Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kia EV9 2024 dibuka tempahan di Malaysia – pengedar kata dua varian, jangkaan RM450k, lancar Mei ini

    Kia EV9 2024 dibuka tempahan di Malaysia – pengedar kata dua varian, jangkaan RM450k, lancar Mei ini

    Kia Malaysia telah mengumumkan menerusi laman Facebook rasminya bahawa tempahan bagi Kia EV9 kini telah dibuka. Walau bagaimana pun, syarikat ini masih belum memberikan sebarang perincian termasuk varian dan harganya. Namun selepas bertanya kepada beberapa pengedarnya, mereka berkata terdapat dua varian iaitu enam- dan tujuh-tempat duduk, dijangka berharga sekitar RM450k dan bakal dilancarkan pada Mei ini.

    Sebelum ini, ia juga pernah dikesan di Glenmarie, Selangor, dan kami sendiri pernah melihat secara lebih dekat dengan SUV ini di Bangkok International Motor Show (BIMS) dan juga Singapore Motorshow. Apabila dilancarkan di sini, EV9 bakal menyertai EV6 dan Niro EV dalam barisan kenderaan elektrik (EV) Kia Malaysia.

    Di Thailand, EV9 ditawarkan dengan dua varian, kedua-duanya diberikan bateri lithium-ion 99.8-kWh. Jika menggunakan pengecas pantas DC maksima 350 kW, ia boleh mencapai tahap pengecasan 10-80% dalam masa 24 minit. Manakala jika menggunakan pengecas AC (Type 2), ia mengambil masa sekitar sembilan jam dan 45 minit untuk mencapai tahap 10-80%. Ia juga boleh berfungsi sebagai sistem vehicle-to-load berkapasiti hingga 3.58 kW untuk menyalurkan kuasa aksesori dan peranti elektrik.

    Untuk model asas, Earth Long Range, ia mampu memberikan jarak gerak hingga 680 km (NEDC) dan motor elektrik yang dipasang di belakang mampu memberikan kuasa hingga 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 350 Nm. Membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.4 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai pada 185 km/j.

    Bagi spesifikasi tertinggi GT-Line AWD pula, ia menerima dwi-motor dan larasan pacuan semua-roda dengan keseluruhan kuasa cecah 385 PS (380 hp atau 283 kW) dan 700 Nm – berkeupayaan memecut 0-100 km/j dama 5.3 saat, mencapai kelajuan maksimum cecah 200 km/j dan jarak gerak hingga 647 km (NEDC).

    Kedua-dua varian EV9 untuk spesifikasi Thailand diberikan bentangan tempat duduk 2-2-2, dengan Earth Long Range diberikan tempat duduk larasan manual dan barisan kedua yang boleh dipusingkan. Semantara GT-Line AWD didatangkan dengan tempat duduk relaxation dengan larasan elektrikal tetapi tidak boleh dipusingkan, dan diberikan fungsi pemanas, ottoman dan urut. Versi tujuh-tempat duduk (bentangan 2-3-2) bagi EV9 memilih bangku pada barisan kedua dengan fungsi one-touch tilt dan boleh ditolak ke tepi.

    Pasaran Singapura pula menerima varian GT-Line dengan penjana kuasa AWD (jarak gerak 512 km memgikut WLTP) dan pilihan sama ada tempat duduk relaxation atau yang boleh dipusing. Untuk lain-lain pasaran, SUV ini juga ditawarkan dengan bateri standard 76.1 kWh dan motor elektrik belakang dengan kuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 350 Nm.

    GALERI: Kia EV9 di Bangkok International Motor Show 2024

     
     
  • Perantau Kelantan yang pulang beraya disaran guna Jalan Gua Musang-Jeli sebagai laluan alternatif – JKR

    Perantau Kelantan yang pulang beraya disaran guna Jalan Gua Musang-Jeli sebagai laluan alternatif – JKR

    Bermula malam ini mungkin ramai yang bakal memandu pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kebanyakan lebuhraya utama juga dijangkakan bakal mengalami kesesakan lalu lintas ‘luar biasa’ kerana jumlah trafik yang berlipat kali ganda. Jadi, anda juga digalakkan untuk menggunakan laluan alternatif sekiranya ada.

    Bagi yang mahu pulang ke Kelantan, Jabatan Kerja Raya (JKR) menyarankan perantau agar menggunakan laluan FT04 iaitu Jalan Gua Musang-Jeli sebagai laluan penyuraian trafik pada musim perayaan ini. Menurut Pengarah JKR negeri, Mohd Suhaili Ismail, pemandu yang menghala ke Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat, dinasihatkan agar menggunakan laluan terbabit bagi menampung jangkaan pertambahan mendadak kenderaan yang memasuki negeri ini melalui jalan Gua Musang-Kuala Lipis bermula hari ini, laporan Bernama.

    Katanya, langkah berkenaan merupakan inisiatif mitigasi daripada JKR dalam mengurangkan kesesakan jalan raya di pintu masuk utama Kelantan.

    “Kebiasaannya pengguna jalan raya akan tertumpu kepada laluan Gua Musang-Kuala Krai (FT08), jadi kita minta kerjasama perantau untuk menukar laluan menggunakan jalan Gua Musang-Jeli (FT04). Beberapa papan tanda akan diletakkan untuk memaklumkan perantau supaya menggunakan laluan ini. Dengan ini, kita dapat mengurangkan jarak kesesakan jalan Gua Musang-Kuala Krai,” katanya.

    Perantau Kelantan yang pulang beraya disaran guna Jalan Gua Musang-Jeli sebagai laluan alternatif – JKR

    Beliau turut berkata, pihaknya akan mula membuka laluan sempit di Bulatan Tanah Putih menghala ke Taman Wangi serta bandar Gua Musang.

    “Laluan itu pada awalnya disempitkan bagi mengelakkan dimasuki kenderaan berat, namun bermula 6 April ini, kita akan melebarkannya semula sebagai persediaan menerima kemasukan kenderaan perantau yang dijangka mula pulang beraya bermula Jumaat (hari ini) ini.

    “Kita juga minta kerjasama penuh daripada Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sekiranya perlu menempatkan anggota secara statik terutamanya di laluan sempit di sempadan Merapoh, Pahang dan Kampung Mentara, Gua Musang memandangkan lokasi tersebut kerap berlaku trafik yang tidak terkawal seperti berebut dan potong barisan,” katanya.

    Tambahnya, JKR juga mengekalkan laluan dua hala dari Bulatan Tanah Putih menghala ke Taman Wangi sepanjang cuti perayaan ini.

    “Sekiranya berlaku kesesakan melampau, kita akan mengumumkan makluman berkenaan perubahan kelak. JKR akan mengambil tindakan dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi semasa termasuklah menggunakan semula jalan alternatif seperti tahun sebelumnya,” katanya.

     
     
  • Stellantis bakal bawa Jeep dan Citroen kembali ke Malaysia, Leapmotor tawar EV harga mampu milik

    Stellantis bakal bawa Jeep dan Citroen kembali ke Malaysia, Leapmotor tawar EV harga mampu milik

    Seperti yang kita tahu, Stellantis sudahpun menubuhkan Syarikat Jualan Nasional (NSC) baharu di Malaysia pada Mac tahun ini. Syarikat tersebut akan menguruskan jualan dan khidmat selepas jualannya di Malaysia untuk jenama-jenama di bawah Stellantis, bermula dengan mengambil alih hak pengedaran dan jualan model-model Peugeot di Malaysia dari pengedar sedia ada iaitu Bermaz Auto Alliance (BAA) pada hujung tahun lalu.

    Apa selepas ini? Adakah dengan kehadiran Stellantis sendiri ke Malaysia bakal membawa lebih banyak jenama di bawah payung kumpulan automotif tersebut ke sini?

    Dalam pendedahan rancangannya untuk 2024 di Malaysia baru-baru ini, Stellantis Malaysia mengesahkan bahawa ia membawa semula jenama Jeep dan juga Citroen kembali ke sini, serta bakal memperkenalkan jenama kenderaan elektrik (EV) mampu milik iaitu Leapmotor.

    Stellantis bakal bawa Jeep dan Citroen kembali ke Malaysia, Leapmotor tawar EV harga mampu milik

    Jeep yang merupakan pembuat SUV dari Amerika Syarikat akan memenuhi segmen gaya hidup rekreasi dan ia adalah lebih premium berbanding Peugeot. Malah Peugeot juga diletakkan sebagai jenama yang lebih tinggi dari pasaran arus perdana, namun untuk Citroen yang juga berasal dari Perancis, ia akan bersaing dalam segmen pasaran besar-besaran dengan harga yang lebih kompetitif.

    Stellantis Malaysia sudahpun mengesahkan bahawa versi EV untuk Peugeot 2008 iaitu e-2008 bakal dilancarkan di Malaysia pada pertengahan tahun ini. Menurut COO Stellantis untuk ASEAN dan pengedaran am Daniel Gonzalez, Stellantis masih belum menetapkan harga untuk model tersebut, dan ia harus dibezakan dengan model-model EV Leapmotor kelak yang akan diletakkan pada segmen lebih mampu milik.

    Di Eropah, Stellantis dilaporkan bersedia untuk menghasilkan EV Leapmotor di sebuah kilang di Tychy, Poland, dan baru-baru ini turut dilaporkan bahawa pengeluaran Leapmotor juga dipertimbangkan untuk dibuat di kilang Fiat di Mirafiori, Turin di Itali.

     
     
  • Laluan kontra diaktifkan di CIQ BSI dan KSAB untuk kurangkan kesesakan lalu lintas – Imigresen Johor

    Laluan kontra diaktifkan di CIQ BSI dan KSAB untuk kurangkan kesesakan lalu lintas – Imigresen Johor

    Jabatan Imigresen Malaysia sedia mengaktifkan laluan kontra di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri sekiranya kesesakan lalu lintas berlaku di kedua-dua pintu masuk laluan darat Malaysia-Singapura pada Aidilfitri ini.

    Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan pelawat sempena Aidilfitri ini berbanding tahun lalu sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas. Berdasarkan statistik 2023, jumlah kemasukan pelawat untuk tiga hari iaitu sehari sebelum Hari Raya hingga Hari Raya kedua di kedua-dua pintu masuk adalah seramai 357,265 pelawat. Katanya, Jabatan Imigresen menganggarkan akan berlaku peningkatan pelawat yang akan masuk pada waktu sama pada tahun 2024.

    “Di laluan dewan bas BSI, penambahan 10 kaunter kontra kepada 22 kaunter manual asal akan dilaksanakan menjadikan bilangan sebanyak 32 kaunter. Manakala tambahan enam kaunter kontra kepada 20 kaunter auto menjadikan jumlah kaunter auto sebanyak 26 kaunter.

    Laluan kontra diaktifkan di CIQ BSI dan KSAB untuk kurangkan kesesakan lalu lintas – Imigresen Johor

    “Manakala di KSAB, pengaktifan laluan kontra di zon kereta sebanyak 12 kaunter tambahan kepada 24 kaunter di laluan masuk dan keluar mengikut kesesuaian aliran trafik dari semasa ke semasa. Selain itu, 12 kaunter hibrid juga digunakan untuk laluan motosikal jika keadaan memerlukan,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

    Tambahnya, Jabatan Imigresen akan memberikan pemakluman awal 30 minit sebelum melakukan pengaktifan laluan kontra. Selain berkongsi maklumat aliran trafik dan keadaan semasa di dua pintu masuk utama menerusi media sosial rasmi jabatan dari semasa ke semasa sepanjang musim perayaan.

    Selain itu, dalam masa yang sama, Kumpulan Quick Response Team (QRT) akan bertugas pada syif pagi dan petang bagi memberi fokus kepada kawalan lokasi yang mengalami kesesakan, katanya.

     
     
  • JPJ Selangor tugaskan 382 pegawai untuk Op Khas Aidilfitri hingga 20 April – tumpu 9 kesalahan utama

    JPJ Selangor tugaskan 382 pegawai untuk Op Khas Aidilfitri hingga 20 April – tumpu 9 kesalahan utama

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menugaskan seramai 382 pegawai dan anggota untuk memantau dan menguatkuasakan peraturan jalan raya dalam Op Khas sempena Hari Raya Aidilfitri hingga 20 April ini, laporan Bernama.

    Operasi berkenaan dilancarkan bertujuan memantau kelancaran pergerakan perjalanan pengguna jalan raya selain memastikan operasi perkhidmatan pengangkutan awam berjalan lancar serta selamat, menurut Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

    Tambah beliau, menerusi operasi berkenaan, pihaknya akan memperbanyakkan rondaan dan pemantauan di jalan-jalan utama dan lokasi berisiko berlaku kemalangan.

    “Penguatkuasaan yang tegas akan dijalankan bagi sembilan kesalahan utama antaranya melibatkan memandu melebihi had laju, tidak patuh lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong barisan dan memandu di lorong kecemasan.

    “Dalam op ini anggota kami juga akan membuat pemeriksaan teknikal terhadap bas-bas di depoh bagi memastikan aspek keselamatan diutamakan,” katanya.

    Untuk semua pengguna jalan raya, sila patuhi undang-undang lalu lintas. Jika anda buat ikut suka, kalau kena saman, jangan pula nak salahkan pihak penguatkuasa.

     
     
  • Mahkamah denda pemilik bengkel RM4,000 kerana gagal kemuka maklumat pembaikan kenderaan

    Mahkamah denda pemilik bengkel RM4,000 kerana gagal kemuka maklumat pembaikan kenderaan

    Kerana gagal untuk memberi kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan yang akan dilakukan ke atas sebuah kenderaan milik seorang pelanggan, seorang pemilik bengkel dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 atau penjara dua minggu jika gagal membayarnya oleh Mahkamah Majistret Bentong, Pahang pada 3 April lalu.

    Menurut Pengarah KPDN Pahang, Jeslily Jamaludin dalam laporan Malaysia Gazette, Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7, Peraturan- Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002.

    “Berdasarkan fakta kes, pasukan Pegawai Penguat kuasa KPDN Raub telah menjalankan siasatan aduan ke atas sebuah premis pada 18 Ogos 2022,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Laporan itu turut menyebut kes ini bermula apabila pihak KPDN menerima aduan yang menyatakan premis tersebut gagal mengemukakan kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux sebelum kerja-kerja pembaikan menyebabkan pemilik kenderaan tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan selepas kerja-kerja pembaikan dilakukan.

    Dalam kenyataan yang sama Jeslily turut mengalu-alukan pengguna untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga kementerian dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga.

     
     
  • BYD tunjuk trak pikap — lawan Toyota Hilux PHEV, enjin 1.5L turbo, 687 PS/760 Nm, jarak 1,200 km

    BYD tunjuk trak pikap — lawan Toyota Hilux PHEV, enjin 1.5L turbo, 687 PS/760 Nm, jarak 1,200 km

    BYD terus melebarkan penawarannya dalam segmen kenderaan EV dengan memberi tumpuan pula kepada trak pikap. Ini beberapa imej pertama trak pikap berkenaan yang telah disahkan akan memasuki pasaran global tak lama lagi.

    Belum ada nama yang didedahkan, trak pikap BYD ini disasarkan untuk menyaingi model terkenal seperti Toyota Hilux, Ford Ranger dan Mitsubishi Triton. Dan, melihat kepada imej awal ini, ia kemungkinan besar menggunakan asas daripada Bao Leopard 5, trak 4×4 yang baru saja dipamerkan di Bangkok Motor Show.

    Walaupun tampil dengan pelekat samaran biru dan oren, beberapa perinciannya tetap dapat dilihat dengan jelas. Misalnya rekaan lampu utama menegak (dengan dua projektor dan jalur DRL), gril besar, skid plate depan yang nampak ketara serta bahagian fender yang juga menonjol serta lampu belakang menegak.

    BYD tunjuk trak pikap — lawan Toyota Hilux PHEV, enjin 1.5L turbo, 687 PS/760 Nm, jarak 1,200 km

    Di dalam, trak ini berkongsi banyak persamaan dengan Bao Leopard 5, termasuklah paparan instrumen 12.3-inci, skrin sentuh infotainmen 15.6-inci, corong pendingin di sudut yang menegak serta rekaan suis besar dan tombol gear lebar menjadi antara keunikannya. Rekaan keseluruhan papan pemuka pula nampak ada perbezaan dengan panel bentuk H yang digunakan.

    Belum ada perincian teknikal yang didedahkan, namun seperti kebanyakan model BYD yang ada, ia tentulah akan melibatkan teknologi elektrifikasi yang sama dengan Bao Leopard 5. Ini terdiri daripada enjin 1.5 liter turbocas petrol dengan janaan 194 PS dan 273 Nm tork, digandingkan dengan dua motor elektrik — satu di depan dan satu di belakang — yang menjana 272 PS dan 360 Nm di depan, dan 387 PS dan 400 Nm di belakang. Output keseluruhannya ialah 687 PS dan 760 Nm.

    BYD tunjuk trak pikap — lawan Toyota Hilux PHEV, enjin 1.5L turbo, 687 PS/760 Nm, jarak 1,200 km

    Baterinya pula menggunakan unit Blade lithium iron phosphate (LFP) 31.8 kWh: dalam Bao Leopard 5, ia menyediakan jarak perjalanan 125 km mengikut standard CLTC — dengan enjin petrol itu, jarak keseluruhan mampu mencecah 1,200 km. Dengan kemampuan pengecasan 100 kW DC, ini membolehkan kadar kuasanya ditambah dari 30-80% dalam masa 16 minit, serta ada sekali fungsi vehicle-to-load (V2L) 6 kW.

    Trak pikap BYD telah pun disahkan akan tiba ke pasaran Australia dan Afrika Selatan. Ini juga membuka kemungkinan bahawa ia akan turut dijual di pasaran Asia Tenggara seperti Thailand dan Malaysia.

     
     
  • UMW Toyota jual 23,444 unit bagi Q1 2024, turun 7% berbanding 2023 — fokus tenaga baharu bersih

    UMW Toyota jual 23,444 unit bagi Q1 2024, turun 7% berbanding 2023 — fokus tenaga baharu bersih

    Bagi bulan Mac 2024, UMW Toyota Motor (UMWT) jualan keseluruhan sebanyak 9,688 unit kenderaan yang terdiri daripada 9,471 unit kenderaan Toyota dan 217 unit Lexus. Ini menjadikan jumlah jualan tahunan setakat ini bagi suku pertamanya adalah 23,444 unit. Jika dibandingkan dengan pencapaian suku pertama tahun 2023 yang mencatatkan jualan 25,219 unit, angka terbaru ini adalah sekitar 7% menurun.

    Selain itu, UMWT bulan ini bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan menyerahkan sebuah Toyota Mirai yang menggunakan hydrogen fuel-cell sebagai tanda untuk menunjukkan keberkesanan dan praktikaliti kenderaan dikuasakan hidrogen sebagai penyelesaian mobiliti di sini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri MOSTI, Chang Lih Kang juga berpeluang mencuba sendiri teknologi tersebut.

    Menurut UMWT, langkah tersebut adalah sebahagian daripada komitmen lebih meluas ke arah nuetraliti karbon, yang selari dengan Hydrogen Economy and Technology Roadmap (HETR) Malaysia.

    UMW Toyota jual 23,444 unit bagi Q1 2024, turun 7% berbanding 2023 — fokus tenaga baharu bersih

    “Di Toyota, kami percaya dalam menawarkan pelbagai pilihan ke arah neutraliti karbon, di mana kami menawarkan penyelesaian elektrifikasi yang termasuk tenaga alternatif bersih. Peranan kami melangkau pengilangan, dan melihat kami sebagai rakan dalam perjalanan Malaysia ke arah masa depan mapan dan mesra alam. Kami komited untuk terus memupuk dunia yang lebih mapan, hijau dan terhubungkan,” jelas Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

    Mac lalu juga UMWT memperkenalkan Toyota Hiace Panel Van 3.0L baru, dengan prestasi, kecekapan dan aspek mesra alam yang dipertingkat berbanding model 2.5L sebelum ini. Dijual dengan harga RM123,000, van dua-tempat duduk itu mempunyai panjang ruang barangan 2,930 mm dan radius pusingan lima meter.

    UMW Toyota jual 23,444 unit bagi Q1 2024, turun 7% berbanding 2023 — fokus tenaga baharu bersih

    Minggu ini juga UMWT mengumumkan mula mengambil tempahan bagi Toyota Hiace Super Long Wheelbase (SLWB) 10-tempat duduk, sebuah van dengan panjang hampir enam meter dan menggunakan enjin turbodiesel 2.8 liter dengan janaan 177 PS/450 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dengan harga bermula RM169,000.

    Sempena musim Raya, UMWT turut menganjurkan kempen “Kegembiraan Aidilfitri Bersama Toyota” sepanjang April ini, dengan menawarkan pembiayaan sehingga 100% bagi model terpilih. Ada juga potongan harga, termasuk diskaun hingga RM7,500 untuk Yaris.

     
     
  • Proton catat jualan 12,666 unit pada Mac 2024 – perkongsian pasaran 19.3%; Saga, S70 terlaris

    Proton catat jualan 12,666 unit pada Mac 2024 – perkongsian pasaran 19.3%; Saga, S70 terlaris

    Proton telah mengumumkan rekod jualan untuk Mac 2024 mencecah 12,666 unit bagi pasaran domestik dan eksport, menunjukkan peningkatan sebanyak 6.88% (atau 936 unit) berbanding 13,602 unit pada Februari. Manakala jualan bagi suku pertama 2024 pula berjumlah 39,150 unit dengan pasaran eksport 63% lebih tinggi daripada tahun lepas. Pegangan pasaran untuk Proton pula dianggarkan pada 19.3%, kedua tertinggi di antara semua jenama automotif.

    Memang tidak mengejutkan apabila model Saga terus menjadi ‘raja’ bagi jenama ini, dengan 5,906 unit telah terjual pada Mac, termasuk 93 unit untuk pasaran eksport. Syarikat itu berkata bahawa 18,247 unit yang dijual pada suku pertama (Q1) memberikan model prestasi Q1 paling utuh dalam tempoh 12 tahun.

    Sedan S70 pula telah membuka segmen pasaran baharu bagi Proton dengan 2,072 unit dijual pada bulan Mac (35 unit eksport) menjadikan jumlah jualan bagi suku pertama 5,828 unit. Walaupun jumlah pengeluaran masih mengejar permintaan, peneraju kelas sedan segmen C kini menjadi model kedua terlaris dalam rangkaian Proton.

    Proton catat jualan 12,666 unit pada Mac 2024 – perkongsian pasaran 19.3%; Saga, S70 terlaris

    Proton juga kekal sebagai salah sebuah jenama utama dalam pasaran SUV dengan tiga modelnya. Model X50 mencapai 1,626 unit, manakala X70 mengalami peningkatan sebanyak 35.5% berbanding bulan sebelumnya dengan 603 unit dijual. NEV pertama syarikat, X90, mengekalkan kedudukan kukuhnya di pasaran SUV segmen-D dengan 326 unit di hantarkan kepada pelanggan pada bulan Mac.

    Manakala jualan Persona sebanyak 1,665 unit pula menjadikan jumlah jualan suku pertama meningkat kepada 5,370 unit dan meletakkannya sebagai sedan segmen B kedua paling popular di negara ini manakala Iriz mencapai 468 unit pada bulan Mac dan 1,534 unit untuk suku tersebut dan dapat mengekalkan kedudukan keempat dalam segmen pasarannya.

    “Suku pertama tahun 2024 berakhir secara positif untuk Proton. Tanpa faktor luaran yang menggalakkan
    pertumbuhan jualan tahun ini, angka yang dicapai menawarkan bacaan permintaan pasaran yang lebih tepat.
    Industri automotif di Malaysia terus rancak dan ini terbukti dengan pertumbuhan keseluruhan dalam TIV.

    “Kami yakin dapat memenuhi sasaran pertumbuhan sambil berusaha ke arah komitmen yang lain seperti pembangunan dan pengenalan model EV berjenama sendiri pada masa hadapan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

     
     
  • Proton Saga catat jualan suku pertama terbaik sejak 2013 – 18,247 unit telah terjual pada Q1 2024

    Proton Saga catat jualan suku pertama terbaik sejak 2013 – 18,247 unit telah terjual pada Q1 2024

    Proton hari ini mengumumkan bahawa sedan segmen-A Proton Saga telahpun mencatatkan rekod jualan baharu, iaitu jualan untuk tempoh suku pertama tahunan terbaik sejak 2013 di mana model berkenaan berjaya dijual sebanyak 18,247 unit pada tiga bulan pertama tahun ini.

    Untuk bulan Mac sahaja, sebanyak 5,906 unit (termasuk 93 unit yang dieksport) Saga telah berjaya dijual, meletakkan ia sebagai sedan segmen-A nombor dua terlaris dalam negara.

    Walau bagaimanapun, angka jualan suku pertama 2024 tersebut sebenarnya adalah lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu di mana sebanyak 6,313 unit Saga berjaya dijual sepanjang Mac 2023. Namun jika dihitung angka jualan kumulatif suku pertama 2024, ia adalah lebih tinggi dari jualan suku pertama 2023 di mana model ini terjual sebanyak 17,446 unit ketika itu.

    Tahun lepas, Proton dapat menjual sejumlah 70,184 unit Saga, jadi angka jualan Q1 2024 ini ialah 26% lebih tinggi daripada itu. Saga juga merupakan model paling laris dalam barisan model-model Proton buat masa sekarang, namun ia berada di kedudukan kedua dalam kelasnya.

    Buat masa sekarang, semua varian Saga dijana oleh enjin petrol 1.3 liter VVT empat silinder. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM34,800 untuk varian 1.3L Standard MT, diikuti 1.3L Standard berharga RM38,800, manakala varian tertinggi 1.3L Premium S AT pula dijual pada harga RM44,800.

     
     
  • Suzuki Raider R150Fi EWC1 dilancar untuk pasaran Malaysia – grafik inspirasi motosikal lumba, RM9k

    Suzuki Raider R150Fi EWC1 dilancar untuk pasaran Malaysia – grafik inspirasi motosikal lumba, RM9k

    Syarikat AMITEC, yang merupakan cabang bahagian penyelidikan dan pembangunan kejuruteraan sukan permotoran di bawah seliaan AFY Mobility Industries (AMI) memperkenalkan sebuah motosikal keluaran khas, Raider R150Fi EWC untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM8,988 tidak termasuk insurans.

    Menjadikan model ini istimewa adalah grafik badannya, yang mendapat inspirasi daripada motosikal Suzuki yang digunakan dalam perlumbaan World Endurance Series dan mengaut banyak kali kemenangan.

    Bahagian mekanikal tidak ada yang diubah, dan motosikal ini masih sama seperti Raider R150Fi yang dilancarkan di Malaysia pada bulan Mac tahun 2022. Ia dipacu oleh enjin empat strok, satu silinder, DOHC 147.3 cc, dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 18.2 hp pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Raider R150Fi juga menggunakan rekaan unik dengan fairing kecil untuk lampu hadapan, dan didatangkan dengan ciri moden seperti lampu jenis LED, meter digital LCD serta pemula enjin elektrik serta tendang. Kunci masih menggunakan unit konvensional yang perlu dicucuk seperti biasa dan bukannya sistem kunci pintar.

    Pada bahagian suspensi, motosikal yang juga dikenali sebagai Satria 150 di beberapa negara lain ini dilengkapi dengan fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan unit cakera tetapi bahagian hadapan mempunyai angkup dua piston. Tiada ABS pada model ini.

    Kelengkapan lain pada Raider R150 Fi adalah tangki bahan api empat liter, rim aluminium 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, berat keseluruhan 109 kg serta ruang simpanan kecil di bawah tempat duduk.

     
     
  • Toyota Urban Cruiser Taisor 2024 dilancar di India – enjin 1.2L NA atau 1.0L turbo, harga dari RM44k

    Toyota Urban Cruiser Taisor 2024 dilancar di India – enjin 1.2L NA atau 1.0L turbo, harga dari RM44k

    Ini adalah satu lagi produk hasil kerjasama Toyota dan Suzuki. Namanya adalah Toyota Urban Cruiser Taisor, baru dilancarkan di India dan menggunakan asas daripada Maruti Suzuki Fronx. Dengan ukuran bawah empat meter, SUV ini akan bersaing dalam pasaran dengan Nissan Magnite, Renault Kiger, Tata Nexon, Hyundai Venue, Kia Sonet dan Mahindra XUV300.

    Tiga enjin ditawarkan melalui Taisor ini, dengan yang pertama adalah unit petrol empat silinder 1.2 liter NA (K12N) berkuasa 90 PS (89 hp atau 66 kW) dan tork 113 Nm. Enjin Dualjet ini dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan atau automatik manual, dengan kuasa dihantar kepada roda hadapan.

    Seterusnya adalah unit tiga silinder turbo 1.0 liter (K10C) berkuasa 100 PS (99 hp atau 73.6 kW) dan tork 147.6 Nm. Enjin petrol ini juga dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan, serta pilihan automatik enam kelajuan. Akhir sekali adalah enjin K12N versi gas asli mampat (CNG), yang mampu menghasilkan 77 PS (76 hp atau 57 kW) dan 98.5 Nm, dipadankan hanya bersama transmisi manual lima kelajuan.

    Toyota Urban Cruiser Taisor 2024 dilancar di India – enjin 1.2L NA atau 1.0L turbo, harga dari RM44k

    Secara visualnya, Taisor ini nampak sama sahaja dengan Fronx, tetapi diberikan beberapa perubahan kecil oleh Toyota. Sebagai permulaan, anda boleh lihat corak DRL Taisor menggunakan garis melintang, manakala grilnya menggunakan kemasan dalaman yang berbeza. Pada bahagian belakang, pencahayaan lampu juga adalah berlainan.

    Bahagian dalam pula tidak mempunyai sebarang beza. Terletak di atas butang kawalan pendingin hawa adalah skrin sesentuh sama ada tujuh inci atau sembilan inci, bergantung kepada varian. Kemasan panel warna merah gelap dan hitam adalah standard untuk semua varian, bersama tempat duduk yang dibalut fabrik serta kelengkapan lain seperti sistem tanpa kunci, rim 16 inci, VSC, Hill Hold Assist, ABS, EBD, pengesan undur, ISOFIX serta dua beg udara.

    Varian yang lebih tinggi pula mendapat kelengkapan seperti lampu utama LED multi-reflector, beg udara sisi dan bidai, head-up display, kamera 360 darjah, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, enam pembesar suara, pad pengecas tanpa wayar, cruise control, corong udara di belakang serta telematik iConnect.

    Harga untuk Taisor bermula dari 773,500 rupees (sekitar RM44k) dan pergi sehingga 952,500 rupee (sekitar RM54k) untuk varian bukan turbo. Varian turbo dijual pada harga antara 1,055,500 ke 1,303,500 rupee (sekitar RM60k ke RM74k).

     
     
  • Kadar tol di Lebuhraya KESAS, Sprint, SMART dan LDP dikekalkan untuk 10 tahun akan datang – ALR

    Kadar tol di Lebuhraya KESAS, Sprint, SMART dan LDP dikekalkan untuk 10 tahun akan datang – ALR

    Empat lebuhraya yang dikendalikan oleh Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) tidak akan mengalami kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi masing-masing berakhir, laporan The Star. Lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Sprint, Lebuhrara Damansara-Puchong (LDP) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).

    Menurut CEO Kumpulan ALR Sazally Saidi, langkah itu dilihat mampu memberikan penjimatan yang dianggarkan RM800 juta hingga RM1 bilion pada jumlah tahunan asas.

    ALR ditubuhkan pada akhir 2021 sebagai entiti persendirian, bukan berasaskan keuntungan, dan tujuan khas untuk mmpercepatkan tempoh konsesi dipendekkan dan mengembalikan empat lebuhraya terbabit kepada kerajaan Malaysia. Pada Oktober 2022, ALR menyelesaikan pemerolehan semua sekuriti empat syarikat konsesi lebuhraya – KESAS, Sprint, Litrak dan SMART – yang menguruskan lebuhraya ini. Bulan yang sama juga menyaksikan ALR berjaya menerbitkan sukuk murabahah bernilai RM5.5 bilion untuk membiayai pengambilalihan.

    Kadar tol di Lebuhraya KESAS, Sprint, SMART dan LDP dikekalkan untuk 10 tahun akan datang – ALR

    Ketua Pegawai Korporat dan Transformasi Kumpulan, Low Jo-Lyn berkata kadar tol semasa untuk empat lebuhraya terbabit dijangka akan dikekalkan sekurang-kurang 10 tahun akan datang. “Sukuk ALR yang diterbitkan pada 2022 mempunyai tempoh matang selama 15 tahun tetapi lebih banyak trafik di lebuhraya kita, maka lebih pendek konsesi. Oleh itu, diramalkan bahawa ALR sepatutnya mampu membayar balik sukuk menjelang 2033 atau 2034,” jelas Low.

    Ia juga mendedahkan bahawa penyelesaian awal sukuk akan memendekkan konsesi tol kepada kerajaan dan struktur syarikat itu dijangka menjana anggaran RM500 juta dalam penjimatan langsung setahun daripada kumpulan lebuhraya itu untuk pengguna.

     
     
  • Proton S70 – sedan segmen-C paling laris di Malaysia untuk Mac 2024, capai sasaran 2,000 unit sebulan

    Proton S70 – sedan segmen-C paling laris di Malaysia untuk Mac 2024, capai sasaran 2,000 unit sebulan

    Proton hari ini mengumumkan bahawa Proton S70 telah dijual sebanyak 2,072 unit (termasuk 35 unit untuk pasaran eksport) sepanjang bulan Mac 2024, bagi membolehkan ia terus kekal sebagai sedan segmen-C paling laris di Malaysia.

    Dengan jumlah jualan tersebut membolehkan S70 mencapai sasaran jualannya iaitu 2,000 unit sebulan. Rekod jualan kumulatif S70 untuk suku pertama 2024 kini mencecah 5,828 unit, dan ia merupakan model kedua Proton terlaris selepas Saga. Menurut Proton, jumlah produksi S70 ini terus akan dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang sudah menempahnya.

    Proton S70 dilancarkan ke pasaran tempatan pada penghujung November 2023, dan ia merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

    Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.

    Proton S70 2024 Executive

    Proton S70 2024 Premium

    Proton S70 2024 Flagship X

     
     
  • Menteri Pengangkutan nafi tular dakwaan JPJ diberi KPI untuk keluarkan 13,000 saman sepanjang Aidilfitri

    Menteri Pengangkutan nafi tular dakwaan JPJ diberi KPI untuk keluarkan 13,000 saman sepanjang Aidilfitri

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberikan indikator kunci prestasi (KPI) untuk mengeluarkan 13,000 saman trafik sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

    “Yang pertamanya, saya ingin menasihatkan orang ramai jangan percaya berita palsu, terutamanya benda-benda yang tular dalam media sosial ini bukan semuanya benar… check dulu faktanya. Prinsip kita ialah mengurangkan kemalangan. KPI kita ialah mengurangkan kemalangan jalan raya, dan bukannya mengeluarkan saman… tak ada KPI keluarkan saman. Itu yang saya hendak tegaskan, tak ada KPI daripada Kementerian Pengangkutan kepada JPJ untuk keluar berapa saman. Itu KPI yang palsu…itu adalah kenyataan yang palsu.

    “KPI kita ialah orang selamat bukannya berapa saman dikeluarkan. Jadi benda itu tak betul…orang ramai jangan percaya. Tugas JPJ ialah untuk memastikan keselamatan orang ramai. Operasi memang ada, operasi adalah untuk melihat sama ada pematuhan kepada undang-undang atau tidak. Bukannya operasi untuk keluarkan saman. Tapi kalau mereka salah, saman dikeluarkan,” tegas beliau.

    Mesej yang tular menerusi WhatsApp baru-baru ini mendakwa JPJ telah ditetapkan sasaran KPI untuk mengeluarkan 13,000 saman dari 1 hingga 20 April, dan sebanyak 1,500 kenderaan akan disita sepanjang tempoh itu.

    Walau bagaimana pun, apa yang pasti, JPJ telah pun memulakan operasi khas bagi tempoh 1 hingga 20 April, dengan penguatkuasaan biasa dilakukan terhadap kesalahan jalan raya seperti tidak memakai tali pinggang keledar, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit semasa mengendalikan kenderaan. Jika anda berada di jalan raya, pandulah dengan berhemah dan patuhi semua peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025