) telah memberikan penarafan lima-bintang bagi Hyundai Elantra dan Kia Picanto 2016. Di mana kedua-duanya menerima lima-bintang bagi penilaian keselamatan kemalangan. Secara keseluruhan, Elantra menerima sebanyak 35.01 daripada 37 mata, sementara Picanto pula mendapat 34.26 daripada 37 mata.

    Di Austalia, Elantra didatangkan dengan ciri standard termasuk beg udara hadapan, sisi dan tirai. Malah sedan ini juga menerima markah penuh bagi ujian pelanggaran sisi, ujian impak tiang dan pengingatan tali pinggang keledar. Walah bagaimana pun, sedan ini hanya mendapat penarafan perlindungan pejalan kaki yang ‘boleh diterima’ apabila cermin hadapannya telah direka dengan peningkatan daripada sudut keselamatan.

    “Teknologi bantuan keselamatan yang terkini yang ada sebenarnya tidak mencukupi bagi Elantra dan Hyundai serta pengeluar kenderaan jenama lain patut mempertingkatkan lagi teknologi seperti brek kecemasan autonomi (AEB) pada semua model,” ujar CEO ANCAP, James Goodwin.

    Bagi Kia Picanto pula, ia turut dilengkapi dengan beg udara hadapan, sisi dan tirai sebagai ciri standard. Malah ia turut menerima markah sebanyak 15.12 dari 16 mata bagi ujian pelanggaran hadapan, 14.40 dari 16 mata bagi ujian impak sisi dan markah penuh bagi ujian impak tiang.

    Secara keseluruhannya, pelindungan sentakan hanya diletakkan sebagai ‘boleh diterima’, sementara perlindungan pejalan kaki pula hanya tahap ‘sederhana’. “Kia mempertingkatkan tahap keselamatan bagi Picanto tanpa mengira bajet, maka ia layak menerima penarafan lima-bintang,” kata Goodwin lagi.

    GALERI: Hyundai Elantra

    GALERI: Kia Picanto di IIMS 2015

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • SPYSHOT: Proton Saga, Persona dan Perdana 2016

    IMG_5858_BM

    Proton Saga 2016

    Sebelum ini semua sumber imej spyshot untuk Proton Saga, Persona dan Perdana 2016 adalah sumbangan dari pembaca kami. Tetapi kali ini kami berjaya untuk menangkap sendiri gambar untuk Saga dan Perdana, manakala pembaca kami, Ong Bahk dan Hanafi juga turut menyumbangkan gambar Proton ‘tiga-beradik’ yang bakal dilancarkan tahun ini.

    Gambar terbaharu Saga yang kami baru terima menampakkan rupa hadapan yang lebih terperinci dengan menampilkan muka direka semula. Rekaan semula tersebut termasuk pada bahagian lampu hadapan, bampar hadapan yang lebih menarik, dan liang kemasukan udara yang menghala kebawah untuk imej yang lebih sofistikated.

    Rupa badan keseluruhan nampaknya tidak menampilkan apa-apa perubahan berbanding ‘kelibat’ Saga baharu yang ditemui sedang diuji sebelum ini. Bentuk tiang-C, pemegang pintu seiras Iriz, garisan badan bahagian sisi yang lebih rendah kehadapan berbanding Saga sedia ada dan juga bahagian belakang dengan pintu yang mempunyai tingkap quater window dan lampu belakang berbentuk trapezoid memberikan sedan mampu milik ini rupa yang lebih elegan.

    IMG_5852_BM

    Proton Saga 2016

    Unit janakuasa yang memacu Saga terbaharu ini masih menjadi tanda tanya. Tetapi, Saga baharu ini berkemungkinan dikuasakan dengan enjin 1.3 liter VVT yang sama seperti Iriz dan dipadankan dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau CVT automatik. Untuk peringkat seterusnya, Saga baharu ini mungkin juga akan dijana oleh enjin baharu 1.0 liter dan 1.2 liter Proton yang kini masih dalam peringkat pembangunan dan dijangka mula memasuki produksi pada penghujung 2017.

    Seterusnya, Persona 2016. Gambar kali ini juga menampakkan bahagian hadapan ‘Iriz Sedan’ ini dengan lebih jelas. Berbanding Iriz, bonet dan gril hadapan Persona telah direka semula. Begitu juga pada lampu kabus, di mana Persona menerima lampu berbentuk bulat berbanding Iriz berbentuk segitiga. Model yang sedang diuji ini berkemungkinan bukan varian tertinggi memandang ia dilengkapi dengan lampu hadapan reflektor, berbanding Iriz yang menggunakan lampu projektor halogen.


    Proton Persona 2016

    Tiang-C Persona kelihatan agak seiras dengan Saga 2016. Lampu belakang berbentuk badam dan bahagian but yang tinggi masih kelihatan sama seperti imej spyshot sebelum-sebelum ini. Proton Persona 2016 juga dijangka akan dikuasakan dengan pilihan enjin yang sama seperti Iriz iaitu enjin 1.3 liter atau enjin 1.6 liter VVT semasa pelancarannya nanti. Model ini juga turut dijangka bakal menggunakan enjin baharu 1.3 liter dan 1.6 liter pancitan terus (GDI/TGDI) Proton selepas produksi enjin tersebut dimulakan akhir 2017 nanti.

    Akhir sekali, Proton Perdana. Tidak seperti dua model lebih kecil tadi, kami telah pun melihat rupa sebenar Proton Perdana 2016 yang diasaskan dari Honda Accord generasi kelapan ini. Tidak banyak perubahan yang saksikan pada imej Perdana spyshot berkenaan. Daripada tiga beradik tersebut, Perdana dijadualkan akan dilancarkan dahulu tidak lama lagi.


    2016 Proton Perdana

    Seperti yang diketahui, Perdana 2016 dibina berasaskan Honda Accord generasi kelapan. Oleh itu penjana juga adalah kekal sama iaitu enjin R20A3 SOHC i-VTEC untuk varian 2.0 liter berkuasa 154 hp/189 Nm dan enjin K24Z2 DOHC i-VTEC untuk varian 2.4 liter berkuasa 177 hp/222 Nm. Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan automatik.

    Sama seperti barisan model lain, Perdana turut akan menerima enjin baharu Proton setelah program pembangunan enjin tersebut lengkap dan mula memasuki produksi pada penghujung 2017. Perdana dijangka dipadankan dengan enjin turbo NE01 2.0 liter empat-silinder yang diperolehi daripada Petronas pada tahun 2012 dan juga enjin turbo 1.5 liter pancitan bahan-api terus (TGDI) yang didakwa mampu menghasilkan kuasa 180 hp/250 Nm. Kedua-dua enjin ini bakal dipadankan dengan kotak gear CVT torque converter automatik baharu.

     
     
  • Ford Everest baharu di Malaysia didedahkan harganya – varian 2.2L dari RM199k, 3.2L RM259k

    Ford-Everest-Malaysia-Price

    Sebelum ini, kami telah memaparkan spesifikasi mengenai Ford Everest baharu di Malaysia, namun ketika itu ia belum diumumkan harganya. Kini, Ford Malaysia telah mendedahkan harga bagi SUV tujuh-tempat duduk buatan Thailand ini akan bermula dari RM198,888 untuk varian 2.2L Trend 2WD. Manakala varian 3.2L Titanium AWD pula bergarga RM258,888. Ia adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Baru-baru ini ia telah pun dipamerkan dalam siri jelajah Ford Go Further yang berlangsung di 1 Utama, di mana kedua-dua varian yang dibangunkan/direka oleh Australia menampilkan penjana kuasa yang sama dengan model Ranger T6 facelift. Iaitu enjin ZSD-422 2.2 liter empat-silinder Duratorq TDCI bagi varian Trend. Ia mampu memberikannya kuasa sehingga 158 hp pada 3,200 rpm dan tork 385 Nm antara 1,600 hingga 2,500 rpm.

    Manakala varian Titanium pula, dikuasakan oleh enjin P5AT 3.2 liter empat-silinder Duratorq dengan output 197 hp pada 3,000 rpm dan tork 470 Nm antara 1,750 hingga 2,500 rpm.

    Bagi transmisi, hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan (berbanding Australia yang menerima pilihan manual enam-kelajuan), yang turut sama ditampilkan pada model Ranger, tetapi telah disesuaikan bagi kegunaan SUV bagi mempertingkatkan lagi pengendaliannya.

    Everest 3.2L Titanium AWD (kiri), Everest 2.2L Trend 2WD (kanan)

    Untuk elemen yang ditampilkan pula, terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua varian. Elemen yang sama termasuk penghawa dingin dua-zon, kawalan kelajuan, lampu kabus depan dan belakang, rel bumbung bercat dan tempat duduk penumpang hadapan dengan dua cara larasan-manual.

    Bagi varian Trend, ia tidak didatangkan dengan Terrain Management System (TMS) dan locking rear differential. Walau bagaimana pun, kedua-dua elemen tersebut ada pada varian Titanium, sekali gus memberikan kawalan yang lebih padu ketika mengharungi laluan off-road. TMS juga memiliki empat mod berbeza iaitu Road, Sand, Snow dan Rock, yang dikawal dengan butang pilihan kawalan di sebelah tuil gear.

    Bagi imej luaran, Titanium tampil lebih banyak perbezaan berbanding Trend. Di mana model spesifikasi tertinggi Everest ini dipadankan dengan roda bersaiz 20-inci (Trend hanya 18-inci). Manakala mengenai pencahayaan, Titanium tampil dengan lampu utama projektor xenon bersama pelarasan auto dan lampu nyalaan siang LED. Manakala Trend hanya dengan unit projektor halogen. Lain-lain perbezaan termasuklah cermin sisi krom untuk Titanium (Trend sama dengan warna badan) dan bilah pengilap cermin auto.

    Everest 2.2L Trend 2WD

    Bagi bahagian kabin pula, Titanium menerima lebih banyak elemen menarik termasuk corong penghawa dingin bagi tempat duduk barisan kedua dan soket kuasa tiga-pin 230 V.

    Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan pencahayaan ambien, cermin pandang belakang electrochromic, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan skrin sesentuh lapan-inci, sistem hiburan SYNC 2 (dengan 10-pembesar suara), tempat duduk balutan kulit (lapan-cara larasan berkuasa untuk pemandu, dua-cara larasan berkuasa untuk penumpang hadapan) dan butang berkuasa untuk membaringkan tempat duduk barisan ketiga.

    Kesemua elemen tersebut tidak terdapat pada Trend. Ia hanya menampilkan skrin paparan berwarna 4.2-inci dan sistem multimedia standard (dengan lapan-pembesar suara), tempat duduk fabrik (empat-cara larasan manual untuk pemandu, dua-cara larasan manual untuk tempat duduk penumpang hadapan) dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dibaringkan secara manual.

    Everest 3.2L Titanium AWD

    Mengenai aspek keselamatan, Titanium menerima tujuh beg udara (pemandu, tempat duduk penumpang hadapan, sisi, tirai, lutut), sementara Trend tidak disertakan beg udara sisi dan tirai. Namun elemen keselamatan standard bagi Everest termasuklah Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, pengingat tali pinggang kaledar dan cagak Isofix, yang membuatkan ia menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Selain itu, bagi Titanium, ia turut menerima pengesan bantuan parkir hadapan dan belakang, kamera undur dan Ford MyKey.

    Terdapat empat warna luaran yang ditawar, dengan dua warna biasa bagi kedua-dua varian iaitu Aluminium Metallic dan Black Mica Metallic. Manakala tambahan warna bagi Trend ialah Cool White dan Sunset Metallic untuk Titanium.

    Mungkin anda merasakan harga yang ditawarkan agak tinggi bagi sebuah SUV bukan? Untuk pengetahuan anda, Toyota Fortuner baharu yang dilancarkan pada minggu lalu pula ditawarkan pada harga dari RM187k hingga RM200k. Harga permulaan bagi SUV yang berasaskan Hilux itu mungkin lebih rendah, tetapi lihat sahaja senarai elemen yang diberikan buat 2.4 VRZ. Manakala varian tertinggi bagi Fortuner pula lebih murah berbanding Everest Titanium, tetapi enjin petrol 2.7 liter merupakan penjana kuasa terbaik untuk jentera sebesar ini.

    GALERI: Ford Everest 3.2L Titanium 4×4

    GALERI: Ford Everest 2.2L Trend 4×2

     
     
  • Toyota 86 Shooting Brake Concept didedah di Sydney

    Toyota 86 Shooting Brake Concept

    Toyota 86 Shooting Brake Concept

    Model konsep Toyota 86 Shooting Brake telah didedahkan di Sydney oleh Tetsuya Tada, ketua jurutera global untuk Toyota 86. Prototaip tersebut telah direka dan dibangunkan oleh kumpulan Pereka Produk Toyota Australia dan dibina dengan tangan di Jepun di bawah pengawasan divisi kereta sport global Toyota.

    Sebelum konsep fizikal kereta ini wujud, ketua pereka Toyota Australia Nicolas Hogios dan kumpulan perekanya dikatakan berdebat berkenaan perubahan rekaan yang perlu dilakukan pada coupe berkenaan. Hasil dari perdebatan tersebut menyaksikan coupe ini direka semula pada bahagian suku belakang dan bumbung sahaja.

    “Bentuk badan keseluruhan kereta ini masih lagi sporty, kukuh dan bertenaga, tetapi ia lebih praktikal di mana bahagian bumbung belakangnya kini boleh memuatkan papan luncur, basikal atau pod penyimpanan untuk aktiviti hujung minggu manakala but yang mempunyai bukaan yang lebih besar membolehkan penyimpanan barang boleh dilakukan dengan lebih mudah,” kata Hogios. Tambahan pula, konsep Shooting Brake menawarkan ruang kelegaan kepala yang lebih baik untuk penumpang belakang.

    Ketua jurutera, Tetsuya Tada terkejut dan segera mengambil rekaan tersebut, setelah seketika melihat model tanah liat berskala 1:3 konsep berkenaan semasa lawatannya ke Australia pada 2014. “Saya sukakannya dan saya mengatur agar takumi pembina prototaip kami yang pakar membina konsep Shooting Brake dengan tangan berdasarkan rekaan dari Australia berkenaan,” kata Tada.

    “Kereta konsep ini berfungsi sepenuhnya, dan kereta sebenar telah pun diuji di litar ujian Toyota. 86 yang dibina dengan berat yang ideal dan stereng yang memberikan tindak balas terus memastikan kereta tersebut mengekalkan pengalaman pemanduan yang sama seperti model coupe dengan sedikit perasaan yang lebih neutral pada selekoh tajam di jalan kegemaran pemandu,” jelas ketua jurutera itu.

    Menurut Brad Cramb, pengurus bahagian Toyota Australia untuk pemasaran nasional, konsep tersebut adalah opsyen untuk pasangan yang aktif atau keluarga yamg mahukan sesuatu yang lain untuk kereta kedua mereka. Walaubagaimana pun tiada lagi perancangan untuk memproduksi model ini secepat mungkin kerana Toyota masih dalam peringkat mengumpul maklum balas dari orang ramai berkenaannya.

    “Setakat ini kami tidak mengatakan tidak, dan saya sangat berharap agar konsep ini menjadi realiti untuk diproduksi, ia adalah konsep yang jelas untuk menunjukkan semangat pada kereta Toyota adalah seronok untuk dipandu,” simpul Tada.

    Toyota 86 Shooting Brake yang direka membolehkan kereta sport tersebut membawa barang dengan lebih mudah pada bahagian belakang, benar-benar seperti melahirkan kembali Toyota Corolla AE86 liftback yang turut memberikan praktikaliti serupa. Jadi adakah selepas ini Fujiwara Takumi boleh menggunakan kereta ini untuk membawa tauhu ke puncak bukit Akina?

     
     
  • Pusat 3S Toyota di Setia Alam dilancarkan

    Pusat 3S Toyota di Setia Alam dilancarkan

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), telah melancarkan pusat 3S baharu yang terletak di Setia Alam, Selangor. Pusat 3S Toyota ini dikendalikan oleh Fokus Tetap Sdn Bhd dan memiliki bangunan seluas 42,000 kaki persegi yang terletak dalam kawasan seluas dua ekar.

    Dengan model perlaburan berjumlah RM24 juta, Pusat 3S Toyota Setia Alam ini mampu menempatkan enam unit model Toyota terkini, dilengkapi dengan pusat servis yang memiliki 16 petak penyelenggaran yang mampu menyelenggara sehingga 70 buah kenderaan sehari. Selain itu, ia turut menempatkan ruang lounge untuk para pelanggan sementara menantikan kenderaan mereka diselenggara serta mempunyai perkhidmatan WiFi secara percuma.

    1.from left-Datuk Ismet Suki, President, UMW Toyota Motor-Mr.Akio Takeyama, Deputy Chairman, UMW Toyota Motor-Mr. Simon Thong (Managing Director of Fokus Tetap) and Mr. Richard Ther (Marketing Directorof Fokus Tetap)

    Pusat 3S Toyota Setia Alam ini telah dilancarkan oleh Akio Takeyama, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor dengan diiringi oleh Datuk Ismet Suki selaku Presiden UMWT Simon Thong Weng Kin, Pengarah Urusan Fokus Tetap Sdn Bhd dan Richard Ther Im Hwa, Pengarah Pemasaran Fokus Tetap Sdn Bhd.

    Menurut Datuk Ismet, “Fokus Tetap telah menjadi rakan perniagaan kami lebih dari 12 tahun, bermula dengan pusat jualan mereka di Prima Damansara. Kini mereka telah meluaskan lagi pusat jualan mereka termasuk menubuhkan pusat 3S di Setia Alam ini.”

    Pusat 3S Toyota Setia Alam ini terletak di No 2A, Jalan Setia Murni, AH U13/AH, Seksyen U13, Shah Alam Selangor. Dengan pembukaan pusat 3S terbaharu ini, kini Toyota telah memiliki 97 cawangan di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

     
     
  • GALERI: Perodua Myvi Advance dengan warna dua ton

    Perodua-Myvi-Advance-Two-Tone-1-e1462523019587_BM

    Setelah disahkan Perodua Myvi Advance versi 2016 menerima warna dua ton baharu, kali ini kami memberikan anda gambar sebenar model tersebut. Hatchback segmen-B ikonik buatan Malaysia ini kini dijual pada harga promosi RM55,118 sehingga 5 Jun ini, RM800 lebih mahal dari Myvi Advance biasa.

    Model khas ini hanya didatangkan dengan warna badan Electric Blue, manakala pada bahagian keseluruhan bumbung termasuk tiang-A, tiang-B, tiang-C, penutup cermin sisi dan kemasan pada plat nombor pendafaran belakang diberikan warna Ebony Black. Visor pada keempat-pintu, yang hadir sebagai pilihan opsyen pada Advance standard, turut diberikan sentuhan warna hitam.

    Tema warna baharu ini mungkin diinspirasikan daripada Toyota Passo Moda 2016 yang turut menampilkan tema warna badan dua ton. Namun gimik sebegini bukanlah percubaan pertama Perodua, model Kelisa ‘special edition‘ yang pernah diproduksi satu ketika dahulu juga menggunakan konsep warna yang serupa.

    Roda aloi 14-inci dengan motif bilah turbin sama seperti roda pada model SE dan Advance facelift juga kelihatan masih digunakan pada versi baharu ini, tetapi ia menampilkan kemasan akhir gabungan aloi digilap dan hitam berkilat.

    Myvi Advance 2016 masih lagi dilengkapi dengan ciri-ciri yang sama, termasuk balutan kulit pada bahagian dalaman, roda stereng dan tuil gear, alas kaki gegelung PVC, sistem navigasi dengan skrin sesentuh, kamera undur, dua beg udara serta sistem brek ABS dengan EBD dan Bantuan Brek. Enjin 1.5 liter 3SZ-VE DVVT empat-silinder berkuasa 102 hp/136 Nm masih lagi menjana Myvi varian SE dan Advance.

     
     
  • Honda HR-V di M’sia dipertingkatkan – rim 17-inci, warna baharu Dark Ruby Red Pearl, harga naik RM672

    Honda-HR-V-red-1

    Honda Malaysia telah mengumumkan beberapa perubahan bagi barisan HR-V di Malaysia. Ia bukannya model facelift, sebaliknya dipertingkatkan dari sudut spesifikasi, termasuk perubahan harganya.

    Kini, HR-V turut ditawarkan dengan warna baharu iaitu Dark Ruby Red Pearl, lebih kurang sama dengan yang diperkenalkan buat model City. Walau bagaimana pun ia adalah bagi menggantikan warna Crystal Black Pearl yang sudah tidak diteruskan lagi.

    Selain itu, ia turut ditawarkan dengan rim aloi 17-inci bagi varian asas 1.8L S hingga ke spesifikasi pertengahan 1.8L E dan varian tertinggi 1.8L V. Sebelum ini, HR-V hanya didatangkan dengan roda bersaiz 16-inci.

    Klik untuk besarkan imej senarai harga

    Selain itu, perubahan yang turut disebut ialah peningkatan harganya iaitu sebanyak RM672.44. Bagi varian 1.8L S kini dijual pada harga RM99,129.67 (sebelum ini RM98,457.23), sementara 1.8L E pula berharga RM108,481.63 (sebelum ini RM107,809.19). Manakala 1.8L V pula kini berharga RM118,606.03 (sebelum ini RM117,933.59).

    Kesemua harga yang disebut adalah harga atas jalan dan tanpa insurans tetapi termasuk dengan waranti lima tahun (perbatuan tanpa had) dan enam penyelenggaran selang seli secara percuma dengan penyelenggaran berbayar sehingga 100,000 km perbatuan.

     
     
  • Pendapatan terjejas – pemandu Uber Pulau Pinang bantah kadar tambang baharu yang lebih rendah

    uberX-e1433841519766

    Beratus-ratus pemandu Uber menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka kepada pihak Uber Management berhubung kadar tambang baharu yang menjejaskan pendapatan mereka, lapor Bernama.

    Francis Loke, Jurucakap Penang Uber partners dan juga pemandu sepenuh masa selama tiga bulan yang kini digantung perkhidmatan dilaporkan berkata kepada agensi berita berkenaan, Uber Management mengumumkan kadar baharu iaitu tambang permulaan sifar dan hanya 50 sen bagi setiap kilometer atau 20 sen bagi setiap minit untuk semua perkhidmatan Uber Pulau Pinang. Kadar baharu tersebut jelas menunjukkan pihak pengurusan tidak mengambil kira kepentingan Uber Partners, terutama di Pulau Pinang yang mempunyai lebih 2,000 pemandu Uber.

    Uber-low-cost-fare-01

    “Kami harap Uber Management akan menimbang untuk menghapuskan kadar surcaj dan insentif dan menggantikannya dengan kadar asas secara rata sebanyak RM3, diikuti 60 sen bagi setiap kilometer dan 30 sen bagi setiap minit,” kata Loke kepada pemberita.

    Loke menambah pelbagai manfaat bagi Penang Uber Partners juga telah dimansuhkan pihak pengurusan dan tindakan itu menjejaskan kehidupan mereka akibat kemerosotan pendapatan dan banyak pemandu Uber Pulau Pinang digantung perkhidmatan kerana terlalu lantang mengkritik pihak pengurusan berhubung isu itu. Beliau juga berkata Penang Uber Partners sedang mencari platform atau pengendali App baharu yang bersedia menawarkan bayaran lebih tinggi bagi perkhidmatan mereka.

    “Kami sedang menimbang untuk berhenti daripada memandu di bawah Uber App sehinggalah Uber Management menyemak semula kadar tambang itu agar ia lebih munasabah bagi kami,” jelas Loke.

     
     
  • JPJ memperluaskan operasi banteras tonto, kereta klon dan pemalsuan lesen ke Malaysia Timur

    jpj roadblock-2

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluaskan operasi bagi membanteras aktiviti tonto, kereta klon dan pemalsuan lesen ke Sabah dan Sarawak.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, pihaknya akan mencari dalang di sebalik aktiviti-aktiviti tersebut sehingga ke akar umbi agar ia tidak berleluasa. Katanya lagi, pemalsuan lesen juga agak serius berlaku di Sabah, laporan Bernama.

    Beliau turut berkata, JPJ telah menubuhkan Pasukan Tindakan Khas (PTK) khusus bagi membanteras kegiatan sindiket itu termasuk pemalsuan lesen yang dianggap berleluasa di negeri ini. Malah pihaknya bersipak optimis bahawa aktiviti haram ini dapat dibanteras memandangkan beberapa inisiatif telah diambil oleh JPJ selepas pasukan khas tersebut ditubuhkan.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas mengenai Ops Cantas Khas Tonto di Semenanjung baru-baru ini. “Masih ada lagi tangkapan yang akan kita buat. Jadi operasi khas ini diadakan dengan kerjasama polis di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),” ujarnya.

     
     
  • Honda Civic 1.5L Turbo dan 1.8L NA 2016 dibuka untuk tempahan – enam beg udara untuk semua varian

    Klik untuk besarkan imej

    Detik pelancaran Honda Civic 2016 kian hampir. Malah menerusi laman web Ride To Dream yang terpapar lebih banyak material promosi mengenai model generasi ke-10 ini termasuk varian yang bakal diperkenalkan di Malaysia.

    Bagi varian 1.8L N/A, ia dijanakan oleh enjin 1.8 liter i-VTEC empat-silinder yang mampu memberikan kuasa sehingga 141 hp pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,300 rpm. Manakala varian yang pasti ditunggu-tunggu ramai sudah pasti enjin 1.5L pengecas turbo empat-silinder (173 hp/220 Nm), kedua-duanya telah dipadankan dengan transmisi CVT.

    Menurut paparan laman web tersebut, antara elemen yang ditampilkan bagi kedua-dua varian termasuklah enam beg udara dan tempat duduk hadapan dengan lapan-cara larasan kuasa.

    Honda Civic Turbo RS Spesifikasi Thai

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kawalan penghidup enjin dari jauh, Walk Away Auto Lock, brek parkir elektronik, penahan brek auto, kawalan kestabilan elektronik (VSA) dan lampu utama LED (dengan lampu nyalaan siang LED). Walau bagaimana pun, tidak semua varian akan didatangkan dengan elemen ini.

    Apa pun, pastinya Honda Malaysia tidak akan berkompromi mengenai aspek keselamatan. Tetapi ia akan diumumkan ketika pelancarannya kelak. Kami telah menguji varian Civic 1.5L Turbo dan 1.8L N/A di Thailand pada minggu lalu dan akan menyiarkan ulasan pandu ujinya pada hujung minggu ini (memandangkan ia masih embargo).

    Tapi apakah harapan anda mengenai Civic 2016? Adakah ia mampu memberikan persaingan sengit buat para pesaingnya termasuk Mazda 3 sedan, Toyota Corolla Altis dan Ford Focus sedan? Dan agak-agak berapakah harga yang bakal ditawarkan? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

    GALERI: Honda Civic Turbo RS 2016 di Thailand

    GALERI: Honda Civic 1.8 EL 2016 di Thailand

    GALERI: Honda Civic 1.8 E 2016 di Thailand

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Hilux dan Fortuner 2016 – bakal kembalikan semula Toyota ke tahap sebenar

    2016-Toyota-Hilux-44_BM

    Sehari sebelum pelancaran Toyota Hilux dan Fortuner baharu, pihak UMW Toyota telah mengadakan sesi uji pandu ringkas untuk trak pikap dan SUV serba baharu yang dibina di atas platform yang sama berkenaan.

    Selain dikenali sebagai pengeluar automotif terbesar dunia, Toyota juga disaksikan sebagai gergasi terbesar dalam industri automotif negara. Pasaran Toyota di Malaysia amat luas. Jenama tersebut bukan sahaja menjual kereta penumpang, MPV dan SUV biasa, malah turut merangkumi pasaran kereta sport menerusi Toyota 86 sehinggalah kepada kenderaan perdagangan seperti van Toyota Hiace dan juga trak pikap Toyota Hilux.

    Dengan reputasi jenama yang sinonim dengan sifat ‘tahan lama’ dan ‘tidak mudah rosak’, Toyota sekian lama mengungguli pasaran kereta bukan nasional di Malaysia. Namun, akhir-akhir ini Toyota dilihat agak kurang bermaya dan takhta sebagai juara pengeluar kereta bukan nasional kini dirampas oleh Honda. Dalam suasana ekonomi yang lembap, dan kejatuhan nilai ringgit, sehingga Mac tahun ini, Toyota hanya mampu menjual sejumlah 10,216 unit kenderaan dan berada di kedudukan ketiga selepas Honda (18,777 unit) dan Nissan (10,773 unit).

    2016-Toyota-Fortuner-1_BM

    Jenama Hilux antara ‘senjata’ paling ampuh yang dimiliki Toyota. Ia adalah antara trak pikap yang paling dipercayai oleh pengguna di Malaysia. Jadi dengan pelancaran generasi kelapan Hilux, bersama ‘abang’nya SUV Toyota Fortuner, ia dijangka akan mengangkat semula Toyota ke tahap yang sepatutnya.

    Sesi uji pandu kali ini, perhatian yang lebih diberikan kepada Hilux. Untuk sesi ujian off-road dan ujian dalam litar ujian, kami diberikan peluang untuk menguji kedua-dua buah model tersebut tetapi untuk sesi pemanduan jalan raya, kami hanya diberi peluang memandu Toyota Hilux.

    Saya mulakan dengan Toyota Hilux. Hilux single cab hanya hadir dengan varian 2.4 manual 4X4. Manakala untuk model double cab ia boleh dipilih dengan lima varian berbeza yang terdiri daripada 2.4 Standard manual 4×4, 2.4 manual 2×4, 2.4G manual 4×4, 2.4G automatik 4×4 dan 2.8G automatik 4×4. Jadi, secara keseluruhan, barisan trak pikap ini tersedia dengan enam varian berbeza.

    Seiring dengan pasaran trak pikap yang kini rata-ratanya menampilkan rekaan yang lebih beralun, moden dan futuristik seperti Mitsubishi Triton, Ford Ranger dan Mazda BT-50, Hilux dilihat telah meninggalkan rekaan trak pikap konvensional.

    Bahagian hadapan Hilux direka dengan mimik muka yang agak garang. Sepasang lampu hadapan yang besar mengapit gril krom yang juga direka dengan agak tebal. Liang kemasukan udara pada bampar hadapan hanya dilengkapi pada bahagian tengah. Manakala pada bahagian kedua-dua belah sisi, ia dilengkapi dengan lampu kabus bulat diletakkan pada perumah yang berbentuk segi empat condong. Kesemua varian 2.4 liter dibekalkan lampu hadapan halogen pelbagai-reflektor automatik dengan fungsi Follow Me Home dan lampu nyalaan siang biasa. Manakala untuk Varian tertinggi 2.8G pula ditambah dengan lampu hadapan projektor LED dan juga lampu nyalaan siang LED.

    Tiada lagi skup udara pada bonet hadapan kerana unit intercooler sistem turbo kini dialihkan kebahagian hadapan bagi memberikan kuasa penyejukkan yang lebih efisien, seterusnya membolehkan lebih komponen oksigen terbentuk dalam molekul udara, memberikan kuasa letusan yang lebih kuat dalam kebuk pembakaran.

    Beralih pada profil sisi, keempat-empat ruang roda Hilux kini tidak lagi dilengkapi dengan kemasan plastik yang digelar ‘over fender’. Lebar keseluruhan Hilux baharu ini diukur pada panel badan yang benar-benar lebar, memberikan rupa paras yang lebih ‘tough’. Roda aloi berdiameter 17-inci baharu untuk model 2.4 dibaluti tayar All-Terrain bersaiz 265/65R17. Manakala untuk varian 2.8G, roda aloi berdiameter 18-inci baharu dengan kemasan aloi digilap dan hitam berkilat dibaluti tayar Highway Terrain bersaiz 265/60R18.

    Bahagian belakang Hilux baharu ini pula masih kelihatan seperti Hilux, dilengkapi dengan lampu belakang mentol biasa direka secara menegak serta dilengkapi lampu kabus bina dalam dan bampar belakang dengan kemasan krom.

    Beralih pula ke bahagian dalaman. Jika dilihat dari luar atau melalui gambar, papan pemuka Hilux kelihatan agak premium. Rekaannya agak moden, dilengkapi dengan skrin sesentuh 6.1 inci, butang penghidup enjin, manakala untuk varian 2.8G ia turut dilengkapi dengan paparan instrumen Optitron dengan skrin TFT MID bersaiz 4.2 inci mirip Toyota Camry. Namun setalah masuk ke dalam dan menyentuh papan pemuka tersebut, ia masih lagi menggunakan plastik keras. Malah sulaman benang yang kelihatan pada papan pemuka dan panel pintu juga sebenarnya adalah benang palsu.

    Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah pemegang cawan bahagian bawah liang penghawa dingin bahagian sisi. Ia tersimpan di bahagian dalam papan pemuka, setelah dibuka dan cawan/botol minuman diletakkan, ia secara tidak langsung akan menyejukkan minuman tersebut melalui liang penghawa dingin. Ruang storan pada bahagian atas glove box juga turut dialirkan udara sejuk dari penghawa dingin kedalamnya, membolehkan air minuman yang disejukkan tadi disimpan ke dalam ruang tersebut sambil mengekalkan suhu sejuknya.

    Menurut Toyota, tempat duduk hadapan Hilux 2.4G dan 2.8G adalah diambil terus dari sedan premium keluaran mereka. Dengan dibaluti kulit, tempat duduk ini boleh dikatakan agak selesa.

    Trak pikap ini dijana dengan dua pilihan enjin turbo diesel baharu. Enjin 2GD-FTV 2.4 liter berupaya menjana 150 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,000 rpm. Manakala enjin 1GD-FTV 2.8 liter pula berupaya menjana 177 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 hingga 2,400 rpm. Kedua-dua enjin ini menggantikan enjin turbo diesel 2.5 liter 2KD-FTV dan juga enjin 3.0 liter 1KD-FTV pada generasi terdahulu. Walaupun berkapasiti lebih kecil, enjin siri GD baharu ini dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api terus common-rail dan sistem turbo VNT bertekanan lebih tinggi, membolehkan ia mengekstrak lebih kuasa disamping menggunakan bahan api dengan lebih cekap.

    2016-Toyota-Hilux-18-1_BM

    Ujian dalaman yang dilakukan menunjukkan enjin 2.4 liter baharu ini mengunakan satu liter diesel untuk perjalanan berjarak 13.7 km dengan transimisi manual (12% lebih baik dari model 2.5L manual terdahulu) dan 12.2 km untuk setiap liter diesel dengan transmisi automatik (10% lebih baik dari 2.5L automatik). Manakala untuk enjin 2.8L pula, ia boleh berjalan sejauh 11.8 km dengan setiap liter diesel, menunjukkan peningkatan sebanyak 25% lebih bagus dari enjin 3.0L.

    Kedua-dua pilihan enjin tersebut digandingkan dengan pilihan transmisi baharu sama ada enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik berbanding pada generasi terdahulu yang dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik. Kotak gear automatik Super ECT baharu tersebut turut menawarkan penukaran gear yang lebih lancar. Kesemua varian G juga dilengkapi dengan tiga mod pemanduan berbeza iaitu Normal, ECO dan Power.

    Untuk varian 2.4G auto dan 2.8G auto, sistem 4WD Hilux datang dengan sistem Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC), di mana saya berpeluang untuk mengujinya dalam litar off-road semasa sesi uji pandu ini. Sistem tersebut kedengaran seperti menggunakan limited slip differential aktif yang membolehkan pindahan tork dilakukan kepada tayar yang kehilangan cengkaman. Tetapi sebenarnya tidak, kerana sistem ini sebaliknya hanya menggunakan hardware daripada sistem ABS untuk memanipulasi agihan tork pada kedua-dua belah tayar melalui unit differential biasa.

    2016-Toyota-Hilux-51_BM

    Contohnya, apabila tayar belakang sebelah kiri tidak lagi menyentuh permukaan, tork sepenuhnya akan dihantar ke tayar tersebut dalam situasi biasa, menyebabkan pikap tersebut akan terus tersekat. Dengan sistem A-TRC ini, setelah situasi berkenaan dikesan, pam modulator ABS akan menghantar tekanan ke pam brek tayar belakang sebelah kiri tersebut. Ini akan menyebabkan tork dari enjin akan turut dialirkan ke tayar belakang sebelah kanan seterusnya membolehkan Hilux dipandu kehadapan.

    Namun, dalam situasi paling buruk, misalnya kedua-dua tayar belakang tersekat di dalam lumpur, Hilux masih lagi dilengkapi dengan diff-lock untuk mengunci unit differential belakang bagi membolehkan kedua-dua roda mendapat tork yang sama dengan hanya menekan satu suis.

    Peralihan dari pacuan dua roda kepada pacuan semua roda kini boleh dilakukan dengan hanya memutarkan suis pemilih tanpa menghentikan kenderaan dibawah kelajuan 100 km/j. Selain dari memudahkan pemandu, sistem ini juga telah melenyapkan terus tuil gear kedua untuk mengawal sistem pacuan empat roda.

    2016-Toyota-Hilux-47_BM

    Toyota mendakwa kerangka ladder frame pada Hilux baharu ini dibina lebih teguh secara tidak langsung memberikan peningkatan kepada aspek keselesaan dan pengendalian. Ketika diuji dilitar ujian, agak sukar untuk merasai apa yang didakwa Toyota tersebut kerana jalan tidak rata pada laluan litar berkenaan adalah terlalu ekstrim. Tetapi semasa ujian jalan raya dilakukan, agak jelas terasa kerangka tersebut adalah benar seperti didakwa. Badan Hilux terasa ‘solid‘ dan kurang terasan gegaran setiap kali melanggar lubang pada jalan raya.

    Untuk sistem keselamatan pula, semua varian dilengkapi dengan sistem brek ABS dengan EBD. Hanya varian 2.4G auto dan 2.8G auto dilengkapi dengan Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Kawalan Libasan Trailer (TSC). Penderia dan kamera undur pula hanya dilengkapi pada kesemua varian G. Kesemua model 2.4 dilengkapi dengan tiga-unit beg udara manakala model 2.8G menerima tujuh-unit beg udara. Cagak isofix juga adalah standard untuk semua badan double cab.

    Sekarang kita beralih pula ke SUV Toyota Fortuner. Walaupun dibina di atas kerangka ladder frame FIRM (Frame with Intergrated Rigidity Mechanism) yang sama seperti Hilux, Fortuner menampilkan dimensi yang sedikit berbeza. Lebar keseluruhan SUV ini adalah sama dengan Hilux iaitu 1,855 mm. Tetapi panjang keseluruhannya adalah 535 mm lebih pendek dan jarak rodanya pula adalah 340 mm lebih pendek berbanding Hilux. Oleh itu dimensi SUV ini diukur dengan panjang 4,795 mm, tinggi 1,835 mm dan jarak roda 2,745 mm.

    Fortuner baharu ini dilengkapi dengan sepasang lampu hadapan yang direka lebih nipis dan tajam, mengapit gril hadapan dengan bar krom yang besar. Bampar hadapan pula dilengkapi dengan gril bawah berbentuk trapezoid, diapit dengan kemasan hitam yang dikelilingi krom menempatkan lampu kabus hadapan.

    Varian VRZ 2.4 liter dibekalkan lampu hadapan halogen projektor automatik dan lampu nyalaan siang biasa. Manakala varian 2.7 liter SRZ pula dilengkapi dengan lampu hadapan projektor Bi-LED dan lampu nyalaan siang LED. Sistem lampu kedua-dua varian dilengkapi dengan fungsi Follow Me Home. Kedua-dua varian juga dilengkapi dengan cermin sisi berkuasa elektrik berserta lampu isyarat membelok LED tetapi hanya varian SRZ dilengkapi dengan lampu puddle. Lampu belakang LED juga dibekalkan secara standard untuk semua varian.

    Varian SRZ juga dilengkapkan dengan pintu tailgate belakang dengan sistem bukaan berkuasa, membolehkan ianya dibuka/ditutup secara automatik sama ada dengan menekan suis pada pintu tersebut ataupun menggunakan butang pada alat kawalan jauh.

    Untuk bahagian roda, VRZ dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 17-inci dibaluti tayar All-Terrain bersaiz 265/65R17. Manakala untuk varian SRZ pula ia berkongsi roda aloi berdiameter 18-inci yang sama dengan Hilux 2.8G, dibaluti tayar Highway Terrain bersaiz 265/60R18.

    Menjengah masuk kedalam kabin, papan pemuka Fortuner dilihat berbeza pada bahagian konsol tengah dimana ia menampilkan skrin sesentuh bersaiz 8 inci yang lebih besar, kawalan penghawa dingin dengan paparan digital serta diapit dengan kemasan berwarna silver untuk mengasingkan konsol tersebut dengan bahagian lain pada papan pemuka.

    Selain itu, material yang digunakan dalam bahagian dalaman ini juga adalah lebih lembut apabila dipegang berbanding Hilux. Untuk menaikkan lagi imej sebagai sebuah SUV mewah, varian SRZ juga menerima balutan kulit upholstery dan tempat duduk diberikan kemasan berwarna perang gelap diadun dengan dominasi gabungan kemasan bermotif kayu dan kemasan silver.

    Untuk VRZ, ia hanya dilengkapi dengan unit pemain CD dan MP3 2-DIN dengan sambungan AUX, USB dan Bluetooth. Varian SRZ pula, ia dilengkapi dengan ciri-ciri lebih premium meliputi Optitron dengan skrin TFT MID bersaiz 4.2 inci, unit infotaimen pemain DVD dengan skrin sesentuh 8-inci dan sambungan telefon pintar, WiFi, pelayar internet, sistem navigasi, AUX, USB, SD card, Bluetooth dan HDMI.

    Kedua-dua varian dilengkapi dengan enam pembesar suara dan sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin. Roda stereng empat jejari pelbagai fungsi turut didatangkan standard untuk semua varian.

    2016-Toyota-Fortuner-20_BM

    Varian 2.7SRZ dijana oleh enjin petrol tanpa induksi paksaan 2TR-FE 2.7 liter berupaya menjana 166 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 245 Nm pada takat 4,000 rpm. Manakala untuk varian 2.4VRZ pula, ia dijana enjin turbo diesel 2GD-FTE 2.4 liter berkuasa 150 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,000 rpm.

    Fortuner hanya ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik Super ECT enam-kelajuan. Bukan sahaja kotak gear, malah sistem 4WD Fotuner secara keseluruhannya adalah mirip kepada sistem yang ada pada Hilux, termasuk suis pilihan 4WD dan juga sistem diff-lock. Namun hanya varian SRZ dilengkapi dengan sistem A-TRC.

    Berbanding Hilux yang selalunya ditugaskan untuk membawa beban berat dibahagian belakang, Fortuner pula direka untuk membawa dan memberi keselesaan untuk penumpang belakang. Oleh itu, berbanding dengan Hilux yang menggunakan spring dedaun, Fortuner menggunakan konfigurasi spring gegelung 4-Link dengan rod kawalan lateral dan penstabil. Suspensi ini juga di tala dengan lebih selesa berbanding Fortuner generasi terdahulu dengan mengurangkan pergerakan bumping badan kereta ini seminimum yang mungkin.

    2016-Toyota-Fortuner-57_BM

    Namun, dengan sistem 4WD yang sama lasak dengan Hilux, kemampuan meredah laluan off-road juga adalah hampir sama dengan ‘adik’nya itu. Ini merupakan kelebihan Fortuner berbanding SUV lain dalam pasaran yang kebanyakkannya menggunakan sistem pacuan empat roda yang lebih berorientasikan penggunaan ringan. Jadi, seperti juga Hilux, tiada masalah untuk Fortuner meredah litar laluan off-road yang disediakan semasa sesi pandu uji ini.

    Sistem keselamatan pada Fortuner VRZ adalah mirip kepada Hilux standard iaitu hanya dilengkapi dengan sistem brek ABS dan EBD serta tiga buah beg udara. Sistem keselamatan varian SRZ pula adalah mirip kepada Hilux 2.8G menampilkan Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Kawalan Libasan Trailer (TSC).

    Fortuner SRZ juga dilengkapi dengan tujuh-unit beg udara, membolehkan SUV ini menerima penarafan lima bintang dalam ujian penilaian keselamatan ASEAN ANCAP. Cagak isofix pada bahagian tempat duduk belakang adalah standard untuk semua varian.

    Walaupun pembinaan Hilux dan Fortuner kini lebih diperhalusi, hadir dengan waranti lima tahun dan tidak lupa juga kedua-dua jenama tersebut sememangnya amat kuat dalam kelas masing-masing, adakah pelancaran dua senjata baharu Toyota ini akan mengangkat semula Toyota ke peringkat sepatutnya? Ini kerana dalam pasaran trak pikap itu sendiri kini dibanjiri dengan pelbagai model baharu seperti Ford Ranger, Nissan Navara dan Mitsubishi Triton mempunyai kelebihan masing-masing. Jadi, hanya masa yang akan menentukan.

    GALERI: Toyota Hilux 2016

    GALERI: Toyota Fortuner 2016

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025