Hyundai Staria 10 tempat duduk

  • Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia – 2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

    Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

    Pagi ini Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah melancarkan MPV Hyundai Staria 10-tempat duduk untuk pasaran Malaysia. Ia genap setahun selepas Staria versi tujuh-tempat duduk dilancarkan pada hujung Oktober 2021.

    Tidak seperti Staria tujuh-tempat duduk yang hanya ditawarkan dengan satu varian iaitu Premium, berbeza dengan versi 10-tempat duduk yang ditampilkan dengan tiga varian; Lite, Plus dan Max. Untuk pengetahuan, kehadiran Staria di Malaysia adalah bagi menggantikan MPV Grand Starex yang telah digugurkan dari barisan model Hyundai di sini.

    Seperti versi tujuh-tempat duduk, Staria 10-tempat duduk ini turut dijanakan oleh enjin 2.2 CRDi diesel yang mampu menghamburkan kuasa hingga 177 PS dan tork 431 Nm dari 1,500 hingga 2,500 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan. Untuk penjimatan yang lebih efisien, pengecas turbo penyejukan-udara mempunyai prestasi pemampat dan roda turbin yang lebih baik untuk prestasi tork kelajuan rendah yang lebih baik. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan, dan MPV ini turut diberikan empat mod pemanduan (Smart, Normal, Eco dan Sport).

    Direka untuk keluarga besar atau pun yang miliki perniagaan, Staria 10-tempat duduk ini memiliki dimensi berukuran 1,990 mm tinggi, 1,997 mm lebar, 5,253 mm panjang dengan jarak roda 3,273 mm. MPV ini ditampilkan dengan bentangan tempat duduk 2-3-2-3, sesuai dengan kegunaannya sebagai kenderaan pelbagai-tujuan. Selain itu, ia juga memiliki ruang penyimpanan barangan yang lebih luas serta kedudukan tempat duduknya yang boleh dikonfigrasi mengikut kesesuaian dan keperluan.

    Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

    Tempat duduknya boleh diposisikan secara sebaris, dilaras secara fleksibel dan boleh dibaringkan sepenuhnya (terutamanya yang ingin membawa barangan kargo yang banyak atau besar). Difahamkan, Staria 10-tempat duduk ini mempunyai kapasiti sehingga 1,024 liter jika tempat duduk penumpang dibaringkan secara rata.

    Hyundai turut berkata Staria memiliki ruang kaki yang luas, malahan tingkap sisinya juga paling besar dalam segmennya. Reka bentuk dalamannya yang inovatif diinspirasikan dari kapal persiaran yang menawarkan atmosfera yang unik. Menurut Hyundai lagi, ruang yang luas di dalam kabin juga diinspirasikan dari binaan tradisonal Korea ‘hanok’. Ini termasuklah dengan penampilan tingkap panoramik dan beltline yang rendah yang turut memainkan peranan menampakkan ruang yang lebih luas dan memberikan keselesaan yang lebih jitu buat para penumpang.

    Selain itu, kokpit digital sepenuhnya turut diberikan termasuk menampilkan paparan kluster instrumen TFT LCD 10.25-inci (LCD 4.2-inci untuk Lite) dan skrin sesentuh 8-inci untuk sistem navigasi yang ditempatkan pada konsol tengah. Untuk varian tertinggi Max,ia ditambahkan dengan kamera pandangan sekeliling 360-darjah. Malahan Max turut menerima sistem pendingin hawa automatik sepenuhnya dwi-zon untuk penumpang hadapan dan belakang (pendingin hawa manual bagi Lite dan Plus).

    Ciri lain yang turut diberikan kesemua varian termasuk kunci pintar dengan butang penghidup enjin, brek parkir elektronik dengan fungsi Auto Hold, skrin sesentuh lapan-inci dengan fungsi MP3, USB, Bluetooth, Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, Pengesan Suara dan lapan unit USB Port.

    Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

    Untuk keselesaan buat semua penumpang, ia turut diberikan corong pendingin hawa yang ditempatkan di bahagian siling, merupakan ciri standard untuk kesemua varian. Ciri lain yang turut diberikan ialah pintu gelangsar kuasa untuk varian Plus dan Max, dan tambahan untuk model spesifikasi penuh yang menerima tailgate bukaan kuasa.

    Bagi tempat duduk pula, varian Lite diberikan balutan fabrik, manakala Plus pula menerima material kulit separa-Nappa dan kulit penuh Black Nappa bagi Max. Tempat duduk pemandu bagi varian Max juga diberikan fungsi larasan lapan-hala dengan sokongan lumbar.

    Untuk rekaan luaran, Staria 10-tempat duduk diberikan lampu utama LED sepenuhnya, dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED. Untuk lampu belakang termasuk lampu kabus pula, varian Plus dan Max menerima unit LED (unit mentol untuk Lite). Gril hadapannya juga kelihatan lebih besar dengan rekaan berlainan dan dicat sama dengan warna badan tanpa kemasan hitam berkilat seperti Staria tujuh-tempat duduk. Varian Lite diberikan roda aloi 17-inci dengan tayar 215/65/R17, manakala unit 18-inci (dengan tayar profil 235/55 R18) untuk Max.

    Bagi aspek keselamatan, sudah tentu ciri yang diberikan setanding dengan harganya. Staria 10-tempat duduk didatangkan dengan enam beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), VSM, EBD, TCS, Bantuan Mula Mendaki, dan Isofix (tiga unit di barisan kedua) bagi semua varian. Namun untuk varian Max, ia diberikan ciri keselamatan yang lebih maju, Hyundai SmartSense, yang merangkumi Bantuan Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA) dan Kawalan Kelajuan Pintar dengan fungsi Stop & Go.

    Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

    Selain itu, Max juga diberikan Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Amaran Kepekaan Pemandu ( (DAW) dan Kepekaan Ketibaan Kenderaan (LVDA). Ciri Pemantauan Pemandangan Sekeliling (SVM) juga ditampilkan pada dua varian tertinggi. Manakala ciri Kepekaan Penumpang Belakang (ROA) dan Amaran Jarak Parkir (PDW) turut diberikan untuk ketiga-tiga varian.

    Berkenaan dengan harganya pula, varian Lite ditawarkan bermula RM179,888, manakala Plus pula RM196,888 dan model spesifikasi tertinggi Max berharga RM209,888. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan didatangkan dengan waranti standard dua-tahun atau 50,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Ketiga-tiga varian juga diberikan pilihan untuk mendapatkan waranti lanjutan dengan kos tambahan sebanyak RM10,000 yang merangkumi lima-tahun atau 300,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) dan servis percuma tiga-tahun atau 50,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

    Pilihan warna untuk MPV ini merangkumi Abyss Black Pearl dan Creamy White yang ditawarkan untuk semua tiga varian, sementara Lite ditambah dengan pilihan Shimmering Silver dan Max ditambah dengan pilihan warna Graphite Grey dan Moonlight Blue Pearl. HSDM juga memberikan ciri pilihan termasuk pemijak sisi (standard atau elektronik), infotainmen yang dipasang di bumbung belakang dan kemasan dalaman Alcantara.

    GALERI: Hyundai Staria Max 10-tempat duduk

    GALERI: Hyundai Staria Lite 10-tempat duduk

     
     
  • Hyundai Staria 10 tempat duduk akan dilancar Q4 tahun ini – varian Lite, Plus dan Max, dari RM17xk

    Hyundai Staria 10 tempat duduk akan dilancar Q4 tahun ini – varian Lite, Plus dan Max, dari RM17xk

    Selepas teaser disiarkan bulan lalu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) sekarang telah mengesahkan bahawa Staria versi 10 tempat duduk akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dalam suku keempat tahun ini. Varian baru ini akan menyertai varian tujuh tempat duduk yang telah dilancarkan Oktober tahun lalu.

    Turut diberitahu adalah varian 10 tempat duduk ini akan dipacu oleh enjin diesel 2.2 CRDi sama seperti varian 2.2D Premium tujuh tempat duduk. Enjin empat silinder turbodiesel ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 177 PS dan 431 Nm, dan dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan untuk menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Apabila tiba dalam pasaran nanti, Staria 10 tempat duduk akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Lite, Plus dan Max, sekaligus menjadikan pilihannya lebih luas berbanding sebelum ini cuma ada satu varian Premium sahaja untuk versi tujuh tempat duduk, pada harga RM366,768.

    Hyundai Staria 10 tempat duduk akan dilancar Q4 tahun ini – varian Lite, Plus dan Max, dari RM17xk

    Harga rasmi untuk versi 10 tempat duduk ini masih belum didedah, tetapi HSDM telah memberi petunjuk bahawa ia akan diletakkan lebih murah, dengan dijangka bermula dari sekitar RM170k. Spesifikasi penuh juga belum didedah, tetapi tempahan sudah dibuka dengan bayaran pendahuluan RM1,000.

    Varian yang pernah dilihat dalam spyshot bulan lalu berkemungkinan adalah varian Lite. Jika dibandingkan dengan varian Premium tujuh tempat duduk, unit ini dilihat mempunyai pemain audio yang lebih ringkas, tombol gear jenis biasa serta butang kawalan pendingin hawa yang lebih ringkas. Tempat duduk masih dibalut kulit dan panel instrumen masih menggunakan unit digital.

    Pada bahagian lain boleh dilihat gril hadapannya yang besar mempunyai rekaan berlainan dan dicat sama warna dengan badan tanpa kemasan hitam berkilat dan bercorak parametrik pada 2.2D Premium. Lampu hadapan juga dilihat menggunakan jenis halogen, dan bukannya LED.

    Sementara 2.2D Premium tujuh tempat duduk menggunakan tiga baris tempat duduk dengan susunan 2-2-3 dan kerusi jenis kapten di baris kedua, versi 10 tempat duduk pula akan menggunakan empat baris dengan susunan 2-3-2-3. Di beberapa negara lain, versi ini juga dipanggil sebagai 11 tempat duduk, kerana terdapat satu lagi tambahan di baris pertama, tetapi disebabkan ia tidak mempunyai tali pinggang three-point yang sebenar, kita tidak memanggilnya 11 tempat duduk secara rasmi di sini.

    Sama-sama kita tunggu apa lagi kelengkapan yang akan diberi pada tiga varian baru ini. Melihat di dalam laman web Hyundai Malaysia, nampaknya semua varian 10 tempat duduk ini akan menggunakan balutan tempat duduk kulit Nappa.

    Pilihan warna untuk MPV ini turut sudah tersedia. Abyss Black Pearl dan Creamy White ditawarkan untuk semua tiga varian, sementara Lite ditambah dengan pilihan Shimmering Silver dan Max ditambah dengan pilihan warna Graphite Grey dan Moonlight Blue Pearl.

     
     
  • Hyundai M’sia siar teaser varian baru Staria – model 10-tempat duduk yang lebih murah, ganti Starex?

    Hyundai M’sia siar teaser varian baru Staria – model 10-tempat duduk yang lebih murah, ganti Starex?

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) baru sahaja menyiarkan teaser yang membayangkan bahawa ia bakal melancarkan varian baharu untuk MPV bersaiz besar Hyundai Staria. Teaser yang yang disiarkan di laman sosial berkenaan menunjukkan jalur lampu LED hadapan Staria dengan kapsyen “sesuatu yang besar akan menyapa anda tidak lama lagi”, tanpa memberikan sebarang perincian lain.

    Walau bagaimanapun, kira-kira dua minggu lalu ada dikesan sebuah Staria dalam versi 10-tempat duduk telah mendarat di Malaysia – ini bermungkinan besar adalah varian baharu yang bakal dilancarkan tersebut. Sejak dilancarkan pada Oktober tahun lalu, Staria hanya ditawarkan dalam varian 2.2D Premium, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM366,768.

    Varian 2.2D Premium berkenaan hanya menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk (memberikan ruang lebih luas dan selesa untuk setiap individu) serta diberikan perincian-perincian mewah seperti skrin sesentuh infotaimen 8-inci dengan sistem bunyi 12-pembesar suara dari Bose, tempat duduk balutan kulit Nappa dengan upholsteri fabrik sued dan pelbagai lagi.

    Jadi dengan penawaran model tempat duduk 10-duduk ini, ianya tentu boleh dijual dengan harga yang jauh lebih murah kerana pelbagai faktor. Pertama, dengan konfigurasi 10-tempat duduk, ia sudah boleh dikategorikan sebagai kenderaan perdagangan dan menerima struktur cukai lebih rendah. Sebagai contoh, lihat sahaja model CBU Kia Carnival dengan konfigurasi 11-tempat duduk dapat dijual pada harga RM196,340, berbanding model CKD dengan 7- dan 8-tempat duduk yang dijual pada harga bermula RM231.228 hingga RM261,228.

    Something huge will be greeting you soon.
    Stay tuned to this space.

    #HyundaiMy #Hyundai

    Posted by Hyundai Malaysia on Friday, 26 August 2022

    Tambahan pula, dalam foto yang bocor sebelum ini dapat dilihat Staria 10-tempat duduk ini tidak diberikan perincian-perincian premium. Ia hanya menerima pemain audio tanpa skrin, tombol gear biasa (jenis butang pada Staria 2.2D Premium), dan suis kawalan pendingin hawa yang nampak lebih ringkas. Walau bagaimanapun, ia masih menerima upholsteri kulit untuk tempat duduk dan paparan instrumen digital sepenuhnya.

    Berbanding model tujuh-tempat duduk yang menerima konfigurasi 2-2-3, model 10-tempat duduk ini diberikan susunan kerusi sebanyak empat baris dengan konfigurasi 2-3-2-3. Ia juga tiada pelapik bumbung sued seperti model Premium tetapi masih diberikan corong pendingin hawa bumbung untuk penumpang di kabin belakang.

    Pada bahagian luar pula, Staria 10-tempat duduk ini dilihat mengenakan gril hadapan berlainan rekaan tanpa kemasan hitam berkilat, serta hanya diberikan lampu utama jenis halogen pada bampar berbanding lampu LED ‘kiub ais’ untuk varian 2.2D Premium.

    Kami jangkakan model 10-tempat duduk ini masih akan menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan varian 2.2D Premium. Ia menggandingkan enjin 2.2 liter empat silinder turbodiesel berkuasa 177 PS dan tork maksima 431 Nm, bersama kotak gear lapan kelajuan automatik.

    Hyundai M’sia siar teaser varian baru Staria – model 10-tempat duduk yang lebih murah, ganti Starex?

    Staria dihasilkan dari platform generasi baharu N3 Hyundai yang sama dengan model-model SUV terbaharu jenama Korea berkenaan. Jadi tidak seperti Starex yang memacu roda belakang, unit rangkaian kuasa Staria ini terus memacu roda hadapan tanpa sebarang syaf di bawah lantai kabin belakang.

    Ada spekulasi yang menyatakan bahawa Hyundai Staria 10-tempat duduk ini bakal menggantikan model Grand Starex 11-tempat duduk yang kini dijual dengan harga yang jauh lebih murah dari Staria 2.2D Premium iaitu RM165,888 untuk varian tertinggi Executive Plus Telematics.

    Malah pada Jun lalu ketika Grand Starex diperkenalkan dalam versi kemaskini terbaharu untuk 2022, Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung ada menyebut bahawa stok Grand Starex kini “hanya berbaki unit terhad”, membayangkan penawarannya mungkin akan digugurkan tidak lama lagi.

    HSDM juga masih belum menyebut atau memberi anggaran bila varian baharu Staria ini akan dilancarkan. Tetapi dengan teaser yang sudah disiarkan, ia mungkin tidak lama dari sekarang. Agak-agak berapa harga Hyundai Staria 10-tempat duduk ini nanti? Kongsikan anggaran anda pada ruang komen di bawah atau di laman sosial kami.

    GALERI: Hyundai Starex 2.2D Premium

     
     
  • Hyundai Staria masuk pasaran Thailand – 11 tempat duduk, enjin diesel 2.2 liter, harga dari RM222k

    Hyundai Staria masuk pasaran Thailand – 11 tempat duduk, enjin diesel 2.2 liter, harga dari RM222k

    Perniagaan Hyundai di Thailand lebih banyak memberi fokus kepada MPV, dengan satu-satunya model yang dijual sekian lama cumalah Starex/H-1. Disebabkan itu, tidak peliklah apabila mereka menjadi pasaran pertama di luar Korea Selatan yang menerima Staria baru.

    Seperti yang dijangka, Staria tiba di Thailand dalam versi 11 tempat duduk (bukan Premium), dan dua varian iaitu S dan SEL. Harganya bermula dari 1,729,000 baht (RM222,100) untuk model asas dan pergi sehingga 1,999,000 baht (RM256,800). Sebagai perbandingan, H-1 sebelum ini cuma dijual pada harga 1,329,000 baht (RM170,800).

    Walaupun jauh lebih mahal, Staria datang dengan pelbagai peningkatan berbanding H-1, bermula dengan gaya yang lebih moden. Di hadapan terdapat jalur LED penuh dari tepi ke tepi, gril sama warna seperti badan dan menempatkan lampu utama LED, serta lampu belakang nipis menegak (unit Parametric Pixel LED pada varian SEL).

    Hyundai Staria masuk pasaran Thailand – 11 tempat duduk, enjin diesel 2.2 liter, harga dari RM222k

    Rim antara dua varian yang ditawarkan juga adalah berbeza – varian S mendapat rim 17 inci warna perak sementara varian SEL mendapat rim 18 inci yang menggunakan warna dua tona. Bahagian dalam pula menampilkan ciri sama moden seperti penampilan luarannya, dengan dua skrin, butang kawalan tersusun serta corong pendingin hawa yang mempunyai rekaan jalur penuh sepanjang papan pemuka.

    Kedua-dua varian mendapat panel instrumen digital, iaitu unit gabungan LCD dan MID 4.2 inci bagi varian S manakala varian SEL mendapat unit berwarna penuh 10.25 inci. Sistem infotainmen adalah sama untuk kedua-dua varian, dan ia menampilkan skrin sesentuh lapan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto sementara pengecas telefon tanpa Qi tanpa wayar pula cuma diberi pada varian SEL.

    Kelengkapan standard lain adalah termasuk sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pendingin hawa automatik dengan kawalan khas untuk bahagian belakang, balutan fabrik, pelindung cahaya matahari di belakang, kamera undur, enam pembesar suara serta tujuh soket USB. Varian SEL mendapat tambahan tempat duduk pemandu larasan kuasa, balutan kulit, cermin pandang belakang malap sendiri, lampu dalaman LED serta kamera 360 darjah.

    Pada aspek keselamatan, semua varian datang dengan enam beg udara, pengawal stabiliti serta cagak ISOFIX pada dua tempat duduk. Varian SEL kemudiannya ditambah dengan pakej SmartSense yang termasuk Autonomous Emergency Braking dengan pengesan kenderaan dari depan, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, sistem pemerhati tekanan angin tayar, kamera titik buta, amaran pintu buka serta peringatan tempat duduk belakang.

    Kuasa penggerak datang daripada enjin empat silinder 2.2 liter diesel turbo yang mampu menghasilkan 177 PS pada 3,800 rpm dan 431 Nm tork antara 1,500 hingga 2,500 rpm. Kotak gear automatik lapan kelajuan diberikan secara standard dan ia datang bersama pemilih gear jenis butang dan pedal penukar gear di stereng. Pada bahagian bawah badannya, Staria baru ini menggunakan suspensi belakang multilink, menggantikan solid axle sebelum ini, dan ia sepatutnya meningkatkan lagi kawalan MPV ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025