Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kesas laksana lencongan sementara untuk laluan motosikal – sehingga 15 Jan, bagi pembinaan WCE

    Kesas laksana lencongan sementara untuk laluan motosikal –  sehingga 15 Jan, bagi pembinaan WCE

    Untuk penunggang motosikal yang sering menggunakan Lebuhraya Shah Alam (LSA atau lebih dikenali sebagai Kesas), dimaklumkan bahawa terdapat lencongan trafik sementara bagi laluan motosikal yang dilaksanakan sejak semalam sehingga 15 Januari 2024.

    Pelaksanaan lencongan itu bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan Persimpangan SAE, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (Taiping – Banting) dijalankan.

    Di mana lencongan sementara lorong motosikal diaktifkan ke lorong kecemasan laluan utama di antara persimpangan Bandar Puteri dan Jalan Kebun. Ia melibatkan laluan dari KM22.7 hingga KM23.1 dan KM24 hingga KM24.3 arah timur (ke Subang/KL), dan dari KM24.3 hingga KM24 dan KM23.1 hingga KM22.9 arah barat (ke Shah Alam/Klang). Rujuk info grafik di atas untuk gambaran yang lebih jelas.

    Untuk semua pengguna Kesas, sila pandu dengan lebih berhati-hati dan patuhi papan isyarat serta arahan petugas di lokasi berkenaan.

     
     
  • Power Up Tech bekerjasama dengan Nazamax untuk van pengecas EV boleh gerak – mula operasi Q1 2024

    Power Up Tech bekerjasama dengan Nazamax untuk van pengecas EV boleh gerak – mula operasi Q1 2024

    Syarikat dari Singapura, Power Up Tech (P.Up) telah menjalin satu kerjasama dengan Nazamax dari Malaysia untuk membawa servis van pengecas kenderaan elektrik (EV) mudah alih, dengan operasi yang dijangka bermula pada suku pertama tahun hadapan.

    Apabila sudah beroperasi nanti, P.Up akan menyediakan khidmat bermula dengan kawasan Lembah Kelang, Johor Bahru dan Pulau Pinang, dengan sejumlah sembilan ke 15 buah kenderaan pengecas, seperti yang diberitahu oleh ketua pegawai eksekutif Nazamax, SM Fauzi SM Shalahuddin dalam satu majlis yang berlangsung hari ini.

    Spesifikasi tepat kenderaan pengecas EV yang akan digunakan, serta harga yang akan dikenakan kepada pelanggan masih belum diberitahu, tetapi sebagai perbandingan, menurut pengasas bersama P.Up, Darren Tan Chee Hiong, kenderaan pengecas mereka di Singapura datang dengan simpanan tenaga antara 30 kWh ke 160 kWh.

    Di negara jiran itu juga, output pengecasan yang disediakan oleh pengecas boleh gerak itu adalah antara 60 ke 120 kW DC, dan kenderaan yang akan digunakan di Malaysia juga mungkin menggunakan tetapan sama. Setiap kabel pengecas yang berada dalam kenderaan pengecas ini berukuran tujuh meter dan sepatutnya cukup untuk mengecas EV pelanggan yang berada daam kawasan letak kereta.

    Kenderaan pengecas EV yang ditunjukkan dalam acara pengumuman kerjasama hari ini adalah van Opel e-Vivaro, yang dilengkapi dengan kapasiti tenaga 51 kWh. Ia disediakan dengan soket pengecas keluar CCS2 dan CHAdeMO, dan bateri di dalamnya boleh dicas semula melalui input AC three-phase, CHAdeMO, CCS2 dan AC Type 2.

    “Satu-satunya perkara yang menghalang penggunaan ramai EV adalah rasa risau tentang mengecas, dan inilah sebab Nazamax bekerjasama dengan P.Up. Kami ini meningkatkan lagi pengalaman pemilikan EV, kata Fauzi dalam satu kenyataan.

     
     
  • SIRIM lancar Pusat Ujian Bateri Boleh Cas Semula Negara – ekosistem lengkap untuk EV di Malaysia

    SIRIM lancar Pusat Ujian Bateri Boleh Cas Semula Negara – ekosistem lengkap untuk EV di Malaysia

    SIRIM Bhd telah melancarkan penubuhan Pusat Ujian Bateri Boleh Cas Semula Negara (NRBTC), ekosistem lengkap untuk kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, yang akan memperluas rantaian nilai EV secara ketara dengan merangsang penawaran dan permintaan.

    Ekosistem lengkap ini terdiri daripada kelulusan paten bagi sistem pengecasan EV, ujian bateri dan pensijilan bagi komponen dan sistem EV.

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menyempurnakan majlis pelancarannya berkata, penubuhan NRBTC ini menandakan usaha SIRIM dalam membina ekosistem yang diperlukan untuk Malaysia menjadi peserta terkemuka dalam pasaran EV global, laporan Bernama.

    “SIRIM sentiasa menjadi penyumbang utama kepada pembangunan industri kita, khususnya dalam bidang penyelidikan, teknologi dan kualiti. SIRIM terbukti menjadi rakan kongsi bernilai dalam setiap lima sektor utama dengan membantu meningkatkan keupayaan peserta industri,” katanya.

    SIRIM lancar Pusat Ujian Bateri Boleh Cas Semula Negara – ekosistem lengkap untuk EV di Malaysia

    Beliau menambah, EV menjadi bidang tumpuan utama Malaysia yang ditetapkan dalam dasar dan strategi seperti Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

    Di mana industri EV yang merupakan subsektor elektrik dan elektronik (E&E), adalah satu bidang dengan SIRIM memberi impak ketara.

    “NRBTC yang bertujuan menyediakan ujian, pengesahan dan pengesahsahihan pihak ketiga yang berkualiti tinggi dan tidak berat sebelah untuk bateri boleh dicas semula yang besar dan berkuasa tinggi, bukan sahaja akan berperanan penting dalam membangunkan industri bertumpu kepada ujian bateri dan perkhidmatan berkaitan di Malaysia, malah juga mendorong meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pengeluar bateri EV.

    “Kita tidak boleh mengetepikan kepesatan pertumbuhan industri EV di seluruh dunia, apabila pada 2022, 10 juta EV telah dijual di peringkat global, 80 kali lebih daripada jumlah jualan pada 2012, dengan pelaburan berkaitan EV global melebihi RM1.98 trilion,” katanya.

    SIRIM lancar Pusat Ujian Bateri Boleh Cas Semula Negara – ekosistem lengkap untuk EV di Malaysia

    Tengku Zafrul berkata dari 2018 hingga tahun ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan 58 projek EV dan yang berkaitannya dengan nilai berjumlah RM26.2 bilion.

    “Sudah tentu, ini hanyalah jumlah yang sangat kecil berbanding nilai pelaburan EV global namun, ini satu permulaan dan saya yakin dengan ekosistem yang disediakan oleh SIRIM, bahagian kita dalam pelaburan ini akan meningkat,” katanya.

    Pengerusi SIRIM, Datuk Khairol Anuar Mohamad Tawi pula berkata menerusi usaha memperkasakan masa depan dengan ekosistem EV, negara sedang mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, memperluas jalinan domestik, membangunkan kluster ekonomi baharu dan sedia ada serta menambah baik amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

    Menurutnya, ekosistem lengkap untuk kenderaan elektrik di Malaysia akan berperanan penting dalam memastikan bateri, sistem pengecasan dan komponen yang digunakan dalam mobiliti elektrik adalah selamat, boleh dipercayai dan cekap, sekali gus menggalakkan keyakinan pengguna terhadap EV.

    Walau bagaimana pun, SIRIM masih belum mendedahkan lebih terperinci mengenai Pusat Ujian Bateri Boleh Cas Semula Negara yang bakal ditubuhkan ini.

     
     
  • Lebuhraya West Ipoh Span (WISE) diluluskan – 60 km, Gopeng ke Kuala Kangsar, pintas Terowong Menora

    Lebuhraya West Ipoh Span (WISE) diluluskan – 60 km, Gopeng ke Kuala Kangsar, pintas Terowong Menora

    Perak bakal mempunyai satu lagi lebuhraya baharu, dipanggil Lebuhraya West Ipoh Span (WISE). Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan pusat telah meluluskan pembinaan WISE, laluan sepanjang 60 km dari Gopeng Ke Kuala Kangsar yang akan memintas jajaran Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

    Saarani berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai kelulusan itu selepas ia dipersetujui menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam, dan ia akan dibangunkan bersama syarikat konsesi secara inisiatif kewangan swasta (PFI), laporan BuletinTV3.

    MB Perak itu menjelaskan, WISE akan melengkapkan rangkaian lebuhraya di negeri tersebut yang kerap menghadapi kesesakan teruk terutama di laluan Terowong Menora PLUS. Buat masa ini, pemandu tidak mempunyai alternatif melainkan terpaksa melalui jalan lama yang sempit dari Sungai Siput ke Chemor.

    Lebuhraya West Ipoh Span (WISE) diluluskan – 60 km, Gopeng ke Kuala Kangsar, pintas Terowong Menora

    Pengguna WISE arah selatan dapat mengelak Terowong Menora dan ia juga akan dihubungkan ke WCE (gambar)

    “Jika tersangkut akibat kemalangan dalam terowong atau di bawah (jalan utama), orang ramai tidak mempunyai pilihan. Tetapi dengan WISE, mereka boleh keluar di Kuala Kangsar dan terus ke Gopeng (untuk terus ke PLUS), atau keluar di Changkat Jering dan mengambil Lebuhraya Pantai Barat,” jelasnya.

    Tahun lalu, kerajaan negeri Perak meluluskan cadangan jalan pintasan itu yang turut disifatkan sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan maut. Laluan turun yang curam dari Terowong Menora ke tol Ipoh telah menyaksikan banyak kemalangan selama bertahun-tahun.

     
     
  • Honda CR-V 2024 – lebih 2,000 tempahan di Malaysia dalam masa satu bulan, waktu menunggu 2-3 bulan

    Honda CR-V 2024 – lebih 2,000 tempahan di Malaysia dalam masa satu bulan, waktu menunggu 2-3 bulan

    Honda CR-V generasi keenam baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia, ditawarkan dalam empat varian dengan tiga daripadanya menggunakan enjin petrol empat silinder 1.5L turbo. Harga untuk varian S, E dan V AWD ini bermula dari RM159,900, sementara satu lagi varian, iaitu hibrid 2.0L e:HEV RS harganya cuma akan diumumkan tahun depan.

    Sebelum pelancaran dibuat, Honda Malaysia sudah mula membuka tempahan lebih awal untuk CR-V ini, iaitu pada bulan lepas, dan sekarang syarikat itu mengumumkan bahawa mereka telah menerima lebih 2,000 tempahan dalam masa sebulan, sejak dari tempoh itu. Waktu menunggu untuk model pemasangan tempatan (CKD) itu pula sekarang berada antara dua ke tiga bulan.

    Honda Malaysia juga menjangkakan penghantaran berjumlah sehingga 1,000 unit dalam masa sebulan, dengan V AWD dijangka menjadi varian paling popular di kalangan pelanggan. Sebagai makluman, varian V AWD dijual pada harga RM181,900, menjadikannya RM12,000 lebih tinggi berbanding varian pertengahan E yang berharga RM169,900 dan RM22,000 lebih tinggi berbanding varian permulaan S yang berharga RM159,900.

    Jika anda adalah antara orang yang membuat tempahan untuk CR-V baru ini, varian mana yang anda pilih dan kenapa? Kongsikan bersama kami. Untuk lebih perincian berkenaan CR-V generasi keenam ini, anda boleh baca laporan lengkap di sini.

     
     
  • Tesla panggil balik lebih dua juta kenderaan di AS, Canada untuk kemas kini perisian Autopilot

    Tesla panggil balik lebih dua juta kenderaan di AS, Canada untuk kemas kini perisian Autopilot

    Tesla telah mengeluarkan kemas kini perisian over-the-air (OTA) untuk memperbaiki fungsi Autopilot yang dikatakan oleh National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) sebagai terlalu mudah untuk disalah guna oleh pemilik. Isu ini juga menyebabkan Tesla memfailkan panggilan balik dengan NTHSA untuk memanggil balik lebih dua juta unit kenderaan sehinggalah Model S tahun 2012.

    Menurut dokumen NHTSA, pakej Autopilot Tesla adalah termasuk dengan Autosteer, yang membolehkan kenderaan memutar stereng, brek dan memecut sendiri sebagai bantuan kepada pemandu, bergantung kepada keadaan pemanduan tertentu.

    Badan pentadbiran keselamatan kenderaan di Amerika Syarikat (AS) itu juga mentafsirkan bahawa Autosteer ini adalah satu ciri pemanduan semi-autonomous Level 2 yang memerlukan pemandu terus berwaspada untuk mengambil alih operasi kenderaan sekiranya keadaan pemanduan tidak sesuai.

    “Dalam keadaan tertentu apabila Autosteer digunakan, operasi serta skop kawalan ciri ini mungkin tidak cukup untuk mengelakkan salah guna pemandu terhadap ciri bantuan pemandu SAE Level 2,” tertulis dalam laporan NHTSA.

    Tesla panggil balik lebih dua juta kenderaan di AS, Canada untuk kemas kini perisian Autopilot

    Tesla pula memberitahu, model yang terkesan adalah termasuk Model S 2012-2023 yang dikeluarkan antara 5 Oktober 2012 hingga 7 Disember 2023, serta Model X 2016-2023, Model 3 2017-2023 dan Model Y 2020-2023. Kemas kini (perisian versi 2023.44.30) ini sudah pun mula dikeluarkan untuk kenderaan yang dilengkapi dengan Autopilot Hardware 3.0 atau Autopilot Hardware 4.0 sehingga 12 Disember 2023.

    Menurut Tesla lagi, kenderaan dengan Autopilot Hardware 3.0 tetapi tanpa kamera dalam kabin dan kenderaan yang dilengkapi dengan Autopilot Hardware 2.5, Autopilot Hardware 2.0 atau Autopilot Hardware 1.0 akan menerima kemas kini berasingan yang akan dikeluarkan kemudian.

    “Kemas kini ini akan mempunyai kawalan serta amaran tambahan kepada yang sudah sedia ada pada kenderaan yang terkesan, untuk menggalakkan lagi pemandu untuk mengikuti tanggungjawab penyeliaan berterusan apabila Autosteer digunakan. Panggilan balik ini hanya melibatkan kenderaan di Amerika Syarikat dan Canda,” kata Tesla dalam siaran akhbar mereka.

     
     
  • Honda CR-V 2024 dilancar di Malaysia — tiga varian 1.5L turbo dan satu varian 2.0L hibrid, bermula RM160k

    Honda CR-V 2024 dilancar di Malaysia — tiga varian 1.5L turbo dan satu varian 2.0L hibrid, bermula RM160k

    Honda Malaysia hari ini secara rasminya telah memperkenalkan Honda CR-V 2024 generasi keenam untuk pasaran tempatan. Empat varian ditawarkan, dengan tiga daripadanya versi turbocas dan satu hibrid.

    Empat varian berkenaan adalah seperti berikut: Honda CR-V 1.5L Turbo S – RM159,900; Honda CR-V 1.5L Turbo E – RM169,900; dan Honda CR-V 1.5L Turbo V AWD – RM181,900. Honda CR-V 2.0L e:HEV RS pula akan mula dijual pada awal 2024 nanti, dan harganya akan diumumkan kelak. Versi dengan enjin R20 2.0L i-VTEC yang kali terakhir ditawarkan bagi varian paling asas 2WD untuk model facelift generasi kelima tidak lagi ditawarkan.

    Selain itu, sempena meraikan 20 tahun pengeluaran CR-V di Malaysia, Honda Malaysia akan turut menawarkan edisi terhad CR-V varian S edisi ulangtahun berkenaan, yang terhad kepada 750 unit sahaja, pada harga RM157,900.

    Bagi varian turbo, semuanya menggunakan unit sama 1.5L VTEC Turbo seperti sebelum ini. Unit L15BE DOHC turbo empat silinder berkenaan menghasilkan kuasa 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700-5,000 rpm, tetapi rpm bagi kedua-dua kuasa dan tork ini tiba telah dipercepat, kesan daripada pembaharuan terhadap respon pecutan yang diperbaiki dan menjadikannya lebih senyap. Sebelum ini, kuasa maksimum tiba pada takat 5,600 rpm, sementara tork pula antara 2,000-5,000 rpm.

    Enjin ini kekal digandingkan bersama Earth Dreams CVT seperti sebelum ini. Ini juga telah diberikan pembaharuan untuk mengurangkan bunyi dan gegarannya. Dari sudut prestasi, varian S memecut 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat, sementara E dengan 9.8 saat dan V AWD memerlukan 10.4 saat.

    Honda CR-V 2024 dilancar di Malaysia — tiga varian 1.5L turbo dan satu varian 2.0L hibrid, bermula RM160k

    Varian paling tinggi pula ialah versi hibrid dengan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD), sama seperti apa yang digunakan untuk Civic e:HEV RS — melibatkan sebuah motor elektrik dan enjin petrol 2.0L NA kitaran Atkison yang bertindak selaku generator.

    Enjin berkenaan menghasilkan 148 PS (146 hp) pada 6,100 rpm dan 190 Nm tork pada 4,500 rpm — 1 Nm lebih berbanding Civic hibrid. Walaupun enjin ini boleh menyediakan pacuan terus — melalui klac kekunci — dalam kelajuan tinggi dan untuk lebih cekap, elektrik motornya yang melakukan semua kerja pacuan. Dari segi output, e-motor berkenaan menjana 184 PS (181 hp, atau 135 kW) pada 5,000 hingga 8,000 rpm dan 335 Nm dari sifar ke 2,000 rpm — 20 Nm lebih berbanding Civic hibrid.

    Di Thailand, CR-V hibrid ditawarkan dalam pacuan dua roda dan juga empat roda. Tetapi untuk Malaysia, CR-V e:HEV hanya didatangkan dalam versi pacuan dua roda, dengan kuasa dihantarkan ke roda depan melalui transmisi e-CVT. Selain itu, untuk spesfikasi RS bagi model di sini adalah unik, bukan sahaja kerana ia pertama kali ditawarkan untuk pasaran di sini bagi CR-V, tetapi juga kerana tahap kemasan RS hanyalah untuk AWD di Thailand, dengan versi 2WD untuk pasaran di sana hanya ada versi ES.

    Dari segi ukuran, CR-V mempunyai 4,691 mm panjang, 1,866 mm lebar dan 1,681 mm tinggi, menjadikannya 68 mm lebih panjang, 11 mm lebih lebar dan 2 mm lebih tinggi berbanding model lama. Jarak antara rodanya juga bertambah 40 mm menjadi 2,700 mm.

    Honda CR-V 2024 dilancar di Malaysia — tiga varian 1.5L turbo dan satu varian 2.0L hibrid, bermula RM160k

    Di luar, CR-V terbaru ini lengkap dengan lampu utama LED automatik, DRL LED, lampu isyarat LED dan lampu belakang kombinasi LED sebagai standard untuk semua varian — begitu juga dengan ciri pemegang pintu warna badan dan antena sirip ikan (warna badan untuk versi turbo, dan hitam untuk hibrid).

    Varian 1.5L E menerima tambahan lampu kabus LED di depan dan pintu kuasa bebas kendalian tangan untuk ruang barangan belakang serta fungsi walk-away close. Varian V AWD pula menerima muncung ekzos krom. Bagi RS, ia menerima lencana RS, landasan bumbung, perumah cermin sisi hitam dan penutup gril aktif.

    Untuk rim, ada tiga versi disediakan, dengan varian S paling asas menerima rim 17-inci lima-jejari dengan tayar 235/65 dalam penyudah Sparkle Silver. Varian E dan V pula berkongsi rim 18-inci yang sama, dengan rekaan lima-jejari dalam warna perak, tetapi gaya yang berbeza. Manakala untuk e:HEV RS pula, rim 18-inci yang sama digunakan tetapi diberi penyudah hitam berkilat. Tayar utnuk semua saiz 18-inci menggunakan Toyo Proxes R45 235/60.

    Di dalam, rekaan papan pemuka penyerupai apa yang ada pada Civic FE, yang memberi nuansa baru yang jauh lebih segar bagi kabin CR-V — rekaan lebih bersih, stereng tiga-jejari, kemasan mesh lebar untuk corong pendingin dan skrin sentuh infotainmen apung — tetapi untuk varian S, hanya ada paparan tujuh-inci.

    Ciri standard SUV terbaru ini termasuklah penghidup enjin jarak jauh, fungsi walk-away auto lock, pendingin dua zon dengan corong belakang, kawalan melayar, kerusi belakang larasan mekanikal (gelungsur dan rebahan penyandar lapan posisi) dan, untuk unit petrol, paparan kluster instrumen 7.0-inci TFT semi-digital dengan speedo meter analog.

    Untuk kelengkapan bagi setiap varian pula, 1.5 S paling asas menerima kerusi balutan fabrik, stereng urethane dan kerusi depan larasan manual. E pula ditambah dengan kerusi balutan kulit campuran dengan stereng balutan kulit.

    Pengecas tanpa wayar Qi (E ke atas) manakala Active Shutter Grille pula hanya untuk RS, begitu juga dengan Apple CarPlay tanpa wayar, hanya untuk varian hibrid, yang paling tinggi. Selain itu, V ke atas pula menerima kerusi pemandu dengan fungsi memori, kamera keliling dan kad kunci Honda, sementara RS menerima tambahan HUD.

    Bagi varian E ke atas, kemasan balutan semuanya kulit hitam, dan unit infotainmen dengan skrin sentuh sembilan-inci. Sama seperti Civic, varian E dan V menerima kluster instrumen tujuh-inci semi digital dengan speedometer analog. Hybrid RS satu-satunya yang menerima paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 10.25-inci.

    Untuk kemasan, semua varian petrol termasuk versi AWD menerima panel kayu gelap di bahagian papan pemuka dan panel pintu, manakala RS menerima kemasan aluminium dengan hitam berkilat. Jahitan merah juga membezakan RS terutama di bahagian kerusi, stereng, tombol gear.

    RS juga satu-satunya varian yang didatangkan dengan sistem audio Bose Premium dengan 12-pembesar suara — pertama kali digunakan untuk model ini yang ditawarkan di Malaysia. Ia juga satu-satunya varian yang menerima ciri Adaptive Driving Beam untuk lampu depan.

    Turut melengkapi V AWD ialah pintu kuasa bebas kendalian tangan di belakang dan sistem kamera sisi LaneWatch (ciri kamera ini untuk semua varian). Di Thailand, Honda Sensing adalah standard untuk semua. Standard untuk semua varian juga adalah ciri telematik Honda Connect yang dikendalikan melalui aplikasi telefon.

    Pilihan warna pula ada lima — Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic dan Crystal Black Pearl, dengan Canyon River Blue Metallic menjadi warna terbaru. Pakej bodykit Modulo turut ditawarkan, begitu juga dengan beberapa pilihan aksesori lain.

    Senarai pecahan spesifikasi mengikut varian adalah seperti berikut:

      Honda CR-V 1.5 S 2024 – RM159,900
      Kelengkapan standard:

      Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo
    • 1,498 cc turbocas empat-silinder petrol
    • 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700 hingga 5,000 rpm
    • Continuously variable transmission (CVT)
    • Pacuan roda depan
    • Brek parkir elektronik
    • Suspensi depan MacPherson strut (depan), multi-link (belakang)
    • Cakera brek berliang (depan), cakera solid (belakang)
    • Stereng kuasa dengan nisbah gear boleh ubah
    • 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat
    • Berat 1,598 kg
    • Jarak kelegaan tanah 198 mm
    • Tangki petrol 57 liter
    • Luaran

    • Lampu utama LED
    • Lampu DRL LED
    • Lampu isyarat sequential depan LED
    • Lampu gabungan LED
    • Rim 17-inci lima-jejari dengan tayar 235/65
    • Pemegang pintu warna badan
    • Antena sirip warna badan
    • Dalaman

    • Sistem pintar tanpa kunci dan butang Push Start
    • Penghidup enjin jarak jauh
    • Fungsi kunci walk-away auto lock
    • Paparan TFT 7.0-inci dengan speedometer analog
    • Kawalan melayar
    • Stereng urethane dengan multifungsi dengan kawalan audio
    • Balutan fabrik hitam
    • Pelapik bumbung kelabu
    • Kerusi depan larasan manual
    • Kerusi belakang boleh gelungsur
    • Sistem pendingin dua zon
    • Corong pendingin belakang
    • Head unit infotainmen dengan skrin sentuh tujuh-inci dengan Apple CarPlay/Android Auto
    • Bluetooth, sistem telefon bebas kendalian tangan
    • Sistem audio lapan pembesar suara
    • Satu slot USB di depan, dua USB di belakang Type C
    • Cermin pandang belakang anti-silau
    • Empat sensor parkir
    • Kamera undur multi-sudut
    • Rim ganti 17-inci
    • Ruang kargo 589 liter
    • Keselamatan

    • Lapan beg udara (depan, sisi, tirai sisi dan lutut)
    • ISOFIX belakang
    • Bantuan kestabilan kenderaan (VSA)
    • ABS dengan EBD dan bantuan brek
    • Auto Brake Hold
    • Bantuan mula mendaki
    • Kawalan menuruni cerun
    • Bantuan kendalian tangkas (AHA)
    • Lampu isyarat kecemasan
    • Pengingat tali keledar
    • Kunci pintu automatik
    • Kawalan kebisingan automatik
    • Sistem telematik Honda Connect
    • Set keselamatan Honda Sensing
    • Forward Collision Warning (FCW)
    • Autonomous Emergency Braking (CMBS)
    • Adaptive Cruise Control (ACC)
    • Low Speed Follow (LSF)
    • Road Departure Mitigation (RDM)
    • Lane Departure Warning (LDW)
    • Lane Keeping Assist (LKAS)
    • Automatic High Beam (AHD)
    • Maklumat pergerakan kereta depan
    • Honda CR-V 1.5 E 2024 – RM169,900
      Tambahan:

      Mekanikal

    • 0-100 km/j dalam 9,8 saat
    • Berat 1,616 kg
    • Luaran

    • Lampu kabus depan LED
    • Pintu ruang kargo berkuasa, bebas kendalian tangan dengan fungsi walk-away close
    • Rim 18-inci lima-jejari dengan tayar 235/60
    • Dalaman

    • Paddle Shifter
    • Stereng balutan kulit
    • Kemasan balutan kulit campuran
    • Kerusi larasan kuasa lapan-arah untuk pemandu, empat-arah untuk penumpang
    • Kerusi depan dengan fungsi memori (dua posisi)
    • Head unit dengan skrin sentuh 9-inci dengan Apple CarPlay/Android Auto
    • Apple CarPlay tanpa wayar
    • Pengecas tanpa wayar (depan, 15 watt)
    • Dua slot USB depan (Type A, Type C)
    • Pengilap cermin automatik
    • Keselamatan

    • Honda LaneWatch
    • Empat sensor parkir
    • Honda CR-V 1.5 V AWD 2024 – RM181,900
      Tambahan:

      Mekanikal

    • Sistem AWD masa nyata
    • 0-100 km/j dalam 10.4 saat
    • Berat 1,668 kg
    • Jarak kelegaan tanah 208 mm
    • Luaran

    • Muncung ekzos krom
    • Dalaman

    • Lampu suasana bumbung/kaki di depan
    • Lampu ruang cawan
    • Lampu pemegang pintu depan
    • Lampu iluminasi depan/belakang
    • Keselamatan

    • Sistem kamera 360-darjah multi-sudut
    • Ciri cermin sisi beralih sudut ketika undur
    • Sistem peninjau tekanan tayar
    • Honda CR-V 2.0L e:HEV RS 2024 – Harga akan dimaklumkan kelak
      Tambahan:

      Mekanikal

    • Sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD)
    • Enjin 1,993 cc NA kitaran Atkinson empat-silinder petrol
    • 148 PS (146 hp) pada 6,100 rpm, 190 Nm pada 4,500 rpm
    • Motor elektrik 184 PS (181 hp, atau 135 kW) pada 5,000 hingga 8,000 rpm dan 335 Nm dari 0-2,000 rpm
    • Electric continuously variable transmission (e-CVT)
    • Pacuan roda depan
    • 0-100 km/h dalam 9.0 saat, laju maksimum 187 km/h
    • Berat 1,735 kg
    • Luaran

    • Antena hitam
    • Perumah cermin sisi hitam
    • Kemasan dan lencanan khusus RS
    • Landasan bumbung
    • Rim 18-inci Berlina Black dengan tayar 235/60
    • Dalaman

    • Kerusi balutan campuran kulit dengan benang merah
    • Panel instrumen digital 10.2-inci TFT
    • Sistem audio Bose Premium
    • Pelapik bumbung hitam
    • Kad kunci
    • Paparan head-up
    • Pedal sport
    • Keselamatan

    • Lampu memandu adaptif
    • Kawalan bunyi aktif

    Honda CR-V e:HEV RS 2024

    Honda CR-V V 2024

    Honda CR-V 2024 vs CR-V Generasi Kedua CKD Pertama di Malaysia

    Honda CR-V 2024

     
     
  • Jambatan Pulau Pinang tutup pada 17 Dis untuk Penang Bridge International Marathon, 12.01pg-10pg

    Jambatan Pulau Pinang tutup pada 17 Dis untuk Penang Bridge International Marathon, 12.01pg-10pg

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa Jambatan Pulau Pinang akan ditutup sementara sempena acara “Penang Bridge International Marathon 2023” pada Ahad ini, 17 Disember 2023, mulai jam 12.01 pagi sehingga 10.00 pagi.

    “Jambatan Pulau Pinang akan dibuka dan beroperasi seperti biasa mulai jam 10.00 pagi pada hari yang sama selepas tamat acara larian tersebut.

    “Sehubungan itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) sebagai jalan alternatif dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan,” ujar PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi X @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI atau papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih. Sila hubungi PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

     
     
  • Kerajaan setuju cadangan Kementerian Pengangkutan tukar lesen memandu kepada bentuk digital – TPM

    Kerajaan setuju cadangan Kementerian Pengangkutan tukar lesen memandu kepada bentuk digital – TPM

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pada dasarnya kerajaan bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menukar lesen memandu kenderaan digunakan ketika ini kepada bentuk digital, laporan Berita Harian.

    Katanya, walau bagaimana pun syarat yang dikenakan adalah semua maklumat peribadi tidak diperoleh syarikat pengendali.

    “Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) sebelum ini merancang menukar lesen memandu yang ada, dalam bentuk digital dengan syarat semua maklumat peribadi tidak diperoleh syarikat pengendali. Selain itu, kos setiap lesen kurang daripada sekarang dan Kabinet setuju pada dasarnya cadangan beliau itu,” katanya baru-baru ini.

    Kerajaan setuju cadangan Kementerian Pengangkutan tukar lesen memandu kepada bentuk digital – TPM

    Beliau turut berkata, kerajaan memberi jaminan semua data peribadi yang digunakan dalam apa juga aplikasi dan sistem digital akan dikawal dan hanya menjadi milik kerajaan sepenuhnya. Di mana syarikat pengendali yang diberi tanggungjawab melaksana sebarang bentuk aplikasi dan sistem digital itu, tidak akan diberi akses kepada maklumat peribadi berkenaan.

    Pada 10 Februari lalu, Loke mengumumkan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian dilaksanakan.

    Di mana pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis.

    Sebelum ini, kami pernah melaporkan bahawa di Malaysia, pertukaran kepada lesen memandu digital yang boleh dipaparkan melalui aplikasi MyJPJ tidak dilaksanakan secara menyeluruh. Seperti yang dinyatakan pada bulan Februari lalu, mereka yang mempunyai lesen memandu pelajar (LDL) dan lesen memandu vokasional (PSV/GDL/KON) masih memerlukan salinan fizikal lesen tersebut.

     
     
  • Perkhidmatan Komuter Lembah Klang, ETS kembali pulih selepas insiden kren tumbang di landasan

    Perkhidmatan Komuter Lembah Klang, ETS kembali pulih selepas insiden kren tumbang di landasan

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan bahawa semua perkhidmatan tren KTM Komuter Lembah Klang laluan Tanjung Malim – KL Sentral – Tanjung Malim dan ETS yang terjejas akibat sebuah kren binaan patah antara Rawang dan Kuang kelmarin, telah kembali pulih.

    “Tren komuter pertama No 2301 jam 5.05 pagi telah bertolak dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen KL Sentral. KTMB memohon maaf sekali lagi di atas kejadian yang berlaku. Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama para penumpang yang terkesan dan menghargai perhatian serta pemahaman anda,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.

    Pada petang 12 Disember lalu, sebuah kren binaan condong dan tumbang di atas landasan kereta api di KM355.749, antara Rawang dan Kuang serta menyebabkan alat talian atas (overhead line) terputus. Kren binaan tersebut digunakan untuk pembinaan projek parkir bertingkat Perbadanan Aset Keretapi (RAC) didapati mendap di kawasan pembinaan, mengakibatkan kren tersebut condong dan tumbang di atas landasan terbabit.

     
     
  • Lebih 9,000 EV didaftarkan di Malaysia pada 2023 sahaja, kini lebih 12,000 EV berdaftar sejak 2011

    Lebih 9,000 EV didaftarkan di Malaysia pada 2023 sahaja, kini lebih 12,000 EV berdaftar sejak 2011

    Jualan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia terus mencatatkan momentum yang positif sehingga akhir tahun 2023, ujar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Tambahnya, Malaysia telah merekodkan lebih 100,000 EV berdaftar setakat ini, laporan Bernama.

    “Lebih 12,000 kenderaan elektrik bateri (BEV) telah didaftarkan sejak 2011 dengan jumlah BEV yang didaftarkan tahun ini sahaja melebihi 9,000 unit,” kata Zafrul dalam ucapannya. Beliau turut percaya bahawa EV akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan eksport industri pembuatan Malaysia.

    “Sektor produk elektrik dan elektronik (E&E), yang merupakan sebahagian besar rantaian bekalan dalam sektor EV, menyumbang 40% daripada 80% eksport Malaysia daripada sektor pembuatan. Oleh itu, terdapat banyak potensi dalam kenderaan generasi baharu di mana lebih banyak komponen diperlukan dalam satu kereta.

    “Apabila anda melihat [kenderaan elektrik], [jumlah cip] boleh meningkat kepada sekurang-kurangnya 3,000 cip untuk satu kereta, dan cip ini datang daripada sektor E&E,” kata Zafrul.

    Dari segi jualan kenderaan elektrik, angka yang disebut di atas iaitu lebih daripada 9,000 unit setakat tahun ini adalah lonjakan besar melebihi 2,631 unit yang dijual pada tahun lepas, yang mana ia juga menunjukkan peningkatan 860% berbanding 274 unit yang dijual di Malaysia pada 2021.

     
     
  • JPJ siar siri 4 kempen panggil balik model kenderaan terlibat – Audi, Kia, Mercedes, Volkswagen, Yamaha

    JPJ siar siri 4 kempen panggil balik model kenderaan terlibat – Audi, Kia, Mercedes, Volkswagen, Yamaha

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan siri 4/2023 bagi kempen panggil balik (product recall) beberapa model kenderaan yang terlibat oleh syarikat pengeluar. Menurut JPJ, untuk siri kali ini, pihaknya menyenaraikan model kenderaan yang terlibat berdasarkan kepada rekod yang diterima. Sebelum ini, JPJ pernah membuat hebahan bagi siri 3/2023 pada September lalu.

    Jenama kenderaan dan model yang terlibat untuk 4/2023 kali ini adalah seperti senarai di bawah – sila klik nama jenama berkenaan untuk pautan bagi perincian panggilan balik ini:

    Audi

    Mercedes-Benz

    Kia

    JPJ siar siri 4 kempen panggil balik model kenderaan terlibat – Audi, Kia, Mercedes, Volkswagen, Yamaha

    Volkswagen

    • Eos (1F) 2010-2011 – 117 unit
    • Golf Mk6 (1K) 2011 – 1,757 unit
    • Passat CC (3C) 2010 – 338 unit
    • Polo Sedan/Vento (60) 2013 – 344 unit
    • Polo (6R) 2010-2013 – 246 unit

    Yamaha

    • MT-09 (November 2021 – October 2023) – 1,329 unit
    • MT-09 Tracer 9 GT (November 2021 – September 2023) – 995 unit

     
     
  • Harga minyak 14-20 Dis – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 14-20 Dis – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan untuk minggu bertarikh 14 hingga 20 Disember 2023, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel dikekalkan.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 27 November lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, memaklumkan bahawa kerajaan bersedia untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON 95 pada separuh kedua 2024. Rafizi turut berkata, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakan program subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. “Adalah dijangkakan akan ada ketidakpuasan dan masalah sebaik ia dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan,” katanya.

     
     
  • Pemandu Ranger langgar empat beranak tunggang motosikal mengaku bersalah, didenda RM6,000

    Pemandu Ranger langgar empat beranak tunggang motosikal mengaku bersalah, didenda RM6,000

    Pemandu trak pikap Ford Ranger dalam satu video tular yang melanggar sebuah motosikal ditunggang empat beranak semalam sudahpun dikenakan tindakan oleh Mahkamah Trafik Jalan Duta hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, pemandu trak pikap yang berumur 22 tahun berkenaan telah dituduh di mahkamah tersebut hari ini di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987 (memandu tanpa kecermatan dan tidak bertimbang rasa terhadap orang lain).

    Tertuduh walau bagaimanapun terus mengaku bersalah dan dikenakan hukuman sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin warganegara. Kesalahan ini direkodkan pada lesen memandunya, dan sekiranya denda gagal dibayar, pemandu berkenaan akan dipenjara selama empat bulan.

    Terdahulu tular video berdurasi 1 minit lapan saat, memaparkan sebuah Ford Ranger yang secara tiba-tiba keluar ke susur lebuhraya dan menghimpit sebuah motosikal yang dinaiki oleh empat beranak. Kejadian tersebut berlaku di Lebuhraya Besraya dari arah Sungai Besi ke Balakong pada 12.30 tengah hari 12 Disember 2023.

    Pemandu Ranger langgar empat beranak tunggang motosikal mengaku bersalah, didenda RM6,000

    Hasil siasatan polis mendapati kesemua mangsa berusia lima hingga 34 tahun cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

    Dalam laporan Sinar Harian, pemandu Ford Ranger yang juga seorang pereka grafik bernama Mohammad Harith Ismail berkenaan menyatakan bahawa dia melakukan kesalahan itu secara tidak sengaja dan tidak biasa dengan jalan tersebut kerana bukan orang tempatan.

    “Saya juga tidak melarikan diri atau meninggalkan mangsa di situ, sebaliknya terus hantar mereka ke hospital bersama saksi,” katanya. Majistret Fatin Dayana Jalil kemudiannya menasihati Harith supaya lebih berhati-hati dan berwaspada semasa memandu.

     
     
  • Juara WRC 2023, Toyota Gazoo Racing tunjuk livery perlumbaan baru; GR Yaris Rally1 warna hitam matte!

    Juara WRC 2023, Toyota Gazoo Racing tunjuk livery perlumbaan baru; GR Yaris Rally1 warna hitam <em>matte</em>!

    Juara kategori pengeluar dan juga pemandu bagi Kejohanan Rali Dunia 2023, Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) telah pun mendedahkan livery perlumbaan pada GR Yaris Rally1 yang bakal digunakan pada musim hadapan – berbanding warna rasmi Gazoo Racing merah-putih hitam yang digunakan sebelum ini, untuk 2024 jentera berkenaan tampil dengan warna badan hitam matte!

    Menurut Toyota rupa baharu ini dihasilkan dari dua konsep; Pertama adalah “kelajuan” yang melambangkan semangat “tidak suka kekalahan” pasukan berkenaan, dan kedua adalah “prototaip” yang mewakili “untuk menghasilkan kereta dengan baka sukan permotoran dan sentiasa berevolusi”.

    Dengan undang-undang yang masih belum berubah, Toyota masih lagi menggunakan jentera GR Yaris Rally1 yang sama untuk WRC 2024. Ia dibina berasaskan kerangka space frame dan dijana enjin 1.6 liter turbo bersama restrictor berdiameter 36 mm bagi menghasilkan kuasa 380 hp

    Kesemua jentera Rally1 juga wajib menggunakan unit modul plug-in Hybrid yang dibangunkan oleh Compact Dynamics, menampilkan bateri lithium ion 3.9 kWj, motor elektrik (Motor Generator Unit atau MGU) berkuasa 100 kW (134 hp) dan tork 180 Nm, serta unit inverter dan unit pengurusan kuasa – kesemuanya diletakkan dalam perumah yang diperbuat dari gentian karbon.

    Motor elektrik berkenaan dihubungkan terus kepada gandar belakang; jadi pada masa-masa tertentu, GR Yaris ini dapat memecut dengan kuasa penuh sekitar 500 hp. Kuasa ‘boost’ dari sistem hibrid elektrik berkenaan dikawal oleh kotak komputer yang telah diselarikan dengan talaan kotak komputer unit pengurasan enjin pembakaran dalaman.

    Untuk musim depan TGR-WRT sudahpun mengesahkan pemandu dari Wales, Elfyn Evans akan bertindak sebagai pemandu utama, dan pemandu Jepun Takamoto Katsuta akan mengemudi jentera kedua pasukan berkenaan. Manakala juara dunia 2022 dan 2023, Kalle Rovanpera pula hanya akan memandu secara separa masa kerana mahu berehat selepas memulakan kariernya sebagai pemandu rali sejak berumur 10 tahun.

    Oleh itu Rovanpera akan memandu jentera ketiga TGR-WRT, berkongsi tempat dengan juara WRC lapan kali Sebastien Ogier yang sudahpun dua musim berlumba secara separa masa dengan pasukan tersebut. Pasukan ini akan terus diketuai oleh bekas pemandu WRC Finland, Jari-Matti Latvala yang menyandang tugas sebagai Prinsipal pasukan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025