Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Penebusan mata ganjaran Mesra kini diperluaskan ke gedung dalam talian Petronas Shop menerusi Setel

    Penebusan mata ganjaran Mesra kini diperluaskan ke gedung dalam talian Petronas Shop menerusi Setel

    Untuk pelanggan Petronas yang ingin membeli-belah di Petronas Shop, kini boleh menggunakan mata ganjaran Mesra bagi tujuan membeli barangan yang diingini di menerusi gedung barangan dan pakaian gaya hidup aktif dalam talian tersebut. Apa yang perlu anda lakukan, hanya tebus mata ganjaran Mesra menerusi aplikasi Setel.

    Diperkenalkan sebagai ciri baharu yang ditambah menerusi Program Kesetiaan Mesra sedia ada, di mana pelanggan diberi mata ganjaran bukan sekadar untuk mengisi petrol di stesen Petronas dan membuat pembelian di Kedai Mesra semata-mata. Tetapi kini mata ganjaran Mesra tersebut boleh digunakan untuk membayar produk dan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi Petronas Shop.

    Inisiatif ini diselaraskan dengan misi Setel sebagai platform mudah alih yang bersasar untuk memudahkan pelanggan dengan inovasi mobiliti yang lebih baik dan inklusif, menerusi penyediaan pilihan pembayaran baharu bagi pelanggan untuk menggunakan mata ganjaran Mesra mereka untuk membeli-belah bagi barangan Petronas menerusi aplikasi Setel.

    Penebusan mata ganjaran Mesra kini diperluaskan ke gedung dalam talian Petronas Shop menerusi Setel

    Klik untuk besarkan imej

    “Kami berharap kaedah pembayaran baharu ini akan membolehkan pelanggan menikmati ekosistem penawaran Setel yang holistik, di mana mereka boleh menebus dan membayar dengan mata ganjaran Mesra untuk produk dan perkhidmatan kami, sementara kami meneruskan usaha menyampaikan pilihan barangan dalam segmen gaya hidup aktif yang mampu dibeli dan diperoleh semua,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Shop, Faizal Sulaiman.

    Pelanggan yang menggunakan mata ganjaran Mesra semasa membuat pembelian di Petronas Shop hanya perlu memilih mata ganjaran Mesra sebagai cara pembayaran dan langkah ini boleh ditambah nilai dengan pembayaran talian juga, sekiranya baki mata ganjaran mereka tidak mencukupi.

    Sebagai usaha untuk memberi ganjaran kepada pelanggan setia, Petronas Shop telah memperkenalkan tawaran istimewa untuk ahli Mesra peringkat Junior ke Hero di aplikasi Setel pada awal tahun ini. Para pelanggan tersebut dapat memperoleh akses eksklusif dan diskaun bergantung pada kategori keahlian mereka . Langkah ini membolehkan pelanggan menikmati lebih manfaat melalui penggunaan kerap aplikasi Setel bagi jangka masa panjang.

    Bersempena dengan pelancaran ini, Petronas Shop akan mengadakan peraduan di mana 10 pelanggan pertama yang menebus sebanyak 30,000 mata ganjaran Mesra di Petronas Shop berpeluang memenangi 10,000 mata ganjaran Mesra tambahan. Peraduan ini berlangsung dari 8 hingga 17 September 2023.

     
     
  • Elak guna MRR2 ke Ampang berikutan insiden lubang benam, kerja baikpulih sedang dijalankan – JKR

    Elak guna MRR2 ke Ampang berikutan insiden lubang benam, kerja baikpulih sedang dijalankan – JKR

    Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak menyarankan agar pengguna Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Ampang, Selangor agar menggunakan laluan alternatif berikutan berlaku ‘sinkhole’ (lubang benam) di KM 21.30 sejak pagi tadi.

    Menurut JKR, lokasi kejadian lubang benam itu berhampiran sebuah stesen minyak di Hulu Kelang dan laluan yang ditutup adalah sepanjang 10 meter.

    “Insiden sinkhole ini berpunca kerana cover crossing culvert patah. Kerja pembaikan sedang dilaksanakan dengan penggantian penutup box culvert dan kerja penurapan semula. Kerja pembaikan mula dilaksanakan sejak 1 tengahari tadi dan dijangka siap malam hari ini.

    “Aliran trafik di lokasi kejadian sesak dan dijangka kesesakan akan meningkat. Walau bagimana pun, kami menyarankan agar pengguna MRR2 yang mahu menuju ke Ampang agar menggunakan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE),” kata JKR.

    Jika anda terpaksa menggunakan MRR2 untuk ke Ampang, anda diminta untuk lebih berhati-hati sewaktu melalui lokasi terbabit. Sila patuhi segala arahan keselamatan oleh para petugas dan tingkatkan kesabaran sewaktu memandu.

     
     
  • Harga minyak 7-13 Ogos – semuanya dikekalkan

    Harga minyak 7-13 Ogos – semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bahawa tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel untuk minggu bertarikh 7 hingga 13 September 2023.

    Untuk itu, petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada akhir Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

     
     
  • Audi Q8 dan SQ8 facelift 2024 – gaya diperbaharui, enjin TFSI dan TDI dengan kuasa sehingga 507 PS

    Audi Q8 dan SQ8 facelift 2024 – gaya diperbaharui, enjin TFSI dan TDI dengan kuasa sehingga 507 PS

    Selepas lebih lima tahun diperkenalkan, Audi Q8 kini diberikan facelift, dengan membawa pembaharuan pada gaya dan kelengkapan. Buat masa ini, ia diperkenalkan dalam versi biasa dan prestasi SQ8, sementara versi yang lebih berprestasi iaitu Q8 RS akan datang kemudian.

    Pada bahagian luaran, gril Singleframe SUV ini diberikan identiti tersendiri untuk membezakannya dengan model siri A sementara lampu barunya pula menggunakan high-intensity LED dan boleh dinaik taraf kepada sistem LED matriks dengan laser ataupun tidak bagi lampu tinggi. Lampu belakang pula mendapat naik taraf teknologi OLED seperti A8 dan Q5.

    Seperti biasa, Audi menawarkan pelbagai pakej untuk mencantikkan lagi Q8 baru ini, serta pilihan rekaan rim baru dari 21 inci hingga 23 inci. Di dalam katalog juga pemilik boleh memilih pelbagai warna kemasan dalam serta balutan tempat duduk.

    Enjin yang tersedia untuk Q8 ini terdiri daripada unit petrol TFSI dan diesel TDI V6 3.0 liter – kedua-duanya dipadankan bersama transmisi automatik tiptronik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda Quattro. Enjin ini turut datang dengan sistem hibrid ringkas belt alternator starter (BAS) yang dikatakan dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.5 l/100 km.

    Sistem hibrid ringkas itu juga boleh menjana kuasa sehingga 8 kW, dan dapat membantu menjadikan operasi henti dan gerak lebih lancar serta membenarkan enjin ditutup sehingga 40 saat semasa meluncur pada kelajuan antara 55 km/j ke 160 km/j. Pilihan enjin untuk Q8 facelift adalah seperti berikut.

    Audi Q8 45 TDI quattro

    • Enjin: V6 3.0 liter diesel turbo
    • Kuasa enjin: 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 500 Nm
    • Masa 0-100 km/j: 7.1 saat
    • Laju maksimum: 226 km/j

    Audi Q8 50 TDI quattro

    • Enjin: V6 3.0 liter diesel turbo
    • Kuasa enjin: 286 PS (282 hp atau 210 kW) dan 600 Nm
    • Masa 0-100 km/j: 6.1 saat
    • Laju maksimum: 241 km/j

    Audi Q8 55 TFSI quattro

    • Enjin: 3.0 liter V6 petrol turbo
    • Kuasa enjin: 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan 500 Nm
    • Masa 0-100 km/j: 5.6 saat
    • Laju maksimum: 250 km/j

    Audi Q8 dan SQ8 facelift 2024 – gaya diperbaharui, enjin TFSI dan TDI dengan kuasa sehingga 507 PS

    Untuk lebih prestasi, anda perlu mendapatkan SQ8, yang datang dengan gaya lebih agresif serta differential sport dengan klac multi-disc untuk sistem torque vectoring antara dua roda belakangnya. Versi yang lebih berprestasi ini juga datang dengan dua motor elektrik – satu bagi setiap gandar – dengan kuasa 1.5 kW dan digunakan untuk mengawal olengan badan di selekoh.

    Menyediakan kuasa henti adalah cakera brek 400 mm di hadapan dan 350 mm di belakang, yang dipadankan bersama angkup S berwarna hitam atau merah. Enjin V8 pada versi ini juga mempunyai sistem nyahaktif silinder yang beroperasi pada kelajuan rendah dan sederhana. Spesifikasinya adalah seperti berikut.

    Audi SQ8 TFSI quattro

    • Enjin: 4.0 liter V8 petrol turbo
    • Kuasa enjin: 507 PS (500 hp atau 373 kW) dan 770 Nm
    • Masa 0-100 km/j: 4.1 saat
    • Laju maksimum: 250 km/j

    GALERI: Audi Q8 facelift 2024

    GALERI: Audi SQ8 facelift 2024

     
     
  • Toyota Century SUV 2024 didedahkan — model TNGA; enjin 3.5L V6 PHEV; harga dari RM792k di Jepun

    Toyota Century SUV 2024 didedahkan — model TNGA; enjin 3.5L V6 PHEV; harga dari RM792k di Jepun

    Toyota telahpun mendedahkan model Century yang kini tampil sebagai SUV, walaupun tidak dinyatakan secara jelas dalam hebahan media rasminya. Ia kini sudah dibuka untuk tempahan di Jepun sebelum tarikh pelancaran rasminya, tahun ini juga.

    Century SUV ini tidak menggantikan sedan Century generasi ketiga yang diperkenalkan pada 2018, kerana sedan berkenaan akan terus ditawarkan kepada pelanggan. Untuk harga, Century SUV ini dijual dengan harga 25 juta yen (RM792,041), lebih mahal daripada model sedan (20.08 juta yen; RM636,168).

    Model terbaru ini dibangun menggunakan Toyota New Global Architecture (TNGA) yang lebih tahan dan memberikan lebih keselesaan. Ia turut datang dengan ciri yang dipanggil “struktur berasingan bahagian barangan”.

    Toyota Century SUV 2024 didedahkan — model TNGA; enjin 3.5L V6 PHEV; harga dari RM792k di Jepun

    Ia juga menampilkan penggunaan kaca tebat bunyi untuk sisi kabin, sementara pemisah ruang barangan juga ada untuk mengasingkan bahagian kabin daripada ruangan kargo. Ini memberikan ruang privasi dan memberikan kesenyapan menakjubkan yang sering diinginkan untuk kenderaan seperti ini.

    Sekadar perbandingan, ukuran dimensi Toyota Century SUV ialah 5,205 mm panjang, 1,990 mm lebar, 1,805 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,950 mm. Century sedan pula berukuran 5,335 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,505 mm tinggi dan jarak antara roda 3,090 mm.

    Century SUV ini menerapkan rekaan kotak untuk profil umumnya, yang menyerupai Rolls-Royce Cullinan. Pendekatan rekaan dari versi sedan turut kelihatan untuk SUV ini, termasuk bentuk gril depannya, tulisan Century di belakang serta hiasan Rajawali yang ada.

    Toyota Century SUV 2024 didedahkan — model TNGA; enjin 3.5L V6 PHEV; harga dari RM792k di Jepun

    Kemewahan memang terserlah untuk SUV ini, dengan sebahagian permukaannya tampil sangat berkilau seperti cermin. Panel pintu juga diberikan sentuhan halus untuk menjadikan aliran visual yang terhasil begitu lancar.

    Wajah depan Century SUV dibezakan dari model sedan melalui tiga bukaan udara besar di bahagian apron bawah, sementara lampu utama yang terpisah mempunyai dua elemen lampu dalam setiap klusternya — pendekatan yang sama digunakan untuk lampu bahagian belakang. Saiz roda standardnya ialah 20-inci, dengan unit 22-inci ditawarkan sebagai pilihan. Pelanggan perlu berurusan dengan Century Meister untuk membuat pilihan tersendiri mengikut citarasa masing-masing bagi Century SUV mereka.

    Ruangan dalamannya yang paling penting dan menarik. Pintu belakang boleh dibuka seluas 75-darjah dengan kehadiran pemijak sisi juga. Untuk memudahkan keluar-masuk ke kabinnya, ada pemegang disediakan di bahagian tiang C.

    Tidak seperti model sedan yang mempunyai lima-tempat duduk, versi SUV ini hadir dengan hanya empat-tempat duduk, dengan ruang penumpang belakang lengkap dipasang kaca panoramik besar dan dua kerusi berasingan yang dipisahkan oleh konsol tengah yang tinggi.

    Kerusi di belakang penumpang depan juga boleh direbahkan sepenuhnya untuk memberikan pengalaman kabin ala pesawat, dengan sistem lampu suasana dan paparan skrin sentuh. Century SUV ini juga hadir dengan banyak butang kawalan fizikal, misalnya untuk sistem pendingin, larasan kerusi dan fungsi lain, dan bukan semuanya tertumpu hanya di dalam fungsi skrin sentuh sahaja.

    Lencana Rajawali di stereng juga menarik, disertai juga dengan kluster instrumen digital yang turut memberi maklumat berkaitan sistem janaan plug-in hybrid-nya. Century SUV ini merupakan model PHEV, dengan tetapan yang sama pernah dilihat pada Lexus TX 550h+, dan bukannya sama seperti Century sedan yang dilengkapi enjin 5.0 liter V8 dengan elektrifikasi.

    Sistem ini menawarkan kuasa keseluruhan sebanyak 412 PS (406 hp atau 303 kW), yang juga lebih besar berbanding yang diberikan oleh unit V8. Ia terdiri daripada unit enjin 2GR-FXS 3.5 liter NA V6 yang digandingkan dengan E-CVT dan motor elektrik, dilengkapi juga dengan sistem pacuan semua roda E-Four yang turut memanfaatkan sebuah motor elektrik di gandar belakang.

    Antara ciri lain yang turut ada ialah Dynamic Rear Steering (stereng roda belakang) untuk memudahkan kawalan, sementara mod Rear Comfort membolehkan pemandu memastikan penumpang dibelakang sentiasa selesa dengan cara mengurangkan goyangan ketika kenderaan ingin berhenti.

     
     
  • Zeekr 001 FR – pesaing Tesla Model S Plaid dari Geely, 1,265 PS dari 4 motor elektrik, 0-100km/j 2.37 saat!

    Zeekr 001 FR – pesaing Tesla Model S Plaid dari Geely, 1,265 PS dari 4 motor elektrik, 0-100km/j  2.37 saat!

    Jenama EV premium dari Geely iaitu Zeekr telah memperkenalkan Zeekr 001 FR, iaitu versi lebih liar untuk Shooting Brake EV Zeekr 001. FR adalah akronim untuk Future Roads, dan 001 FR ini merupakan EV dengan kuasa lebih dari 1,000 hp serta merupakan pesaing terus kepada model produksi paling berkuasa Tesla iaitu Model S Plaid.

    Secara spesifiknya, Zeekr 001 FR ini dipadankan dengan empat motor elektrik, memberikan kuasa keseluruhan 1,265 PS! Sebagai perbandingan, versi paling berkuasa Zeekr 001 sebelum ini dengan hanya dua motor elektrik dibekalkan dengan kuasa 544 PS dan tork maksima 768 Nm.

    Dengan bekalan kuasa tersebut, Zeekr 001 FR ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.37 saat (2.07 jika bermula dengan rolling start), dan mampu mencapai kelajuan maksima 280 km/j.

    Menurut laporan CarNewsChina, konfigurasi pacuan pada Zeekr 001 FR ini adalah dua motor elektrik pada gandar hadapan dan dua lagi berada pada gandar belakang, di mana setiap motor berkenaan memacu hanya satu roda. Dengan setiap motor memacu setiap roda secara bebas, Zeekr 001 FR ini boleh membuat pusingan seakan sebuah kereta kebal!

    Setiap motor pada gandar hadapan menghasilkan kuasa 155 kW (211 PS), atau 422 PS secara keseluruhan. Manakala setiap motor pada gandar belakang pula menghasilkan kuasa (310 kW) 421 PS atau 842 PS secara keselurah. Jadi walaupun Zeekr 001 FR ini adalah jentera AWD, ia sebenarnya lebih bersifat seperti kereta pacuan roda belakang dengan agihan tork diuruskan oleh perisian Zeekr Vectoring Control.

    Zeekr turut menyatakan bahawa ketika kereta ini membuat pusingan kereta kebal, tork puncak yang boleh dicapai pada roda mencecah 10,000 Nm, dan motor pada gandar belakang menggunakan gentian karbon bagi membalut rotor serta jumlah ketumpatan kuasa yang dicatatkan adalah 4.4W/kg

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri CATL Qilin berkapasiti 100 kWj. Dengan asas sistem elektrik 800V, bateri berkenaan boleh dipenuhkan daro 10% hingga 80% dalam masa 15 minit. Walau bagaimanapun jarak gerak untuk satu cas bateri penuh belum diperincikan oleh Zeekr.

    Zeekr 001 FR – pesaing Tesla Model S Plaid dari Geely, 1,265 PS dari 4 motor elektrik, 0-100km/j  2.37 saat!

    Dengan unit rangkaian kuasa yang lebih buas, Zeekr 001 FR ini menerima sistem brek dari AP Racing menampilkan angkup 10-omboh di hadapan dan empat omboh di belakang, digandingkan dengan cakera karbon seramik dari Brembo. Ia turut diberikan set roda dengan rim aloi forged 22-inci yang dibalut tayar litar Giti GTR2 bersaiz 265/40R22 di hadapan dan 295/40R22 di belakang. Manakala untuk suspensi, 001 FR ini dilengkapi dengan suspensi prestasi tinggi keluaran KW.

    Selain itu Zeekr 001 FR ini juga menerima kit aero yang diperbuat dari bahan gentian karbon yang didakwa dapat menampung daya sisi sehingga 1.4G. Kit tersebut termasuk spoiler pada bawah bampar hadapan, skirt sisi dan spoiler belakang. Bumbung logam kereta ini juga telah ditukar menggunakan gentian karbon bagi mengurangkan beratnya.

    Pada sebelah dalam, Zeekr 001 FR ini menerima tempat duduk hadapan sport, upholsteri Alcantara dan juga kemasan-kemasan berwarna merah. Pemandu diberikan paparan instrumen dengan skrin 8.8-inci, manakala untuk infotainmen dan kawalan-kawalan lain ia diberikan skrin utama 15.5-inci.

    Zeekr 001 FR – pesaing Tesla Model S Plaid dari Geely, 1,265 PS dari 4 motor elektrik, 0-100km/j  2.37 saat!

    Model ini juga menerima telefon dan sistem navigasi satelit yang menggunakan satelit Geely iaitu GeeSAT 1 yang telah dilancarkan ke orbit bermula Jun tahun lalu. Manakala untuk sistem infotainmen, Zeek 01 menggunakan sistem Zeekr OS 5.0. Ia juga menerima sistem pemanduan separa autonomi ala-sistem Tesla Autopilot yang digelar NZP (Navigation Zeekr Pilot).

    Pelanggan pertama di China yang menempah Zeekr 001 FR ini akan menerima kereta mereka bermula Oktober nanti. Menurut Zeekr model ini hanya akan diproduksi sebanyak 99 unit sebulan, dan setiap pembeli akan diberikan latihan pemanduan khas untuk memandu kereta ini.

    Menurut laporan Motor1, Ogos lalu Zeekr mengumumkan bahawa 001 FR ini akan dijual pada harga di bawah 1 juta yuan (RM639k), lebih murah dari Tesla Model S Plaid yang dijual pada harga sekitar RM686k di pasaran tersebut.



     
     
  • Honda M’sia beri rebat hingga RM12k untuk Sept 2023

    Honda M’sia beri rebat hingga RM12k untuk Sept 2023

    Jika bulan Ogos, Honda Malaysia menawarkan rebat hingga RM9,000, namun untuk September, rebat tersebut dinaikkan sehingga RM12,000!

    Dengan tagline “The Sweetness of Togetherness” umpama berkongsi citarasa untuk kuih-muih dan makanan kegemaran rakyat Malaysia, kempen ini adalah untuk kereta yang didaftarkan sepanjang September 2023. Model yang terlibat ialah City Hatchback, Accord dan CR-V, dan semuanya adalag model buatan tahun 2023.

    Diskaun berskala besar sudah pasti untuk model kereta yang paling besar iaitu sedan segmen-D Accord dengan penjimatan sebanyak RM12,000. Jika anda berminat untuk mendapatkan CR-V pula, Honda Malaysia menawarkan rebat sehingga RM8,000 – jadi anda boleh pilih varian yang ditawarkan sama ada 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD, 1.5L TC-P 4WD dan Black Edition.

    Honda M’sia beri rebat hingga RM12k untuk Sept 2023

    Untuk City Hatchback segmen-B pula, kelima-lima varian iaitu S, E, V, V-Sensing dan RS bakal menerima rebat sebanyak RM2,500. Sesuailah untuk dijadikan pilihan bagi golongan muda kerana rekaan City Hatchback ini memang ranggi.

    Jadi, inilah masanya untuk anda merealisasikan impian memiliki salah sebuah model Honda, yang ditawarkan dengan rebat menarik sepanjang September ini.

     
     
  • KTM Komuter Utara B’worth–Pdg Rengas terus ke Ipoh mulai 16 Sept – berhenti di Sg Siput, Kuala Kangsar

    KTM Komuter Utara B’worth–Pdg Rengas terus ke Ipoh mulai 16 Sept – berhenti di Sg Siput, Kuala Kangsar

    KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan perkhidmatan Komuter Utara bakal ke Ipoh. Ini bermakna tren laluan Padang Rengas – Butterworth – Padang Rengas bakal diteruskan hingga ke selatan (Padang Rengas adalah berdekatan dengan Kuala Kangsar) ibu negeri Perak itu mulai 16 September ini, iaitu pada Hari Malaysia.

    Untuk yang tidak begitu mengetahui tentang perkhidmatan ini, KTM Komuter Utara diperkenalkan sejak tahun 2015 dan sehingga Ogos 2023, seramai 27,500 penumpang telah menaikinya, kata KTMB. Selain laluan Padang Rengas-Butterwprth, Komuter utara turut menyediakan laluan Padang Besar – Butterworth – Padang Besar setiap hari.

    Selain penduduk Ipoh, berita baik ini juga untuk penduduk sekitar Sungai Siput dan Kuala Kangsar, di mana laluan Komuter Utara akan berhenti di dua perhentian ini dalam perjalanan Padang Rengas-Ipoh-Padang Rengas.

    Tren pertama dari Ipoh menuju ke utara akan bergerak mulai 4.40 pagi setiap hari, sementara tren pertama dari Butterworth akan bergerak pada jam 5.30 pagi. Tren terakhir dari Ipoh dan Butterworth masing-masing pada jam 6.35 petang dan 7.10 petang. Dengan lanjutan laluan hingga ke Ipoh, sektor ini akan mempunyai 20 perjalanan setiap hari, berbanding 16 sebelum ini. Selang waktu adalah setiap satu jam pada waktu puncak dan setiap dua jam di luar waktu puncak. Perjalanan dari Butterworth ke Ipoh mengambil masa satu jam 56 minit.

    Bagi tambangnya pula, kadar untuk dewasa adalah RM12.80 bagi perjalanan sehala. Manakala untuk penumpang kanak-kanak, warga emas dan OKU hanya RM6.40 sehala. Pas MyRailLife yang diperkenalkan pada Februari lalu juga boleh digunakan untuk perkhidmatan Komuter Utara. Sila guna aplikasi KITS untuk membeli tiket dan merancang perjalanan anda.

     
     
  • Aplikasi MYJalan terima 1,000 aduan sejak dilancarkan

    Aplikasi MYJalan terima 1,000 aduan sejak dilancarkan

    Sejak dilancarkan pada 24 Ogos lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menerima sebanyak 1,000 aduan menerusi aplikasi MYJalan. Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, aplikasi aduan berkaitan kerosakan jalan raya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, namun sebahagian besar aduan terbabit bukan membabitkan jalan milik atau di bawah penyelenggaraan KKR, laporan Bernama.

    “KKR tetap membantu menyalurkan aduan terbabit ke pemilik jalan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), negeri dan jalan kampung (Jalan Perhubungan Desa yang dibina di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah),” katanya.

    Tambah beliau, tidak dinafikan ramai yang menuding jari kepada JKR apabila berlaku kerosakan jalan raya seperti kontraktor menebuk jalan bagi membaiki kerosakan paip, sedangkan ia berlaku bukan di jalan milik atau di bawah selenggaraan JKR.

    “Jadi saya minta pihak terbabit segera membaiki jalan tersebut agar tidak menyusahkan atau membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

    Aplikasi MYJalan yang diperkenalkan sempena dengan pelancaran kempen MYJalan merupakan sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kerosakan jalan raya. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play, App Store dan Huawei AppGallery.

    Bagi memastikan aduan yang dihantar dapat diproses untuk tindakan selanjutnya dengan segera, pengguna perlu mengemukakan aduan dengan menyatakan maklumat peribadi yang sah, e-mel yang betul dan tidak menggunakan nama samaran. Pengguna juga perlu menghantar lokasi aduan yang tepat dan jatuhkan pin pada peta (Pinned map) mengikut lokasi aduan yang sebenar serta lampirkan foto yang jelas.

    Menurut KKR, dengan adanya maklumat yang lengkap dan informasi yang jelas, ia dapat membantu pihaknya memproses aduan dengan segera untuk tindakan selanjutnya.

     
     
  • Mercedes-Benz A250 4Matic AMG Line Sedan 2023 diumum harga rasmi RM263,888 untuk Malaysia

    Mercedes-Benz A250 4Matic AMG Line Sedan 2023 diumum harga rasmi RM263,888 untuk Malaysia

    Ketika Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan barisan A-Class Sedan V177 facelift pada Jun lalu, kami hanya memberikan harga ramsi untuk model asas A200 Progressive Line. Manakala model tertinggi A250 4Matic Line hanya dinyatakan dengan harga jangkaan, kerana ketika itu MBM masih tidak mengumumkan angka sebenarnya.

    A250 4Matic AMG Line dijual pada harga atas jalan RM263,888 tanpa insurans, kurang daripada harga jangkaannya RM264,000 yang diumumkan oleh MBM sebelum ini. Apa pun, ia lebih mahal sebanyak RM25,000 berbanding A200 Progressive Line yang berharga RM238,888 – A-Class Sedan merupakan model pemasangan tempatan (CKD).

    Seiring dengan harganya, A250 diberikan enjin M260 2.0 liter turbo empat-silinder berkuasa 224 hp pada takat 5,500 rpm hingga 6,100 rpm dengan tork 350 Nm bermula 2,000 rpm hingga 4,000 rpm masih dikekalkan, tetapi kini diberikan sistem hibrid ringkas (MHEV) 48V dengan unit starter generator pacuan tali sawat (RSG) berkuasa 13 hp dan tork 150 Nm.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan, dan seperti namanya, ia kini menerima sistem pacuan semua roda 4matic. Ini membolehkan model ini memecut dari dari 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat dan mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    Manakala untuk A200 A200 Progressive Line, ia masih dibekalkan oleh penjana yang sama iaitu enjin petrol turbo 1.33L empat-silinder sebaris yang dibekalkan oleh Renault menghasilkan 163 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 270 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang memacu roda hadapan, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.3 saat dan kelajuan makima cecah 230 km/j.

    Kelengkapan standard untuk A250 termasuh pakej penggayaan AMG Line, set rim aloi ringan AMG 18-inci lima jejari berkembar dalam kemasan tremolite grey dan aloi digilap, lampu utama LED High Performance dengan Adaptive Highbeam Assist, gril hadapan dengan elemen bintang tiga penjuru bagi menggantikkan elemen pin krom serta bampar “A-Wing profile” yang kini direka kurang bersegi. Ia juga diberikan upholstery gentian mikro Microcut dengan jahitan kontras merah, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, kawalan suhu dwi-zon Thermatic dan sistem pencahayaan ambien 64-warna.

    Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga telah dipertingkat kepada versi NTG7, dan ia menampilkan pelbagai servis terhubung, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar dan juga gaya paparan yang kini boleh dipilih antara Classic, Sporty atau Discreet. Port pengecas telah diperingkat dengan memberikan fungsi cas pantas, serta diberikan tambahan port USB Type-C.

    Untuk kit bantuan pemandu dan keselamatan, kedua-dua varian A-Class ini dilengkap dengan kamera undur, Bantuan Parkir Aktif, Bantuan Titik Buta, Bantuan Amaran Keluar dan Bantuan Brek Aktif serta Pakej Parkir dinaiktaraf kini menyokong parkir membujur. Manakala A250 diberikan ciri tambahan Sports Brake System yang membantu mengekalkan prestasi membrek walaupun ia digunakan secara agresif dalam masa yang lama.

    Risalah spesifikasi Mercedes-Benz A250 4Matic AMG Line Sedan facelift 2023; klik untuk besarkan

    Risalah spesifikasi Mercedes-Benz A200 Progressive Line Sedan facelift 2023; klik untuk besarkan

    GALERI: Mercedes-Benz A250 4Matic AMG Line facelift

    GALERI: Mercedes-Benz A200 Progressive Line facelift

     
     
  • MRT Kajang sedia gerabak wanita, diuji hingga 17 Sept

    MRT Kajang sedia gerabak wanita, diuji hingga 17 Sept

    Tren MRT jajaran Kajang akan menyediakan gerabak khusus untuk wanita. Rapid KL memaklumkan pemasangan pelekat dan ujian operasi sedang dilakukan untuk gerabak khusus bagi MRT jajaran Kajang dan dijangka akan tamat pada 17 September nanti. Gambar yang dikongsi menunjukkan pintu dengan tanda warna merah jambu dengan lambang ikon wanita dijadikan petanda yang membezakan gerabak tersebut, serta ada juga pelekat merah jambu di lantai.

    Langkah ini tentunya sangat baik bagi menjamin keselesaan dan keselamatan penumpang wanita, tetapi ia perlu juga dikuatkuasakan agar tiada penumpang lelaki yang melanggar peraturan itu. Begitu juga sebaliknya, penumpang wanita perlulah dipastikan memanfaatkan gerabak berkenaan sepenuhnya sebagai keutamaan, dan memberi ruang di gerabak lain kepada penumpang lain.

    MRT Kajang sedia gerabak wanita, diuji hingga 17 Sept

    Kepada wanita yang bersama keluarga, tentulah tiada keperluan untuk mereka duduk dalam gerabak berasingan daripada suami dan anak-anak, tetapi untuk keselesaan dan bagi memberi keutamaan di gerabak lain kepada penumpang lelaki misalnya, dengan adanya gerabak khusus untuk wanita ini merupakan satu pilihan yang wajar untuk pengangkutan awam. Jadi, gunakanlah sebaik mungkin.

     
     
  • Pelumba drag maut – penganjur tegaskan tiada peraturan dilanggar, tidak perlu pengiktirafan MAM

    Pelumba drag maut – penganjur tegaskan tiada peraturan dilanggar, tidak perlu pengiktirafan MAM

    Susulan kemalangan yang berlaku perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 yang dilangsungkan di litar drag Pekan Speedway di Pekan, Pahang hujung minggu lalu menyebabkan kematian seorang pelumba, pagi ini pihak penganjur acara tersebut baru sahaja mengeluarkan kenyataan rasmi.

    Menurut penganjur berkenaan iaitu MUSC Drag, pihaknya telah mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam menganjurkan acara yang dilabel sebagai Test N Tune Malaysia Drag Bike ET Record 2023 tersebut.

    Dalam kenyataan itu, MUSC menegaskan penganjuran program sukan tempatan oleh Badan Sukan (Kelab yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997) tidak perlu mendapatkan kelulusan dari Pesuruhjaya Sukan (PJS) berkuatkuasa 10 April 2023, namun hendaklah mematuhi tiga garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia.

    Tiga garis panduan berkenaan adalah mendapatkan kebenaran dari pihak berkuasa tempatan, mendapatkan kebenaran dari pemilik tapak lokasi dan juga mendapatkan perlindungan insuran bagi menjamin perlindungan peserta, jelas MUSC dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    MUSC turut menyatakan penganjuran program latihan sukan bermotor tidak perlu mendapatkan pengiktirafan (sanction) dari Motorsport Association of Malaysia (MAM) sepertimana yang pernah dimaklumkan oleh pihak MAM sendiri menerusi sesi-sesi perbincangan di antara wakil MAM dengan kelab MUSC dan beberapa pemegang taruh (Pihak-pihak Penganjur) yang lain.

    Pelumba drag maut – penganjur tegaskan tiada peraturan dilanggar, tidak perlu pengiktirafan MAM

    “Program latihan sukan bermotor iaitu Test N Tune Malaysia Drag Bike ET Record 2023 anjuran Kelab MUSC yang telah berlangsung di Litar Pekan Speedway, Pahang pada 02 & 03 September 2023 baru-baru ini mematuhi garis panduan sepertimana dinyatakan di atas,” kata MUSC dalam kenyataan itu lagi.

    Kelab itu juga menyatakan bahawa kemalangan yang dialami oleh pelumba berkenaan iaitu Mohd Hattem Bin Rashdi berlaku ketika sesi ujian latihan ‘single-run’ di mana beliau telah hilang kawalan ke atas jenteranya disebabkan oleh masalah teknikal enjin jentera tersebut.

    “Pihak kami telah pun berjumpa dengan waris serta mengambil tanggung jawab sepenuhnya di atas kejadian ini dari awal sehingga akhir,tanpa menundingjari kepada mana-mana pihak yang ada turut ada kaitan.

    “Pihak kami juga akan mengambil segala langkah penambahbaikan yang sewajarnya untuk memperbaiki aspek keselamatan semasa demi memartabatkan lagi program latihan Test N Tune ini,” tambah MUSC lagi.

    Selepas terlibat dalam kemalangan dalam perlumbaan tersebut Ahad lalu, Hattem dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat. Pelumba drag professional berkenaan kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang Isnin lalu dan jenazahnya dibawa ke kampung halamannya di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.

    Kejadian seperti ini bukan kali pertama berlaku dalam kejohanan drag tempatan. Tahun lalu seorang pelumba kereta drag yang berasal dari Perak, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin maut di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak setelah jentera Mitsubishi Lancer Evolution IX yang dipandunya terbabas ketika berlumba dalam siri perlumbaan Battle of The Kings (BOTK) 2022, yang juga tidak mendapat kelulusan dari MAM.

     
     
  • Proton sampaikan kraftangan tempatan sebagai tanda sokongan buat atlet negara untuk Sukan Asian ke-19

    Proton sampaikan kraftangan tempatan sebagai tanda sokongan buat atlet negara untuk Sukan Asian ke-19

    Hari ini, Proton telah menyampaikan kraftangan budaya Malaysia kepada atlet negara sebagai tanda sokongan terhadap perpaduan, semangat kesukanan, dan budaya Malaysia bagi Sukan Asian ke-19. Majlis turut disaksikan oleh Hannah Yeoh selaku Menteri Belia dan Sukan dan CEO Proton Dr Li Churong.

    Proton berkata, sejak ditubuhkan 40 tahun yang lalu, syarikat ini turut memainkan peranan penting dalam sejarah pembangunan negara, terutama sekali untuk memajukan industri automotif sambil turut menyumbang kepada pelbagai bidang yang penting untuk Malaysia merealisasi cita-cita negara.

    Untuk tahun ini, Proton menjalin hubungan antarabangsa melalui atlet Malaysia yang bertanding di Sukan Asia ke-19 dengan menganjurkan inisiatif Sukan Asian Proton Nation Drive. Acara ini mempamerkan warisan budaya Malaysia serta rangkaian produk syarikat semasa memulakan
    perjalanan mengumpul kraftangan yang unik dari negeri yang dilawati.

    Konvoi Sukan Asian Proton Nation Drive pula melibatkan melibatkan model X50 X70 dan X90 bermula dengan Sabah, rombongan kemudian melawat Sarawak sebelum pulang ke Semenanjung Malaysia untuk singgah di Melaka, Pahang, dan Perak.

    Di setiap negeri yang disinggahi, ahli konvoi dihadiahkan kraftangan daripada atlet yang terdiri daripada atlet lompat tinggi Farrell Glenn Felix Jurus, pelari pecut Patronella Lisong, peninju Daeloniel McDelon, bekas bintang hoki negara, Dato’ Mirnawan bin Datuk Hj Nawawi, serta legenda trek Josephine Mary dan Samson Vallabouy, yang akan melihat anak perempuan mereka Shereen Samson Vallabouy mengikut jejak mereka dan bersaing di temasya itu.

    Kraftangan itu terdiri daripada rantai pinokol manik dari Sabah, sape dari Sarawak, kain sarung tenun dari Pahang, kebaya nyonya dari Melaka serta labu sayong dari Perak.

    “Memandangkan Geely merupakan salah satu penaja Sukan Asian ke-19, penglibatan Proton bukan sahaja sebahagian daripada usaha kami untuk menyokong atlet negara kami yang bertanding di temasya itu, tetapi juga untuk kerja yang dilakukan oleh rakan usaha sama kami. Kontinjen Malaysia bukan sahaja akan bersaing hebat untuk menang tetapi mereka juga duta untuk negara, maka wajarlah mereka mempersembahkan kraftangan dari Malaysia kepada Muzium Sukan Asian di Hangzhou.

    “Penglibatan Proton dalam acara sukan adalah simbolik terhadap usaha kami untuk meningkatkan kualiti dan kecemerlangan dalam produk kami. Usaha para atlet untuk melatih dan mencapai prestasi puncak mencerminkan proses kami untuk memastikan kenderaan dihantar kepada pelanggan kami yang dihargai memenuhi piawaian tertinggi dan oleh itu, syarikat berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk menyumbang kepada acara sukan yang begitu penting,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Kesemua koleksi kraf yang dikumpul itu akan dibawa ke Hangzhou menjelang Sukan Asia ke-19 yang berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober ini.

     
     
  • Pelumba drag profesional maut – perlumbaan tidak diiktiraf MAM, KBS mahu penganjur bertanggungjawab

    Pelumba drag profesional maut – perlumbaan tidak diiktiraf MAM, KBS mahu penganjur bertanggungjawab

    Semalam seorang lagi pelumba drag tempatan, Hattem Rashdi yang baru berusia 22 tahun dari pasukan ESR Motor meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika mengambil ujian masa dalam siri perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023, yang dilangsungkan di litar drag Pekan Speedway di Pekan, Pahang.

    Mengulas berkenaan insiden ini, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Dr K Nagulendran menyatakan bahawa penganjur perlumbaan tersebut perlu bertanggungjawab kerana perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan daripada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

    “Perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan MAM kami (KBS) sudah membuat semakan. Selepas ini pihak kami akan adakan perbincangan dan melakukan tindakan susulan dengan MAM. MAM sendiri juga perlu melakukan tindakan susulan dengan penganjur berhubung insiden berkenaan,” kata Nagulendran dalam laporan Harian Metro.

    Nagulendran menegaskan bahawa KBS sentiasa mempromosikan penganjuran sukan secara selamat dan bukan sahaja fizikal tetapi juga mental melalui Kod Sukan Selamat berkaitan perlakuan buli dan gangguan seksual.

    “Berkaitan aktiviti (perlumbaan) hujung minggu lalu kita sudah semak ia tidak mendapat kelulusan dan bukan program yang disokong KBS. Kita harap semua persatuan, kelab sukan jalankan aktiviti dengan mendapat kelulusan daripada persatuan sukan masing-masing.

    Pelumba drag profesional maut – perlumbaan tidak diiktiraf MAM, KBS mahu penganjur bertanggungjawab

    “Mereka juga perlu mendaftar dan mendapat kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan. Kami kesal insiden ini berlaku, penganjur harus bertanggungjawab, saya tidak rasa ia sesuatu yang betul mengadakan perlumbaan tanpa kelulusan dan langkah-langkah keselamatan,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, MAM turut mengeluarkan kenyataan rasminya berkenaan insiden tersebut hari ini, dan mengesahkan bahawa perlumbaan Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023, yang berlangsung hujung minggu lalu di Pekan, Pahang tidak mendapat kelulusan mereka.

    MAM menzahirkan rasa dukacita di atas berita pemergian, Hattem Rashdi semalam dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah.

    Menurut MAM, adalah penting untuk mana-mana perlumbaan bagi mendapatkan kelulusan dan pengiktirafan (sanctioned) dari pihaknya. Ini kerana sukan permotoran adalah suatu sukan yang merbahaya dan mana-mana pihak yang ingin menyertai sukan permotoran baik selaku penganjur, pemilik litar atau pelumba wajib mematuhi peraturan dan protokol ketat yang ditetapkan.

    “Ia untuk memastikan tahap keselamatan yang tertinggi, meningkatkan persaingan dan akhirnya memberi peluang kepada pelumba dan penonton menikmati acara perlumbaan berkenaan.

    “Acara yang diiktiraf (sanctioned events) oleh pihak MAM dijalankan dengan mematuhi garis panduan am dan teknikal yang ditetapkan oleh pihak Persekutuan Autumobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) berkaitan dengan penganjur, kemudahan, peserta dan kenderaan,” kata MAM dalam kenyataan itu.

    Pelumba drag profesional maut – perlumbaan tidak diiktiraf MAM, KBS mahu penganjur bertanggungjawab

    Persatuan itu turut menambah bahawa acara sukan permotoran yang dikawal selia atau diiktiraf akan memberi parameter yang jelas kepada penganjur dan peserta mengenai persekitaran perlumbaan yang selamat, penglibatan marsyal serta pegawai perlumbaan yang berkelayakan dan berpengalaman.

    “Persediaan litar pula yang merangkumi aspek keselamatan, pasukan perubatan dan perlindungan insuran kepada penonton, pelumba, pegawai dan penganjur.

    “Oleh yang demikian, penganjur amat digalakkan untuk memastikan acara mereka diluluskan dan dikawal selia (sanctioned) dengan bekerjasama bersama pihak MAM,” tulis kenyataan itu lagi.

    Selepas terlibat dalam kemalangan dalam perlumbaan tersebut Ahad lalu, Hattem dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat. Pelumba drag professional berkenaan kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang semalam dan jenazahnya dibawa ke kampung halamannya di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.

    Buat masa sekarang masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dari penganjur berkenaan insiden ini. Kejadian seperti ini bukan kali pertama berlaku dalam kejohanan drag tempatan.

    Tahun lalu seorang pelumba kereta drag yang berasal dari Perak, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin maut di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak setelah jentera Mitsubishi Lancer Evolution IX yang dipandunya terbabas ketika berlumba dalam siri perlumbaan Battle of The Kings (BOTK) 2022, yang juga tidak mendapat kelulusan dari MAM.

     
     
  • Kembara Kenali Borneo: Rakyat Sabah adu terus kepada YDP Agong tentang keadaan jalan yang teruk

    Kembara Kenali Borneo: Rakyat Sabah adu terus kepada YDP Agong tentang keadaan jalan yang teruk

    Buat julung kalinya, masyarakat di Sabah dan Sarawak berpeluang menyaksikan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dalam perjalanan Kembara Kenali Borneo yang bermula sejak 3 September lalu.

    Memulakan perjalanan Kembara Kenali Borneo di Bulatan 0KM Padang Perbandaran Tawau, Sabah, Seri Paduka Baginda yang memandu sendiri Toyota Land Cruiser 300, mengetuai konvoi kembara 25 kenderaan dengan acara pelepasan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada jam 8.30 pagi kelmarin.

    Turut berangkat mengikuti program kembara sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ialah paduka anakanda, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

    Sepanjang perjalanan Kembara Kenali Borneo, Seri Paduka Baginda adakalanya terpaksa memandu perlahan bagi menyantuni rakyat yang menunggu di sepanjang jalan. Boleh dikatakan rakyat di Sabah begitu teruja dengan kedatangan Seri Paduka berdua, malah sanggup menunggu di tepi jalan walau pun panas terik mahu pun hujan semata-mata mahu melihat sendiri wajah pemimpin negara yang disanjungi.

    “Ramai rakyat tunggu saya sepanjang jalan sehingga ke sini, saya begitu teruja, saya pandu perlahan, berhenti, kemudian pandu perlahan, berhenti lagi,” kata Seri Paduka Baginda, memetik laporan Harian Metro.

    Apabila Seri Paduka berdua turun dari kenderaan untuk menyantuni rakyat, ramai yang begitu teruja untuk bersalaman dan merakam foto kenangan dengan baginda berdua. Bukan itu sahaja, sikap sporting Seri Paduka berdua yang cukup mesra dan berjiwa rakyat membuatkan ada di antara masyarakat di Sabah yang mengambil kesempatan membuat ‘aduan rakyat’ terutamanya berhubung keadaan jalan di sana yang amat mendukacitakan. Malah Tuanku Permaisuri dilihat turut mencatatkan aduan yang diterima itu.

    Sebelum Kembara Kenali Borneo berlangsung, ramai rakyat Sabah meluahkan rasa gembira apabila jalan di negari berkenaan mula diturap dan diperbaiki. Ramai yang meluahkannya menerusi media sosial, malah ada yang berharap agar Seri Paduka Baginda kerap melawat Sabah agar isu mengenai keadaan jalan yang membelenggu masyarakat di sana selama ini dapat diatasi sewajarnya.

    Hari ini, Kembara Kenali Borneo menjelajahi kawasan tengah Sabah dan baginda berdua berkenan untuk meninjau pembangunan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah. Seri Paduka berdua berangkat ke tapak Pakej Kerja 29 Moynod-Sapi Nangoh dan mendengar sembah taklimat mengenai projek itu daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebelum meneruskan perjalanan kembara itu ke Telupid.

    Kembara Kenali Borneo hingga 13 September ini akan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei memberi peluang keemasan bagi rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dengan pasangan diraja dan delegasi.

    @sabah_info

    Makcik… | Jelajah Kembara Kenali Borneo oleh YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan bermula hari ini di Tawau, Sabah

    ♬ original sound – Sabah Info

    @sabah_info

    Habislah… Raja Permaisuri Agong CATIT sendiri aduan rakyat

    ♬ original sound – Sabah Info

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025