Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PLUS aktifkan laluan kontra di KM P5.1-KM P3.3 antara Putrajaya ke Plaza Tol Putrajaya pada 20-21 Jun 2024

    PLUS aktifkan laluan kontra di KM P5.1-KM P3.3 antara Putrajaya ke Plaza Tol Putrajaya pada 20-21 Jun 2024

    PLUS akan mengaktifkan laluan kontra di KM P5.1 hingga KM P3.3 di laluan antara Putrajaya ke Plaza Tol Putrajaya (Lingkaran Putrajaya), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) bagi membolehkan kerja-kerja penurapan jalan pada 20 hingga 21 Jun 2024. Laluan kontra tersebut diaktifkan dari jam 9 malam hingga 5.30 pagi pada tarikh berkenaan.

    “Pengguna lebuh raya dari Putrajaya menghala ke Setia Eco Glades, boleh menggunakan susur keluar ke Cyberjaya/Selangor Cyber Valley dan membuat pusingan-U di persimpangan Jalan Puchong – Jalan SP2 (bersebelahan Korean School of Malaysia), dan susur keluar ke Bandar Nusaputra/Puchong serta membuat pusingan di Jalan Puchong menuju ke susur keluar Kuala Lumpur/Putrajaya sebagai laluan alternatif sepanjang tempoh tersebut.

    “Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS ketika melalui kawasan kerja terbabit,” kata PLUS.

    Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dan dapatkan maklumat trafik terkini menerusi X @/plustrafik, Aplikasi PLUS atau Chatbot PUTRI. Sila hubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

     
     
  • CCTV dipasang di Lingkaran Tengah Utama antara Kuala Lipis-Gua Musang – rakam si pembuang sampah

    CCTV dipasang di Lingkaran Tengah Utama antara Kuala Lipis-Gua Musang – rakam si pembuang sampah

    Jangan ingat anda boleh terlepas sekiranya membuang sampah di merata-rata di sepanjang laluan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) antara Kuala Lipis dan Gua Musang ya. Ini kerana Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di ‘kawasan pencemaran’ sepanjang laluan berkenaan.

    Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid, berkata pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendidik pengguna jalan, terutama mereka yang melancong semasa cuti sekolah dan cuti perayaan, termasuk mengeluarkan peringatan serta menyediakan tong sampah, namun dianggap kurang berkesan, laporan Berita Harian.

    “Kami memasang kamera itu di lokasi-lokasi strategik pada 1 Jun lalu. Setakat ini, terdapat penurunan ketara dalam pencemaran di tepi jalan. Masih ada lagi pengguna kenderaan membuang sampah, tetapi tidak seburuk seperti sebelum ini. Kamera dipasang di lokasi-lokasi yang sebelum ini dipenuhi sampah termasuk botol plastik, bekas polistiren dan tin minuman aluminium, malah ada membuang botol berisi air kencing.

    “Nampaknya pemandu sedar ada kamera di kawasan tertentu. Kami kini boleh mengesan mereka yang buang sampah, kenal pasti nombor pendaftaran kenderaan. Inisiatif ini membantu mengubah tingkah laku masyarakat (mengurangkan pembuangan sampah),” katanya.

    CCTV dipasang di Lingkaran Tengah Utama antara Kuala Lipis-Gua Musang – rakam si pembuang sampah

    Beliau menjelaskan, CCTV terbabit dipasang dengan kerjasama Majlis Daerah Lipis (MDL) yang mempunyai akses kepada rakaman. Di mana mereka yang tertangkap bakal berhadapatan dengan tindakan kompaun dan notis amaran boleh dikenakan pada bila-bila masa jika berlaku kesalahan berulang.

    Sebelum ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa membuang sampah dari kenderaan juga boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 52, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/1959) dengan denda maksimum RM300. PDRM berpendapat, tindakan tersebut adalah perbuatan buruk kerana sampah yang dibuang bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain sehingga boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

    Pada April lalu, tular rakaman video yang memaparkan tindakan pengguna CSR yang membuang sampah di sepanjang laluan terbabit ekoran ketiadaan hentian rehat dan stesen minyak di situ. Sebelum ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata, kerajaan negeri mencadangkan pembinaan dua hentian rehat dan rawat, iaitu di antara Bentong dan CSR Raub, selain berhampiran Kampung Kechau Tui di Lipis.

     
     
  • KPDN tetapkan larangan pembelian berulang untuk petrol RON95 di semua stesen minyak di Kelantan

    KPDN tetapkan larangan pembelian berulang untuk petrol RON95 di semua stesen minyak di Kelantan

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menetapkan larangan untuk pembelian berulang bagi pengisian petrol RON95 di semua stesen minyak di Kelantan. Ia bertujuan bagi mengelak petrol bersubsidi itu diseleweng ke negara jiran.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Bahagian Penguatkuasa KPDN Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil, arahan itu dikeluarkan selepas ada pihak dikesan cuba menggunakan pembelian berulang untuk mengumpulkan stok RON95 sebelum diseludup ke Thailand, laporan Berita Harian.

    “Kita sudah mengeluarkan arahan itu kepada semua stesen minyak di Kelantan, di mana taktik pembelian berulang RON95 ini paling tinggi dikesan di negeri itu,” katanya.

    Beliau turut berkata walau bagaimana pun arahan tersebut hanya membabitkan Kelantan, namun akan diperluaskan ke negeri sempadan lain seperti Perlis, Kedah dan Perak.

    “Sebenarnya arahan sudah dilaksanakan di Kelantan sebelum 10 Jun lagi, sebelum langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel, dengan anggota KPDN ditempatkan di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) dan stesen minyak di negeri itu.

    “(Walaupun arahan belum dikeluarkan) langkah sama sudah dijalankan di negeri sempadan lain di mana anggota kita diletakkan di kawasan Kompleks ICQs serta stesen minyak kawasan sempadan secara statik untuk tujuan pemantauan,” katanya.

    Beliau turut mengulas antara taktik yang digunakan oleh anggota sindiket yang kebiasaannya memandu
    kenderaan dengan nombor plat tempatan untuk melakukan pengisian penuh RON95.

    “Sebagai contoh (dia isi) 60 liter yang mana kereta itu sepatutnya boleh melakukan sekali perjalanan antara 500 hingga 600 km. Namun tidak pun sampai ke tahap perjalanan itu (500 hingga 600 km), dia sudah pun mengisi sekali lagi untuk pembelian penuh di mana kita syak minyak diisi itu akan cuba diselewengkan ke negara jiran,” katanya.

    Tambahnya, kegiatan penyelewengan ini sebenarnya dapat dikesan dengan kerjasama pengusaha stesen minyak bagi memastikan tiada kecurangan berlaku di premis milik mereka. Di mana sekiranya penyeludup terbabit dapat ditangkap, KPDN boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha stesen minyak kerana membiarkan petrol RON95 dibeli secara berulang.

    “Lesen mereka boleh digantung dan KPDN sudah memberi amaran kepada semua stesen minyak di mana lesen mereka boleh dibatalkan jika terbukti bersengkongkol dengan penyeludup,” katanya.

     
     
  • Honda CBR250RR versi dipertingkat tiba di Malaysia – kuasa bertambah, fork Showa SFF-BP, RM27,999

    Honda CBR250RR versi dipertingkat tiba di Malaysia – kuasa bertambah, fork Showa SFF-BP, RM27,999

    Honda CBR250RR versi dipertingkat seperti yang diperkenalkan di pasaran Indonesia pada tahun 2022 kini sudah tiba di Malaysia dengan dijual pada harga RM27,999. Ini menyaksikan peningkatan harga sekitar RM2k berbanding CBR250RR yang diperkenalkan pada tahun 2020, berharga RM25,999.

    CBR250RR baru ini masuk ke pasaran Malaysia dalam versi spesifikasi tinggi SP QS, yang bermakna ia bukan sahaja ditawarkan dalam warna Tricolor dan Mat Zodiac Blue Metallic, tetapi juga datang secara standard dengan quickshifter.

    Meskipun sekali imbas model ini masih nampak sama sahaja seperti sebelum ini, sebenarnya semua panel badannya adalah baru, dengan rekaan yang dikatakan nampak lebih seperti motosikal berkapasiti tinggi, dan ini termasuk fairing (sehingga ke bawah), tangki dan juga panel tempat duduk.

    Kemudiannya, enjin dua silinder selari 249.7 cc DOHC pada model baru ini juga mampu menghasilkan kuasa lebih tinggi, menjadi 41.6 hp pada 13,000 rpm dan tork 25 Nm pada 11,000 rpm. Ini dapat dicapai melalui perubahan yang dibuat pada nisbah mampatan enjin serta nisbah gear. Transmisi masih lagi sama, iaitu unit enam kelajuan dengan klac jenis assist/slipper.

    Bahagian suspensi turut menerima peningkatan, dengan CBR250RR baru ini sekarang menggunakan fork SFF-Big Piston Showa 37 mm dengan kadar spring yang ditala semula di hadapan, sementara di belakang masih menggunakan monoshock dengan sistem sambungan Pro-Link.

    Honda CBR250RR versi dipertingkat tiba di Malaysia – kuasa bertambah, fork Showa SFF-BP, RM27,999

    Dalam pasaran, CBR250RR ditawarkan sebagai motosikal sports berspesifikasi tinggi dengan kelengkapan lainnya termasuk sistem pendikit ride-by-wire, tiga mod tunggangan, lengan ayun aluminium, brek cakera depan dan belakang, sistem brek ABS dual-channel, semua lampu jenis LED, panel meter digital penuh serta sistem ekzos sport.

    Berat keseluruhan model ini adalah 169 kg dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 14.5 liter. Rim bersaiz 17 inci dan dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Honda CBR250RR datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Proton eMas, smart saling melengkapi dalam pasaran, tidak akan bersaing sesama sendiri — Pro-Net

    Proton eMas, smart saling melengkapi dalam pasaran, tidak akan bersaing sesama sendiri — Pro-Net

    Dengan pengenalan jenama EV Proton eMas awal minggu ini, Proton kini mempunyai dua portfolio EV di bawah naungannya — dengan yang satu lagi ialah smart, yang mana Pro-Net menjadi pengedar rasmi jenama itu di sini.

    Walaupun produk pertama di bawah jenama eMas (digayakan sebagai e.MAS) masih belum didedahkan dan hanya akan tiba ke dalam pasaran sebelum hujung tahun ini, kami sempat bertanyakan sekiranya pengenalan jenama baru ini akan bersaing sesama sendiri dengan smart yang turut diwakili ketika ini.

    Menurut Proton, perkara itu tidak akan berlaku kerana kedua-duanya mempunyai identiti jenama dan produk yang berbeza, dan akan dibezakan dari segi segmennya juga, serta tanda harga yang akan dikenakan. “Dari sudut penjenamaan, kedua-duanya berada dalam segmen yang sama sekali berlainan,” jelas Ketua Pegawai Penjenamaan Pro-Net, Salawati Mohd Yusoff. Menurut beliau, kedua-dua jenama ini akan saling melengkapi dalam pasaran tempatan.

    Proton eMas, smart saling melengkapi dalam pasaran, tidak akan bersaing sesama sendiri — Pro-Net

    Andaiannya, jika model EV pertama di bawah jenama ini nanti menggunakan asas yang sama dengan Geely Galaxy E5, maka ia tidaklah akan menjadi sebuah EV harga rendah. Untuk itu, mungkin kita boleh jangkakan model-model selepas itu yang akan mengisi posisi sebagai EV bajet berkenaan yang lebih mudah dicapai oleh pelbagai golongan pengguna.

    Bakal menggunakan platfrom Global Modular Architecture (GMA), model yang bakal menyusul selepas model pertama eMas itu seharusnya menjadi model yang lebih kecil dan murah nanti, yang akan memperluas pasaran EV kepada masyarakat kebanyakan.

    Jelasnya, produk eMas akan menjadi penawaran untuk segmen pasaran yang lebih meluas selaku jenama EV tempatan, sementara smart akan menjadi penawaran yang lebih premium dan tertumpu. Identiti bilik pameran juga akan berbeza, dengan kelompok harga yang akan membezakan juga antara keduanya.

     
     
  • MAA jangka permintaan terhadap model-model diesel masih stabil walaupun harga bahan api diesel naik

    MAA jangka permintaan terhadap model-model diesel masih stabil walaupun harga bahan api diesel naik

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan permintaan untuk kenderaan diesel masih tinggi walaupun kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang menyebabkan harga bahan api itu naik dari RM2.15 kepada RM3.35 seliter bermula 10 Jun lalu.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, persatuan itu menyatakan bahawa langkah penyasaran subsidi tersebut tidak akan memberikan impak yang signifikan terhadap Jumlah jualan keseluruhan industri (“Total Industry Volume” atau TIV) kerana jumlah jualan kenderaan diesel di seluruh negara berada di bawah 12%.

    MAA juga menjelaskan ini kerana kebanyakkan kenderaan yang menggunakan enjin diesel adalah trak pikap, van dan kenderaan perdagangan. “Selain dari penggunaan persendirian, pengguna kenderaan-kenderaan ini kebanyakannya dari sektor pembinaan, perladangan, logistik, pelancongan, pengangkutan dan ianya amat penting untuk kelangsungan operasi perniagaan syarikat,” kata persatuan itu lagi.

    Namun MAA menegaskan bahawa adalah sangat penting untuk kerajaan menetapkan mekanisma rebat yang tepat dan efisien, kerana pihaknya difahamkan bahawa subsidi yang diluluskan tidak merangkumi kesemua pengunaan sektor yang terlibat mendapat subsidi.

    “Adalah penting kuota subsidi untuk sektor ini dibuat dengan jelas bagi mengelakkan pengendali pengangkutan
    daripada menaikkan kadar pengangkutan yang akan memberi kesan kepada orang awam dan daya saing negara,” kata persatuan itu lagi.

    MAA juga menyatakan pihaknya menyambut baik usaha kerajaan menyasarkan subsidi diesel kepada pengguna yang berhak, namun ia berharap kerajaan dapat terus memberi insentif atau subsidi tenaga kepada teknologi terkini seperti kenderaan elektrik hibrid, kenderaan elektrik bateri (BEV), dan kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV).

     
     
  • BMW X3 Final Edition 2024 — versi terakhir dengan kelengkapan tambahan; dari RM312k untuk sDrive20i

    BMW X3 Final Edition 2024 — versi terakhir dengan kelengkapan tambahan; dari RM312k untuk sDrive20i

    Selepas diumumkan pengenalannya untuk pasaran tempatan pada minggu lalu, BMW X3 Final Edition 2024 turut menjadi antara model yang membuat penampilan ketika Auto Bavaria AutoFest di KL Base, hujung minggu lalu. Ditawarkan dalam varian sDrive20i dan xDrive30e, unit yang dipamerkan ini ialah varian sDrive20i.

    Dari segi harganya terlebih dahulu, X3 sDrive20i Final Edition dijual dengan harga RM311,800 termasuk jaminan standard dua-tahun, atau RM338,500 dengan pilihan lanjutan jaminan lima-tahun dan pakej servis. Berbanding X3 sDrive20i M Sport biasa, perbezaan harga yang terlibat ialah sekitar RM7,000.

    Untuk X3 xDrive30e Final Edition pula, ia dijual dengan harga RM357,800 (jaminan dua-tahun standard) atau RM384,500 (dengan lanjutan jaminan lima-tahun dan pakej servis). Ia sekitar RM8,000 lebih mahal berbanding X3 xDrive30e M Sport.

    BMW X3 Final Edition 2024 — versi terakhir dengan kelengkapan tambahan; dari RM312k untuk sDrive20i

    Kedua-dua varian masih dilengkapi pakej M Sport yang terdiri daripada apron depan dan belakang, serta pakej hitam berkilat M Shadowline. Namun, sebagai tambahan untuk edisi ini, gril dan muncung ekzosnya diberi kemasan hitam.

    Ciri baru lainnya termasuk M Lights Shadowline yang menjadikan struktur lampu depan dan belakang lebih gelap, sementara angkup brek untuk X3 xDrive30e Final Edition diberi penyudah merah berkilat dan bukannya biru seperti varian M Sport lain.

    X3 sDrive20i Final Edition antara lain menerima rim lebih besar, 20-inci Style 787 berbanding unit 19-inci jejari Y Style 887 dwi-warna. Ini rim yang sama digunakan untuk X3 xDrive30e M Sport dan dikekalkan bagi Final Edition ini.

    Lagi tambahan terbaru untuk kedua-dua varian ini ialah kawalan melayar aktif dengan fungsi Stop/Go serta pengecas telefon tanpa wayar. Khusus untuk X3 xDrive30e Final Edition pula ialah head-up display dan Parking Assistant Plus, yang melibatkan tambahan kamera 360-darjah dan Remote View 3D.

    BMW X3 Final Edition 2024 — versi terakhir dengan kelengkapan tambahan; dari RM312k untuk sDrive20i

    Selebihnya adalah kelengkapan yang sama dengan varian M Sport biasa model berkenaan. Untuk sDrive20i ini termasuklah balutan kulit Vernasca, kemasan dalaman “Rhombicle” dengan perincian krom, kerusi sport di depan, pelapik bumbung anthracite, stereng kulit M, lampu depan LED adaptif dan pendingin tiga zon.

    Selain itu termasuk juga fungsi memori untuk kerusi pemandu, lampu ambient, BMW Live Cockpit Plus (kluster instrumen 12.3-inci dan skrin sentuh tengah 10.25-inci) serta sistem hifi.

    Tiada perubahan untuk penjanaan kuasa: sDrive20i menggunakan unit 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 300 Nm tork. Transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan menghantar kuasa ke roda depan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat dan laju maksimum 215 km/j.

    xDrive30e sebagai model plug-in hybrid pula menggunakan enjin dan transmisi yang sama, dengan tambahan motor elektrik dengan janaan 68 PS (67 hp atau 50 kW) yang berada di antara enjin dan transmisi. Ini memberikan output keseluruhan sistem sebanyak 252 PS (248 hp atau 185 kW) dan 420 Nm — dengan motor elektrik mampu memberikan 109 PS (107 hp atau 80 kW) sementara dengan fungsi XtraBoost ketika pecutan.

    Ini membolehkan xDrive30e menghasilkan sehingga 292 PS (288 hp atau 215 kW) dalam tempoh sehingga 10 saat, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dan laju maksimum 210 km/j. Bateri lithium-ion 12 kWh membolehkan xDrive30e dipacu secara elektrik sehingga 50 km mengikut kitaran WLTP. Untuk mengecas baterinya memerlukan 3.6 jam menggunakan wallbox 3.7 kW AC, atau sekitar enam jam dengan soket tiga-pin biasa.

    Bantuan tepi jalan dan talian sokongan kemalangan serta BMW Service Online sudah termasuk sekali dalam pembelian X3 Final Edition ini. Pilihan warna terdiri daripada Carbon Black, Alpine White dan M Brooklyn Grey. Untuk ruang dalaman, X3 sDrive20i Final Edition datang dengan kulit Vernasca Mocha atau hitam, manakala X3 xDrive30e Final Edition dengan warna Mocha/jahitan decor atau hitam/jahitan biru.

     
     
  • Chery Tiggo 5x dilancar di Indonesia dengan jaminan enjin 1 juta kilometer, jaminan harga jual balik 70%

    Chery Tiggo 5x dilancar di Indonesia dengan jaminan enjin 1 juta kilometer, jaminan harga jual balik 70%

    Chery mulanya mengumumkan kemasukan Tiggo 4 Pro ke Indonesia pada tahun 2022, tetapi awal tahun ini barulah ia muncul kembali sebagai Tiggo 5x (nama SUV kompak tersebut di negara asalnya), di Indonesia International Motor Show (IIMS).

    Melalui laporan berita yang disiarkan, SUV tersebut akhirnya dilancarkan di republik itu, dengan ditawarkan dalam dua varian iaitu Classic dan Champion. Kedua-duanya menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter NA bersama transmisi CVT, menghasilkan 111 hp dan 138 Nm.

    Berkenaan harga, Classic dijual pada 249 juta Rupiah (RM71,750), manakala Champion 279 juta Rupiah (RM80,400). Semasa pelancarannya semalam, Chery Indonesia mengumumkan harga istimewa untuk 1,000 pelanggan pertama, di mana kedua-duanya dikurangkan sebanyak 10 juta Rupiah (RM2,900).

    Untuk pasaran Indonesia, Tiggo 5x datang dengan jaminan kenderaan selama enam tahun dan program servis percuma empat tahun, tetapi ia tidak terhenti setakat di situ. Chery Indonesia juga menambah jaminan untuk enjin sehingga 1,000,000 km serta jaminan harga jualan semula 70% daripada harga beli.

    Di Malaysia, kita tahu Tiggo 4 Pro juga bakal tiba ke pasaran. Ia mula ditemui pada tahun 2021, sewaktu melalui ujian dan pernah dipertonton kepada awam pada tahun 2022. Berita terbaru adalah ia akan tiba pada separuh pertama tahun 2025, seperti yang diberitahu oleh Chery Malaysia April lalu.

    Walaubagaimanapun kita perlu menunggu sama ada model pasaran Malaysia ini akan menerima muka hadapan facelift 2024 ataupun tidak. Selain daripada itu, adakah kita juga akan menerima enjin yang lebih berkuasa, iaitu unit empat silinder 1.5 liter turbo yang berkuasa 147 PS dan 210 Nm.

    GALERI: Chery Tiggo 4 Pro yang dipertonton di Malaysia

     
     
  • Rekaan Perodua Axia D74A menang Anugerah Malaysia Good Design 2023/2024 dari MRM

    Rekaan Perodua Axia D74A menang Anugerah Malaysia Good Design 2023/2024 dari MRM

    Perodua Axia generasi kedua (D74A) telah pun diumumkan sebagai pemenang anugerah Malaysia Good Design 2023/2024 untuk kategori Produk Kawasan Umum dan Kenderaan yang mengiktiraf rekabentuk hatchback kompak tersebut sebagai produk tempatan dengan rekaan terbaik dalam kategori itu.

    Anugerah Malaysia Good Design ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) yang mengiktiraf reka bentuk asli produk-produk baharu tempatan yang telah berada tidak melebihi dua tahun dalam pasaran, di mana proses penilaian pemenang akan dilakukan secara tiga fasa setiap tahun. Antara model kenderaan yang pernah memenangi anugerah tersebut sebelum ini termasuk Proton Perdana 2016, Perodua Bezza dan juga Alza generasi kedua.

    Axia D74A dilancarkan pada pasaran tempatan pada Februari 2023. Model generasi baharu ini diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), seterusnya menampilkan saiz lebih besar dengan dimensi 115 mm lebih panjang, 45 mm lebih lebar serta jarak roda 70 mm lebih jauh dari generasi sebelumnya.

    Ia masih dijana oleh enjin 1.0 liter tige-silinder NA 1KR-VE, namun diberikan kotak gear Dual-Mode CVT (D-CVT) bagi memberikan prestasi dan penggunaan bahan api yang lebih baik.

    Model generasi kedua ini juga datang dengan perincian keselamatan lebih maju dengan model varian tertinggi Axia AV menerima enam-beg udara, amaran keluar laluan, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang serta sistem bantuan pemandua ASA 3.0 memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik dan amaran pergerakan kenderaan hadapan.

    Perodua Axia D74A ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM38,600 untuk varian asas 1.0L G, diikuti varian 1.0L X berharga RM40,000, 1.0L SE berharga RM44,000 serta varian tertinggi 1.0L AV berharga RM49,500.

     
     
  • Laluan Smart Lane diaktifkan di beberapa lokasi di Lebuhraya SKVE, dari 6.30 pagi hingga 6.30 petang

    Laluan Smart Lane diaktifkan di beberapa lokasi di Lebuhraya SKVE, dari 6.30 pagi hingga 6.30 petang

    Klik untuk besarkan

    SKVE Holdings selaku pengendali Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) memaklumkan bahawa laluan Smart Lane mula diaktifkan sejak 6 Jun lalu di beberapa lokasi di sepanjang lebuhraya berkenaan. Di mana laluan Smart Lane berkenaan diaktifkan dari jam 6.30 pagi hingga 6.30 petang.

    Lokasi yang terlibat ialah KM 28 (arah barat) di Lebuhraya SILK ke KM 1.1 (arah barat) Lebuhraya SKVE menghala ke Putrajaya dan susur ke Hospital Serdang. Selain itu ia turut melibatkan KM 0.0 – KM 1.1 (arah barat) dan KM 0.4 – KM 0.3 (arah timur).

    Pengaktifan laluan Smart Lane ini dilaksanakan bagi penyuraian trafik terutamanya pada waktu puncak pagi dan petang. Bagi yang melalui lokasi berkenaan, sila berhati-hati dan lebih bertimbang rasa di dalam pemanduan.

     
     
  • Projek LRT3: Dua lorong di Persiaran Kerjaya arah Subang ditutup berselang-seli pada 15 Jun-30 Nov

    Projek LRT3: Dua lorong di Persiaran Kerjaya arah Subang ditutup berselang-seli pada 15 Jun-30 Nov

    Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd selaku pihak kontraktor bagi projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) telah memaklumkan bahawa dua lorong di Persiaran Kerjaya (arah Subang), bertentangan dengan CIMB Bank Glenmarie, Jalan Pensyarah U1/28 akan ditutup berselang-seli mulai esok (15 Jun) sehingga 30 November 2024. Penutupan laluan tersebut hanya dilakukan dari jam 10 malam hingga 5 pagi pada setiap Isnin hingga Sabtu.

    Sepanjang penutupan laluan berkenaan, pengguna yang datang dari arah Lebuhraya Guthrie dan Jalan Subang (arah Subang) menghala ke Subang akan dilencongkan ke Jalan Kontraktor U1/14, Jalan Majistret U1/26, Jalan Hakim U1/24 sebelum kembali ke Persiaran Kerjaya. Sila rujuk peta di atas untuk mengetahui laluan yang terlibat.

    “Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku kepada orang ramai. Untuk pertanyaan, sila hubungi talian bantuan LRT3 di 1-800-18-2585 dari Isnin hingga Jumaat, “kata kenyataan yang dikeluarkan itu.

    Perkhidmatan LRT3 atau akan dikenali sebagai LRT Laluan Shah Alam ini melibatkan jajaran sepanjang 37.8 km ini. Ia menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Bandar Utama merupakan salah satu hentian bagi MRT Laluan Kajang, manakala salah satu stesen pertukarannya terletak di Glenmarie iaitu bagi LRT Laluan Kelana Jaya.

     
     
  • Pengusaha trak tunda naikkan harga perkhidmatan susulan subsidi diesel bersasar diberi notis – KPDN

    Pengusaha trak tunda naikkan harga perkhidmatan susulan subsidi diesel bersasar diberi notis – KPDN

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telaah mengeluarkan notis terhadap sebuah syarikat perkhidmatan trak tunda kenderaan di Ulu Tiram yang menaikkan harga perkhidmatan dengan alasan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

    Menurut Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, notis diberikan kepada syarikat berkenaan kelmarin bagi mereka memberi jawapan dalam tempoh antara tujuh hingga 14 hari, laporan Berita Harian.

    Katanya, KPDN Johor mengeluarkan notis kepada syarikat berkenaan berikutan pengumuman mereka pada Isnin lalu yang memaklumkan peningkatan harga perkhidmatan atas dakwaan peningkatan kos operasi susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar diumumkan kerajaan.

    “Notis itu bagi syarikat berkenaan memberi maklum balas terutama bukti dokumentasi dan justifikasi kenaikan kos operasi mereka yang dikaitkan dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel bermula Isnin lalu. Sebelum ini pun syarikat perkhidmatan tunda tidak layak menerima subsidi diesel dan mereka membayar diesel pada harga komersial, jadi kita nak teliti bukti sama ada berlaku pencatutan harga dengan mengambil kesempatan rasionalisasi subsidi diesel.

    “Jika syarikat terbabit gagal mengemukakan bukti kukuh terutama dari segi dokumentasi, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011),” katanya.

    Selepas pengumuman kenaikan harga diesel yang kini pada paras RM3.35 seliter mulai 10 Jun 2024, beberapa syarikat perkhidmatan dan pengeluar telah memuatnaik notis pengumuman kenaikan harga barangan dan perkhidmatan masing-masing menerusi laman media sosial. Bukan setakat trak tunda, beberapa syarikat perkhidmatan bas sekolah dan jengkaut turut menaikkan harga perkhidmatan disebabkan faktor yang sama.

     
     
  • JPJ laksana Operasi Khas Hari Raya Aidiladha hingga 30 Jun 2024 – fokus sembilan kesalahan utama

    JPJ laksana Operasi Khas Hari Raya Aidiladha hingga 30 Jun 2024 – fokus sembilan kesalahan utama

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Operasi Khas Hari Raya AIdiladha (HRAA) 2024 yang bermula sejak 10 Jun lalu dan akan berlangsung hingga 30 Jun ini. Operasi Khas HRAA ini bertujuan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia (MOT), Datuk Haji Hasbi Haji Habibollah, menerusi operasi berkenaan, sebanyak sembilan kesalahan utama yang difokuskan antaranya memandu melebihi had laju, gagal mematuhi peraturan lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan memandu kenderaan berat di lorong laju.

    Selain itu, ia turut memfokuskan kesalahan memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, tidak memakai tali pingang keledar atau topi keledar, overloading dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

    JPJ laksana Operasi Khas Hari Raya Aidiladha hingga 30 Jun 2024 – fokus sembilan kesalahan utama

    “MOT dan JPJ sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya terpelihara seterusnya mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50% menjelang tahun 2030,” katanya sewaktu hadir ke Program Kesedaran dan Advokasi Bersasar Kepada Pengguna Jalan Raya bersempena perayaan Hari Raya Aidiladha 2024 (SAFER HRAA 2024) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kelmarin.

    Program SAFER HRAA 2024 merupakan program turun padang yang menyasarkan kepada pengguna pengangkutan awam yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas.

     
     
  • RON95 mungkin naik pada Julai atau Oktober – MIER

    RON95 mungkin naik pada Julai atau Oktober – MIER

    Selepas penyasaran subsidi diesel dibuat 10 Jun lalu yang menyebabkan harga bahan api tersebut naik dari RM2.12 kepada RM3.35 seliter, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan perkara yang sama turut akan berlaku terhadap bahan api petrol RON95 tidak lama lagi.

    Menurut Pengarah Eksekutif MIER Dr Anthony Dass dalam laporan Bernama, “pelarasan minimum” dengan kenaikan yang tidak ketara untuk subsidi RON95 dijangka akan dilaksanakan pada Julai atau Oktober tahun ini selepas kesan rasionalisasi subsidi diesel dinilai.

    “Kita perlu melihat kesan (rasionalisasi subsidi diesel)…jadi mungkin kita perlu memberikan tempoh penangguhan dari tiga hingga enam bulan.

    “Kita perlu melihat analisis kesannya terlebih dahulu dan cara orang ramai menyesuaikan diri. Daripada itu, kerajaan boleh membuat pelarasan (subsidi) seterusnya kepada RON95.

    “Saya fikir ia mungkin pada Oktober kerana memberi mereka (kerajaan) ruang yang luas bagi melihat analisis impak,” katanya.

    Dass turut menyatakan bahawa kesan pelarasan diesel ini sebenarnya hampir boleh diabaikan kerana sumbangan bahan api itu kepada bakul indeks harga pengguna (CPI) hanya memberi kesan sebanyak 0.2 peratus. Namun untuk petrol RON95, sumbangannya kepada bakul CPI adalah kira-kira 5.5 peratus.

     
     
  • Harley-Davidson Hydra Glide Revival tiba di Malaysia – terhad 1,750 unit, konsep rekaan 50-an, RM176,900

    Harley-Davidson Hydra Glide Revival tiba di Malaysia – terhad 1,750 unit, konsep rekaan 50-an, RM176,900

    Satu lagi model edisi terhad daripada Harley-Davidson, iaitu Hydra Glide Revival 2024 tiba di Malaysia, dengan dijual pada harga RM176,900 tidak termasuk insurans. Model ini cuma dikeluarkan sebanyak 1,750 unit dan Malaysia setakat ini menerima lima unit untuk jualan.

    Seperti yang boleh dilihat melalui penampilannya, model ini membawa kembali konsep rekaan seperti Hydra Glide tahun 50-an, termasuk penggunaan pemegang serta penghadang angin yang tinggi, fender hadapan dan belakang labuh serta susun atur beberapa lampu bulat di hadapan.

    Warna merah yang digunakan pada model ini dipanggil sebagai Redline Red, dan ia diserikan dengan kemasan krom serta jalur putih Birch White. Lencana yang terdapat pada bahagian tepi tangki motosikal ini juga menggunakan bentuk yang sama seperti model tahun 50-an.

    Model ini juga datang secara standard dengan tetapan tempat duduk tunggal dan beg tepi yang dibalut kulit. Bagi menjelaskan lagi ini adalah model keluaran terhad, terdapat plat nombor keluaran di bahagian pemegang serta pelekat Icons Collection Limited Edition di bahagian fender belakang.

    Hydra Glide Revival 2024 dipacu oleh enjin v-twin Milwaukee Eight 114 (kapasiti 1,868 cc) bersama padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 94 hp pada 5,020 rpm dan tork 156 Nm. Kuasa ini dihantar kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.

    Memegang rim 16 inci motosikal ini adalah fork teleskopik 49 mm di hadapan, dan monoshock 43 mm dengan pelarasan pra beban di belakang. Tugas membrek dilaksana oleh cakera dengan angkup empat piston tunggal di hadapan dan dua piston di belakang. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 332 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 18.9 liter.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025