Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • 1,708 kenderaan klon telah disita setakat ini – JPJ

    Cloned-cars-

    Berikrar mahu membanteras sindiket kenderaan klon hingga ke akar umbi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) nekad untuk meneruskan operasi mengesan kenderaan mewah klon tersebut. JPJ mendapati, ia masih lagi digunakan pengguna jalan raya di negara ini, laporan Bernama.

    Bercakap kepada pihak media semalam, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata pihaknya masih kekal komited dan operasi besar-besaran akan terus diadakan bagi mengesan pengguna yang masih berdegil menggunakan kereta klon tersebut.

    “Semua sedia maklum menggunakan kereta klon adalah salah. Justeru, kami nasihatkan semua pengguna kereta klon agar menyerahkan kenderaan mereka kepada pihak berkuasa sama ada JPJ atau PDRM, sebelum dikesan. Sekiranya dikesan, tindakan undang-undang akan diambil,” ujar Ismail.

    Katanya lagi, banyak kesalahan yang boleh diambil ke atas pemilik kenderaan klon ini termasuk ia tidak didaftarkan, penggunaan cukai jalan palsu, nombor pendaftaran palsu dan sebagainya.

    Jika disabit kesalahan, pengguna kereta klon boleh didenda sehingga RM50,000.

    “Namun sekiranya pemilik kenderaan klon menyerahkan kereta mereka, kita tidak akan ambil apa-apa tindakan. Sehingga kini sebanyak 1,708 buah telah disita dan saya yakin masih banyak lagi yang belum disita, dengan jumlah yang tidak diketahui. Mungkin 2,000 hingga 3,000 buah lagi,” sambungnya.

    Tambah Ismail, beliau yakin sindiket kereta klon akan dapat diselesaikan sepenuhnya selepas pelaksanaan Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang kini sedang dibangunkan.

     
     
  • Nissan NP300 Navara kini ditawar dengan aksesori Ironman 4×4 – pakej bermula RM11k hingga RM22k

    PressInvitation

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah menganjurkan Karnival Nissan 4WD di seluruh negara pada 14 Mei selama dua hari. Karnival ini memberikan peluang kepada orang ramai khususnya pemilik jentera 4×4 Nissan untuk sama-sama merasai pengalaman pemanduan Nissan NP300 Navara dan X-Trail. Malah pada penganjuran karnival ini, ETCM turut memperkenalkan aksesori eksklusif Ironman 4×4 untuk NP300 Navara.

    Ironman 4×4 merupakan jenama dari Australia yang menawarkan aksesori 4×4, malah ia telah menjadi pembekal untuk industri pertahanan untuk lebih 160 buah negara di seluruh dunia. Kini aksesori itu turut ditawarkan untuk Navara dan ia dijual di bawah Tan Chong and Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS). Pakej ini terbahagi kepada tiga (boleh dibeli secara berasingan), dan ia turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun/100,000 km.

    Pakej Challenger hadir dengan Ironman commercial deluxe bullbar, palang sel busa untuk hadapan, penyerap hentak sel busa untuk belakang, sepasang pegas gegelung untuk hadapan dan belakang dan ia ditawarkan pada harga RM11k. Manakala pek Challenger Plus pula, ditambah dengan pemijak sisi keluli dengan rel yang berharga RM15,500. Manakala bagi pakej Adventurer, ia menampilkan semua barangan yang disebut itu tetapi ditambah dengan bar pelindung, berharga RM22k. Kesemua harga termasuk GST.

    Nissan Navara dengan pakej Challenger (bullbar + kit suspensi)

    Untuk sesiapa yang ingin membeli NP300 Navara baharu yang dilengkapi dengan aksesori ini, ETCM kini sedang menawarkan diskaun promosi pengenalan sebanyak 15% untuk semua pakej. Malah ETCM berkata, pembelian aksesori ini akan dimasukkan sekali dalam pinjaman pembelian Navara baharu ini.

    Dalam karnival tersebut, turut diadakan pelbagai aktiviti termasuk demostrasi pemanduan lasak dan mencabar termasuk memberi peluang kepada pengunjung mencuba sistem pacuan empat-roda dan suspensi belakang multi-link.

    Selain itu, pelanggan yang menempah mana-mana model Nissan baharu dalam karnival tersebut juga berkesempatan menyertai peraduan “Tempah dan Menang” dan turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk TV LCD Sharp 40-inci dan banyak lagi. Sebagai tambahan, sepanjang Mei ini, mana-mana pelanggan yang membeli dan mendaftar kenderaan Nissan baharu, juga berpeluang memenangi satu juta mata ganjaran AirAsia Big. Karnival ini juga akan dilangsungkan di Kuching, Sarawak pada 21 hingga 22 Mei ini.

     
     
  • Kia Sorento generasi ketiga – tiga varian dengan pilihan enjin petrol dan diesel, harga bermula RM158k?

    Kia-Sorento-Drive-Jordan-21

    Kia Sorento generasi ketiga mungkin akan dilancarkan bila-bila masa sahaja tidak lama lagi, berikutan jangkaan yang diberikan sebelum ini iaitu pada Mei 2016. Kami baharu sahaja diberikan harga jangkaan dari penasihat jualan Naza Kia Malaysia yang mengatakan varian diesel akan dijual pada harga permulaan RM158k dan RM168k/RM178k untuk varian berbeza model petrol 2.4L. Sejumlah tiga varian bakal membarisi senarai pilihan model Sorento di Malaysia.

    Kehadiran model diesel dalam pasaran Malaysia merupakan berita yang dialu-alukan, memandangkan generasi Sorento XM terdahulu yang hanya hadir dengan enjin petrol di Malaysia, membolehkan Hyundai Santa-Fe menggunakan enjin diesel ‘R’ 2.2 liter CRDi (berkuasa 197 hp/436 Nm pada Hyundai) dari Korea tersebut secara bersendirian.

    Walaubagaimana pun, tidak seperti Santa Fe yang meletakkan varian diesel sebagai varian tertinggi, Kia nampaknya mengambil langkah bertentangan dengan meletakkan varian diesel sebagai varian rendah dan petrol sebagai varian tetinggi.

    Walaupun tiada lagi contoh enjin CRDi tersebut dipasangkan pada mana-mana model Sorento di Malaysia sebelum ini, tetapi ianya telah terbukti pada dua generasi terdahulu Hyundai Santa Fe pasaran Malaysia. Kedua-dua enjin diesel dan petrol tersebut bakal dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik torque converter.

    Kia Sorento generasi ketiga mula diperkenalkan di Korea pada Ogos 2014. Ia mempunyai dimensi yang sangat besar berbanding SUV segmen-C yang lain. SUV ini diukur 4,780 mm panjang, 1,890 mm lebar dan jarak roda keseluruhan 1,890 mm. Jika diambil Honda CR-V sebagai kayu ukur, Sorento adalah 190 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan mempunyai jarak roda 160 mm lebih panjang.

     
     
  • 3.5 juta pengguna jalan raya dikesan tiada lesen – JPJ

    jpj roadblock-2

    Baru-baru ini, ketua polis trafik persekutuan SAC Mahamad Akhir Darus telah mengeluarkan kenyataan, pihak polis trafik tidak akan berkompromi dengan pemandu dan penunggang yang tiada lesen ini. Malah tiada lagi sekadar memberikan saman kompaun seperti yang dipraktikkan sebelum ini, namun pesalah akan terus didakwa di mahkamah.

    Berikutan mengenai isu yang agak panas ini, semalam Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob berkata kira-kira 3.5 juta pemandu/penunggang di negara ini dikesan tidak mempunyai lesen memandu. Laporan Utusan Malaysia itu turut menyebut daripada jumlah tersebut, sebanyak 70% daripadanya adalah pengguna jalan raya di kawasan luar bandar.

    “Malah kebanyakan yang kita kesan adalah pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah. Selain berhadapan dengan risiko bahaya, jika berlaku kemalangan, pastinya mereka tidak dapat membuat tuntutan insurans,” ujarnya selepas Majlis Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJPJ) dan Mylesen Daerah Pokok Sena di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena yang berlangsung semalam di Kedah.

    Dalam masa yang sama Yusoff turut berkata, program SKSJPJ yang diperkenalkan sedikit sebanyak memanfaatkan golongan ber­kenaan terutama pelajar sekolah dan warga emas yang tidak mempunyai lesen.

    Katanya, “SKSJPJ merupakan salah satu program MyLesen. Seramai 93,461 orang termasuk warga emas telah mengambil bahagian dalam program ini. Setakat ini ia telah dianjurkan sebanyak 234 kali di seluruh negara.”

    Program MyLesen bagi tahun ini mensasarkan lebih 170,000 belia khususnya pelajar sekolah di seluruh negara untuk memiliki lesen motosikal kelas B2 (kapasiti enjin di bawah 250 cc).

    Ia dilaksanakan bersama-sama institusi serta akademi memandu yang mengambil bahagian, merupakan lanjutan komitmen kerajaan melalui JPJ berdasarkan konsep merakyatkan perkhidmatan awam.

    Program dengan slogan ‘1 Rakyat 1 Lesen’ itu menyasarkan golongan belia yang belum memiliki lesen memandu sah dan terdiri daripada mereka berumur 16 tahun ke atas di bandar dan luar bandar.

    Bayaran bagi mendapatkan lesen di bawah program berkenaan hanya RM299 berbanding kadar biasa iaitu dalam lingkungan RM350 dan ke atas.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Persona 2016 – muncul di khalayak

    2016-proton-persona-iriz-sedan-5

    Wah! Nampaknya Proton Persona 2016 seakan sedang menanti detik untuk dilancarkan pada tahun ini. Pastinya selepas pelancaran Proton Perdana 2016. Foto dari pembaca paultan.org Arvin R ini telah dirakamkan di sekitar Kuala Lumpur.

    Model Iriz versi sedan ini dikesan sedang menjalani pengambaran video/foto di tempat awam. Nampak jelas ia dibangunkan berdasarkan Iriz. Jelas kelihatan tiang-A pada suku daripada bahagian tingkapnya, cermin sisi dan roda 14-inci yang diadaptasikan daripada hatchback segmen-B itu.

    Boleh dikatakan kebanyakan visual yang dilihat nampak unik untuk model baharu, termasuk bahagian hadapan yang lebih mempersona dengan kehadiran lampu utama reflektor (dengan grafik yang agak sarat), gril krom yang kelihatan ‘terapung’ lebih kurang seiras dengan Honda Civic serta rekaan bampar bawah yang dipertingkatkan. Tidak dinafikan ia kelihatan tampan, terutamanya di bahagian hadapannya.

    2016-proton-persona-iriz-sedan-1

    Di bahagian belakangnya pula, kelihatan sideblade Iriz pada bahagian bawah pintunya, namun ia telah dipanjangkan melepasi roda belakang, hingga ke kawasan bampar belakang. Garisan berkarakter halus pada gerbang roda belakang telah melunjur ke lampu belakang berbentuk-badam baharu, yang dipasang sedikit tinggi di bahagian butnya yang pendek.

    Apa yang jelas kelihatan pada model yang merupakan varian asas ini ialah, pemegang pintunya yang tidak dicat seperti warna badan, cermin sisi, tiang-B sama warna dengan badan dan roda yang kecil. Mungkin untuk varian yang lebih tinggi, elemennya akan lebih menarik, termasuk sama ada lampu kabus atau lampu nyalaan siang LED di hadapan.

    Enjin Iriz 1.3 liter dan 1.6 liter VVT dijangka akan dipadankan bagi Proton Persona 2016 yang bakal dilancarkan ini, namun kita akan tahu lebih banyak perinciannya menjelang masanya. Jadi, apa pendapat anda mengenai Persona 2016? Kongsikan komen anda bersama kami.

     
     
  • Dasar AP Terbuka disemak untuk 2017 – peraturan dan syarat baharu untuk pemegang AP diumumkan

    Toyota Alphard Wald-01

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dasar AP Terbuka. Di mana pada 23 Disember 2015, kerajaan telah mengumumkan untuk meneruskan pelaksanaan dasar AP Terbuka dengan beberapa penambahbaikan mulai awal tahun 2017.

    Menerusi dasar baharu ini, ia bakal merangkumi syarat-syarat kelayakan memohon, syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebagai syarikat AP Terbuka, prosedur permohonan dan tindakan ke atas syarikat yang melanggar syarat.

    Di mana terdapat empat syarat kelayakan untuk memohon menjadi syarikat AP Terbuka telah diumumkan. Pertama, ia mestilah Syarikat Sdn. Bhd. yang berstatus 100% Bumiputera. Syarikat pemegang AP Terbuka sedia ada perlu memohon semula sebagai syarikat AP Terbuka.

    Kedua, syarikat tersebut mestilah yang mempunyai pengalaman dan sedang beroperasi dalam bidang penjualan dan pengedaran kenderaan (kereta, motosikal dan kenderaan perdagangan) iaitu minimum dua tahun.

    autowp.ru_toyota_estima_aeras_1

    Selain itu, syarikat berkenaan juga telah sedia ada memiliki kemudahan ruang pejabat dan bilik pameran yang bersesuaian.

    MITI turut menetapkan bahawa syarikat itu perlu mempunyai keupayaan dari segi pengurusan dan kewangan untuk menjalankan perniagaan pengimportan, pengedaran dan penjualan kenderaan yang diimport melalui AP Terbuka.

    Bagi mana-mana syarikat yang berkelayakan untuk memohon AP Terbuka bagi tahun 2017, permohonan akan dibuka mulai 23 Mei 2016 hingga 21 Jun 2016. Borang permohonan rasmi dan dokumen sokongan yang lengkap diterima dalam tempoh ini akan dinilai dari segi kelayakan melalui proses pengauditan oleh juru audit bertauliah bebas.

    MITI turut menegaskan, sebarang permohonan yang dikemukakan di luar tempoh yang dinyatakan ini tidak akan dipertimbangkan. Bagaimanapun, pemohon yang masih berminat boleh memohon menjadi syarikat AP Terbuka apabila permohonan dibuka semula pada tahun berikutnya.

    Maklumat lanjut mengenai dasar baharu AP Terbuka dan permohonan berkaitan boleh didapati di dokumen dibawah.

     
     
  • SPYSHOT : Volkswagen Passat diuji di Malaysia

    13214984_10153597473541299_1866391405_o_BM

    Volkswagen Passat B8 dilihat diuji diatas jalan raya Malaysia. Gambar-gambar spyshot yang kami terima ini adalah sumbangan Mohammad Aiman bin Hamzah (dengan dua lagi gambar di siarkan oleh Ridzuan Raslan di grup Facebook VW Passat & CC Owners Malaysia), menandakan pemasangan sedan terbaharu VW tersebut akan bermula di kilang DRB-Hicom Pekan, dan akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

    Dua model dilihat di sini, di mana nama varian kedua-duanya diberikan berdasarkan jumlah tork yang dihasilkan oleh enjinnya untuk pasaran Asia. Spesifikasi rendah diberi lencana 330 TSI dan dikuasakan dengan enjin petrol turbo 1.8 liter empat-silinder berupaya menghasilkan 160 PS dan tork maksima 330 Nm.

    Sebuah lagi model ialah varian 380 TSI yang menerima enjin turbo petrol 2.0 liter TSI yang mampu menjana 220 PS dan tork 380 Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DSG, enam-kelajuan untuk 330 TSI dan tujuh-kelajuan untuk 380 TSI.

    13227203_10208135778024506_7608509817770219503_n-2_BM

    Model 380 TSI dibezakan dari model 330 TSI dengan roda aloi ‘Dartford’ yang lebih besar berdiameter 18-inci (model 330 TSI menerima roda aloi ‘Istanbul’ 17-inci), dan juga bampar belakang dengan rekaan unik menempatkan perumah tip ekzos berkembar. Kedua-dua model ini tidak dipadankan dengan lampu belakang ‘smoked‘ seperti yang ditunjukkan pada model diesel varian tinggi yang dipamerkan pada acara Das Auto 2014, sebalikya hanya dipadankan dengan lampu berwarna merah, namun masih lagi menggunakan teknologi LED.

    Passat dibina diatas platform MQB, dan walaupun mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding generasi B7 sedia ada, jarak roda pada generasi terbaharu ini telah dipanjangkan lebih 79 mm menjadikannya sepanjang 2,791 mm, memberikan ruang kelegaan kaki dan kepala yang lebih besar. Bahagian kargo juga telah dibesarkan dengan 21 liter kapasiti tambahan dan menjadikan kapasiti keseluruhan berjumlah 586 liter, manakala berat badan keseluruhan juga telah dikurangkan sebanyak 85 kg melalui penggunaan bahan binaan dan enjin yang lebih ringan.

     
     
  • Warna Soul Red Mazda mengambil masa untuk di cat untuk CKD, mungkin hanya ditawar sebagai opsyen

    mazda3-sedan-australia

    Bagi mereka yang berkunjung ke bilik pameran Mazda dan bertanyakan model Mazda CKD seperti Mazda 3 atau Mazda CX-5, anda mungkin perasan warna signatur Soul Red Mazda tidak lagi tersenarai dalam pilihan. Semasa acara pelancaran Warna Trend Automotif 2016/2017 semalam, Nippon Paint – pembekal cat untuk operasi CKD Mazda dan pencipta warna Soul Red tersebut akhirnya mendedahkan mengapa warna itu digugurkan.

    Apabila ditanya oleh pihak paultan.org,penolong pengurus besar untuk pemasaran penggunaan industri (IU) Ong Eng Keong berkata, empat lapisan cat metalik yang perlu disembur pada badan kereta membuatkan produktiviti di kilang Inokom Kulim (di mana pihak Bermaz memasang unit CKD Mazda di Malaysia) terencat.

    “Dalam proses pemasangan CKD Mazda, Soul Red tidak menjadi pilihan untuk mereka kerana warna berkenaan memerlukan sistem semburan empat lapis,” kata beliau. “Dengan semburan sebanyak empat kali, ini bermaksud anda telah kehilangan separuh dari produktiviti, kerana kereta tersebut perlu masuk kedalam oven sebanyak tiga kali.”

    Walaubagaimana pun, Ong turut membayangkan pembeli mungkin boleh memilih warna tersebut sebagai pilihan opsyen pada masa akan datang, tetapi mereka tidak boleh menaruh harapan terlalu tinggi. “Bermaz sedang mengkaji untuk menjadikan Soul Red sebagai pilihan opsyen untuk model CKD, tetapi mereka belum mengesahkannya lagi,” sambung beliau.

     
     
  • GALERI: Honda Civic – gen-10 FC vs gen-9 FB

    Honda-Civic-New-vs-Old-1

    Sudahkan anda membaca ulasan kami mengenai Honda Civic 2016 iaitu model generasi ke-10, yang bakal memberikan persaingan sengit buat Toyota Corolla Altis dan Mazda 3? Kali ini kami membawakan pula galeri foto perbezaan antara Civic generasi ke-sembilan (gen-9) dan versi terbaharunya, generasi ke-10 (gen-10).

    Peningkatan yang ketara pada Civic gen-10 berbanding Civic gen-9 kelihatan di kebanyakan sudut. Ia memberikan perubahan gaya yang lebih segar dan menarik, malah lebih mudah menambat pandangan. Gabungan sporty dan elegen dipertaruhkan, iaitu ciri sporty pada Civic gen-8 telah diturunkan sedikit buat gen-10 ini. Manakala ciri elegan daripada Civic gen-9 turut ditampilkan, menjadikan bancuhan rekaan yang lebih berkarakteristik buat Civic gen-10 ini.

    Bukan setakat imej yang ditampilkan, bagi FC, ia juga memiliki ukuran yang lebih panjang iaitu dengan 4,630 mm dan selebar 1,799 mm iaitu 105 mm lebih panjang dan 44 mm lebih lebar berbanding FB. Walau bagaimana pun, bagi ketinggiannya, FC telah diturunkan sedikit sehingga 199 mm iaitu hanya 1,416 mm untuk mendapatkan penampilan yang lebih bergaya. Bagi jarak rodanya pula, sebanyak 30 mm telah dikurangkan dari FD ke FB iaitu FC kini hanya 2,698 mm.

    Honda-Civic-New-vs-Old-5

    FB merupakan evolusi dari FD, yang membawakan bentuk monoform yang radikal bagi gen-8 itu. Seperti FD yang diperkenalkan pada tahun 2006, Civic terbaharu ini menampilkan bentuk yang lebih kurang sama. Dengan gaya ala-Fastback, bumbung yang landai dan panel terbentuk sporty, rekaan Civic 2016 ini lebih mudah menarik perhatian.

    Khas untuk anda, ini galeri foto FC vs FB yang dirakamkan berlokasi Tha Phae Gate, Chiang Mai. Civic 2016 ini bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi, dan kini tempahannya juga telah mula dibuka.

    Sedikit perincian bagi Civic gen-10 spesifikasi pasaran Malaysia ada di SINI, dan jangan lupa baca ulasan pandu uji kami untuk varian 1.8 NA dan 1.5 Turbo.

    GALERI: Honda Civic 1.5 Turbo RS, Spesifikasi Thai

     
     
  • Toyota Corolla model ulang tahun ke-50 untuk Jepun

    Toyota-Corolla-Axio-50th-Anniversary-edition-1-e1463115764805

    Sebagai meraikan ulang tahun yang ke-50 Toyota Corolla iaitu dilahirkan pada tahun 1966, model edisi istimewa Toyota Corolla Fielder dan Axio telah pun dilancarkan di Jepun.

    Bagi Toyota Corolla Axio, model edisi istimewa ini menampilkan paten berbintik-bintik baharu dengan gril haksagon yang rendah di samping kekemasan gelap pada gril atas, lampu utama LED Bi-Beam, lampu belakang LED, pelindung lumpuh (mudguard) sisi dan logo belakang. Selain itu, ia turut didatangkan dengan rim aloi 16-inci, sementara varian pacuan empat-roda pula rim aloi 15-inci.

    Di dalamnya, Corolla Axio didatangkan dengan tempat duduk balutan kombinasi kulit sintetik dan fabrik. Sementara jahitan kontras berwarna putih turut boleh didapati pada tempat duduk, warna hitam pekat pada roda stereng dan tombol gear.

    Bagi Toyota Corolla Fielder, elemen istimewa yang ditampilkan termasuklah garisan merah pada gril haksagon dan lampu utama LED Bi-Beam. Di dalamnya, ia menerima tempat duduk hadapan upholstery dengan kombinasi fabrik dan kulit sintetik. Sementara jahitan kontras berwarna merah dan kekemasan merah turut ditampillkan pada corong udara dan dail instrumen.

    Bagi penjana kuasanya, Corolla Fielder dan Axio edisi istimewa ini ditawarkan dengan enjin petrol 1.5 liter atau hibrid 1.5 liter. Kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear automatik Super CVT-i. Harga bagi Corolla Fielder model ulang tahun ini bermula dua juta yen hingga 2.4 juta yen (RM75k-RM89k) dan Corolla Axio pula dari 1.9 juta yen hingga 2.3 juta yen (RM73k-RM88k).

    GALERI: Toyota Corolla Axio edisi ulangtahun ke-50

    GALERI: Toyota Corolla Fielder edisi ulangtahun ke-50

     
     
  • Volvo siar imej teaser model konsep XC40 – bakal ditayangkan sepenuhnya pada 18 Mei ini

    Volvo-V40-Concept-2-e1463106112998_BM

    Volvo telah menyiarkan imej teaser untuk SUV paling kecil dalam barisan SUV mereka iaitu Volvo XC40, dalam bentuk imej Snapchat. Model konsep tersebut dijadualkan akan ditayangkan sepenuhnya di ibu pejabat Volvo, Gothenburg, Sweden pada 18 Mei ini. Model konsep V40 hatchback generasi baharu turut dijangka akan ditayangkan sekali dimana produksi sebenarnya dijangka akan dilancarkan pada 2017.

    Gambar tunggal pada bahagian hadapan dengan kapsyen “not your daddy’s Volvo” di Snapchat, menunjukkan rekaan hadapan yang lebih radikal berbanding model S90/V90 dan XC90, di mana model ini disasarkan untuk pasaran pemandu yang lebih muda.

    Lampu hadapan LED “Tukul Thor” Volvo masih ditampilkan, dipadankan dengan gril hadapan berbentuk trapezoid berbanding gril segi empat pada model-model lain, dan dikelilingi kemasan hitam berkilat berbanding krom sebelum ini.Bonet hadapan juga kini direka seperti kulit kerang yang nampak lebih sasa.

    Model siri-40 terbaharu Volvo dibina diatas platform Compact Modular Architechture (CMA) baharu, iaitu versi lebih kecil platform Scalable Product Architecture (SPA) yang digunakan oleh S90, V90 dan XC90 terbaharu. Platform terbaharu ini akan menamatkan kebergantungan Volvo terhadap Ford, dimana V40 sedia ada dibina berasaskan platform Global C yang turut digunakan pada Ford Focus.

    Kereta baharu ini (termasuk model sedan yang juga dikhabarkan akan dibina) dijangka akan menggunakan enjin Drive-E 2.0 liter empat silinder dan juga enjin 1.5 liter turbo tiga silinder petrol dan diesel. Model ini juga berkemungkinan akan dikuasakan dengan enjin T5 Twin Engine plug-in hybrid berkuasa 180 hp dari enjin tiga-silinder dan digabungkan dengan motor elektrik 55 kW, menghasilkan kuasa keseluruhan 250 PS dengan tork maksima hampir 400 Nm dialirkan kepada kotak gear klac berkembar.

     
     
  • Produksi Toyota FJ Cruiser akan ditamatkan Ogos ini

    toyota-fj-cruiser-01_BM

    Toyota akhirnya mengesahkan SUV dengan rekaan retro (seperti model lagenda Toyota Land Cruiser BJ40) akan ditamatkan pada Ogos ini setelah berada dalam pasaran selama 10 tahun.

    Model yang pada mulanya dibina untuk pasaran Amerika Utara tersebut, telahpun dihentikan penjualannya pada 2014 dengan kumpulan terakhir dijual dalam bentuk edisi peringatan Trail Teams Ultimate Edition, hanya terhad kepada 2,500 unit di Amerika Syarikat. FJ masih lagi dijual di pasaran lain seperti Timur Tengah dan Australia.

    FJ Cruiser dibina berasaskan Land Cruiser Prado yang dipendekkan dan hanya ditawarkan dengan pilihan enjin tunggal V6 4.0 liter NA 1GR-FE yang turut menjana Toyota Tacoma dan Toyota Tundra. Kuasa pada enjin tersebut diperbaharui tahun demi tahun dengan jumlah terakhir dicatatkan pada versi pasaran Australia sekarang ini berjumlah 268 hp dan tork maksima 380 Nm.

    FJ ditawarkan dengan pilihan pacuan dua roda dan empat roda. Untuk pacuan dua roda, ia dipadankan dengan roda kotak gear sama ada lima-kelajuan automatik atau enam-kelajuan manual, manakala untuk versi pacuan empat roda ia hanya hadir dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Kelengkapan dan spsesifikasi juga turut berubah dari tahun ke tahun, dan versi terakhir FJ dilengkapi dengan ciri-ciri yang agak komprehensif.

    Versi terakhir pasaran Australia juga menyaksikan FJ Cruiser dilengkapi dengan penderia parkir belakang, lampu kabus belakang, kaca privasi, kawalan kelajuan, penghawa dingin, roda stereng premium dengan suis kawalan audio, paparan pelbagai informasi, sistem audio dengan lapan pembesar suara, enam beg udara dan kamera undur dengan paparan pada cermin pandang belakang electro-chromatic.

     
     
  • Nippon Paint lancar palet warna trend automotif 2016/2017 untuk Asia, ramal warna trend akan datang

    Nippon-Paint-Asian-Palette-2016-2017-5_BM

    Nippon Paint secara rasminya telah melancarkan Warna Trend Automotif tahun 2016/2017 untuk asia, iaitu palet warna yang menjangkakan warna yang akan menjadi trend untuk industri automotif untuk dua tahun yang akan datang. Carta warna tersebut akan digunakan sebagai rujukan untuk pengeluar kereta dan motosikal (contohnya Proton dan Perodua) dan juga mereka yang terlibat dalam industri cat badan kenderaan seperti bengkel mengecat dan kedai menjual cat kenderaan.

    Cat adalah antara faktor yang menaikkan rupa sesebuah kenderaan, dan pereka kereta menghabiskan banyak masa untuk menyesuaikan warna pada rekaan yang dibuat mereka agar ia kelihatan betul-betul menyerlah.

    Nippon Paint adalah antara nama besar dalam penghasilan cat kenderaan. Antara hasil yang terkenal dari jenama cat dari Jepun ini termasuklah warna signatur untuk rekaan ‘Kodo Soul of Motion‘ Mazda iaitu Soul Red, yang dihasilkan dengan empat lapis cat metalik yang menggunakan proses refleksi pelbagai lapisan untuk memberikan hasil akhir sedemikian. Niipon Paint juga berperanan sebagai pembekal cat untuk Proton dan Perodua, dan juga untuk kilang pemasangan tempatan Toyota, Honda, Nissan, Hyundai dan Kia.

    “Sebagai peneraju dalam innovasi warna dan fokus kami dalam pasaran Asia, kami di Nippon Paint memperkenalkan warna-warna ini yang akan menjadi trend untuk tahun-tahun yang akan datang,” kata penolong pengurus besar permasaran Alex Young.

    “Kami faham yang kereta bukan sahaja direka sebagai pegangkutan semata-mata tetapi ia juga mencerminkan personaliti dan melambangkan kejayaan kita dalam kehidupan. Sama seperti cat hiasan, warna untuk automotif juga boleh dijadikan platform untuk menunjukkan ekpresi diri dan ini merupakan perkara yang penting untuk pengguna kami.”

    Senarai warna 2016/2017 dibuat berdasarkan Bengkel Ramalan Warna ChromaZone Asia Pasifik yang diadakan oleh Nippon Paint dengan kerjasama Colour Marketing Group iaitu organisasi yang ditubuhkan untuk mengenalpasti trend warna dan rekaan. Sejumlah 80 orang professional dalam bidang rekaan dari seluruh Asia termasuk mereka dari Proton dan Perodua telah menghadiri bengkel yang diadakan untuk menghasilkan palet yang benar-benar untuk masyarakat Asia.

    Nippon-Paint-Asian-Palette-2016-2017-41_BM

    Untuk 2016 dan 2017, palet tersebut terdiri dari 39 warna kemasan akhir solid, metalik, kristal dan mutiara, yang diasingkan ke dalam tema berbeza iaitu Wonder-Lust, New Eco dan We Are One – yang mana ia akan menyaring budaya masyarakat Asia, cara hidup dan trend ke dalam palet warna yang unik untuk Asia. Sebahagian warna-warna yang akan ditawarkan untuk model-model Proton dan Perodua akan datang juga terkandung dalam palet tersebut.

    Tema Wonder-Lust dikatakan akan mencerminkan “sifat semangat dan bertenaga” pemiliknya, menampilkan warna yang memberikan keseimbangan antara tenaga dan keranggian, melambangkan keyakinan dan gaya hidup yang aktif.

    Manakala untuk New Eco pula, ia bersesuaian dengan namanya, yang akan memberikan rupa paras yang lebih bersifat mesra alam. Palet untuk tema ini menggabungkan warna gelap, tona yang mencerminkan alam sekitar seperti biru, hijau dan putih yang didakwa Nippon Paint akan menghasilkan barisan warna yang lebih matang untuk kereta mewah dan hibrid.


    Cat clear Nippon Paint Nax Crystal 9905 (kiri) berbanding cat clear biasa clear coat (kanan)

    Akhir sekali, We Are One yang dikhaskan untuk menunjukkan kontras antara sifat individu dan perhubungan – mencerminkan kebangkitan teknologi sebagai alat untuk menghubungkan masyarakat – dan menampilkan warna yang lebih konservatif untuk mengatasi trend dan musim. Oleh itu, tema ini merupakan tema yang paling versatil berbanding yang lain.

    “[Kami percaya] yang barisan warna automotif kami adalah lebih dari sekadar warna. Ia memainkan peranan penting disebalik teknologi cat kami untuk memberikan warna yang memukau dengan fungsi yang terbaik,” kata Young.

    Selain dari palet warna 2016/2017, Nippon turut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan cat clear Nax Crystal 9905 dengan teknologi CyGlaz. Disasarkan untuk pasaran cat semula, ia menampilkan struktur molekul yang lasak di dalam ketumpatan yang tinggi dan dihubungkan secara bersilang, menghasilkan lekatan cat filem yang tinggi membolehkan ia lebih kalis calar, bahan kimia dan petrol, serta berkebolehan untuk pulih sendiri (seperti calar halus) dan kemasan berkilat seperti imej cermin yang lebih lembut.

     
     
  • Euro 5 beri manfaat kepada Malaysia – Wan Junaidi

    Shell FuelSave Euro 5 Diesel-6

    Implementasi standard pelepasan Euro 5 untuk kereta penumpang dan kenderaan komersial ringan dijangka akan memberikan manfaat kepada Malaysia dalam masa terdekat, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penggunaan Euro 5 ini menggalakkan penggunaan bahan api yang ditapis, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon.

    “Ia akan mengikut standard pelepasan Eropah di mana ia mendefinisikan had yang dibenarkan untuk pelepasan asap kenderaan yang bertujuan meningkatkan kualiti udara dan kesihatan. Kerajaan telah memutuskan untuk mengimplementasikan standard ini secara berperingkat dengan Euro 5 dilaksanakan menjelang 2025.

    “Walau bagaimana pun ia memerlukan beberapa penyesuaian terutama oleh para pemain industri,” ujarnya kepada wakil media selepas menyampaikan ucapan pada seminar anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia semalam.

    Seminar bertajuk “11th Malaysia Plan – Realising Green Growth: Sustainable and Resilient Infrastructure as the Game Changer” diadakan selepas pelancaran MyCREST, perkakasan rating kemampanan bertujuan untuk mengukur dan mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor pembinaan.

     
     
  • Honda Thailand buka kilang baharu di Prachinburi

    Honda-Prachinburi-Thailand-01

    Honda Automobile Thailand telah merasmikan pembukaan kilang baharunya yang terletak di Kawasan Perindustrian Rojana di daerah Prachinburi. Perasmian ini telah disempurnakan oleh timbalan perdana menteri Thailand Dr.Somkid Jatusripitak, duta Jepun ke Thailand Shiro Sadoshima dan Takahiro Hachigo selaku presiden dan CEO Honda Motor Co Ltd.

    Kilang serba baharu ni dilengkapi dengan pelbagai teknologi produksi mesra-persekitaran dan efisien terkini, yang bakal mempertingkatkan keupayaan syarikat ini di dalam menghasilkan produk terbaik bagi pelanggannya di Thailand dan negara lain. Ini merupakan kilang keempat terbesar Honda dan ia mampu menghasilkan 360,000 unit kenderaan setahun.

    Dengan konsep “menyampaikan produk berkualiti dengan keseimbangan optimum hasil kerja tangan manusia dan memajukan teknologi pengeluaran,” Prachinburi turut mengadaptasi teknologi terkini Honda. Ini termasuklah Assembly Revolution Cell yang merupakan teknologi mesra-alam dari kilang Honda di Yorri, iaitu kilang syarikat itu yang paling maju di Jepun.

    Kilang Prachinburi juga telah memulakan produksi bagi model pertamanya iaitu Civic generasi ke-10 pada Mac, diikuti dengan komponen plastik dan enjin masing-masing pada Oktober 2015 dan Februari 2016. Kilang tersebut juga merancang untuk memproduksi model sub-kompak dan kompak pada masa hadapan.

    “Thailand telah mempertingkatkan keupayaannya sebagai salah satu hab produksi Honda dengan membekalkan produk dan komponen bukan setakat untuk pasaran tempatan tetapi ke seluruh dunia termasuk negara Asia, di mana ia memacu pertumbuhan jualan global. Saya sangat komited dengan peranan Thailand yang akan menjadi antara kilang terpenting kami selain menggunakan pelbagai teknologi produksi terkini kami,” ujar Hachigo.

    Kami telah memandu uji model pertama yang dihasilkan oleh kilang ini iaitu Honda Civic 2016. Baca ulasan Civic 1.5L Turbo dan 1.8L untuk mengetahui tentangnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025