Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • ETCM tawar bantuan untuk pemilik Nissan yang terjejas akibat banjir di Kuala Lumpur minggu lalu

    AlmeraFL_Nismo_Ext_04

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dengan kerjasama Tan Chong Express Auto Service Centre (TCEAS) telah mengumumkan Program Bantuan Banjir Nissan untuk semua pelanggan yang kenderaannya terlibat dengan banjir kilat di Lembah Klang pada Khamis lalu.

    Program ini bagi membantu para pemilik yang kenderaan Nissan mereka mengalami kerosakan akibat banjir kilat yang berlaku di beberapa jalan utama di ibu kota iaitu di Jalan Duta, Jalan Pantai Bahru, Jalan Semantan, Jalan Bangsar dan Jalan Pudu.

    Ia berlangsung serta merta sehingga 30 Jun ini dengan menawarkan 25% diskaun untuk semua alat ganti tulen Nissan, 25% diskaun bagi kos buruh, khidmat tunda percuma sehingga RM150 dan pemasangan upholstery dengan kadar istimewa iaitu RM1,590 (termasuk GST).

    “Beribu penduduk di sekitar Lembah Klang terjejas akibat banjir kilat yang berlaku pada Khamis lalu. Kami di ETCM berusaha untuk membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mangsa. Kami menyeru para pemilik kenderaan Nissan yang terbabit dengan bencana alam ini segera menghantar kenderaan masing-masing ke pusat servis bertauliah Nissan untuk pembaikian,” ujar Tan Keng Meng, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM.

    Untuk maklumat lanjut mengenai Program Bantuan Banjir Nissan ini, para pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1800-88-3838.

     
     
  • Honda panggil balik lagi 21 juta kenderaan di seluruh dunia ekoran masalah beg udara Takata – laporan

    Honda airbag

    Honda dalam perancangan untuk memanggil balik lagi 21 juta kenderaan di seluruh dunia untuk menukar beg udara yang dibekalkan oleh Takata. Ia diumumkan oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Jalan Raya Negara Amerika Syarikat (NHTSA), di mana program panggil balik itu adalah disebabkan kegagalan pengepam beg udara buatan Takata.

    Dengan peningkatan jumlah kenderaan yang terlibat dalam program balik ini, setakat ini ia telah melibatkan sehingga 51 juta unit. Pembuat kereta berkenaan juga sedang dalam proses mengenalpasti semua beg udara yang terjejas yang dibekalkan oleh Takata. Malah Honda turut telah menggugurkan pembekal beg udara tersebut untuk semua model sejak November 2015.

    Dalam laporan yang disiarkan oleh The New York Times, Tetsuo Iwamura, timbalan eksekutif presiden dan pegawai eksekutif Honda, bagaimana pun tidak mendedahkan jumlah kenderaan yang terlibat di Amerika Syarikat atau lain-lain negara. Sementara itu, laporan Australia Drive berkata Honda Australia juga akan mengumumkan lebih banyak panggilan semula ini jika diperlukan.

    Sehingga kini, terdapat 13 kematian telah diumumkan di seluruh dunia akibat kegagalan beg udara Takata ini, termasuk dua kes yang berlaku baru-baru ini di Malaysia. Takata dijangka akan melaporkan jumlah kenderaan yang terjejas, dalam masa terdekat ini, laporan BBC.

     
     
  • Nissan GT-R akan datang mungkin tampil dengan penjana kuasa pengelektrikan – laporan

    nissan_ny2016_09-e1458787586373-1

    Ketua Pegawai Kreatif Nissan, Shiro Nakamura, telah mendedahkan GT-R serba baharu bakal ditampilkan dengan penjana kuasa yang dihibridkan atau yang dikacukkan.

    Dilaporkan menerusi autonews.com, kerja-kerja pembinaan bagi model facelift GT-R 2017 yang dipertontonkan di New York International Auto Show (NYIAS) 2016 telah pun berjalan lancar buat setakat ini. Ia akan menampilkan gaya yang direka semula sepenuhnya dengan peningkatan ciri aerodinamik, menurut Nakamura.

    Malah beliau turut memberitahu, Nissan telah memodifikasi ketinggian dan kelebaran jentera itu bagi memberikan ciri yang lebih baik. Bukan itu sahaja, setiap perubahan yang dilakukan adalah untuk mempertingkatkan lagi prestasi supercar tersebut.

    2017_nissan_gtr_29-e1458787640448-1

    Malah rekaan gayanya juga diberi keutamaan, malah Nakamura percaya GT-R sedia ada iaitu sejak 2007 lalu, sudah nampak agak ketinggalan, walau ia tidak dipengaruhi oleh model lain. Nakamura turut berkata, jika Nissan tidak tampil dengan rekaan yang lebih “menarik perhatian untuk mencipta trend terbaharu, ia akan nampak ketinggalan”. Jadi pastinya GT-R baharu ini akan menampilkan kelainan.

    Selain itu, salah satu matlamat utamanya ialah mempertingkatkan penjimatan bahan api bagi enjin biturbo 3.8 liter V8, di mana menurut Nakamura, ia mungkin akan ditampilkan dengan enjin pengelektrikan bagi membuatkan GT-R baharu ini lebih berprestasi. Walau bagaimana pun, pastinya enjin tersebut masih mengikut standard emisi yang ditetapkan.

    Mungkin juga terdapat perkakasan tambahan termasuk pengurangan ukuran dimensinya bagi mencapai matlamat tersebut. Namun begitu, Nakamura tidak memaklumkan, bilakah generasi akan datang GT-R akan didedahkan sepenuhnya. Apa pun, kena nantikan kesahihan dan perincian lebih lanjut daripada Nissan mengenai ini.

    GALERI: Nissan GT-R 2017

     
     
  • Nissan Navara dan Mitsubishi Triton generasi seterusnya akan berkongsi platform, tetapi dibangunkan secara berasingan – laporan

    Navara-Triton-2016

    Selepas perjanjian pembelian saham Mitsubishi sebanyak 34% oleh Nissan, dijangkakan lebih banyak usaha sama antara kedua-dua jenama tersebut bakal dilaksanakan. Laman portal dari Australia, CarAdvice, melaporkan antaranya Nissan Navara dan Mitsubishi Triton bagi generasi seterusnya akan dibina dengan menggunakan platform yang sama.

    Pengerusi dan CEO Nissan Carlos Ghosn menjelaskan, ia merupakan sebahagian daripada perancangan utama di bawah perjanjian usaha sama tersebut, di mana kedua-dua trak pikap terbabit akan berkongsi senibina yang sama, tetapi akan dibangunkan secara berasingan bagi menepati profil pembeli yang berlainan.

    “Kebarangkalian yang agak besar di mana kami akan menggunakan platform yang sama, tetapi kami akan membangunkannya secara berasingan kerana pelanggan juga tidak sama,” ujarnya. “Berbanding menggunakan platform yang berbeza, kami lebih berminat menggunakan platform yang sama tetapi produk yang berbeza. Malah kos bagi pembangunannya juga dijangka lebih rendah.”

    Nissan-Mitsubishi

    Buat masa ini, belum ada perincian mengenai platform atau penjana kuasanya. Walau bagaimana pun, memandangkan NP300 Navara dan Triton generasi terbaharu baru sahaja dilancarkan pada tahun 2014, maka generasi akan datang tidak akan muncul dalam masa terdekat ini sehingga 2020.

    Malah kedua-dua pikap ini juga telah mempunyai inisiatif perkongsian platform yang tersendiri. NP300 Navara adalah bentuk asas bagi trak akan datang oleh Mercedes-Benz dan rakan sekutunya Renault, di mana ia telah dipertontonkan menerusi model konsep Renault Alaskan. Sementara Triton sedia ada pula telah dilancarkan dengan menggunakan logo lain ((rebadged) iaitu Fiat Fullback di Amerika Selatan.

    Ini bukanlah kali pertama kedua-dua syarikat ini mengumumkan perancangan untuk perkongsian platform bagi Nissan Navara dan Mitsubishi Triton. Pada tahun 2010, Nissan dan Mitsubishi telah menyertai kerjasama yang sepatutnya menyaksikan kemunculan model baharu yang yang dibangunkan bersama, tetapi usaha sama tersebut gagal dan kedua-duanya membangunkan NP300 Navara dan Triton secara berasingan.

     
     
  • Mazda CX-9 SkyActiv-G 2.5T bakal tiba di Malaysia pada Q4 2016, hanya satu varian dengan harga jangkaan di bawah RM250k – pengedar

    Menurut status yang dimuat naik menerusi laman Facebook ‘Mazda – Sales Promo & News’, Mazda CX-9 SkyActiv-G 2.5T serba baharu dijangka tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Seberapa cepat? Tidak pula dinyatakan menerusi status tersebut, tetapi SUV tujuh-tempat duduk yang juga baru tiba di pasaran Australia boleh dijadikan sebagai petunjuk.

    Walau bagaimana pun, menurut pengedar Mazda tersebut, generasi kedua CX-9 ini mungkin akan tiba di Malaysia pada suku ke-empat 2016 ini, iaitu antara bulan Oktober, November atau Disember.

    Malah menurut pengedar yang sama, tempahan bagi CX-9 itu telah pun dibuka, cuma kita belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada Mazda Malaysia mahu pun Bermaz. Bagi spesifikasi untuk Malaysia juga, belum ada perincian rasmi mengenainya.

    Buat masa ini, CX-9 generasi pertama yang masih dijual hanya ditawarkan dengan satu varian sahaja, dan menurut pengedar terbabit, ia juga sama dengan model generasi kedua ini. Di mana varian spesifikasi tertinggi yang akan ditawarkan. Berkenaan dengan harganya, dijangkakan antara RM230,000 hingga RM250,000. Di mana bagi CX-9 generasi pertama masa kini dijual pada harga RM288,380.91 (harga atas jalan tanpa insurans).

    Malah dijangkakan CX-9 generasi kedua ini adalah diimport sepenuhnya dari kilang produksi Mazda di Hiroshima, yang juga membekalkan model tersebut ke pasaran Australia.

    GALERI: Mazda CX-9 2017 (spesifikasi USA)

     
     
  • Imej dan brosur Mitsubishi Triton Knight White Limited Edition tersebar, dijual pada harga RM122k


    Klik untuk besarkan

    Imej “Mitsubishi Triton Knight Edition” telah disiarkan di Facebook. Imej yang menayangkan sebuah Triton berwarna putih dan dilengkapi pelbagai aksesori tersebut juga disertakan sekali dengan brosur dari Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dengan bertajuk “knight in shining armour“.

    Januari lalu, MMM telahpun melancarkan Triton Phantom Edition, yang dikeluarkan hanya 200 unit dengan warna tema hitam serta dilengkapi pelbagai ciri tambahan. Begitu juga Triton Knight Edition ini, ia dibina dengan konsep serupa tetapi dengan warna tema putih. Ia juga seharusnya diasaskan dari model varian tertinggi Trition 2.5 VGT 4×4 Adventure (178 PS/400 Nm), seperti Phantom.


    Klik untuk besarkan

    Ciri yang dilengkapi pada trak pikap ini termasuk roda aloi 17-inci, pemanjang bampar hadapan, gril dan bampar belakang matte black, pelekat badan sisi dan bar sports dengan kotak penuh. Kesemua tempat duduk dibalut dengan kulit berwarna hitam dengan perkataan ‘Knight’ disulam pada tempat duduk hadapan. Perkataan ‘Knight’ juga dilekatkan pada bahagian atas gril hadapan dan juga pintu tailgate belakang.

    Dua lagi ciri yang padankan adalah lampu hadapan HID dengan lampu nyalaan siang LED serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, yang mana ciri-ciri tersebut sebenarnya sudah pun dipadankan pada Triton varian tertinggi.

     
     
  • BMW Malaysia memperkenalkan Program Perlindungan Insurans Terbaik – liputan tambahan untuk kereta, pemilik dan pemandunya

    The Ultimate Protection Insurance Program

    BMW Group Malaysia telah memperkenalkan Program Perlindungan Insurans Terbaik (Ultimate Protection Insurance Program). Ia merupakan tawaran insurans bersifat menyeluruh daripada BMW Credit Malaysia yang menawarkan perlindungan tambahan bukan sahaja ke atas kenderaan BMW terpilih, malah kepada pemilik dan pemandunya.

    Ditawarkan ke atas kenderaan yang dibiayai oleh BMW Credit Malaysia, Program Perlindungan Insurans Terbaik ini merangkumi perlindungan Penjagaan Utama sehingga RM1,000, Perlindungan Banjir sehingga RM30,000, Perlindungan Rim sehingga RM1,000 dan perlindungan Jurang sehingga RM10,000.

    Selain itu, bagi pemilik kenderaan pula, program insurans ini menawarkan perlindungan dalam Kes Kemalangan Maut sehingga RM100,000, Kes Hilang Upaya Kekal sehingga RM100,000, Perlindungan Barangan Peribadi disebabkan oleh Insiden Pecah Kereta sehingga RM3,000, Bantuan Khas sehingga RM10,000 dan untuk maksimum selama enam bulan, bayaran bulanan sehingga RM2,500 sebulan, untuk pinjaman sewa beli mereka.

    Program Perlindungan Insurans Terbaik ini ditawarkan kepada semua kenderaan BMW yang menerima Insentif Status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) baru-baru ini iaitu BMW 118i Sport, BMW 120i M Sport, BMW 318i Luxury, BMW 320i Sport, BMW 330i M Sport, BMW 320d Gran Turismo, BMW 328i Gran Turismo, BMW 520d M Sport, BMW 520i M Sport, BMW 528i M Sport, BMW X3 xDrive20i dan BMW X3 xDrive20d.

    Sebagai tambahan, kenderaan BMW yang turut dilindungi oleh program ini termasuklah BMW 218i Active Tourer, BMW 320i M Sport, BMW 320d M Sport, BMW 730Li, the BMW 740Li, BMW X1 xDrive20i dan BMW X5 xDrive35i.

     
     
  • Kilang SUV Lotus mungkin dibina di China tahun ini

    lotus-apx

    Pembinaan bagi kilang pembuatan SUV bagi Lotus yang dikendalikan oleh Proton mungkin bakal dibina pada akhir tahun ini di Quangzhou, tenggara wilayah Fujian, China.

    Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Quanzhou, Wang Ke Si, berkata, Quangzhou dipilih sebagai pangkalan pembuatannya kerana terdapat kemudahan sokongan automotif yang kukuh. Malahan kerajaan tempatan turut memberikan bantuan serta sokongan sepenuhnya bagi merealisasikan perkara ini, laporan Bernama.

    Katanya lagi, dengan pelaburan sebanyak 10 bilion yuan, ia akan meliputi kos permbinaan kemudahan pembuatan, ibu pejabat serta pusat penyelidikan dan pembangunan.

    “Kilang tersebut akan memasang SUV Lotus yang akan dijual di seluruh China serta negara Asia yang lain. Ia masih dalam proses perancangan. Setakat ini kajian penggunaan tanah telah selesai dan dokumen berkaitan telah dihantar kepada kementerian, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional (NDRC) serta suruhanjaya berkaitan lain,” kata Wang kepada kepada kumpulan wartawan Asia Tenggara yang mengikuti lawatan media selama tujuh hari ke Beijing, Tianjian, selatan Suzhou dan Quanzhou.

    Pembinaan kilang SUV Lotus ini adalah hasil perjanjian usaha sama yang ditandatangani antara Proton, Lotus Group International Ltd dan Goldstar Heavy Industrial Co Ltd pada April tahun lepas. Di mana menerusi usaha sama ini, ia akan mengeluarkan dan menjual kereta penumpang berjenama Lotus serta menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang berkaitan dengan produknya di China.

    Proton dan Goldstar dilaporkan akan memegang 50% daripada modal berdaftar. Berdasarkan pelan perniagaan awal dipersetujui bersama yang meliputi tempoh 2015 hingga 2030, syarikat menjangkakan jumlah pelaburan sebanyak 10 bilion yuan (RM5.84 bilion).

     
     
  • Ford GT – 6,506 permohonan pembelian diterima untuk supercar yang dibina hanya terhad kepada 500 unit

    GT Configurator: Triple yellow Ford GT front three quarter

    GT Configurator: Triple yellow Ford GT front three quarter

    Ford melaporkan sejumlah 6,506 permohonan lengkap telah dihantar untuk pembelian Ford GT dari seluruh dunia. Tempoh permohonan dibuka selama sebulan, dan pemohon perlu menyertakan video supaya dapat memberikan peluang yang lebih cerah kepada mereka untuk menjadi seorang pemilik Ford GT.

    Ini bermaksud, dari beribu permohonan, hanya 500 daripada mereka akan layak untuk membeli supercar dengan warisan dari lagenda Ford tersebut. Menurut Ford lagi, hampir 200,000 orang telah melawat laman maya berkenaan dan 10,800 orang telah menunjukkan minat untuk membeli Ford GT terbaharu.

    Ford kini sedang meneliti kesemua 6,506 permohonan dan akan mula memberitahu bakal pemilik yag berpotensi dalam masa 90 hari akan datang. Video-video permohonan yang dihantar juga dikatakan turut menampilkan anak-anak, kesan lampu, rakaman perlumbaan, lawatan ke garaj, dan juga kisah hidup untuk memberitahu mengapa mereka perlu untuk menjadi pemilik kepada Ford GT terbaharu.

    All-New Ford GT bird's eye view, January 2015

    Ford GT yang dibina dengan bahan gentian-karbon bakal dijana dengan enjin EcoBoost paling berkuasa pernah dihasilkan. Enjin V6 3.5 liter EcoBoost yang diletakkan pada bahagian tengah kerangka Ford GT tersebut mampu menjana sejumlah 600 hp dan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Berdasarkan maklumat dari laman maya berkenaan juga menunjukkan Frozen White adalah warna yang paling digemari oleh peminat diikuti dengan Liquid Blue. Ford GT dijangka akan dihantar kepada pelanggan bermula pada hujung tahun ini.

    GALERI: Ford GT di Geneva


    GALERI: Ford GT untuk perlumbaan Le Mans

     
     
  • PANDU UJI: Hyundai Tucson 2.0 – bosan dengan sushi? Mungkin masanya untuk mencuba kimchi

    2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 004

    Hyundai Tucson generasi ketiga telah dilancarkan di Malaysia pada November tahun lalu oleh Hyundai-Sime Darby Motors dengan dua pilihan iaitu varian asas Elegance dan varian tertinggi Executive. Hadir dalam saingan pasaran SUV segmen-C bukanlah tugas mudah buat Tucson, ini kerana segmen tersebut semamangnya sudah dibanjiri dengan nama-nama gah seperti Honda CR-V, Nissan X-Trail, dan juga Mazda CX-5.

    Adakah dengan status sebuah jenama dari Korea itu sendiri yang sering dikaitkan dengan permasalahan dari segi penyelenggaraan dan juga harga jualan balik yang rendah akan menenggelamkan Tucson dalam pasaran? Harus diingat, Korea juga terkenal sebagai penyedia teknologi alternatif, dalam teknologi telefon pintar misalnya, Samsung berjaya sebagai pesaing iPhone dengan menyediakan kebolehan yang hampir sama tetapi dengan harga yang lebih mampu milik.

    Begitu juga dalam sektor automotif. Ketika era rekabentuk kereta Jepun mula kelihatan bosan sekitar tahun 2010, Hyundai dan Kia mula membuka mata dunia dengan rekaan yang lebih segar seperti model Hyundai Elantra, Sonata, Kia Forte dan Optima selain dari menawarkan ciri-ciri seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan lampu LED pada harga yang lebih mampu milik.

    2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 010

    Tucson masih kekal dengan gaya Korea tersebut. Seperti dinyatakan tadi, model 2016 yang dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) ini hadir dalam dua varian. Elegance dan Executive dilengkapi dengan unit janakuasa dan konfigurasi mekanikal yang sama tetapi dibezakan aksesori, ciri-ciri dan kelengkapan elektronik yang berlainan. Kami menerima varian tertinggi Executive untuk sesi uji pandu kali ini.

    Pada bahagian luaran keseluruhan, rekaan Tucson menerapkan rekabentuk Fluid Sculpture 2.0 terbaharu Hyundai. Rekaan tersebut menampilkan bahagian hadapan menerima sepasang lampu hadapan LED tirus mengapit gril berbentuk hexagon bersalut krom yang besar. Ia turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus pada setiap sisi bampar hadapan (varian Elegance hanya menerima lampu projektor halogen, gril dengan kemasan silver, tanpa DRL dan lampu kabus). Kombinasi tersebut membuatkan muka Tucson ini agak seiras dengan Mazda CX-5 jika dilihat sekali imbas.

    Bahagian sisi SUV ini pula menyaksikan ia dilengkapi dengan cermin sisi boleh-lipat berkuasa dengan lampu isyarat membelok dan lampu puddle bersepadu, serta kesemua pemegang pintu dilengkapi dengan kemasan krom (juga varian Elegence hanya dilengkapi dengan cermin sisi biasa dan pemegang pintu dengan warna badan). Roda aloi berdiameter 17-inci lima-jejari berkembar dengan tayar bersaiz 225/60R17 adalah standard untuk semua varian Tucson.

    Lampu belakang juga direka dengan bentuk yang tirus. Sebuah spoiler dengan lampu brek ketiga dipasang pada bahagian atas. Lampu kabus pula ditempatkan pada setiap sisi bampar belakang, manakala di bahagian bawah turut dilengkapi dengan sepasang perumah tip ekzos walaupun hakikatnya Tucson hanya mempunyai sebuah tip ekzos sebenar yang terletak di bahagian kanan.

    Dimensi Tucson diukur dengan panjang 4,475 mm, lebar 1,850 mm, 1,655 mm tinggi dan jarak roda keseluruhan 2,670 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiz sebenar SUV dari Korea ini, ambil SUV segmen-C paling popular dalam pasaran – Honda CR-V – sebagai perbandingan, Tucson 115 mm lebih pendek, 30 mm lebih lebar, 30 mm lebih rendah dan jarak roda 50 mm lebih panjang. Walaubagaimana pun ruang kargo Tucson yang berkapasiti 488 liter adalah 101 liter lebih kecil dari CR-V yang berkapasiti 589 liter.

    Ruang kargo ini juga dapat diakses dengan bukaan pintu tailgate 1,098 mm serta ruang kargo tambahan dengan kapasiti keseluruhan 1,478 liter jika tempat duduk belakang dilipat (nisbah 60:40) sepenuhnya.

    Masuk kebahagian kabin, anda akan disapa dengan skrin instrumen Super Vision 4.2 inci TFT LCD yang memberikan pelbagai maklumat berkenaan SUV ini. Bahagian konsol tengah pula dilengkapi dengan skrin unit infotaiment dan navigasi yang diletakkan di bahagian atas konsol suis kawalan penghawa dingin manual zon tunggal dan diapit oleh sepasang liang penghawa dingin.

    Apa yang menarik dengan sistem pemain utama unit infotainmen ini adalah, ia dibina dengan sistem berasaskan sistem Android Kitkat 4.4 yang membolehkan anda melayari internet dan menggunakan aplikasi sama seperti telefon pintar seperti Youtube, Waze, Facebook, Google Chrome mahupun permainan-permainan yang boleh dimuat naik dari Google Play Store.

    Untuk nota, varian Elegance hanya dilengkapi dengan skrin TFT mono biasa 3.3-inci dan pemain utama skrin sesentuh dengan fungsi pemain DVD. Sambungan AUX, USB dan Bluetooth diletakkan di bahagian bawah panel suis penghawa dingin, sebaris dengan dua unit soket kuasa 12V dan turut diberikan cahaya lampu agar ia mudah untuk digunakan pada waktu malam.

    Tombol gear diletakkan sebaris dengan tuil suis brek parkir eletronik (hanya pada varian Executive),suis brek auto hold, suis mod pemanduan (ECO, Normal dan Power) dan suis kawalan brek turun bukit, kesemuanya bersebelahan dengan dua buah pemegang cawan. Walaupun dengan dilengkapi dengan mod manual, saya jarang menggunakan ciri tersebut kerana kedudukan tombol gear yang terlalu kebelakang dan siku diganggu dengan perehat tangan, membuatkan saya tidak selesa menggunakannya.

    Varian Executive juga dilengkapi dengan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, cermin pandang belakang kromik elektronik dengan kompas, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan juga kamera perakam keselamatan.

    Roda stereng pelbagai fungsi dan upholstery balutan kulit berwarna hitam yang agak selesa adalah standard untuk semua varian, namun pembeli diberikan opsyen balutan kulit berwarna merah (RM1,288) dan white nappa (RM1,988).

    Material yang digunakan untuk bahagian dalaman adalah setaraf dengan SUV buatan Jepun saingannya, tetapi agak hairan, balutan kulit pada panel pintu agak keras dan berbunyi seperti plastik tanpa balutan apabila diketuk.

    Kadar kedapan bunyi juga agak baik, membolehkan pemanduan Tucson boleh dinikmati pada kadar NVH yang rendah. Ketika mencapai kelajuan sekitar 150-160 km/j, penumpang masih lagi boleh mendengar radio tanpa menaikkan suara dan juga berbual dengan ton suara biasa.

    Kedua-dua varian Tucson dijana oleh enjin petrol 2.0 liter MPi “Nu” berkuasa 155 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 192 Nm pada takat 4,000 rpm. Kuasa dari enjin memacu kedua-dua tayar hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan automatik yang dibina oleh Hyundai sendiri.

    Walaupun tanpa sistem pacuan empat roda yang kebiasaannya memberikan sekitar 150 kg beban tambahan pada SUV lain, Tucson agak ‘malas’ ketika memecut dan memotong terutama pada rpm pertengahan. Mujur kotak gear enam-kelajuan automatik tersebut mampu memberikan penukaran gear yang agak baik dan penyampaian kuasa dari enjin ke kotak gear juga dapat dirasakan dengan cepat.

    Hyundai mendakwa Tucson mencatatkan pengunaan bahan api 7.9 liter untuk setiap 100 kilometer untuk kitaran perjalanan gabungan. Ketika memandu uji Tucson, saya memperolehi perjalanan sejauh 530 km dengan petrol penuh pada tangki yang berkapasiti 62 liter atau sekitar 11.7 liter untuk setiap 100 kilometer dengan laluan 40% di dalam bandar dan selebihnya di lebuhraya.

    2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 031

    Untuk sistem suspensi pula, Tucson dilengkapi dengan Topang McPherson di bahagian hadapan dan sistem suspensi bebas jenis multilink di belakang. Suspensi ini ditala dengan lembut bagi membolehkan pemandu dan penumpang menikmati keselesaan yang maksima. Suspensi ini memang selesa dalam erti kata sebenar, dengan memberikan serapan hentakan yang begitu baik.

    Namun, talaan keselesaan tersebut terpaksa mengorbankan keseronokan memandu SUV ini terutamanya ketika dihidangkan dengan jalan berliku. Suspensi yang lembut membuatkan pengedalian SUV ini tidak tajam dan lincah. Ditambah dengan sistem stereng kuasa elektrik (MDPS) yang terlalu ringan, menyukarkan saya mengagak laluan ketika mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi.

    Tetapi anda tidak perlu bimbang kerana setiap varian Tucson dilengkapi Kawalan Stabliti Elektronik (ESC) dan Sistem Pengurusan Stabiliti Kenderaan (VSM) secara standard untuk memastikannya kekal melekat pada permukaan jalan.

    Sistem keselamatan lain yang dilengkapkan secara standard pada kedua-dua model termasuklah sistem brek ABS dengan Bantuan Brek (BA), Kawalan Brek Turun Bukit (DBC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) serta kamera undur. Varian Executive dilengkapi dengan enam-unit beg udara dan penderia parkir pada bahagian hadapan dan belakang manakala varian Elegence hanya menerima dua-unit beg udara pada bahagian hadapan dan penderia parkir hanya pada bahagian belakang.

    Tujuh warna ditawarkan untuk Tucson kedua-dua varian iaitu Pure White, Sepia Topaz, Pepper Grey, Platinum Silver, Ruby Wine, Ara Blue dan Phantom Black. Panel perlindungan di sekeliling badan kereta yang berwarna silver seperti unit yang kami uji ini adalah didatangkan secara opsyenal dengan harga RM1,988.

    Hyundai Tucson 2.0 Executive dijual pada harga RM142,632 manakala untuk varian 2.0 Elegence yang lebih rendah ia dijual pada harga RM129,990. Semua harga yang disebut adalah harga atas jalan termasuk GST tanpa cukai jalan. Setiap pembelian disertakan sekali dengan waranti lima tahun atau 300,000 km (yang mana sampai dahulu).

    Kesimpulan yang boleh dibuat, walaupun disaing hebat dengan SUV segmen-C buatan Jepun yang lain, Tucson masih mempunyai kekuatannya tersendiri seperti keselesaan,rupa bentuk keseluruhan dan juga unit infotainmennya. Jadi, untuk mereka yang bosan dengan pilihan stereotaip masyarakat Malaysia yang setia dengan SUV dari negara matahari terbit, Tucson mungkin adalah jawapannya.

     
     
  • Rapid Rail guna tren generasi baharu dengan teknologi terkini untuk LRT laluan Kelana Jaya

    lrt-depot

    Tren generasi baharu akan digunakan pada laluan LRT Kelana Jaya tambahan, yang akan mula beroperasi pada 13 Jun ini dengan sistem penghawa dingin yang lebih baik, tingkap yang lebih besar dan carta pengurusan penumpang elektronik, lapor The Star.

    Menurut Ketua Pegawai Esekutif Rapid Rail Sdn Bhd Ahmad Nizam Mohamed Amin, tren Bombadier Innovia Metro 300 yang diimport dari Kanada itu dilengkapi dengan spesifikasi yang ditingkat taraf dan terkini berbanding tren yang sedang digunakan sekarang, selari dengan permintaan industri yang sedang membangun.

    “Kami akan mengesan beberapa masalah kecil pada model sedia ada supaya kami tidak akan menghadapi masalah yang sama pada masa hadapan,” kata beliau.

    Ahmad Nizam turut memberitahu 14 tren dengan empat gerabak tersebut akan diperkenalkan pada Jun ini manakala lapan lagi set tren akan dibawa lagi kemudian.

     
     
  • Perodua tawar bantuan untuk pemilik Perodua yang terlibat dalam banjir di Kuala Lumpur minggu lalu

    Malaysia-Flash-Flood-2016

    Perodua menawarkan bantuan untuk pemilik-pemilik kenderaan Perodua yang terlibat dalam kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur minggu lalu.

    Pengeluar automotif kedua negara itu mengatakan dalam kenyataan media mereka, akan memberikan bantuan dari segi servis trak tunda, diskaun untuk alat ganti terpilih dan pemeriksaan percuma serta menyediakan anggaran kerosakan pada kenderaan-kenderaan tersebut. Pelanggan Perodua yang ingin mendapatkan panduan tersebut digalakkan untuk menghubungi talian perkhidmatan pelanggan percuma 1800-88-6600.

    “Pelanggan merupakan keutamaan kami dan servis tambahan nilai ini diberikan untuk menolong sebahagian beban yang ditanggung oleh pelanggan kami ketika mengharungi musibah tersebut,” kata CEO dan Presiden Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh.

    Untuk bantuan yang disediakan, Aminar berkata Pelanggan Perodua boleh menuntut bayaran balik maksimum RM100 kos trak tunda ke Pusat Servis Perodua berdekatan. Perodua juga menawarkan diskaun sebanyak 20% untuk alat ganti terpilih kepada pelanggan yang kenderaan mereka terlibat dalam banjir tersebut. Alat-alat ganti tersebut termasuk kesemua peralatan elektronik, karpet, tempat duduk, panel pintu dan gasket enjin.

    Pada Disember tahun lalu, Perodua turut menawarkan bantuan banjir yang sama seperti dan telah dilanjutkan kepada tarikh yang masih belum diberitahu serta ke seluruh negara.

     
     
  • Perparitan yang kurang efisien punca banjir – kerajaan

    Malaysia-Flash-Flood-2016

    Kerajaan berkata sistem perparitan yang kurang efiesien atau tidak sempurna adalah penyebab banjir besar berlaku di beberapa jalan utama di sekitar Lembah Klang sejak kebelakangan ini. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hujan lebat dalam tempoh antara dua jam boleh menyebabkan sesetengah kawasan dinaiki air, laporan The Sun.

    “Sistem perparitan yang kurang efisien dan hujan lebat faktor penyebab banjir kilat. Pembentungan yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah besar air dan ia menyebabkan limpahan. Malah Sungai Klang juga tidak mengalir dengan sempurna. Justeru, sistem perparitan di kawasan berkenaan harus dikaji semula dan tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang,” ujar Junaidi.

    Walau bagaimana pun, Junaidi menolak kemungkinan perkara ini ada berkaitan dengan terowong SMART. “Ia bukan bermakna terowong terbabit tidak berfungsi, malah kejadian tersebut tidak berlaku di kawasan berkenaan,” tambahnya sambil berkata DBKL harus bekerjasama dengan Jabatan Saliran dan Pengairan untuk merencana dan melaksanakan perancangan terbaik bagi mengatasi masalah banjir kilat ini.

    “Bagi pendapat saya, La Nina ini datang lebih awal. Kita jangkakan hujan lebat berlaku pada Jun dan sudah mempunyai perancangan untuk penyelenggaran pembentungan. Tetapi ia telah mula, iaitu dua minggu lebih awal. Jadi kita perlukan kajian dan akan melaksanakan perancangan yang sewajarnya,” ujarnya.

    Menurut Junaidi lagi, pihak pemaju juga harus bertanggungjawab dalam soal ini terutamanya yang sedang melakukan pembinaan di kawasan sekitar.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat juga berkata banjir yang berlaku di Jalan Semantan dan Jalan Lingkungan Budi adalah disebabkan sistem perparitan yang lemah hingga menyebabkan banjir besar di kawasan berkenaan. Ia turut menyebabkan hampir 40 buah kenderaan terperangkap dalam banjir tersebut.

    “Siasatan kami menunjukkan sistem perparitan di kawasan berkenaan tidak mampu menampung jumlah air hujan yang melanda pada petang kelmarin,” ujar jurucakapnya kepada The Sun. Beliau turut menambah banjir kilat yang berlaku di Jalan Semantan juga berpunca daripada pembinaan yang sedang berlangsung di kawasan berkenaan.

     
     
  • Zulfahmi berjaya menaiki podium, peroleh tempat kedua pada perlumbaan Supersport di Sepang

    2016-World-Supersport-Zulfahmie-1-e1463361595243_BM

    Berlumba dalam keadaan litar basah, pada permukaan yang baru diturap di Litar Antarabangsa Sepang, pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin yang berumur 25 tahun berjaya merebut tempat kedua dan seterusnya menaiki podium pada musim pertamanya bersama pasukan Orelc Racing dari Spanyol. Mencatat masa keseluruhan 33’22.954″, Zulfahmi hanya tewas 0.5 saat berbanding pendahulu perlumbaan Ayrton Badivini dari pasukan Gemar Ballon-Team Lorini manakala Gino Rea dari pasukan GRT menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

    Perlumbaan kategori Supersport dimulakan dengan hujan lebat pada pukul 2.20 petang. Selepas pelumba keluar melengkapkan pusingan pemanas badan, perlumbaan tersebut terpaksa dihentikan kerana hujan yang turun terlalu lebat. Perlumbaan kategori Supersport diteruskan semula setelah selesai perlumbaan utama Superbike Dunia. Zulfahmi yang menunggang Kawasaki ZX-6R, memulakan perlumbaan di petak kelima dan seterusnya mendahului perlumbaan Supersport buat kali pertama pada lap ketiga.

    “Perlumbaan ini merupakan perlumbaan yang hebat, walaupun saya agak terkejut saya tidak memenanginya! saya mendahului majoriti perlumbaan ini, tetapi dipintas pada empat lap terakhir. Selepas itu saya mendapat perlawanan yang menakjubkan menentang Badiovini dan hampir untuk memintasnya semula pada saat-saat akhir. Ia sangat hampir, tetapi dia masih mampu untuk kekal di hadapan,” kata Zulfahmi. Beliau sekarang berada di tempat ke-10 dalam kedudukan keseluruhan pelumba Supersport Dunia.

    2016-World-Supersport-Zulfahmie-2-e1463361624590_BM

    Pengurus pasukan Orelac Racing, Guilio Bardi mendapat hadiah harijadi yang cukup istimewa apabila Zulfahmi menjejakkan kakinya ke podium. “Ini merupakan hari yang sangat bagus untuk pasukan dan saya berasa sangat gembira. Hari ini merupakan harijadi saya, jadi podium Fahmi merupakan hadiah yang hebat. Apabila dia mendahului perlumbaan, saya rasa dia akan menang, tetapi menamatkan perlumbaan dan hampir memintas pendahulu merupakan keputusan yang hebat dan menggembirakan seluruh pasukan,” kata Bardi.

    Kejohanan Motul FIM Superbike dan Supersport pusingan ketujuh seterusnya akan berlangsung di Litar Donington Park, UK pada 27 hingga 29 Mei ini.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic 2016 1.5L di Malaysia

    Civic-Msia-Spy-01_BM

    Rakan penulis kami Danny Tan, Hafriz Shah dan juga Jurugambar rasmi paultan.org Sherman Sim telah terserempak dengan Sebuah Honda Civic generasi ke-10 semasa mereka melakukan sesi penggambaran uji pandu hujung minggu lalu di Putrajaya. Ini merupakan penemuan pertama Civic tersebut tanpa apa-apa penyamaran dan lengkap sebagai Civic spesifikasi Malaysia.

    Gambar yang kami paparkan sudah pun di’crop‘, menyelindungkan kereta di hadapan Civic tersebut yang dilengkapi dengan kamera, menandakan ia sedang menjalani penggambaran iklan TV Honda Malaysia. Unit yang dilihat ini nampaknya dari varian 1.5 liter Turbo dengan roda aloi 17-inci dua ton sama seperti pada model Turbo RS pasaran Thailand, lampu hadapan LED penuh, dan juga sudah didaftarkan.

    Seperti yang didedahkan pada rebiu pra-pelancaran Civic 1.8 dan 1.5 Turbo sebelum ini, varian tertinggi RS seperti yang ada pada pasaran Thailand dengan beberapa ciri unik seperti gril hadapan hitam berkilat, spoiler belakang penuh dan lencana RS, tidak akan ditawarkan di Malaysia tetapi ia tetap ditawarkan dengan kit-kit badan pilihan dari Modulo.


    klik untuk besarkan

    Lencana “VTEC Turbo” pada but belakang seperti yang terdapat pada Civic pasaran Indonesia dijangka akan turut dipasang pada Civic di Malaysia, tetapi Honda Malaysia tidak menonjolkan tip-tip ekzos berkembar sedan ini.

    Turut dapat disaksikan warna signatur untuk Civic ini di Malaysia ialah warna silver gelap yang kelihatan lebih cerah dari pada warna kelabu biasa Honda. Warna tersebut menyerlahkan lagi garisan badan sedan yang direka dengan bentuk belakang fastback ini.

    Tempahan untuk Civic ini telahpun mula dibuka, dengan HM telah pun mendedahkan kesemua varian (1.8 NA dan 1.5 Liter Turbo, kedua-duanya dipadankan dengan transmisi CVT) akan dilengkapi dengan enam beg udara dan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, VSA, brek parkir elektronik dengan fungsi brake hold, penghidup enjin kawalan jauh dan juga kunci automatik walk away. Klik pautan untuk membaca rebiu untuk Civic generasi ke-10 yang telahpun kami uji di Thailand serta galeri Civic FB generasi kesembilan Vs Civic FC generasi ke-10.

    GALERI: Uji Pandu Civic generasi ke-10 di Thailand

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025