Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Fuji Heavy Industries menjadi Subaru Corporation

    Subaru-logo-1

    Fuji Heavy Industries (FHI) telah mengumumkan pertukaran nama syarikat terbabit menjadi Subaru Corporation mulai 1 April 2017. Sehubungan itu, syarikat ini turut berkata akan menyatukan Industrial Products Company dengan perniagaan automotif Subaru mulai 1 Oktober tahun ini.

    Syarikat pengangkutan darat dan aero angkasa terkemuka ini berkata langkah yang diambil ini adalah untuk menyeragamkan jenama tersebut. Malah ia juga bertujuan untuk memperkembangkan lagi jenama Subaru di pasaran global bagi industri automotif dan aero angkasa.

    Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1917 dengan nama Aircraft Research Laboratory oleh Chikuhei Nakajima. Kemudian namanya ditukar menjadi Nakajima Aircraft. Syarikat ini kemudiannya menjadi sebahagian daripada FHI yang ditubuhkan pada Julai 1953 bersama lima lagi jenama lain. Ia juga menjadi perniagaan utama bagi Subaru yang pertama kali memperkenalkan model kenderaan mini Subaru 360 pada tahun 1958.

    Langkah untuk mengubah nama kepada Subaru Corporation sebenarnya bermula sejak tahun 2003 apabila FHI menjadikan logo Subaru sebagai simbol utama syarikat. Subaru merupakan nama Jepun bagi salah satu kelompok bintang, Seven Sisters, dan ia turut dijadikan inspirasi bagi rekaan logonya.

    Selain pengumuman nama ini, pembuat kenderaan ini juga telah mengumumkan jumlah jualan bagi fiskal tahun berakhir pada Mac 2017 yang dijangka mampu mencecah satu juta unit, pertama kali dalam sejarahnya. Subaru turut mensasarkan jualan sebanyak 1,050,000 unit untuk tahun tersebut.

     
     
  • Mercedes-Benz City Service di Jalan Ipoh, KL – Servis Ekspres Perdana dalam sejam atau kurang

    Mercedes-Benz-City-Service-1

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM), dengan kerjasama wakil penjual sah Hap Seng Star (HSS), hari ini telah melancarkan Mercedes-Benz City Service yang pertama seumpamanya di Malaysia. Terletak di kawasan yang cukup strategik iaitu di Jalan Ipoh, KL, berhampiran dengan bulatan Jalan Segambut, Mercedes-Benz City Service ini dilengkapi dengan pusat 3S termasuk mampu mempamerkan enam unit kenderaan di bilik pameran dan 18 ruang penyelenggaran.

    Dikendalikan oleh 45 kakitangan, pusat 3S yang menelan kos perlaburan sebanyak RM7 juta ini mampu menyelenggara sehingga 50 buah kenderaan sehari dan 1,100 buah kenderaan sebulan. Malah ia turut dilengkapi dengan Mercedes-Benz Presentation System II terkini dan kafe Star Lounge berserta kemudahan WiFi secara percuma.

    Menariknya, Mercedes-Benz City Service turut menyediakan Servis Ekspres Perdana, di mana kenderaan yang dihantar oleh para pelanggan untuk diselengara mampu disiapkan dalam tempoh sejam atau pun kurang. Ia akan dikendalikan oleh dua pasukan juruteknik bertauliah dengan kepakaran masing-masing.

    “Kemudahan pertama seumpamanya ini adalah sebahagian daripada strategi tertumpu pelanggan kami, dengan lokasi strategik bagi memudahkan kunjungan pelanggan dihargai yang berada di sekitar Kuala Lumpur,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner.

    Untuk memudahkan pelanggan Mercedes-Benz yang sentiasa sibuk, Mercedes-Benz City Service menawarkan perkhidmatan Drop & Go di mana pelanggan boleh meninggalkan kenderaan mereka pada bila-bila masa di luar waktu perniagaan.

    Malah bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk menghantar kenderaan mereka, perunding Mercedes-Benz City Service akan mengambil kenderaan dari lokasi pelanggan dan mengembalikannya setelah selesai. Semua kenderaan di bawah perkhidmatan ini dilindungi sepenuhnya oleh insurans.

     
     
  • Vespa S125 2016 dilancarkan di Malaysia – RM10,988

    2016-Vespa-S125-20

    Vespa S125 2016 telah pun selamat dilancarkan di The Garage, Kuala Limpur pagi tadi, oleh pengedar rasminya di Malaysia, Naza Premira. Ditawarkan pada harga RM10,988, jenama skuter dari Itali ini dikatakan mengimbas kembali era 50an iaitu ketika zaman kegemilangan Vespa

    Dijanakan dengan enjin 124 cc, penyejuk-udara, silinder-tunggal, tiga-injap EFI, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 11.6 hp dan tork 10.7 Nm pada 6,500 rpm. Skuter ini juga disasarkan untuk penggunaan urban dan gaya hidup, malah amat sesuai dengan anak muda masa kini.

    Elemen baharu yang ditampilkan pada Vespa S125 2016 ini ialah lampu utama berbentuk bulat, pelindung lumpur (mudguards) yang bergaya dan tempat duduk berprofil. Ia turut menawarkan lima pilihan warna iaitu Toarnima orange, Rosso Dragon red, Nero Vulcano black, Monte Bianco white dan Grigio Titanio matte grey.

    Sistem brek bagi Vespa S125 2016 ini menggunakan cakera brek hidraulik pada roda hadapan bersaiz 11-inci dan dram yang disambungkan pada roda belakang 10-inci. Skuter ini seberat 167 kg, dan tangki bahan apinya berkapasiti 8.3 liter, manakala ketinggian tempat duduknya ialah 785 mm.

    Dengan harga RM10,988 tanpa GST, insurans dan cukai jalan, Vespa S125 2016 ini juga didatangkan dengan waranti pengeluar selama dua tahun. Model skuter ini sudah boleh didapati di bilik pameran Naza Premira di Petaling Jaya dan semua pengedarnya di seluruh negara. Sementara stok masih ada, 70 unit Vespa S125 2016 dengan pelekat edisi terhad juga sedang ditawarkan.

     
     
  • Volkswagen Scirocco R Black Style diperkenalkan

    Volkswagen-Scirocco-R-Black-Style-03

    Pakej rekaan terbaharu telah pun diperkenalkan untuk model facelift Volkswagen Scirocco R. Keseluruhan pakej ini ditawarkan dengan harga 600 euros (RM2,760), termasuk cat dan juga set roda baharu.

    Digelar Scirocco R Black Style, ia didatangkan dengan bumbung hitam, dengan kombinasi beberapa pilihan skim warna termasuk pure white, urano grey, indium grey metallic, rising blue metallic, pyramid gold metallic, ultra violet metallic dan oryx white mother dengan efek mutiara.

    Melengkapkan pakej “Black Style” ini ialah padanan rim aloi Lugano berwarna hitam 19-inci (yang didatangkan dengan pengunci roda) yang dibaluti tayar 235/35R19. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan perumah cermin sisi berwarna hitam.

    Selain pakej rekaan ini, bahagian mekanikalnya tiada perubahan. Scirocco R ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter TSI yang mampu memberikan kuasa sehingga 255 PS dan tork 330 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear DSG enam-kelajuan. Jentera ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam hanya enam saat. Di Malaysia, Scirocco R dijual pada harga RM289,888.

    GALERI: Volkswagen Scirocco R

     
     
  • Nissan dilapor akan memiliki Mitsubishi dengan pembelian sekitar satu pertiga pegangan saham

    Nissan Mitsubishi

    Nissan telah disahkan sedang dalam perbincangan untuk membeli sekitar satu pertiga pegangan saham dalam Mitsubishi yang kini sedang bergelut dengan skandal penipuan tahap ekonomi bahan api,menurut laporan Reuters.

    “Nissan dan Mitsubishi sedang berbincang pelbagai perkara termasuk modal kerjasama, tetapi belum ada apa-apa keputusan dibuat,” seperti disebut dalam kenyataan yang disiarkan oleh kedua-dua jenama dari Jepun itu. Sebarang perkembangan akan diumumkan oleh ahli lembaga kedua-dua belah pihak setelah perjumpaan berasingan diadakan hari ini untuk membincangkan isu tersebut.

    Reuters juga mengatakan dua orang yang sering dikaitkan dengan kedua-dua buah syarikat menyatakan mereka kini dalam “perbincangan lanjut” untuk perjanjian yang bakal menyaksikan Nissan akan membelanjakan sekitar 200 bilion yen (RM7.4 bilion) untuk pengambilalihan saham tersebut.

    Jika perjanjian itu berlaku, pengeluar automotif kedua terbesar di Jepun itu akan menjadi pemegang saham tunggal terbesar dalam Mitsubishi, dan akan memberikan mereka saham yang lebih besar dari 15% yang dimiliki dalam rakan pakatan mereka – Renault. Dengan kontras, Renault juga merupakan pemegang saham berjumlah 43.4% dalam Nissan.

    Berita pengesahan perbincangan antara kedua-dua pengeluar automotif tersebut tersebar hanya selepas sehari Mitsubishi mengatakan mereka mempunyai rizab modal yang cukup menangani kejatuhan akibat skandal tersebut, walaupun mereka diberi amaran bahawa mereka mungkin juga perlu memperbaiki angka ekonomi penggunaan bahan api bukan sahaja terhad pada keluaran kereta kei mereka sahaja.

    Bulan lalu, Mitsubishi mengakui mereka menggunakan kaedah yang tidak mematuhi standard Jepun dalam ujian penggunaan bahan api mereka sejak 2002. Kereta yang diketengahkan dalam isu tersebut ialah Mitsubishi eK Wagon dan eK Space serta Nissan Dayz dan Dayz Roox, di mana Mitsubishi telah memproduksi dan membekalkan kereta kei kepada Nissan (punca pendedahan penipuan penggunaan bahan api tersebut semasa pembinaan generasi seterusnya kereta kei berkenaan) sejak 2013.

    Mitsubishi dianggarkan perlu menyediakan sejumlah US$ 1 bilion (RM4 bilion) untuk membayar ganti rugi kepada pembeli untuk menampung bayaran cukai “kereta eko” dan kos bahan api tambahan, serta bayaran ganti rugi kepada Nissan atas percanggahan berkenaan. Produksi untuk kesemua empat model tersebut telah dihentikan sejak bulan lalu.

    Syarikat terbabit telah kehilangan sekitar 42% atau US$3 bilion (RM13 bilion) dalam nilai pasarannya sejak pendedahan skandal tersebut pada 20 April, atas kegusaran kos ganti rugi yang dijangka akan menelan belanja yang besar. Jualan kereta kei mereka juga menjunam sehingga separuh pada April lalu.

    Membina kereta kei untuk Nissan membantu jualan Mitsubishi di Jepun, kerana model dengan jenama mereka sendiri telah kehilangan banyak bahagian pasaran. Mitsubishi menjual kira-kira satu pertiga dari kereta keluarannya seluruh dunia di Jepun, manakala jualannya di seluruh Asia kini sedang mencatatkan pertumbuhan.

    Ini bukan kali pertama MMC berdepan dengan skandal. Kira-kira sedekad yang lalu, jenama tersebut juga hampir lumpuh berikutan skandal kecacatan pada kenderaan keluaran mereka, di mana ia mampu ditangani secara sistematik selama hampir sedekad. Skandal terbaharu ini nampaknya bakal menekan syarikat berkenan dengan lebih teruk, kerana faktor penggunaan bahan api merupakan antara faktor utama dalam penjualan kenderaan mereka.

     
     
  • Honda Civic 2016 dilancarkan pada Q2 2016 – bakal dipertontonkan di MIECC dari 20 hingga 22 Mei ini

    2016 Honda Civic Thailand 56

    Selepas mula membuka tempahan sejak 9 Mei yang lalu, Honda Malaysia telah mengesahkan bahawa Honda Civic 2016 generasi ke-10 bakal dilancarkan pada suku kedua (Q2) tahun ini. Civic serba baharu ini telah menerima kejuruteraan semula bagi mencipta sensasi dan meledakkan lagi semangat para pencintanya di seluruh dunia. Malah Civic 2016 ini juga dianggap sebagai game changer dalam segmennya dengan menampilkan pelbagai elemen terkini serta yang pertama seumpamanya di dalam kelasnya yang tersendiri.

    Sejak generasi pertamanya yang diperkenalkan pada tahun 1972, boleh dikatakan kesemua model generasi Civic mendapat sambutan yang menggalakkan di peringkat dunia. Malah Civic juga menjadi model yang cukup sinonim bagi jenama Honda di Malaysia. Sejak diperkenalkan oleh Honda Malaysia pada tahun 2001, sehingga Mac 2016, Civic telah berjaya terjual sebanyak 81,013 unit di negara ini.

    Civic 2016 ini juga menerima sentuhan rekaan yang diperbaharui dan lebih segar, malah ia umpama kembali ke karakter asal Civic. Permukaan badannya yang solid dan rekaan kabin yang lebih tegap merupakan simbol utama kekuatan karakternya. Malah ia turut menampilkan bahagian hud yang lebih panjang, juntaian hadapan yang lebih sporty, sekali gus menyerlahkan lagi penampilannya yang lebih agresif.

    Dan buat pertama kalinya di Malaysia, Civic 2016 akan muncul dengan lampu utama LED sepenuhnya dengan kombinasi lampu nyalaan siang LED.

    2016 Honda Civic Thailand 59

    Ia juga ternyata lebih panjang, lebih lebar tetapi lebih rendah berbanding Civic gen-9. Ia memiliki ukuran 4,630 mm panjang (105 mm lebih panjang berbanding Civic gen-9), selebar 1,799 mm (lebih 44 mm), berketinggian 1,416 mm (kurang 19 mm) dan jarak roda pula 2,698 mm (lebih 28 mm).

    Malah rekaan semula bagi tiang-A yang lebih nipis juga bagi menawarkan sisi pandangan yang lebih bagus untuk pemandu. Bukan itu sahaja, ruang kaki di tempat duduk belakang juga lebih lebar dan dipertingkatkan sebanyak 23 mm berbanding model sedia ada.

    Civic gen-10 ini juga 30 kg lebih ringan iaitu hanya 1,195 kg berbanding Civic gen-9 (1,225 kg). Malah 12% daripada kerangkanya diperbuat daripada keluli berketahanan ultra-tinggi. Selain dikatakan lebih ringan, penggunaan keluli jenis ini juga dikatakan telah mempertingkatkan sebanyak 25% bagi ketegaran kilasannya (torsion rigidity).

    Ia turut menampilkan suspensi MacPherson di hadapan dan Multilink di belakang bagi memberikan lagi keselesaan pengendaliannya. Malah bagi mengurangkan NVH ketika di atas jalan raya, sistem kalis bunyi telah diaplikasikan, ini termasuk melindungi bahagian bawah kerangka serta pemasangan sistem penebat pada pintu.

    Honda Malaysia juga telah mengesahkan Civic 2016 bagi negara ini bakal ditawarkan dengan dua varian enjin. Buat pertama kalinya, enjin 1.5L VTEC pengecas turbo dengan teknologi Earth Dream diperkenalkan. Ia mampu memberikan kuasa sehingga 173 PS dan tork 220 Nm, yang hampir menyamai prestasi enjin 2.4L. Malah buat pertama kalinya Honda Malaysia mengadaptasikan sistem suntikan terus pada enjin.

    Honda Civic 1.8L (kiri) & Honda Civic 1.5L Turbo (kanan)

    Varian enjin kedua yang ditawarkan ialah 1.8L i-VTEC yang berkemampuan memberikan kuasa sehingga 141 PS dan tork 174 Nm. Kedua-dua varian enjin ini juga dipadankan dengan CVT yang telah dipertingkatkan bagi memberikan prestasi pemanduan yang lebih menyeronokkan tanpa berkompromi dalam penjimatan bahan api.

    Varian 1.5L Turbo ditampilkan dengan rim aloi 17-inci, manakala 16-inci bagi 1.8L. Malah ia juga dilengkapi dengan beberapa elemen yang menarik termasuk Remote Engine Start di mana dalam jarak 40 m, dengan hanya menekan kunci kawalan, pemiliknya boleh menghidupkan enjin dan penghawa dingin akan terpasang secara automatik tetapi kereta masih kekal terkunci.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan Walk Away Auto Lock di mana ia boleh mengesan kunci bergerak sejauh 2.5 meter dari kenderaan dan pintu akan terkunci secara automatik. Juga ditampilkan dengan Brek Parkir Elektronik dan Penahan Brek bagi kedua-dua varian ini.

    Bagi aspek keselamatan aktif dan pasif, elemen yang ditampilkan adalah standard bagi semua varian. Ini termasuklah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, tali pinggang keledar pra-tekanan dan ISOFIX.

    Seperti mana yang semua sedia maklum, tempahan Civic 2016 ini telah pun mula dibuka di semua 88 cawangan pengedar Honda bertauliah di seluruh negara. Malah Honda Malaysia akan mempertontonkan Civic 2016 ini buat pertamanya di Malaysia untuk tatapan umum di My Auto Fest 2016 yang bakal berlangsung pada 20 hingga 22 Mei ini (jam 10 pagi hingga 9 malam) di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC).

    Baca ulasan pandu uji Honda Civic 2016 di Chiangmai minggu lalu.

    GALERI: Honda Civic 1.5 RS Turbo, spesifikasi Thailand

    GALERI: Honda Civic 1.8 E, spesifikasi Thailand


     
     
  • Sekolah Teknikal Isuzu kini mula beroperasi – bakal lahirkan lebih ramai mekanik berkemahiran tinggi

    ITS

    Usaha Isuzu Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk menghasilkan lebih ramai mekanik mahir ke dalam pasaran kerja telah bermula menerusi pengambilan pertama para pelatih ke Sekolah Teknikal Isuzu di Shah Alam.

    Lima orang perantis pertama Sekolah Teknikal Isuzu (ITS) daripada kumpulan perintis memulakan kursus selama enam bulan untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia – Tahap II (SKM II) pada akhir kursus tersebut. Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka yang menyaksikan majlis pelaksanaan kursus itu di Pusat Pembangunan Isuzu (IDC) di Shah Alam baru-baru ini menyatakan bahawa, penubuhan Sekolah Teknikal Isuzu bertujuan membina asas yang lebih kukuh dalam menghasilkan mekanik-mekanik yang berkemahiran tinggi di dalam negara.

    Menurut Matsuoka, program yang dilancarkan oleh Isuzu Malaysia itu bermatlamat meningkatkan kemampuan mekanik berkemahiran. Pada masa yang sama menambah baik tahap kecekapan pusat servis Isuzu.

    “Melalui ITS dan sokongan Kementerian Sumber Manusia, kami harap dapat membangunkan satu tahap kecekapan baru dalam kalangan mekanik sebelum mereka memasuki pasaran tenaga kerja. Dengan pengembangan jenis produk dan peningkatan jumlah pengedar Isuzu di seluruh negara, penubuhan ITS akan mengukuhkan lagi komitmen Isuzu untuk menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang kepada para pelanggan,” kata Matsuoka.

    Kursus ITS yang merangkumi kelas teori dan amali itu akan dijalankan selama enam bulan dengan menggunakan silibus yang dibangunkan oleh Isuzu Malaysia di bawah bimbingan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia. Ia melibatkan prinsip-prinsip asas operasi bengkel, sistem operasi kenderaan komersial, prosedur servis dan penyelenggaraan serta kemahiran baik pulih (overhaul) komponen.

    Bahagian terakhir program itu melibatkan latihan amali di bengkel-bengkel Isuzu. Para perantis akan didedahkan dengan persekitaran pekerjaan dalam dunia sebenar di bengkel-bengkel komersial, memantapkan lagi prosedur kerja, mengurus kehendak pelanggan dan mengendalikan operasi alat ganti.

    Menurut Ketua Latihan & Pembangunan Kemahiran Isuzu Malaysia, Syaiful Azuan, objektif Sekolah Teknikal Isuzu adalah untuk menghasilkan kakitangan jualan dan selepas jualan yang berkemahiran tinggi. Selain mampu meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dengan lebih efektif.

    “Sebagai pengeluar kenderaan bertaraf dunia, sudah menjadi matlamat kami untuk menghasilkan kakitangan generasi seterusnya yang berkemahiran tinggi menerusi Sekolah Teknikal Isuzu. Tahap persijilan kami kini berada di tahap kedua dan ketiga. Kami harap apabila program ini semakin matang, kami akan mampu menawarkan tahap latihan kemahiran yang lebih tinggi serta membina satu asas profesional untuk para mekanik tempatan,” kata Syaiful.

    Mereka yang berminat menyertai Sekolah Teknikal Isuzu ini perlu memiliki kredit SPM dalam mata pelajaran matematik dan sains. Untuk maklumat lanjut berkaitan program latihan ini, mereka boleh menghubungi Sekolah Teknikal Isuzu menerusi laman web Isuzu Malaysia.

     
     
  • Pembinaan DASH tetap akan bermula Ogos ini

    dash

    Pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) tetap akan bermula pada Ogos ini, walaupun penjajaran terakhir projek tersebut masih lagi menunggu lampu hijau dari kerajaan negeri Selangor yang sekarang ini sedang dalam peringkat terakhir menyelesaikan masalah berhubung penduduk yang terjejas berikutan pembinaan lebuhraya tersebut, lapor Malay Mail.

    “Kerajaan masih lagi menunggu Majlis Bandararaya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menggezetkan projek tersebut ke dalam pelan tempatan 2 Petaling Jaya. Berdasarkan pelan kami, jika tiada bantahan, pembinaan projek DASH akan bermula pada Ogos 2016.” kata Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof pada Mac lalu.

    Walaubagaimana pun, ahli majlis esekutif negeri Selangor, Elizabeth Wong dilaporkan berkata sebelum ini, “pembinaan lebuhraya tersebut telah mendapat kelulusan dari pihak Shah Alam. Bahagian yang menjadi pertikaian adalah pada bahagian terakhir, yang betul-betul terakhir. Masih lagi terdapat keputusan exco yang memerlukan perhubungan berterusan.” Beliau juga menambah Kerajaan Persekutuan sudah pun boleh memulakan projek tersebut pada bahagian yang tidak mempunyai apa-apa masalah.

    “Jika mereka mahu mulakan, mereka boleh mulakan di Shah Alam terlebih dahulu, mereka boleh mulakan di bahagian lain yang tiada bantahan, tetapi (bahagian terakhir) masih lagi perlu dibincangkan dan ia akan dimulakan tidak lama lagi, jadi kami boleh menyelesaikan sebarang pertikaian dan menyelesaikan isu ini. Projek tersebut merupakan projek persekutuan, jadi bila mahu dimulakan adalah terpulang kepada mereka,” jelas Wong.

    DASH-01

    Wong memberitahu perbincangan berkenaan seharusnya diadakan antara penduduk yang terjejas dengan projek tersebut dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (JPBD) pada Mac lalu. “Ia seharusnya diadakan pada Mac tetapi secara jelasnya tidak berlaku, jadi diharapkan, ia akan dilakukan tidak lama lagi,” kata Wong.

    Mac lalu, ahli majlis MBPJ Lee Suet Sen mengesahkan kerajaan negeri Selangor sudah pun meluluskan projek DASH dan jajaran yang dicadangkan sudahpun dimasukkan semula ke dalam pelan tempatan 2 PJ tahun lalu, diikuti dengan penyingkiran sementara.

    Ini bermaksud, peringkat terakhir penjajaran masih lagi boleh dirombak, menurut Lee. “Bahagian terakhir lebuhraya tersebut di dalam pelan masih lagi belum diputuskan menunjukkan sebarang pelarasan masih boleh lagi dibuat, di mana ia adalah Damansara Perdana. Jadi kami akan membiarkan syarikat konsesi untuk berunding dengan penduduk yang terjejas dalam isu ini,” kata Lee beberapa bulan sebelum ini.

    Projek lebuhraya tiga-lorong dua hala berjarak 20.1 km tersebut akan bermula di persimpangan Puncak Perdana U10 Shah Alam sehingga ke persimpangan Penchala di Mutiara Damansara. Lebuhraya yang bernilai RM115 bilion tersebut akan mempunyai 12 persimpangan dan menghubungkan pengguna jalan raya ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sprint.

     
     
  • PANDU UJI: Honda Civic 1.8 dan 1.5 VTEC Turbo 2016 – peningkatan bagi gen-10 yang lebih memuaskan?

    Honda Civic Thai Review 56_BM

    Pastinya ramai yang tidak sabar menantikan ketibaan Honda Civic 2016 di pasaran Malaysia. Apatah lagi model tersebut telah pun selamat dilancarkan di beberapa negara jiran kita. Awal Mac lalu, ia telah pun selamat dilancarkan di Thailand yang menerima dua varian penjana kuasa iaitu 1.8 i-VTEC dan 1.5 VTEC RS Turbo.

    Kemudian giliran Singapura pula melancarkannya dengan memilih varian tunggal 1.6L SOHC i-VTEC yang dijual pada harga yang begitu tinggi iaitu mencecah SGD$109,999 (RM318k). Baru-baru ini pula, Indonesia telah mula memasarkan Civic 2016 juga dengan varian tunggal iaitu 1.5L VTEC Turbo.

    Jadi bilakah giliran Malaysia? Tunggu!! (Biarpun penantian itu satu penyeksaan) Honda Malaysia masih menyimpul rahsia bilakah detik keramat ini bakal tiba, apa yang pasti tidak lama lagi.

    Sementara melayan debaran yang kian memuncak, Honda Malaysia telah membawa sekumpulan media permotoran tempatan untuk memandu uji Civic 2016 spesifikasi Thai di Chiang Mai pada hujung minggu lalu.

    Honda Civic 1.5 RS Turbo (kiri) & Civic 1.8 E (kanan)

    Walau pun secara amnya, mungkin terdapat beberapa perbezaan antara Civic 2016 versi Thai dengan yang bakal diperkenalkan di Malaysia, namun sedikit sebanyak ia mampu memberikan gambaran awal bagi sedan segmen-C ini.

    Jika dibandingkan dengan Civic 2016 dengan model yang terdahulu, memang banyak perbezaannya terutamanya daripada segi imej yang dipertaruhkan. Malah pada pandangan mata saya, Civic 2016 lebih mudah menangkap pandangan mata hingga berlabuh di hati.

    Jika Civic generasi ke-sembilan mempertaruhkan elemen yang elegan dan lari dari imej sporty tidak seperti Civic generasi sebelumnya terutamanya yang ke-lapan, bagi Civic generasi ke-10 ini, ia seakan kombinasi antara elegan dan sporty.

    Menurut Honda, orang membeli jentera seperti Civic untuk mendapatkan pemanduan yang lebih selesa, dalam masa yang sama pengendalian yang mantap serta pastinya penjimatan bahan api yang efisien. Bukannya seperti zaman dahulu, kebanyakannya mengaitkan Civic dengan aura serba sporty. Asal model Civic, mesti ditampilkan dengan sifat sporty dan garang.

    Kini, persepsi tersebut sedikit terhakis. Ramai yang memilih pemanduan berdinamik (selain penjimatan bahan api), tetapi imej yang dipersembahkan harus seiring sejalan dengan perkembangan semasa. Agar tidak dikatakan ketinggalan zaman.

    Melihat Civic generasi ke-10 ini, imejnya tampak lebih segar. Bagi varian 1.5L RS Turbo, ia dilengkapi dengan lampu utama LED sepenuhnya dengan lampu kabus LED, bampar hadapan yang kekal sama dengan gril bersama bar hitam pekat serta spoiler belakang dengan lampu brek ketiga. Malah imej sporty turut disertakan dengan rim aloi lima-jejari 17-inci, pemegang pintu krom dan ekzos berkembar. Terdapat juga logo RS pada bahagian belakang varian Turbo ini.

    Bagi varian Civic 1.8 E pula, lampu utama projektor, bampar hadapan yang juga sporty dengan gril krom serta lampu kabus LED. Selain itu, ia menggunakan rim aloi 10-jejari 16-inci dan corong ekzos tunggal. Tetapi tiada spoiler di belakang.

    Pada pandangan saya, jika ia disertakan dengan spoiler belakang, pasti kelihatan lebih menyerlah. Jika Civic 2016 versi Malaysia juga tiada spoiler belakang, anda boleh memilih kit badan Modulo yang pastinya turut menawarkan komponen tersebut. Begitu juga dengan rim standardnya, yang kelihatan biasa-biasa saja. Jangan risau kit badan Modulo pasti ada dan mampu melengkapkan lagi gaya Civic anda (bersama kos tambahan).

    Menurut Honda, lampu utama LED dan gril pada Civic 2016 merupakan signatur berteknologi tinggi bagi rekaannya. Malah lampu utama LED ini memang agak menawan apatah lagi ia seakan menampilkan efek batu permata.

    Bukan itu sahaja, pemilihan tiang-A yang lebih nipis turut memberikan pandangan yang lebih jelas pada bahagian hadapan. Malah Civic 2016 ini umpama sebuah jentera coupe lima-pintu, dengan garisan bumbung yang lebih landai mengunjur ke belakang. Lampu belakang berbentuk-C (umpama sepit ketam) pula membuatkan Civic 2016 ini kelihatan garang dan lebih menyengat.

    Civic 2016 ini juga ternyata lebih panjang, lebih lebar tetapi lebih rendah berbanding Civic gen-9. Ia memiliki ukuran 4,630 mm panjang (105 mm lebih panjang berbanding Civic gen-9), selebar 1,799 mm (lebih 44 mm), berketinggian 1,416 mm (kurang 19 mm) dan jarak roda pula 2,698 mm (lebih 28 mm).

    Selain itu, Civic gen-10 ini juga 30 kg lebih ringan iaitu hanya 1,195 kg berbanding Civic gen-9 (1,225 kg). Malah 12% daripada kerangkanya diperbuat daripada keluli berketahanan ultra-tinggi. Selain dikatakan lebih ringan, penggunaan keluli jenis ini juga dikatakan telah mempertingkatkan sebanyak 25% bagi ketegaran kilasannya (torsion rigidity).

    Namun jika dibandingkan dengan pencabar terdekatnya iaitu Toyota Corolla Altis, mungkin Civic 2016 lebih menang gaya. Ini kerana Corolla Altis masih ‘kekal dengan imej pakcik’. Manakala jika dibandingkan pula dengan Mazda3 pula, Civic 2016 lebih menyerlah di bahagian belakang terutamanya dengan padanan lampu berbentuk-C dan bonetnya lebih panjang. Berbanding Mazda3 yang kelihatan ‘lebih kontot’ tetapi mempunyai rekaan yang lebih agresif pada bahagian hadapannya.

    Honda Civic Thai Review 51_BM

    Dengan pertambahan dimensi luaran ini, sekali gus memberikan kelebihan buat bahagian kabin. Malah ia juga memberikan lebih ruang kaki dan ruang kepala di bahagian kabin. Malah kapasiti ruang kargonya juga dipertingkatkan menjadi 519 liter berbanding 440 liter pada generasi sebelumnya.

    Menjengah ke bahagian kabinnya, pastinya varian 1.5L VTEC RS Turbo menang gaya. Masih dijalari sentuhan sporty dan elegan di segenap ruang. Ia tampil dengan tempat duduk pemandu berkuasa dengan pelarasan lapan-cara (empat-cara bagi penumpang hadapan), cermin pandang belakang anti-silau, roda stereng dengan butang kawalan audio, kit bebas tangan bagi telefon pintar dan kawalan kelajuan, pedal penukar gear di belakang roda stereng dan pedal aloi.

    Malah tempat duduk balutan kulit upholstery dengan tona hitam juga menambahkan keselesaan. Malah ia turut menampilkan skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai paparan navigasi, kamera undur dan sistem hiburan. Malah ia juga boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Siri Eyes Free.

    Honda Civic 1.5 RS Turbo (kiri) & Civic 1.8 E (kanan)

    Manakala bagi varian 1.8L E pula, bentangan papan pemukanya biasa-biasa sahaja, tidak begitu fancy dan tidak sarat. Ternyata ia lebih mengikut bentangan yang ada pada City dan Jazz, tetapi dengan rekaan tajam dan lebih teknikal. Sedikit efek sporty kelihatan pada konsol tengah yang tinggi.

    Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda stereng dengan butang kawalan audio (tiada kawalan kelajuan), paparan tengah bersaiz lima-inci, tempat duduk larasan manual untuk pemandu dan penumpang hadapan dan tempat duduk balutan fabrik dengan jaluran kelabu di tengah.

    Malahan perumah yang lebih besar untuk rev meter dan digital speedo di bahagian tengah turut digayakan dengan elemen sporty. Bagi varian Turbo, panel digital (termasuk boost meter) dengan tema merah ditampilkan. Namun bagi varian 1.8 pula, hanya dail analog yang lebih asas ditampilkan.

    Manakala elemen standard yang ditampilkan bagi kedua-dua varian ialah butang penghidup enjin, brek parkir elektronik, butang ECON, kawalan suhu dua zon, sambungan Bluetooth, kit bebas tangan untuk telefon pintar, kawalan lampu utama automatic, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, penahan brek, dan kawalan kelajuan.

    Bukan itu sahaja, sama seperti HR-V, terdapat bahagian ala ‘terowong’ tersorok di bawah centre stack yang menempatkan punca kuasa, port bagi USB dan HDMI. Selain itu, kotak konsol tengah juga agak dalam dan tidak ada masalah untuk menyembunyikan beg dompet mahu pun telefon pintar anda. Malah ia juga terdapat dua pemegang cawan yang terletak di antara dua bahagian tersebut, satu boleh dialihkan dan satu lagi tidak. Walau bagaimana pun, saya kurang menggemari glove box Civic ini, ya ruangnya luas tetapi ketika membukanya boleh terkena lutut dan seakan mahu tercabut pula penutupnya.

    Civic 2016 ini juga menang daripada segi keselesaan tempat duduknya. Malah Honda turut mengetengahkan reka bentuk tempat duduk hadapan yang lebar di bawah tetapi mengecil di bahagian atas, secara tidak langsung turut memberikan pandangan hadapan yang lebih optimum buat penumpang di belakang.

    Keselesaan yang ditampilkan bukan setakat ketika mengendalikannya, bahkan sebagai penumpang sama ada di hadapan atau duduk di belakang. Malah ruang meletak kaki di bawah tempat duduk hadapan (bagi penumpang belakang) juga sedikit luas kerana kedudukan tempat duduk hadapan ditinggikan sedikit. Malahan lantai dalaman juga lebih rendah tetapi masih tidak sulit untuk urusan keluar-masuk.

    Paling menarik perhatian ialah kedua-dua varian turut dilengkapi dengan Remote Engine Start di mana dalam jarak 40 m, dengan hanya menekan kunci kawalan, pemiliknya boleh menghidupkan enjin dan penghawa dingin akan terpasang secara automatik tetapi kereta masih kekal terkunci. Jadi tak adalah rasa panas membahang dalam kereta bila anda memasukinya. Teknologi ini juga ada pada model Accord facelift.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan Walk Away Auto Lock di mana ia boleh mengesan kunci bergerak jauh dari kenderaan dan pintu akan terkunci secara automatik.

    Bagi aspek keselamatan aktif dan pasif, elemen yang ditampilkan adalah standard bagi semua varian. Ini termasuklah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, tali pinggang keledar pra-tekanan dan ISOFIX. Namun bagi varian turbo, ia turut menampilkan elemen keselamatan tambahan iaitu Honda Lane Watch, sama seperti model Accord facelift.

    Saya mulakan pemanduan dengan menguji varian Civic 1.8 E. Ia dijanakan oleh enjin 1.8 liter SOHC empat-silinder i-VTEC yang sama seperti model HR-V. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 141 PS (139 hp) pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,200 rpm. Memantapkan lagi kuasanya, ia turut dipadankan dengan CVT yang telah dipertingkatkan.

    Mengendalikan Civic 1.8 2016 ini boleh dirasai kelebihannya berbanding model gen-9 yang berkapasiti sama. Malah hamburan kuasa dan tork juga tiada berbeza. Walau pun secara peribadinya, saya lebih menyenangi kotak gear konvensional automatik lima-kelajuan seperti mana yang diterapkan pada model Civic generasi dahulu. Namun padanan CVT (sama seperti pada model HR-V tetapi yang telah dipertingkatkan bagi Civic 2016 ini), juga mampu memacu enjin memberikan prestasi yang jitu. Selain memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien.

    Begitu juga dengan soal pengendalian. Walau pun Civic 2016 ini bukanlah jentera yang mempersembahkan ‘fun driving’, namun keselesaannya masih jelas dirasai. Ketika melewati jalan menuju ke Mae Hong Son, merentasi laluan berbukit dan berselekoh, pemanduan Civic 2016 ini agak mencabar. Namun dalam masa yang sama membuktikan kelebihannya.

    Tidak memandu dalam kelajuan yang begitu tinggi, cukup sekadar 140-150 km/j (adakalanya hanya 70-90 km/j, ikut keadaan jalan), namun enjin 1.8 liter ini boleh dikatakan pantas memberikan respons dengan kerahan pada pedal pendikit. Tidak perlu tekanan yang banyak pada pedal pendikit, sekadar sederhana sahaja, namun enjin mampu memuntahkan kuasa seperti mana yang diingini.

    Honda Civic Thai Review 4_BM

    Seperti mana yang saya nyatakan, CVT yang dipertingkatkan sedikit sebanyak membantu hamburan kuasa. Walau pun agak terasa gear sedikit lagging terutamanya apabila kenderaan mula dipacu selepas berhenti atau bergerak perlahan, namun kelemahannya tidaklah begitu ketara seperti HR-V. Terasa perubahan telah dilakukan terhadap transmisi ini dan usaha Honda ini pastinya wajar dipuji kerana pantas memperbaiki kelemahannya.

    Pengendalian yang selesa, itulah poin utama bagi Civic 2016 ini. Apatah lagi tempat duduk pemandu yang telah direka bentuk semula (termasuk tempat duduk penumpang hadapan) seperti erat memeluk tubuh, membuatkan badan terasa mengikut gerakan pacuannya.

    Ada masanya ketika mahu memotong kenderaan di hadapan terutamanya di selekoh, pedal pendikit harus diberi tekanan untuk memecut jentera. Ketika ini, kawalan stereng turut banyak membantu. Kurang sedikit dirasai under steer, malah kesan olengan badan juga agak minimal.

    Konklusi saya terhadap Civic 2016 ini ialah pengendaliannya lebih selesa berbanding Civic gen-9. Tetapi jika dibandingkan dengan pesaingnya seperti Toyota Corolla Altis yang menggunakan kapasiti enjin 1.8 (139 hp/173Nm) dengan padanan CVT bersama Sport Sequential Shift tujuh-kelajuan, Altis lebih menyenangkan daripada segi pengendalian. Tetapi prestasi kuasa Civic 2016 lebih menyerlah. Dan pastinya imej yang dipertaruhkan oleh Civic 2016 lebih dekat dengan jiwa golongan muda khususnya.

    Honda Civic Thai Review 53_BM

    Berhampiran dengan kawasan air terjun Wachirathan, dengan laluan berbukit dan lebih banyak selekoh, saya memandu pula varian 1.5L RS Turbo. Rasa teruja semakin membara tatkala stereng dipegang. Keselesaan bertambah segenap ganda (berbanding varian 1.8) apabila berada di dalam perut varian ini. Mungkin kerana tempat duduk balutan kulit upholstery yang memberikan lebih keselesaan.

    Namun sayangnya disebabkan keadaan jalan dua hala dengan satu lorong bagi setiapnya, pemanduan harus lebih berhati-hati kerana banyak kenderaan di hadapan terutamanya trak pikap yang penuh dengan muatan barang atau pun penumpang. Jadi, saya tidak berkesempatan untuk melenjan enjin turbo ini sepuasnya.

    Ketika enjin hampir mencapai 3,000 rpm, kuasa pendikit bertambah progresif. Tetapi jika diberi tekanan (agak kuat) untuk mendapatkan respons yang lebih pantas, terasa sedikit lagging. Mungkin ia disebabkan gabungan karakteristik antara Turbo dan CVT. Walau pun ia berkuasa turbo, tetapi Civic 1.5 RS Turbo ini tidak ada turbo kick, seperti mana jentera Eropah yang memiliki kuasa turbo.

    Tetapi Civic 1.5 RS Turbo mudah mencapai kelajuan yang diingini. Kelajuannya memang cukup dirasai biar pun pedal pendikitnya tidak begitu perlu dikerah. Malah tidak dinafikan, ia boleh dikatakan lebih jaguh daripada segi prestasinya jika hendak dibandingkan dengan Civic 2.0 gen-9 dan juga Civic 1.8 gen-10.

    Ketika bermain-main dengan mod sport dengan kawalan pedal penukar gear di belakang roda stereng, ia lebih menyeronokkan. Apatah lagi sudah menjadi karakter mod sport yang lebih pantas menghamburkan kuasa yang diingini dan memang cukup responsif. Tetapi bila hanya menggunakan mod normal pun, kuasa pecutannya masih boleh dirasai dengan mudah.

    Jika hendak dibandingkan dengan model pencabar terdekatnya iaitu Ford Focus 1.5L EcoBoost 2016, ternyata mengendalikan Civic 1.5L RS Turbo ini lebih memacu adrenalin. Dalam kelajuan yang tinggi sekitar 160-170 km/j, ia masih terasa kestabilannya.

    Berbanding dengan Focus 1.5L EcoBoost 2016 yang lebih mudah terasa olengan badannya apabila dalam kelajuan yang tinggi. Tetapi dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan dengan SelectShift, ia memberikan sedikit kelebihan berbanding penggunaan CVT pada Civic 2016. Iaitu daripada segi kecekapan respons prestasinya (terutamanya Focus 1.5L EcoBoost Sport+ biar pun ia hatchback).

    Selepas memandu uji kedua-dua varian 1.8L dan 1.5L RS Turbo, memang dirasakan tidak diperlukan varian 2.0L untuk pasaran Malaysia. Ini kerana kedua-dua varian tersebut ‘sudah cukup lengkap’ untuk barisan Civic 2016 di sini. Tidak dinafikan begitu ramai yang mengajukan pelbagai soalan mengenai Civic 2016. Spesifikasi penuh bagi pasaran Malaysia termasuk varian dan harganya akan diumumkan ketika pelancarannya.

    Adakah ia benar-benar mampu menganggu-gugat model pesaingnya iaitu Toyota Corolla Altis dan Ford Focus 1.5 EcoBoost? Nantikan pula ulasan pandu uji model versi Malaysia ya.

    GALERI: Honda Civic 1.5 RS Turbo, spesifikasi Thailand

    GALERI: Honda Civic 1.8 E, spesifikasi Thailand


     
     
  • KTM lancar barisan motocross mini baharu di Vegas

    KTM-50-SX-MY-2017_Action-e1462952133964_BM

    KTM telah melancarkan barisan motocross mini baharu 2017 mereka di Las Vegas, pada hujung minggu yang sama pelumba Red Bull KTM yang juga juara Supercross 450, Ryan Dungey, memenangi perlumbaan siri kejuaraan tersebut.

    Siri motocross mini ini disasarkan untuk penunggang dan juga pelumba motocross yang lebih muda dengan tiga varian berbeza terdiri 50SX, 65SX dan 85SX, dimana angka pada nama varian-varian tersebut mewakili kapasiti enjin masing-masing. Untuk model 50SX dan 65SX, ia dilengkapi dengan sepit udang AER 35 baharu dari WP Suspension.

    KTM-50-SX-e1462958396377_BM

    Sepit udang WP tersebut agak mudah untuk ditala menggunakan pam tangan untuk melaras tekanan udara, dan membawa teknologi motorcross sebenar kepada motosikal kelas junior. Penyerap hentak belakang turut boleh dilaras sepenuhnya, membolehkan penunggang muda menala sendiri suspensi tersebut pada 50SX dan 65SX mereka mengikut kesesuaian gaya tunggangan.

    KTM 50SX 2017 dipadankan dengan kotak gear klac automatik yang menawarkan aliran kuasa yang lancar dan stabil, manakala 65SX pula dibina sebagai sebuah motocross perlumbaan sebenar tetapi bersaiz lebih kecil. Model 85SX pula hadir dengan versi roda besar dan roda kecil, tetapi kebanyakkan ciri masih kekal tidak berubah seperti model 2015.

     
     
  • SPYSHOT: Kia Sorento generasi ketiga diuji di M’sia

    2016-Kia-Sorento-Malaysia-spotted-2_BM

    Kia Sorento generasi ketiga telah dilihat diuji di atas jalan raya Malaysia, menandakan SUV tujuh-tempat duduk berkenaan akan dilancarkan di sini tidak lama lagi. Dalam laporan kami sebelum ini, sumber dari Kia Malaysia menyatakan Sorento serba baharu tersebut akan dilancarkan bulan ini.

    Unit yang dilihat sedang diuji berkenaan menampilkan lampu hadapan projektor berkembar dilengkapi dengan lampu nyalaan siang bina dalam. Gril hadapan juga dilihat dikelilingi kemasan krom, manakala setiap sisi bampar hadapan dilengkapi dengan lampu kabus. Bahagian sisi SUV ini pula menampilkan kemasan krom yang minima serta roda aloi lima jejari berdiameter 18-inci.

    Seperti yang disebut sebelum ini, Sorento baharu akan dikuasakan dengan dua pilihan enjin iaitu enjin diesel 2.2L CRDi dan enjin petrol 2.4L. Versi pacuan empat roda sudah pasti ditawarkan berdasarkan emblem ‘AWD’ yang kelihatan pada unit yang diuji tersebut, tetapi tidak dapat dipastikan ia akan dipadankan pada varian diesel atau petrol. Sejumlah tiga varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia yang kami jangkakan terdiri dari varian standard petrol, varian tinggi-petrol dan varian tertinggi diesel.

    Kia Sorento generasi ketiga diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global pada Ogos 2014. SUV ini diukur dengan dimensi yang sangat besar iaitu 4,780 mm panjang, 1,890 mm lebar dan jarak roda keseluruhan 1,890 mm. Jika diambil Honda CR-V sebagai kayu ukur, Sorento adalah 190 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan mempunyai jarak roda 160 mm lebih panjang.

    Sorento baharu ini juga menampilkan bahagian dalaman yang lebih premium dan bergaya hasil rekaan Kia Eropah serta dilengkapi dengan skrin TFT LCD bersaiz tujuh inci pada papan instrumen dan juga brek parkir elektronik. Naza Kia juga dijangka akan menawarkan kabin dengan kemasan hitam sepenuhnya untuk Sorento pasaran Malaysia.

    Sorento telah menerima penarafan lima-bintang dalam ujian penilaian keselamatan ANCAP dengan memperolehi markah 36.62 daripada markah penuh yang berjumlah 37 markah, dicatatkan sebagai antara markah yang tertinggi pada 2015. Perincian lanjut berkenaan SUV tujuh-tempat duduk ini masih lagi belum diumumkan dan dijangka hanya boleh diperolehi semasa pelancarannya nanti.

     
     
  • Program Keselamatan BMW 360° dilancar, sasar tingkatkan kesedaran keselamatan dalam kenderaan dan jalan raya untuk kanak-kanak dan ibubapa

    BMW-360-Safety-programme-1_BM

    BMW Malaysia dengan kerjasama Julia Gabriel Centre dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) telah menganjurkan Program Keselamatan BMW 360° edisi ketiga. Program yang bermula awal minggu ini sehingga 14 Mei nanti, dilangsungkan di Julia Gabriel Centre Citta Mall dan disasarkan kepada ibubapa dan kanak-kanak.

    Program tersebut dijalankan untuk meningkatkan kesedaran dalam etika pemanduan di jalan raya dan juga teknologi keselamatan yang dilengkapi dalam kenderaan serta perkara-perkara yang perlu diketahui oleh ibubapa (pemandu). Usaha ini akan turut diadakan semasa cuti sekolah dan bulan Ramadan yang akan datang.

    Ia dimulakan dengan Program Keselamatan Trafik selama seminggu, yang sekarang ini sedang berlangsung di Julia Gabriel Centre Citta Mall. Aktiviti yang terkandung dalam program tersebut adalah termasuk aktiviti bertemakan keselamatan jalan raya, yang mana ia telah digabungkan ke dalam beberapa silibus. Setiap silibus pula telah dibahagikan kepada enam bahagian.

    Pada hari pertama, peserta telah diberikan pelajaran secara visual bertajuk ‘what’s on the road‘, manakala pada hari kedua diadakan pula aktiviti mewarna dengan tema ‘little messengers‘. Pada hari ketiga, aktiviti role-play bertajuk ‘stop,look and listen’ pula diadakan. Masuk hari keempat, diadakan pula aktiviti seni dan kraf dengan tema ‘we hold hands‘ dan pada hari kelima, aktiviti belajar dan bermain bertajuk ‘my car seat’ pula akan diadakan. Akhir sekali pada hari keenam, eksperimen praktikal tali keledar akan dijalankan.

    Sementara itu pada program permulaan hari ini, PPBM telah menjalankan ceramah keselamatan, bersama dengan demonstrasi keselamatan kanak-kanak. Ini merupakan percubaan untuk menunjukkan dan menjelaskan kepada ibubapa bagaimana mereka boleh mengelakkan kesilapan dalam pemasangan tempat duduk kanak-kanak. Pemeriksaan kepada alat keselamatan kanak-kanak juga dijalankan untuk keluarga yang mempunyai tempat duduk kanak-kanak bagi memastikan pemasangan dan penggunaan yang betul dilakukan.

    Topik yang dibincangkan dalam ceramah keselamatan hari ini yang disampaikan oleh May Hwong, perunding keselamatan penumpang kanak-kanak, termasuk kelebihan menggunakan tempat duduk keselamatan kanak-kanak dan juga kelebihan menggunakan tempat duduk kanak-kanak menghadap kebelakang serta jenis-jenis sistem keselamatan untuk penumpang kanak-kanak.

    Selepas ini, BMW Malaysia akan menjalankan pula program enam-bulan yang melibatkan kunjungan syarikat tersebut ke tadika-tadika dan pusat-pusat Montesorri terpilih seluruh negara, untuk mengadakan program keselamatan BMW 360° yang sama. Buat masa ini, BMW Malaysia akan terus meningkatkan kesedaran kepada ibubapa berkenaan langkah-langkah keselamatan dalam kenderaan dan di atas jalan raya.

     
     
  • Ferrari GTC4Lusso buat penampilan sulung peringkat Asia Timur dan prebiu untuk ASEAN di Jepun

    Ferrari-GTC4Lusso-Japan-premiere-8-e1462901315966_BM

    Ferrari FF versi facelift dan diberi nama baharu, Ferrari GTC4Lusso yang diperkenalkan di Geneva Mac lalu, kini secara rasminya mendarat di Asia Timur setelah diperkenalkan di Jepun buat pertama kali.

    Ferrari turut mengundang jurnalis dari ASEAN dalam acara tersebut sebagai prebiu untuk pasaran rantau tersebut. Walaubagaimana pun, tiada lagi pengumuman dibuat bila tarikh sebenar kereta sport dari Itali tersebut akan sampai ke Malaysia.

    Hanya jangkaan yang diberikan, di mana GTC4Lusso mungkin akan tiba untuk pasaran Asia Tenggara lewat tahun ini atau awal tahun hadapan. Harga untuk pasaran Malaysia juga masih lagi belum diumumkan memandangkan tempoh jangkaan tersebut dilihat masih jauh.

    Dalam majlis pelancaran tersebut juga turut ditampilkan model klasik 250 GT Berlinetta Lusso dan 330 GTC, di mana DNA pembinaan GTC4CLusso diambil terus dari kedua-dua buah Ferrari GT empat tempat duduk berkenaan.

    Ferrari-GTC4Lusso-Japan-premiere-52_BM

    Ferrari GTC4Lusso terus mengekalkan konfigurasi empat tempat duduk, pacuan semua roda dan bentuk badan jenis shooting brake sama seperti FF. Ia disasarkan untuk memenuhi kehendak pemandu yang mahukan Grand Tourer selesa tanpa mengorbankan prestasi sebuah Ferrari sebenar.

    Dimensi kereta ini diukur dengan 4,922 mm panjang, 1,980 mm lebar dan tinggi 1,383 mm. Pada bahagian luaran, ia menampilkan lampu hadapan baharu yang direka hampir seiras dengan lampu hadapan 488 GTB. Gril hadapan baharu dengan liang kemasukan bersepadu mampu untuk meningkatkan kecekapan pada unit radiator, begitu juga dengan liang udara pada kedua-dua fender hadapan yang diinpirasikan dari rekaan pada 330 GTC. GTC4Lusso dilengkapi dengan roda berdiameter 20-inci, dibalut dengan tayar berukuran 245/35R20 dihadapan dan 295/35R20 pada bahagian belakang.

    Bebanding FF, bahagian belakang FF dilengkapi dengan spoiler belakang baharu, diffuser tiga bahagian baharu, dan juga sepasang lampu belakang berkembar yang lebih segar. Rekaan semula ini memberikan rupa baharu untuk GTC4Lusso yang lebih menarik dan dinamik.

    Bahagian dalaman GT empat tempat duduk ini kekal dengan konsep mewah. Material dan kemasan yang digunakan juga adalah lebih premium dan lebih diperhalusi.

    Sistem infotaimen juga diperbaharui dengan skrin sesentuh bersaiz 10.25-inci, manakala susunan suis-suis kawalan utama pada papan pemuka juga direka semula agar ia lebih mudah untuk digunakan. GTC4Lusso turut menampilkan roda stereng yang lebih kecil, seiring dengan pemadanan beg udara yang turut dikecilkan.

    Nisbah mampatan pada enjin F140 6.3 liter V12 telah ditingkatkan kepada 13.5:1, membolehkan ia menjana sejumlah 680 hp pada takat 8,000 rpm dan tork maksima pada takat 5,750 rpm. Ini bermakna, nisbah mampatan yang dinaikkan tersebut mengekstrak 30 hp dan 14 Nm lebih dari angka asal pada FF.

    Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan F1 DCT, membolehkan GTC4Lusso memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat dan mencapai kelajuan maksima 335 km/j. Dengan berat keseluruhan 1,920 kg, kereta sport ini menggunakan 15 liter petrol untuk setiap 100 km perjalanan.

    Sistem pacuan empat roda 4RM turut dirombak semula. Ia kini dikenali sebagai 4RM-S di mana ia turut dilengkapi dengan sistem stereng semua roda.

    Ferrari GTC4Lusso turut dilengkapi dengan sistem Side Slip Angle Control, yang membolehkan pecutan lebih awal dilakukan semasa keluar dari selekoh di mana sistem tersebut menggabungkan kawalan dari unit differential elektronik (E-Diff) dan penyerap hentak aktif SCM-E.

     
     
  • Pemandu atau penunggang tanpa lesen akan terus dihadapkan ke mahkamah, kenderaan turut disita

    malaysian-driving-license-001_PTBM

    Awas bagi yang semua pemandu dan penunggang tanpa lesen memandu yang sah. Anda mungkin akan ditahan oleh pihak polis, dan terus didakwa di mahkamah atas kesalahan memandu/menunggang tanpa lesen!

    Pihak polis trafik tidak akan berkompromi dengan pemandu dan penunggang yang tiada lesen ini, tiada lagi sekadar memberikan saman kompaun seperti yang dipraktikkan sebelum ini, namun pesalah akan terus didakwa di mahkamah, laporan The Sun. Dilaporkan telah mula dikuatkuasakan sejak pertengahan bulan lepas, arahan terbaharu ini telah menyaksikan ribuan pemandu dan penunggang motosikal yang tidak berlesen telah didakwa di mahkamah.

    Langkah ini diambil berikutan peningkatan kes memandu/menunggang tanpa lesen sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Di mana polis telah menahan lebih daripada 630,000 pemandu/penunggang yang tidak memiliki lesen yang sah pada tahun 2014 dan 2015. Malah ia juga dikatakan sebagai penyumbang utama peningkatan kemalangan jalan raya pada setiap tahun.

    Mana-mana pemandu/penunggang yang didapati bersalah akan berhadapan dengan denda sehingga RM1,000 atau setahun penjara, atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan. Bahkan mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 90 untuk kesalahan memandu tanpa pelindungan insurans, yang dikenakan denda sehingga RM2,000 atau tiga bulan penjara, atau kedua-duanya sekali.

    Bercakap dengan akhbar berbahasa Ingeris itu, ketua polis trafik persekutuan SAC Mahamad Akhir Darus berkata penguatkuasaan ini disasarkan bagi mendidik mereka tentang bahayanya memandu/menunggang tanpa lesen yang sah. “Pemandu atau penunggang tanpa lesen ini tidak menjalani ujian atau latihan memandu secara formal. Maka mereka juga tidak tahu undang-undang trafik, tanda jalan atau pemanduan defensif,” ujarnya.

    polis operasi PT

    Sambungnya lagi, “Justeru, mereka bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya yang lain bahkan diri mereka sendiri. Penguatkuasaan ini bukanlah mahu membebankan mereka atau mengutip keuntungan. Tetapi mahu mendidik. Pasukan polis merupakan agensi penguatkuasaan dan bukannya untuk mengaut keuntungan.”

    Akhir turut menambah pihak polis tidak akan lagi mengeluarkan saman kompaun bagi kesalahan memandu/menunggang tanpa lesen, sebaliknya akan terus menyita kenderaan pesalah dan mengeluarkan surat perintah mahkamah secara serta merta.

    “Disebabkan mereka tidak mempunyai lesen, jadi adalah menyalahi undang-undang untuk membenarkan mereka terus menggunakan kenderaan tersebut. Jadi kami akan terus menyita kenderaan mereka. Bagi pemilik kenderaan terbabit, turut akan disaman sewaktu mereka mahu mengambil semula kenderaan itu. Saman berjumlah RM300 akan dikenakan bagi yang membenarkan pemandu/penunggang tanpa lesen memandu/menunggang kenderaan milik mereka.”

    Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengumumkan penguatkuasaan yang lebih ketat bakal diambil bagi kesalahan ini. Malah beliau turut berkata semua pengguna jalan raya harus mengambil serius akan perkara ini dan bertanggungjawab di jalan raya. “Banyak kemalangan jalan raya dan kematian adalah berpunca dari mereka yang tidak memiliki lesen,” ujarnya.

     
     
  • Peugeot 508 sedan baharu bakal diperkenalkan pada 2018, mungkin melibatkan perubahan besar – laporan

    Peugeot-508-GT-17

    Bagi peminat kereta sedan buatan Perancis dari jenama Peugeot, pasti berita ini akan menggembirakan anda. Menurut laporan yang disiarkan oleh Autocar, Peugeot bakal memperkenalkan model 508 generasi akan datang pada tahun 2018 ini. Walau bagaimana pun, sedan dari segmen-D ini mungkin jauh berbeza dengan model sedia ada.

    CEO Peugeot Maxime Picat baru-baru ini telah mengesahkan berita ini, malah turut mengakui jualan 508 begitu mencabar di beberapa pasaran Eropah. Walau pun jualannya agak memberangsangkan di beberapa negara termasuk Perancis, Sepanyol dan Belgium. “Persoalannya bukan,’adakah kita akan menggantikannya?’, sebab kami tahu memang sepatutnya ia dilakukan,” ujar Picat. Sambungnya, “Ada beberapa pasaran di Eropah yang menggalakkan dan mendatangkan keuntungan.”

    Peugeot_Exalt_Concept_001

    Peugeot Exalt Concept

    Apabila 508 baharu diperkenalkan di pasaran kelak, dijangka ia akan menerima penggayaan yang dipertingkatkan malah dari segi kejuruteraannya juga bakal dirombak bagi memberikan kelainan serta mampu bersaing dengan pesaing baharu. Mungkinkah ia bakal direka seperti model konsep Peugeot Exalt iaitu jentera coupe empat-pintu?

    “Persoalannya, adakah kami patut mengulangi rekaan saloon 4.8 meter yang sama atau pun tidak,” ujar Picat. “Kami melihat kereta bagi segmen ini makin kurang mendapat sambutan dan kami juga melihat adakah ia patut dilakukan perubahan, bagi memastikan jualannya masih boleh berlangsung.

    “Jika tidak melakukan perubahan, mungkin akan sukar untuk bersaing dengan model yang ada dalam segmen yang sama. Kami tidak mahu mengambil risiko yang besar, justeru kami mungkin perlu melakukan perubahan. Kami sudah mempunyai jalan penyelesaiannya tetapi ia masih perlu dirahsiakan sebagai kejutan untuk anda.”

    GALERI: Peugeot Exalt Concept

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025